Jawapan:

Ikhlas adalah gerak hati seseorang dan kita tidak boleh menilainya berdasarkan gerakan fizikal. Namun sering kali apa yang tergerak di hati akan tergerak juga di fizikal.

Justeru keikhlasan seseorang boleh menimbulkan keraguan apabila dia berdoa bagi mendapatkan sambutan hadirin di konsert-konsert selawat, acara TV reality show dan nyanyian-nyanyian nasyid seperti mana yang banyak berlaku akhir-akhir ini. Padahal doa adalah interaksi, rayuan, keluhan dan permintaan peribadi antara seorang hamba dan Allah ‘Azza wa Jalla yang dilakukan secara perlahan lagi tersembunyi. Firman Allah,

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً.

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan lagi tersembunyi. [al-A’raaf 7:55]

Keikhlasan seseorang juga boleh menimbulkan keraguan apabila dia menggayakan atau memperagakan aksi-aksi menadah kedua tangan berdoa di hadapan kamera atau para hadirin. Padahal berdoa menadah kedua tangan adalah sesuatu yang dipandang besar oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ.

Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu apabila seseorang itu menadah kedua tangannya berdoa kepada-Nya lalu menurunkan kedua tangannya dalam keadaan kosong lagi tidak diperkenankan.[1]

Di luar sana mungkin ada lagi beberapa contoh. Apa yang penting, kita berusaha mengikhlaskan doa kepada Allah dan menjauhi aksi-aksi atau acara-acara di mana keikhlasan orang yang berdoa boleh menimbulkan keraguan. Ingat! Keikhlasan dalam berdoa bukanlah satu pilihan atau anjuran, tetapi perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan firman-Nya,

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ...

Maka berdoalah kepada Allah dengan ikhlas beragama kepada-Nya… [al-Mu’min 40:14]

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3479/3556 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa Nabi).