Jawapan:

Hari Jumaat memiliki keistimewaan di mana terdapat satu waktu di mana doa akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ يَوْمَ الجُمُعَةِ، فَقَالَ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut tentang hari Jumaat, lalu baginda bersabda,

فِيهِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللَّهَ تَعَالَى شَيْئًا، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ.

Padanya terdapat satu waktu di mana tidaklah seorang muslim menemuinya sedangkan dia berdiri melaksanakan solat, dia meminta sesuatu kepada Allah Ta’ala, kecuali akan diberikan kepadanya.

وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا.

(Abu Hurairah melanjutkan) Rasulullah mengisyaratkan dengan tangannya bagi menunjukkan waktu itu adalah singkat.[1]

Terdapat dua hadis yang menerangkan bilakah waktu tersebut. Kedua-dua hadis ini menunjukkan ada keluasan dalam perkara ini di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan dua waktu kepada para hamba-Nya berdoa kepada-Nya.[2]

Hadis Pertama

أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ لِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ: أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ؟

Abu Burdah bin Abu Musa al-‘Asy’ari berkata, ‘Abdullah bin ‘Umar bertanya padaku, “Apakah kamu mendengar ayahmu menceritakan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang waktu (mustajab doa) pada Hari Jumaat?”

قُلْتُ: نَعَمْ، سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ.

(Abu Burdah) menjawab, “Ya, aku mendengar ayahku berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Waktu itu ialah antara duduknya imam (di antara dua khutbah) sehinggalah selepas solat”.”[3]

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah mencari ruang antara masa khatib duduk di antara dua khutbah sehingga selesai solat untuk berdoa. Amalan penulis, waktu yang dapat dimanfaatkan untuk berdoa adalah ketika khatib duduk di antara dua khutbah dan selepas iqamat, yakni ketika imam menunggu para jemaah memenuhi dan meluruskan saf-saf solat.

Sayang sekali di kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, waktu khatib duduk di antara dua khutbah diganggu oleh bilal bagi melaungkan selawat dan menyanyikan doa “Ya Allah, rahmatilah hari Jumaat…” secara kuat menggunakan pembesar suara. Sepatutnya bilal diam, memberi peluang kepada setiap jemaah berdoa apa yang masing-masing inginkan.

Memang, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat. Namun anjuran ini merujuk kepada seluruh hari Jumaat. Adapun waktu duduknya khatib di antara dua khutbah, maka yang dianjurkan oleh Rasulullah sebagaimana hadis di atas adalah berdoa. Bukan bilal berdoa untuk semua jemaah, tetapi setiap jemaah mendoakan apa yang masing-masing inginkan.

Justeru penulis menasihatkan para pembaca sekalian mengabaikan laungan selawat dan nyanyian doa oleh bilal. Sebaliknya manfaatkanlah masa khatib duduk di antara dua khutbah untuk berdoa apa yang diingini.

Bagi mereka yang tidak wajib menghadiri solat Jumaat berjemaah, seperti kaum wanita, orang musafir dan orang sakit, mereka dapat mengetahui masa khatib duduk di antara dua khutbah sehingga selesai solat dengan menonton siaran langsung di TV. Bagi yang duduk berhampiran, mereka dapat mengetahui masa itu dengan mendengar aktiviti di dalam masjid dan surau. Jika tidak dapat mengetahui masa tersebut, maka manfaatkan berdoa pada akhir waktu Asar sebagaimana hadis seterusnya.

 

Hadis Kedua

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

يَوْمُ الْجُمُعَةِ ثِنْتَا عَشْرَةَ - يُرِيدُ - سَاعَةً، لَا يُوجَدُ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا، إِلَّا أَتَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ.

Hari Jumaat memiliki dua belas masa. Ada satu masa yang tidaklah seorang muslim meminta sesuatu kepada Allah 'Azza wa Jalla melainkan Allah 'Azza wa Jalla akan memberikan kepadanya. Maka carilah masa itu pada waktu-waktu akhir sesudah Asar.[4]

Hadis di atas menerangkan satu lagi waktu pada hari Jumaat yang Allah memakbulkan doa, yakni pada waktu-waktu akhir sesudah Asar. Maka jika waktu Maghrib ialah pukul 7.30 malam, maka perbanyakkanlah doa antara 6.30 petang hingga dilaungkan azan Maghrib.

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 883/935 (Kitab al-Jumu’ah, Bab satu waktu pada hari Jumaat).

[2]          Dalam kajian penulis, kebanyakan ilmuan mencenderungi hadis kedua sebagai lebih kuat bagi menerangkan waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat. Penulis berpandangan kedua-dua hadis patut diamalkan dan ia sebenarnya satu keluasan bagi umat Islam.

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1409/853 (Kitab al-Jumu’ah, Bab tentang satu waktu pada hari Jumaat).

[4]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 884/1048 (Kitab Tafriq Abwab al-Jumu’ah, Bab satu waktu yang dimakbulkan doa pada hari Jumaat). Syu’aib al-Arna’uth menilai isnadnya kuat (qawi) dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1048.