Jawapan:

Ini adalah soalan yang bagus memandangkan Solat Hajat adalah amalan masyhur di kalangan masyarakat Malaysia. Dalil bagi Solat Hajat ialah hadis berikut daripada ‘Utsman bin Hunaif radhiallahu 'anh. Hadis ini masyhur disebut sebagai “Hadis Orang Buta”. ‘Utsman bin Hunaif menceritakan,

أَنَّ رَجُلًا ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي.

Bahawa seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam seraya berkata, “Berdoalah kepada Allah agar aku disembuhkan.”

قَالَ: إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ.

Baginda bersabda, “Jika kamu mahu, aku akan mendoakanmu. Namun jika kamu mahu, bersabarlah kerana itu lebih baik bagimu.”

قَالَ: فَادْعُهْ.

Lelaki tersebut berkata: “Doakanlah.”

قَالَ: فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:

‘Utsman bin Hunaif berkata, maka baginda menyuruh lelaki itu berwudhu’ dan membaguskan wudhu’nya (serta solat dua rakaat) lalu berdoa dengan doa berikut ini,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ.

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhanku dalam hajatku ini supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”[1]

Selain al-Tirmizi, hadis ini turut dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam kitab Sunannya, hadis no.: 1375/1385 dan beliau meletakkannya di bawah judul Kitab Mendirikan Solat dan Sunnah Yang Ada Dalamnya, Bab Tentang Solat Hajat. Penamaan ini menunjukkan “Solat Hajat” sudah dikenali sejak zaman awal umat Islam (al-Salaf al-Soleh). Penjelasan ini adalah perlu memandangkan ada segelintir orang yang menafikan kewujudan “Solat Hajat”.

Maka berdasarkan hadis Orang Buta di atas, sesiapa yang memiliki hajat bolehlah berwudhu’ dengan sebaik-baik wudhu’ dan kemudian melaksanakan solat dua rakaat. Sama ada bagi Solat Hajat mahupun bagi mana-mana ibadah lain, tidak perlu melafazkan niat kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala mengetahui ibadah yang anda lakukan. Solatlah dua rakaat sebagaimana solat-solat sunat yang lain, tidak ada apa-apa bacaan surah atau zikir yang khas.

Selesai solat maka berdoalah dengan doa ini,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ.

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhanku dalam hajatku ini supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”

Jika tidak setuju dengan doa ini[2] atau tidak menghafalnya, maka boleh menyusun lafaz doa sendiri.

Selain itu jika dicermati hadis Orang Buta di atas, perhatikan bahawa ia dilaksanakan secara berseorangan. Rasulullah, ‘Utsman bin Hunaif dan lain-lain sahabat yang hadir ketika itu tidak solat bersama. Ini menunjukkan bahawa Solat Hajat dilaksanakan secara berseorangan, bukan secara berjemaah sepertimana yang lazim diamalkan di Malaysia. Demikian juga bagi doa setelah Solat Hajat, ia dibaca secara berseorangan, bukan secara berjemaah.

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: hadis no: 3502/3578 (Kitab al-Da’awat, Bab doa kepada tetamu). Ia juga dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3895. Tambahan dalam kurungan (serta solat dua rakaat) adalah riwayat al-Thabarani, rujukannya dalam notakaki seterusnya.

[2]          Ini kerana terdapat perbezaan pendapat dalam mengamalkan doa ini. Sila rujuk soalan Bolehkah Bertawassul Dengan Rasulullah?