Jawapan:

Secara umumnya dianjurkan mengangkat kedua tangan untuk berdoa kecuali dalam dua keadaan. Pertama, apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengangkat kedua tangan, seperti doa-doa yang merupakan zikir selepas solat, berselawat, doa sebelum masuk tandas, doa selepas wudhu’, doa sebelum hubungan seks suami dan isteri, doa selepas azan dan lain-lain. Dalam contoh-contoh di atas, Rasulullah mengajar atau membaca doa tanpa mengangkat kedua tangan. Maka dalam keadaan seperti ini, yang lebih utama ialah mengikuti baginda dengan turut tidak mengangkat kedua tangan.

Sebabnya, doa-doa tersebut lebih merupakan zikir kepada Allah sebelum atau selepas melakukan sesuatu aktiviti. Ia bukan permintaan atau rayuan kepada Allah bagi sesuatu hajat atau masalah yang dimiliki oleh seseorang.

Contohnya Tsauban radhiallahu 'anh menerangkan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ.

Biasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila selesai solat akan beristighfar tiga kali dan kemudian membaca, “Ya Allah, Engkaulah al-Salam, daripada Engkaulah segala keselamatan, Maha Berkat Engkau yang memiliki segala Kebesaran dan Kemuliaan.”[1]

Apa yang Rasulullah baca selepas beristighfar tiga kali ialah satu doa, namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya. Contoh lain, al-Mughirah bin Syu’bah radhiallahu 'anh berkata,

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا قَضَى الصَّلَاةَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata apabila selesai solat, “Tiada tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa.

Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halang. Tiada manfaat bagi pemilik kekayaan kerana daripada Engkaulah segala kekayaan.”[2]

Rangkap kedua daripada apa yang dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas adalah satu doa, namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya. Contoh lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

لَوْ أَنَّ أَحَدَهُمْ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْتِيَ أَهْلَهُ قَالَ: بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذَلِكَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْطَانٌ أَبَدًا.

Jika salah seorang kalian apabila mendatangi isterinya (untuk membuat hubungan seks) membaca, “Dengan nama Allah, Ya Allah jauhilah kami daripada syaitan dan jauhilah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kami”, maka sesungguhnya jika di antara mereka berdua ditakdirkan mendapat anak daripada hubungan itu, tidaklah syaitan akan dapat memudaratkan anak itu selama-lamanya.[3]

Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar doa yang patut dibaca sebelum hubungan seks suami dan isteri. Perhatikan bahawa baginda tidak menyuruh suami atau isteri mengangkat kedua tangan bagi membacanya.

Kedua, apabila terdapat halangan bagi mengangkat kedua tangan. Maka dibolehkan berdoa dengan sebelah tangan sahaja atau tanpa mengangkat kedua tangan. Contohnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa dengan sebelah tangan sahaja kerana tangan yang lain baginda gunakan bagi mengambil tali kekang haiwannya yang jatuh. Usamah bin Zaid radhiallahu 'anh berkata,

كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَرَفَعَ يَدَيْهِ يَدْعُو فَمَالَتْ بِهِ نَاقَتُهُ فَسَقَطَ خِطَامُهَا فَتَنَاوَلَ الْخِطَامَ بِإِحْدَى يَدَيْهِ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَهُ الْأُخْرَى.

Aku pernah membonceng (di belakang) Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di Arafah, baginda mengangkat kedua tangan dan berdoa. Kemudian untanya condong ke sebelah dan tali kekangnya jatuh, maka baginda mengambil tali kekang itu dengan salah satu tangannya sedang tangannya yang lain masih terangkat (berdoa).[4]

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 931/591 (Kitab al-Masajid wa al-Mawadhi’i al-Sholat, Bab disukai berzikir selepas solat dan penjelasan sifatnya).

[2]       Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 934/593 (Kitab al-Masajid wa al-Mawadhi’i al-Sholat, Bab disukai berzikir selepas solat dan penjelasan sifatnya).

[3]       Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 2591/1434 (Kitab al-Nikah, Bab apa yang disukai dibaca saat bersetubuh).

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 2961/3011 (Kitab Manasik al-Haj, Bab mengangkat kedua tangan apabila berdoa di Arafah).