Jawapan:

Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu ibadah – seperti berdoa – kepada Allah semata-mata tanpa apa-apa pengaruh daripada makhluk, baik positif mahupun negatif. Contoh pengaruh positif adalah seseorang berdoa kerana mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang lain. Contoh pengaruh negatif adalah seseorang itu berdoa selepas solat kerana bimbang “Apa pula kata orang jika aku tidak berdoa selepas solat!”

Dalil ikhlas dalam berdoa adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

Maka berdoalah kepada Allah dengan ikhlas beragama kepada-Nya, meskipun ia dibenci oleh orang-orang kafir. [al-Mu’min 40:14]

Maksudnya berdoalah kepada Allah secara ikhlas kerana doa itu termasuk dalam ajaran agama Islam yang diredai Allah. Usah terpengaruh dengan sikap orang-orang kafir yang akan menunjukkan kebencian mereka apabila melihat anda berdoa.

Dalam sebuah ayat lain Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ حَتَّى إِذَا كُنْتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِمْ بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا بِهَا جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنْجَيْتَنَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ.

Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak yang menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya;

Pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan ikhlas beragama kepada-Nya (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! Jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami daripada bahaya ini, nescaya kami menjadi orang-orang yang bersyukur. [Yunus 10:22]