Jawapan:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ.

Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan Allah dengan bersabar dan (mendirikan) solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. [al-Baqarah 2:153]

Ayat ini menunjukkan bahawa solat adalah waktu yang baik untuk berdoa. Bilakah waktu-waktu tersebut apabila dikaitkan dengan solat? Berikut diberikan perinciannya.

 

Pertama: Ketika Azan

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ، أَوْ قَلَّمَا تُرَدَّانِ الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَعِنْدَ الْبَأْسِ حِينَ يُلْحِمُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا.

Dua saat tidak ditolak doa atau jarang-jarang ditolak doa, iaitu ketika azan dilaungkan dan ketika perang memuncak, saat kedua-dua pasukan (muslim dan kafir) saling bertembung.[1]

Berdasarkan hadis di atas, antara masa terbaik untuk berdoa adalah ketika azan dilaungkan. Caranya ialah berdoa di antara lafaz-lafaz azan. Memandangkan tempoh masa di antara lafaz-lafaz azan adalah singkat dan kita pula disunnahkan menjawab setiap lafaz azan itu, maka bacalah doa-doa yang pendek sahaja. Contohnya apabila muazin (tukang azan) menyebut, “Allahu Akbar, Allahu Akbar”, kita menjawab, “Allahu Akbar, Allahu Akbar”, kemudian berdoalah apa-apa yang ringkas seperti “Ya Allah, ampunilah aku” atau “Ya Allah, lapangkanlah rezekiku” atau “Ya Allah, sembuhkanlah ibuku”.

Kedua: Di Antara Azan Dan Iqamat

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

الدُّعَاءُ لَا يُرَدُّ بَيْنَ الأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ، فَادْعُوا.

Doa di antara azan dan iqamah tidak ditolak,[2] maka berdoalah.[3]

Oleh itu selain melaksanakan solat sunat qabliah, manfaatkanlah masa yang ada di antara azan dan iqamat untuk berdoa kerana ia merupakan masa yang dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Ketiga: Ketika Sujud

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ، وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.

Kedudukan paling hampir seorang hamba kepada Tuhan-nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud).[4]

Dalam sebuah hadis lain baginda bersabda,

أَلَا وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا، فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ، وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ، فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ.

Ketahuilah sesungguhnya aku dilarang daripada membaca al-Qur’an ketika rukuk atau sujud. Oleh itu adapun ketika rukuk, maka agungkanlah Tuhan 'Azza wa Jalla sementara ketika sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana (doa ketika sujud) memang layak dikabulkan kepada kalian (oleh Allah).[5]

Merujuk kepada hadis-hadis di atas, amat dianjurkan berdoa ketika sujud. Di sini ada beberapa perkara yang memerlukan perhatian:

  • Hadis-hadis di atas menyebut kedudukan sujud secara umum, bererti dianjurkan berdoa apabila sujud pada mana-mana rakaat. Ia tidak terbatas kepada sujud terakhir pada rakaat terakhir.
  • Apabila solat berjemaah, hendaklah mengangkat kepala daripada sujud apabila imam mengangkat kepala daripada sujud. Tidak boleh menyelishi imam dengan memanjangkan sujud untuk berdoa. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ.

Sesungguhnya dijadikan imam hanyalah untuk diikuti.[6] Justeru bagi orang yang solat berjemaah, dia boleh memanjangkan sujud bagi memperbanyakkan doa ketika solat sunat qabliyah dan ba’diyah, atau mana-mana solat sunat yang lain.

  • Apabila berdoa ketika sujud, boleh menyebut dan membacanya secara perlahan (sirr) jika ia dalam bahasa Arab. Namun jika berdoa ketika sujud dalam bahasa selain Arab, hendaklah membacanya dalam hati sahaja.
  • Boleh membaca doa-doa daripada al-Qur’an ketika sujud. Ini kerana orang yang membacanya, dia membaca sebagai sebuah doa dan bukannya sebagai tilawah al-Qur’an yang dimaksudkan oleh hadis, Ketahuilah sesungguhnya aku dilarang daripada membaca al-Qur’an ketika rukuk atau sujud.

 

Keempat: Di Penghujung Solat

Dianjurkan berdoa ketika di penghujung solat, maksudnya selepas membaca tasyahud akhir dan sebelum memberi salam. Terdapat banyak hadis di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan doa, mengajar doa dan membaca doa ketika di penghujung solat. Demikian juga yang diamalkan oleh para sahabat baginda, radhiallahu 'anhum. Berikut sebahagian daripadanya.

Abu Umamah radhiallahu 'anh berkata,

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ؟ قَالَ:

Dikatakan, “Wahai Rasulullah, bilakah doa yang paling didengar (oleh Allah)?” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab,

جَوْفَ اللَّيْلِ الآخِرِ، وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ المَكْتُوبَاتِ.

“Di pertengahan akhir malam dan di penghujung solat-solat fardhu.”[7]

‘Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu 'anh berkata,

كُنَّا إِذَا كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الصَّلاَةِ، قُلْنَا: السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ مِنْ عِبَادِهِ، السَّلاَمُ عَلَى فُلاَنٍ وَفُلاَنٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

Lazimnya kami, apabila kami bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam solat, kami mengucapkan, “Salam kepada Allah daripada para hamba-Nya, salam kepada fulan dan fulan.” Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

لاَ تَقُولُوا السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ، وَلَكِنْ قُولُوا:

Janganlah berkata, “Salam ke atas Allah” kerana sesungguhnya Allah, Dia-lah al-Salam. Sebaliknya berkatalah,

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ.

“Segala penghormatan, keberkatan dan kebaikan bagi Allah. Salam, rahmat dan keberkatan Allah kepada engkau wahai Nabi. Salam ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمْ أَصَابَ كُلَّ عَبْدٍ فِي السَّمَاءِ أَوْ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ.

Ini kerana sesungguhnya jika kalian mengucapkan seperti itu, ia merujuk kepada setiap hamba di langit, atau di antara langit dan bumi.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

(Kemudian ucapkanlah), “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.”

ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ، فَيَدْعُو.

Kemudian dia memilih daripada doa-doa yang menakjubkan kepada dirinya sendiri, maka berdoalah.[8]

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ (إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ) فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ (فِتْنَةِ) الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ. ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ.

Apabila seseorang kalian telah membaca tasyahud (dalam riwayat lain: Apabila seseorang kalian selesai membaca tasyahud akhir), maka mintalah perlindungan Allah daripada empat perkara, (1) daripada azab neraka jahannam, (2) daripada azab kubur, (3) daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan (4) daripada keburukan (fitnah) al-Masih al-Dajjal.

Kemudian dia berdoa bagi dirinya dengan apa yang dia sukai baginya.[9]

Sa’ad bin Abi Waqash radhiallahu 'anh berkata,

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْهُنَّ دُبُرَ الصَّلاَةِ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berlindung daripada hal berikut di penghujung solat (dengan berdoa),

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut, dan aku berlindung kepada Engkau daripada dikembalikan kepada umur yang menghinakan[10], dan aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah dunia dan dan aku berlindung kepada Engkau daripada azab kubur.”[11]

‘Ali bin Abi Thalib ketika menerangkan bacaan-bacaan solat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata,

ثُمَّ يَكُونُ مِنْ آخِرِ مَا يَقُولُ بَيْنَ التَّشَهُّدِ وَالتَّسْلِيمِ:

Kemudian pada akhirnya di antara bacaan tasyahud dan memberi salam, baginda mengucapkan,

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ.

“Ya Allah, ampunilah bagiku apa yang telah berlalu dan apa yang akan datang, apa yang tersembunyi dan apa yang nyata, apa yang melampaui dan apa yang Engkau sahaja lebih mengetahui tentangnya daripada aku, Engkaulah yang Terdahulu dan yang Terakhir, tidak ada tuhan melainkan Engkau.”[12]

Abu Bakrah radhiallahu 'anh berkata,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa di penghujung setiap solat,

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kekafiran, kefakiran dan azab kubur.”[13]

Abu Bakar radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلاَتِي، قَالَ: قُلْ:

Ajarkanlah kepadaku doa yang dapat aku berdoa dengannya dalam solatku.[14] Rasulullah menjawab, berdoalah,

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi Engkau dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[15]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berwasiat kepada Mu’az bin Jabal radhiallahu 'anh,

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لَا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ تَقُولُ:

Aku wasiatkan kepada engkau wahai Mu’az, jangan tinggalkan doa ini di penghujung setiap solat,

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada Kamu, bersyukur kepada Kamu dan memperbaiki ibadahku kepada Kamu.”[16]

Abu Hurairah radhiallahu 'anh, berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada seorang lelaki,

مَا تَقُولُ فِي الصَّلَاةِ؟

“Apakah yang kamu bacakan dalam solat?”

قَالَ: أَتَشَهَّدُ، ثُمَّ أَسْأَلُ اللَّهَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوذُ بِهِ مِنَ النَّارِ، أَمَا وَاللَّهِ مَا أُحْسِنُ دَنْدَنَتَكَ، وَلَا

دَنْدَنَةَ مُعَاذٍ.

Lelaki itu menjawab, “Aku membaca tasyahud. Kemudian aku (berdoa) meminta kepada Allah syurga dan aku berlindung kepada-Nya daripada neraka. Demi Allah! Tidaklah aku (dapat berdoa) sebaik kumat kamit[17] kamu dan tidak juga kumat kamit Mu’az (bin Jabal).”

فَقَالَ: حَوْلَهَا نُدَنْدِنُ.

Maka Rasulullah menjawab, “Kumat kamit kami adalah sekitar itu juga.”[18]

Demikian beberapa hadis di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan doa, mengajar doa dan membaca doa ketika di penghujung solat, yakni selepas membaca tasyahud akhir dan sebelum memberi salam.

Merujuk kepada hadis-hadis di atas, ada beberapa perkara yang memerlukan perhatian:

  • Apabila solat berjemaah, hendaklah memberi salam apabila imam memberi salam. Tidak boleh menyelishi imam dengan memanjangkan duduk tasyahud akhir[19] untuk berdoa. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ.

Sesungguhnya dijadikan imam hanyalah untuk diikuti.[20] Justeru bagi orang yang solat berjemaah, dia boleh memanjangkan duduk tasyahud akhir bagi memperbanyakkan doa ketika solat sunat qabliyah dan ba’diyah, atau mana-mana solat sunat yang lain.

  • Apabila berdoa selepas membaca tasyahud akhir dan sebelum memberi salam, boleh menyebut dan membacanya secara perlahan (sirr) jika ia dalam bahasa Arab. Namun jika berdoa dalam bahasa selain Arab, hendaklah membacanya dalam hati sahaja.

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 2178/2540 (Kitab al-Jihad, Bab doa ketika bertemu musuh).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis Anas adalah hadis yang hasan.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 196/212 (Kitab Abwabu al-Sholat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan tidak ditolak doa antara azan dan iqamat).

[3]          Sahih: Tambahan “maka berdoalah” dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 12584.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 744/482 (Kitab al-Sholat, Bab apa yang diucap ketika rukuk dan sujud).

[5]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 738/479 (Kitab al-Sholat, Bab apa yang diucap ketika rukuk dan sujud).

[6]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 648/689 (Kitab al-Adzan, Bab dijadikan imam hanya untuk diikuti).

[7]          Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3421/3499 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab menghitung tasbih dengan tangan). Dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no.: 1648, al-Albani menjelaskan bahawa hadis ini sanadnya dha’if tetapi matannya memiliki beberapa penguat sehingga dapat diangkat ke darjat hasan.

Kelemahan sanad hadis terletak pada lafaz akhir “dan di penghujung solat-solat fardhu” sebagaimana jelas Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3806.

[8]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 791/835 (Kitab al-Azan, Bab memilih doa tertentu selepas bacaan tasyahud dan ianya tidaklah wajib). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5853/6328 (Kitab al-Da’awat, Bab doa dalam solat)

[9]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1293/1310 (Kitab al-Sahwi, Bab meminta perlindungan dalam solat).

Lafaz dalam kurungan dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 899/909 (Kitab al-Iqamat al-Sholah wa Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas bacaan tasyahud dan selawat ke atas Nabi).

[10]         Maksudnya ketika tua kelak, agar akal fikiran tidak menjadi nyanyuk dan fizikal tidak menjadi kotor seperti membuang air kecil dan air besar tanpa kawalan.

[11]         Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 2610/2822 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab berlindung daripada sifat pengecut).

[12]         Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1290/771 (Kitab Sholat al-Musafirin wa Qasriha, Bab doa dalam solat malam dan perlaksanaannya).

[13]         Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai kuat (qawi) oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 20409.

[14]         Maksudnya dalam solat, sebelum memberi salam. Ini berdasarkan nama bab yang diberikan oleh al-Bukhari untuk hadis ini.

[15]         Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 790/834 (Kitab al-Azan, Bab doa sebelum salam).

[16]         Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1301/1522 (Kitab al-Sholat, Bab tentang istighfar).

[17]         Maksudnya dia dapat mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membaca beberapa doa dalam solat sebelum salam, tetapi tidak dapat menangkap lafaz doa itu sehingga tidak dapat membaca doa yang sama.

[18]         Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 900/910 (Kitab al-Iqamat al-Sholah wa Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas bacaan tasyahud dan selawat ke atas Nabi).

[19]         Istilah sebenar, duduk tawaruk.

[20]         Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 648/689 (Kitab al-Adzan, Bab dijadikan imam hanya untuk diikuti).