Jawapan:

Para ilmuan berbeza pendapat tentang hadis-hadis yang menganjurkan doa pada “dubur solat”, apakah ia merujuk kepada masa sebelum memberi salam atau selepas memberi salam?

Penulis mencenderungi pendapat bahawa ia merujuk kepada masa sebelum memberi salam. Ini kerana dubur bermaksud sesuatu yang berada di hujung atau akhir tetapi masih berada dalam objeknya. Ia tidak berpisah atau menjadi berasingan. Contohnya apabila dikatakan dubur manusia, maka ia adalah organ yang berada di hujung atau akhir, tetapi masih berada dalam tubuh badan. Ia bukanlah organ yang berpisah atau berasingan.

Apabila dikatakan “dubur solat”, maka ia bergantung kepada dua keadaan. Pertama, jika disebut secara umum, maka ia merujuk kepada masa sebelum memberi salam.

Kedua, jika disebut bersama sesuatu petunjuk (qarinah), maka ia merujuk kepada masa yang sesuai dengan petunjuk tersebut. Contohnya jika ia disebut sebagai zikir, maka ia merujuk kepada masa selepas memberi salam, kerana zikir sememangnya disyari’atkan selepas solat. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ.

Maka apabila kalian telah selesai solat, maka berzikirlah kepada Allah baik ketika berdiri, duduk dan baring. [al-Nisa’ 4:103]

Contoh “dubur solat” disebut secara umum adalah hadis berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berwasiat kepada Mu’az bin Jabal radhiallahu 'anh,

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لَا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ تَقُولُ:

Aku wasiatkan kepada engkau wahai Mu’az, jangan tinggalkan doa ini di dubur setiap solat,

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada Kamu, bersyukur kepada Kamu dan memperbaiki ibadahku kepada Kamu.”[1]

“Dubur solat” yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah selepas bacaan tasyahud akhir dan sebelum memberi salam.

Contoh “dubur solat” dengan petunjuk bahawa ia bermaksud zikir selepas solat adalah hadis berikut, di mana Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan,

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالدَّرَجَاتِ وَالنَّعِيمِ المُقِيمِ.

Mereka (orang-orang miskin)[2] berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah memperolehi darjat (yang tinggi) dan nikmat kesenangan yang kekal.”

قَالَ: كَيْفَ ذَاكَ؟ قَالُوا: صَلَّوْا كَمَا صَلَّيْنَا، وَجَاهَدُوا كَمَا جَاهَدْنَا، وَأَنْفَقُوا مِنْ فُضُولِ أَمْوَالِهِمْ، وَلَيْسَتْ لَنَا أَمْوَالٌ.

Rasulullah bertanya, “Kenapakah demikian?” Orang-orang miskin itu menjawab, “Mereka (orang-orang kaya) solat sebagaimana kami solat, berjihad sebagaimana kami berjihad namun mereka bersedekah daripada kelebihan harta mereka sementara kami tidak memiliki harta (untuk disedekahkan).”

قَالَ: أَفَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَمْرٍ تُدْرِكُونَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، وَتَسْبِقُونَ مَنْ جَاءَ بَعْدَكُمْ، وَلاَ يَأْتِي أَحَدٌ بِمِثْلِ مَا جِئْتُمْ بِهِ إِلَّا مَنْ جَاءَ بِمِثْلِهِ؟ تُسَبِّحُونَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ عَشْرًا، وَتَحْمَدُونَ عَشْرًا، وَتُكَبِّرُونَ عَشْرًا.

Rasulullah bersabda, “Mahukah aku khabarkan kepada kalian satu amalan (yang jika kalian lakukan), akan mencapai (darjat) orang-orang sebelum kalian, mendahului (darjat) orang-orang sesudah kalian dan tidaklah seseorang dapat memperolehi seperti apa yang kamu perolehi melainkan orang-orang yang mengamalkan yang sama?

(Iaitu katakanlah) “Subhanallah” pada setiap dubur solat sepuluh kali, “Alhamdulillah” sepuluh kali dan “Allahu Akbar” sepuluh kali.”[3]

Hadis ini berbicara tentang zikir, maka ia menjadi petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan “dubur solat” ialah membacanya selepas memberi salam. Contoh lain, al-Mughirah bin Syu’bah radhiallahu 'anh pernah menulis surat kepada Mu’awiyah bin Abu Sufyan radhiallahu 'anh,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا سَلَّمَ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berkata dalam dubur setiap solat, apabila telah memberi salam,

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ،

“Tiada tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa.

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ.

Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halang. Tiada manfaat bagi pemilik kekayaan kerana daripada Engkaulah segala kekayaan.”[4]

Hadis ini berbicara tentang zikir, maka ia menjadi petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan “dubur solat” ialah membacanya selepas memberi salam. Contoh lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ مَكْتُوْبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُوْلِ الجَنَّةِ اِلاَّ اَنْ يَمُوْتَ

Sesiapa membaca ayat Kursi setiap dubur solat fardhu, tidak ada yang menghalanginya daripada masuk surga melainkan kematiannya.[5]

Hadis ini berbicara tentang membaca Ayat al-Kursi, maka ia menjadi petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan “dubur solat” ialah membacanya selepas memberi salam. Ini kerana sama-sama diketahui bahawa Ayat al-Kursi tidak dibaca dalam tasyahud akhir solat.

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1301/1522 (Kitab al-Sholat, Bab tentang istighfar).

[2]          Berdasarkan lafaz lain yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 798/843 (Kitab al-Azan, Bab zikir selepas solat).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5854/6329 (Kitab al-Da’awat, Bab doa setelah solat).

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5855/6330 (Kitab al-Da’awat, Bab doa setelah solat).

            Menarik untuk diperhatikan bahawa al-Bukhari rahimahullah menyusun sebuah bab khas dalam kitab Shahihnya berjudul “Doa setelah solat” lalu meletakkan dua buah hadis sebagaimana yang dikemukakan di atas. Namun kedua-dua hadis itu berbicara tentang berzikir selepas solat. Seolah-olah al-Bukhari memberi isyarat bahawa yang menjadi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam selepas solat-solat fardhu adalah berzikir dan bukannya berdoa. Berbeza pula dalam bab “Doa dalam solat”, al-Bukhari meletakkan hadis-hadis berkenaan bacaan doa dalam solat.

            Perbandingkan dengan keterangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah ketika mensyarahkan bab “Doa selepas solat” dalam kitabnya Fath al-Bari.

[5]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam al-Sunan al-Kubra, hadis no.: 9848 dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 972.