Jawapan:

Dibolehkan dan dianjurkan mengangkat kedua tangan untuk berdoa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ.

Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu apabila seseorang itu menadah kedua tangannya berdoa kepada-Nya lalu menurunkan kedua tangannya dalam keadaan kosong lagi tidak diperkenankan.[1]

Terdapat sebuah hadis yang sering disalah fahami dalam persoalan mengangkat kedua tangan untuk berdoa. Hadis tersebut adalah kenyataan Anas bin Malik radhiallahu 'anh,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا فِي الِاسْتِسْقَاءِ وَإِنَّهُ يَرْفَعُ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengangkat kedua tangannya dalam mana-mana doa baginda kecuali ketika doa meminta hujan. Ketika itu baginda mengangkat kedua tangan (sebegitu tinggi) sehingga kelihatan keputihan ketiaknya.[2]

Perkataan tidak dalam hadis sahih di atas memberi gambaran seolah-olah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengangkat kedua tangan dalam semua doanya. Namun gambaran ini adalah salah kerana dalam banyak hadis-hadis lain, baginda mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.

Sebenarnya perkataan tidak dalam hadis di atas bermaksud sesuatu yang melebihi kebiasaan. Umpama seseorang berkata, “Rizal tidak pernah makan seperti itu”. Ia bukan bermaksud Rizal tidak pernah makan seumur hidup, tetapi bermaksud Rizal tidak pernah makan sebanyak itu berbanding hari-hari biasa.

Justeru merujuk kepada kenyataan Anas bin Malik di atas, ia bermaksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengangkat kedua tangannya setinggi itu untuk berdoa sehingga ternampak keputihan ketiaknya, kecuali ketika doa meminta hujan. Selain itu pada kebiasaannya, baginda mengangkat kedua tangan sehingga ke paras bahu sahaja.

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3479/3556 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 973/1031 (Kitab al-Jumu’ah, Bab imam mengangkat tangannya ketika doa istisqa’).