Jawapan:

Ya, doa adalah ibadah sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ.

Doa adalah ibadah.[1]

Bahkah ia merupakan ibadah yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala,

لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنْ الدُّعَاءِ.

Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala berbanding doa.[2]

Doa menjadi ibadah yang paling mulia kerana ketika berdoa, seorang hamba itu berusaha menghadirkan hati, menumpukan fokus, merendahkan diri, merasakan kedekatan, berasa cemas lagi takut namun tetap berharap lagi yakin kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Doa sebagai ibadah memiliki beberapa kesan, seperti mana juga ibadah solat, puasa dan haji, iaitu:

  • Ikhlas.
  • Membuat persiapan sebelum berdoa.
  • Menepati syarat-syarat.
  • Tidak membuat bid’ah, yakni ubah suai atau rekaan yang baru.

Perkara-perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam soalan-soalan yang akan datang, insyaAllah.


 

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3294/3372 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).

[2]           Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3292/3370 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).