Kandungan
  Tohmahan: 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11   Penutup   Rujukan

 

TOHMAHAN KELAPAN:

Al-Albani Banyak Membuat Kesilapan Dan Percanggahan Dalam Penilaian Darjat Hadis.

 

Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 9, Al-Ghari menuduh Al-Albani membuat penilaian yang salah terhadap hadith berkenaan kelebihan membaca Surah Al-Kahf pada malam Jumaat. Al-Ghari melihat penilaian Al-Albani itu sebagai tidak betul kerana hadith tersebut telah diriwayatkan oleh para ulama hadith muktabar seperti Al-Hakim, An-Nasai, Al-Baihaqi dan At-Tabrani.

Manakala dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10 pula, Al-Ghari menuduh Al-Albani sebagai tokoh kontradik dalam kajian hadith kerana kononnya beliau banyak mensahihkan hadith dhaif dan mendhaifkan hadith sahih.

 

 

 

 

PENJELASAN:
 

Pertama: Pengenalan Ringkas Kepada Al-Albani.
Kedua: Hadith Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik Oleh Al-Ghari.
Ketiga: Kekeliruan Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat Membaca Surah al-Kahf.
Keempat: Benarkah Penilaian Al-Albani Sering Saling Bercanggah?

 

 

 

Pertama:         Pengenalan Ringkas Kepada Al-Albani.

            Al-Albani rahimahullah merupakan seorang tokoh ulama hadith yang berwibawa sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘muhaddith kurun kedua puluh masehi’. Bahkan ada yang menyifatkannya sebagai setaraf dengan al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah yang dikatakan ‘jarang dilahirkan oleh rahim wanita’. Berkat kegigihan dan kesabarannya mengkaji hadith, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 224 buah karya ilmiah, sama ada dalam bentuk karya asli, tahqiq, taliq (ulasan), takhrij (mencari, menganalisa dan menilai status hadith) atau talkhis (ringkasan)[1]. Di antara karya beliau ada yang saiznya mencecah puluhan jilid, seperti Mujam Al-Hadith An-Nabawi (40 jilid) dan Silsilah Al-Hadith Ad-Daifah Wa Al-Maudu’ah (15 jilid).

            Telah menjadi tradisi ilmu, bahawa sebarang karya ilmiah yang dihasilkan oleh seseorang tokoh berwibawa pasti mendapat maklum balas daripada pembacanya, sama ada dalam bentuk kritikan positif atau pun negatif. Jika tokoh sehebat Al-Bukhari At-Tarmizi dan Al-Ghazali pun masih tetap dikritik oleh para ulama seperti Ad-Daraqutni, Ibn Hazm dan Al-‘Iraqi, maka tidak hairanlah jika Al-Albani juga menerima kritikan daripada para ilmuan yang lain.

Berdasarkan keseluruhan karyanya, Al-Albani dilihat telah menelusuri metod standard ulama hadith dalam kajiannya terhadap hadith. Semua rujukan dan pengkaedahan yang diaplikasikan oleh beliau adalah menepati rujukan dan pengkaedahan yang muktabar. Namun, bak kata pepatah ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan’ dan ‘lautan mana yang tidak bergelora’, maka demikianlah juga dengan Al-Albani. Sebab itulah beliau sangat mengalu-alukan sebarang kritikan daripada para pembaca kitab-kitabnya, sekiranya kritikan itu lahir daripada kajian yang benar dan jujur.

 

Kedua:             Hadith Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik Oleh Al-Ghari.

            Dalam konteks kritikan Al-Ghari, ia dilihat tidak lahir daripada kajian yang benar dan jujur, kerana terdapat unsur-unsur pengkhianatan yang jelas dalam kritikan tersebut.  Matan (lafaz) hadith berkenaan fadilat membaca surah Al-Kahf (lazim juga disebut sebagai surah al-Kahfi) pada hari atau malam Jumaat yang terdapat dalam kitab-kitab sumber hadith adalah berbeza-beza antara sesebuah kitab dengan sebuah kitab yang lain. Sebahagian dari matan itu dinilai sebagai palsu oleh para ulama, manakala sebahagian yang lain dinilai sebagai sahih, bergantung kepada perbezaan yang terdapat pada setiap matan tersebut. Antara matan yang dinilai sebagai palsu berbunyi:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أعطي نورا من حيث قرأها إلى مكة وغفر له إلى يوم الجمعة الأخرى وفضل ثلاثة أيام (وصلى عليه سبعون ألف ملك حتى يصبح وعوفي من الداء والدبيلة وذات الجنب والبرص والجذام والجنون وفتنة الدجال).

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat akan diberi cahaya dari tempat dia baca sehingga ke Makkah dan diampunkan bagi (dosa)nya sehingga hari Jumaat yang lain beserta tambahan tiga hari, (akan bersalawat ke atasnya tujuh puluh ribu para malaikat sehingga subuh dan dia akan diselamatkan daripada penyakit, malapetaka, sakit rusuk, (penyakit) sopak, (penyakit) kusta, kegilaan dan fitnah Dajjal)”.

Matan ini dinilai sebagai palsu oleh ulama pentahqiq hadith seperti As-Suyuti (911H)[2], Ibn Arraq (963H)[3], Muhammad Tahir Al-Fatni (986H)[4], Asy-Syaukani (1250H)[5] dan Al-Jubri Al-Misri[6]. Setakat kajian yang dibuat, tidak dijumpai penilaian Al-Albani terhadap hadith berkenaan sebagai palsu, yang ada ialah penilaian beliau setakat dhaif jiddan sahaja. Matan yang dinilai oleh Al-Albani sebagai dhaif jiddan ini adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة فهو معصوم إلى ثمانية أيام من كل فتنة تكون فإن خرج الدجال عصم منه.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka dia akan terselamat selama lapan hari daripada setiap fitnah yang berlaku dan jika keluar Dajjal dia akan terselamat daripada (fitnah)nya”[7].

Al-Albani menilai dhaif jiddan matan hadith ini kerana dua faktor:

I.        Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ibrahim Ibn Abd Allah Ibn Ayyub Al-Mukharrami yang distatuskan oleh Ad-Daraqutni sebagai tidak thiqah selain dia juga banyak meriwayatkan hadith batil (palsu) melalui perawi-perawi thiqah.

II.     Matan ini dilihat bercanggah dengan matan lain yang diriwayatkan melalui sanad yang sahih. Dalam konteks ini Al-Albani berkata (maksudnya): “Dan sesungguhnya telah sahih hadith ini melalui jalan sanad lain daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anh, tanpa menyebut bilangan lapan hari”[8].

Selain daripada matan ini, Al-Albani juga telah menilai dhaif satu lagi riwayat dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة سطع له نور من تحت قدمه إلى عنان السماء يضيء له يوم القيامة وغفر له ما بين الجمعتين.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, dipancarkan baginya cahaya dari bawah tapak kakinya sehingga ke puncak langit, ia meneranginya pada hari Kiamat serta diampunkan dosanya antara dua Jumaat”[9].

Riwayat ini dinilai dhaif oleh beliau kerana dua sebab juga:

I.        Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid Ibn Said Ibn Abi Maryam yang berstatus majhul al-Hal ( tidak diketahui status keadilannya).

II.     Ia dilihat bercanggah dengan matan sahih riwayat Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhum.

Riwayat sahih daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhum itu telah dikemukakan oleh Al-Albani dalam kitabnya Silsilah As-Sahihah dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف كما أنزلت كانت له نورا يوم القيامة من مقامه إلى مكة ومن قرأ عشر آيات من آخرها ثم خرج الدجال لم يضره...

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf sebagaimana ia diturunkan, (nescaya) baginya cahaya pada hari Kiamat dari tempatnya sehingga ke Makkah, dan sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhirnya kemudian keluar Dajjal, (nescaya) dia tidak akan memudaratkannya…”[10].

  

 

Ketiga:             Kekeliruan Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat Membaca Surah al-Kahf.

            Setelah dirujuk kepada kitab-kitab sumber hadith yang disebut oleh Al-Ghari, maka di dapati hadith tersebut terdapat dalam Mustadrak Al-Hakim adalah dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempoh) dua Jumaat” [11].

Dalam Sunan Al-Baihaqi pula matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بينه وبين البيت العتيق.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempat)nya dan Bait Al-Atiq (Kaabah)”[12].

Dalam Al-Mu’jam Al-Ausat matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور إلى يوم القيامة من مقامه إلى مكة.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya sehingga hari Kiamat dari tempatnya hingga ke Makkah”[13].

Manakala dalam Sunan An-Nasai Al-Kubra pula matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف كما أنزل ثم أدركه الدجال لم يسلط عليه أو لم يكن له عليه سبيل ومن قرأ سورة الكهف كان له نورا من حيث قرأها ما بينه وبين مكة.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia sempat (hidup pada zaman) Dajjal (nescaya) dia tidak akan dapat menguasainya atau tidak ada jalan untuk dia menguasainya. Dan sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi dia akan mendapat cahaya dari tempat dia baca antara dia dan Makkah”[14].

Kesemua sanad hadith riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi, At-Tabrani dan An-Nasai bertemu pada perawi bernama Abu Hashim Ar-Rajai yang menerima riwayat daripada Abu Mijlaz, daripada Qais Ibn Abbad, daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anh secara marfu, dan ia adalah sanad yang sahih. Justeru, Al-Albani sendiri telah menilai matan riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi sebagai sahih dalam kitabnya Irwa’ Al-Ghalil[15] dan Sahih At-Targhib Wa Tarhib[16].

Berdasarkan paparan ini, maka dapatlah disimpulkan perkara berikut:

I.        Riwayat An-Nasai sebenarnya terdapat dalam kitab beliau As-Sunan Al-Kubra yang kurang popular dan bukannya dalam kitab Sunan An-Nasai As-Sughra yang dikenali sebagai Al-Mujtaba, yang termasuk dalam kumpulan Kutub As-Sittah. Justeru cara Al-Ghari menyebut kitab itu dengan berpada setakat nama Sunan An-Nasai dilihat sebagai mengelirukan kerana orang akan menyangka ia adalah kitab Sunan An-Nasai As-Sughra yang popular dan bukannya As-Sunan Al-Kubra. Hal ini pun sudah cukup untuk menggambarkan kecuaian dan kecetekan ilmu beliau dalam berinteraksi dengan kitab-kitab sumber hadith.

II.     Al-Albani menilai hadith tersebut setakat dhaif atau daif jiddan sahaja dan beliau tidak pernah menilainya sebagai palsu. Perbezaan antara istilah-istilah itu boleh difahami dengan mudah oleh sesiapa saja yang mempelajari sedikit sebanyak istilah-istilah ilmu hadith. Maka tuduhan Al-Ghari bahawa Al-Albani menilainya sebagai palsu membuktikan pembohongan dan pengkhianatan Al-Ghari, sekali gus juga membuktikan kejahilan ultranya dalam bidang ilmu hadith.

III.   Jika dibandingkan matan dan sanad yang dinilai dhaif oleh Al-Albani dengan matan dan sanad yang dinilai sahih oleh beliau, maka didapati memang ada perbezaan pada kedua-duanya. Ini bermakna riwayat yang dinilai dhaif oleh Al-Albani adalah berlainan dengan riwayat yang dinilai sahih oleh beliau dan yang terdapat dalam kitab An-Nasai, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan At-Tabrani. Justeru di manakah letaknya kejujuran Al-Ghari dalam menuduh penilaian Al-Albani sebagai tidak betul, sedangkan penilaian itu dibuat berdasarkan sanad dan matan yang berbeza?  Jika diandaikan berlaku kesilapan pada Al-Albani dalam penilaiannya, maka kenapa kesilapan itu diletakkan pada beliau seorang sahaja sedangkan penilaian yang lebih berat telah dibuat oleh ramai pentahqiq hadith sebelum beliau seperti As-Suyuti, Asy-Syaukani dan Ibn Arraq?

 

 

Keempat:         Benarkah Penilaian Al-Albani Sering Saling Bercanggah?

Ketika mentohmah Al-Albani sebagai tokoh kontradik dalam kajian hadith, Al-Ghari langsung tidak membawa sebarang contoh bagi membuktikan tohmahannya itu, sebaliknya dia sekadar menyebut nama-nama individu yang pernah mengkritik kajian Al-Albani dalam kitab masing-masing, termasuklah nama gurunya As-Saqqaf. Sebenarnya, Al-Ghari tidak mampu membuat kritikan secara ilmiah terhadap kajian hadith yang dibuat oleh Al-Albani kerana beliau terlalu jahil dalam bidang berkenaan. Hakikat kejahilan beliau telah terbukti berulang kali dalam contoh-contoh yang telah dibincangkan sebelum ini. Di sebabkan kejahilan itu, beliau bergantung sepenuhnya kepada tulisan para pengkritik Al-Albani dan mengikut secara buta segala kritikan itu tanpa ada sebarang kemampuan untuk menilai kekuatan dan kelemahan kritikan tersebut, lebih-lebih lagi bila dia mendapati segala kritikan itu bersesuaian dengan nafsu jahat yang menguasai dirinya.

            Berdasarkan tinjauan penulis terhadap kritikan yang dibuat oleh para pengkritik Al-Albani, didapati kritikan tersebut terbahagi kepada dua bentuk:bentuk:

 

Bentuk Pertama:

Kesilapan yang tidak disengajakan, dan yang diperbetulkan segera oleh beliau setelah menyedarinya, sama ada melalui semakan sendiri atau pun melalui maklum balas daripada murid-murid dan para pembaca kitabnya. Pembetulan itu biasanya dibuat sama ada dalam edisi cetakan baru kitab berkenaan atau dalam mana-mana muqaddimah kitabnya yang hendak diterbitkan. Kesilapan jenis ini tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif, sebaliknya ia perlu dilihat dari sudut positif sebagai tabiat semula jadi manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi jika kesilapan itu segera diperbetulkan sebaik sahaja ia disedari. Dalam konteks ini Al-Albani berkata (maksudnya):

“Membetulkan kesilapan adalah satu kewajipan, dan ia telah menjadi amalan biasaku seperti yang diketahui oleh para pembaca kitabku…”[17].

Dalam kitabnya yang lain beliau berkata (maksudnya):

“Dan kadangkala aku mengubah penilaianku ke atas hadith yang telah lalu dengan satu penilaian lain setelah ternyata kepadaku ia adalah lebih tepat dan lebih rajah (kuat) …dan ini meskipun jarang berlaku, namun aku merasa perlu menyebutnya kerana dua sebab: Pertama, supaya tidak disalah anggap bahawa perubahan itu adalah kesilapan cetakan. Kedua, supaya diketahui oleh orang yang dikehendaki Allah untuk mengetahui, bahawa ilmu itu tidak menerima kejumudan, bahkan ia sentiasa berkembang daripada salah kepada betul, daripada sahih kepada lebih sahih dan seterusnya, dan juga supaya mereka mengetahui bahawa kami tidak degil mempertahankan kesilapan jika ia telah terbukti kepada kami”[18].

 

Bentuk Kedua:

Sesuatu fakta atau pendapat yang didakwa secara khianat oleh seseorang pengkritik sebagai suatu kesalahan, sedangkan pada hakikatnya ia adalah suatu kebenaran konkrit yang menepati pengkaedahan ilmu hadith itu sendiri. Orang yang dilihat paling banyak membuat kritikan jenis ini ialah As-Saqqaf[19] guru Al-Ghari sendiri, melalui kitabnya Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat. Untuk membuktikan kedurjanaan As-Saqqaf, diperturunkan di sini tiga contoh:

 

Contoh Pertama:

As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian yang bercanggah ke atas hadith riwayat Aisyah radhiallahu ‘anha yang bermaksud: “Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, Baginda tidak kencing melainkan sambil duduk”[20]As-Saqqaf mendakwa Al-Albani sebagai kontradik kerana kononnya telah menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih[21], tetapi menilainya semula sebagai sahih dalam Silsilah As-Sahihah[22]. Kritikan As-saqqaf itu dilihat sebagai bertujuan jahat kerana:

·         Buku Silsilah As-Sahihah diterbitkan hanya beberapa bulan selepas terbitnya buku Misykat Al-Masabih, manakala buku Tanaqudat As-Saqqaf itu pula diterbitkan tujuh tahun selepas terbitnya kedua-dua buku Al-Albani tersebut. Maka jika As-Saqqaf benar-benar jujur, dia seharusnya mengambil kira penjelasan yang dibuat oleh Al-Albani dalam bukunya yang terkemudian (Silsilah As-Sahihah) dan bukan yang terdahulu (Misykat Al-Masabih). Ini kerana pengkaedahan ilmu hadith telah menetapkan bahawa jika berlaku percanggahan pendapat daripada seorang ulama hadith yang sama, maka pendapatnya yang terkemudian dikira membatalkan pendapatnya yang terdahulu. 

·         Dalam bukunya Silsilah As-Sahihah, Al-Albani telah mengakui kesilapannya dalam buku yang terdahulu dan beliau telah menjelaskan secara terperinci bahawa kesilapan tersebut adalah disebabkan oleh dua perkara: Pertama, kerana beliau terikut-ikut dengan pendapat ulama terdahulu, seperti At-Tarmizi, Al-Iraqi dan As-Suyuti yang menilai hadith berkenaan sebagai dhaif[23]. Kedua, kerana beliau tidak sempat melakukan istiqsa’ (pengumpulan riwayat secara menyeluruh), disebabkan kelemahan logistic ekoran keadaan beliau yang sentiasa bermusafir pada masa itu.

·         Hakikat bahawa seseorang tokoh ulama berpegang dengan suatu pendapat pada suatu ketika dan kemudian menukar pendapatnya itu pada ketika yang lain dengan disertai pengakuan dan penjelasan terhadap faktor-faktor perubahan tersebut merupakan fenomena biasa yang sering berlaku terutama bagi mereka yang banyak berkarya.

Fenomena seumpama inilah yang menimbulkan istilah qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru) bagi Asy-Syafiie rahimahullah, dan fenomena inilah juga yang banyak berlaku pada pendapat Az-Zahabi rahimahullah dalam kitabnya Al-Kasyif dan Al-Mughni. Demikian juga Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah banyak menukar pendapatnya dalam At-Taqrib, Talkhis Al-Habir dan Fath Al-Bari disebabkan perubahan tahap kajian beliau dalam sesebuah kitab dengan sebuah kitabnya yang lain.

Meskipun pendapat yang terdahulu tetap dilihat sebagai satu kesilapan, namun dari kaca mata Islam pengakuan dan kejujuran dalam membaiki kesilapan yang tidak disengajakan adalah suatu sifat terpuji, lebih-lebih lagi jika ia dibuat hasil daripada penyemakan sendiri dan bukannya datang daripada mana-mana pengkritik. Justeru dalam konteks ini, Al-Albani sebenarnya telah melakukan kerja-kerja ilmiah yang terpuji lagi jujur.

            Dari sudut yang lain, dengan pembetulan itu Al-Albani telah menyelamatkan sebuah hadith yang telah pun dinilai dhaif oleh tiga tokoh ulama hadith berwibawa iaitu At-Tarmizi, Al-Iraqi dan As-Suyuti rahimahumullah. Seandainya hadith itu dikaji oleh pengkaji biasa, nes’aya dia akan berpada dengan kesepakatan penilaian tiga tokoh berkenaan. Akan tetapi Al-Albani tidak membenarkan dirinya berbuat demikian setelah dia menjumpai sanad yang tidak dijumpai oleh ketiga-tiga tokoh tersebut. Fenomena ini memberi banyak pengajaran kepada kita, antaranya, bahawa seseorang ulama hadith walau setinggi mana ilmunya tidak semestinya mengetahui semua sanad hadith yang dikajinya, hal yang mana memberi peluang kepada generasi ulama selepasnya untuk memperbaiki dan menampung kekurangan tersebut. 

 

Contoh Kedua:

As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian yang bercanggah ke atas hadith riwayat Abu Said Al-Khudri radhiallahu 'anh yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan menjadi ikutan manusia dan sesungguhnya para kaum lelaki akan datang kepada kamu dari pelbagai pelusuk bumi untuk mendalami agama, maka, apabila mereka datang ajarlah kepada mereka kebaikan”[24].

            Sama seperti contoh pertama, As-Saqqaf menuduh Al-Albani sebagai kontradik kerana menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih[25], tetapi menilainya sahih dalam Silsilah As-Sahihah[26]. Akan tetapi dakwaan ini juga dilihat sebagai bertujuan jahat kerana percanggahan hukum itu berlaku bukan kerana kesilapan, tetapi disebabkan perbezaan riwayat.

Al-Albani menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih kerana ia berdasarkan kepada sanad (rantaian perawi) yang terdapat di dalamnya seorang perawi yang terlalu dhaif dikenali dengan kuniyah Abu Harun Al-Abdi[27]. Manakala penilaian sahih yang dibuat oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah pula berdasarkan sanad lain, sama ada dalam bentuk mutaba’at[28] seperti riwayat Abu Nadrah, Syahr Ibn Hausyab dan Abu Khalid Al-Asadi daripada Abu Said Al-Khudri, atau pun dalam bentuk asy-syawahid[29] seperti riwayat Abu Hurairah dan Abu Ad-Darda’ radhiallahu ‘anhuma.

Dengan perkataan lain, penilaian dhaif itu berdasarkan sanad yang dhaif, manakala penilaian sahih itu pula berdasarkan sanad lain yang sahih. Hakikat perbezaan ini tidak sukar difahami oleh orang yang mempelajari sedikit sebanyak ilmu hadith. Justeru tuduhan As-Saqqaf itu dilihat sebagai bertujuan jahat kerana jika dia telah mempelajari selok belok ilmu hadith dia tentu memahami perbezaan tersebut.

 

Contoh Ketiga

As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan penipuan kerana mengatakan terdapat perbezaan antara matan riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud dalam periwayatan sebuah hadith riwayat Abu Bakrah radhiallahu ‘anh. Matan riwayat Al-Bukhari adalah seperti berikut:

أنه انتهى إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو راكع فركع قبل أن يصل إلى الصف فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: زادك الله حرصا ولا تعد.

Maksudnya: Bahawa dia (Abu Bakrah radhiallahu ‘anh) sampai (ke Masjid) dalam keadaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang rukuk, lalu dia turut sama rukuk sebelum sampai ke dalam saf. Bila hal itu diberitahu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda berkata: “Semoga Allah menambahkan semangat kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu ulanginya”[30].

Manakala matan riwayat Abu Daud pula adalah seperti berikut:

فلما قضى النبي صلى الله عليه وسلم صلاته قال: أيكم الذي ركع دون الصف ثم مشى إلى الصف؟ فقال أبو بكرة: أنا، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: زادك الله حرصا ولا تعد.

Maksudnya: Setelah selesai solat, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Siapakah yang rukuk di luar saf kemudian berjalan menuju ke dalam saf?” Abu Bakrah menjawab: “Saya”. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Semoga Allah menambahkan semangat kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu ulanginya”[31].

Perbandingan di atas jelas menunjukkan bahawa matan riwayat Abu Daud (yang bergaris) berbeza dengan matan riwayat Al-Bukhari, sedangkan disiplin ilmu hadith menuntut supaya perbezaan seumpama itu dijelaskan oleh para pengkaji, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kesimpulan hukum fiqh[32]. Isyarat terhadap perbezaan itu juga turut dilakukan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam Fath Al-Bari[33]. Justeru jika apa yang dilakukan oleh Al-Albani hanyalah sekadar mematuhi disiplin ilmu hadith seperti yang digariskan oleh para ulama terdahulu, maka kenapakah tindakan beliau itu dianggap sebagai satu kesalahan oleh As-Saqqaf? Ini tidak lain menunjukkan perbuatan As-Saqqaf tersebut memiliki agenda jahat di sebaliknya.

            Demikian sekadar tiga contoh bagi membukti permainan kotor dan niat jahat As-Saqqaf terhadap Al-Albani. Terhadap tindakan As-Saqqaf, Al-Albani rahimahullah memberi maklumbalas seperti berikut:

Maksudnya: “Kitab Tanaqudat (karya As-Saqqaf) tidak mengandungi sebarang nilai ilmiah       yang perlu disebut, kerana jika dakwaan pengarangnya itu betul dalam beberapa masalah, maka yang demikian itu hanya sekadar mengesahkan bahawa Al-Albani adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan sepertimana orang lain. Maka tidak ada faedah menjelaskan perkara tersebut lebih-lebih lagi jika Al-Albani sendiri akan mengisytiharkan kesilapan itu pada munasabah tertentu…”[34].

Demikianlah tiga daripada 652 kritikan As-Saqqaf terhadap Al-Albani yang terdapat dalam bukunya Tanaqudat. Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10, Al-Ghari cuba membesarkan angka bilangan hadith yang dikritik oleh gurunya itu dengan mendakwa jumlahnya sehingga 7800 buah (mengatasi bilangan hadith Sahih Al-Bukhari yang dihitung secara berulang). Kita tidak tahu dari mana dia dapat angka berkenaan, apakah dari ‘ilmu pembohongan’ atau dari manuskrip karya gurunya yang belum diterbitkan, wa Allahua’lam.

Namun walau sebanyak mana dakwaan kesilapan yang beliau senaraikan, ia tidak memberi sebarang faedah kerana contoh-contoh pengkhianatan di atas jelas membuktikan niat jahat As-Saqqaf di sebalik kritikannya itu. Lebih–lebih lagi kajian yang dibuat oleh seorang pengkaji bernama Abd Al-Basit Ibn Yusuf Al-Gharib terhadap keseluruhan kritikan itu membuktikan bahawa kesemuanya adalah penipuan semata-mata. Ini kerana apa yang disebut sebagai percanggahan itu tidak lebih daripada ralat atau pembetulan yang telah diperbetulkan oleh Al-Albani sendiri[35].

            Saya (penulis) rasa terpanggil untuk membuat ulasan yang agak panjang berkenaan pengkhianatan As-Saqqaf terhadap Al-Albani kerana:

I.        Kritikan itu berkaitan dengan hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi sumber syariat Islam kedua selain daripada Al-Quran. Justeru sebarang pengkhianatan terhadap sumber tersebut bermakna pengkhianatan terhadap Islam dan Rasulullah, sedangkan pengkhianatan terhadap kedua-duanya pula bererti pengkhianatan terhadap Yang menurunkan ajaran Islam dan Yang mengutuskan Rasul tersebut, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala.

II.     As-Saqqaf sengaja menyebarkan kritikannya terhadap Al-Albani untuk meruntuhkan kredibiliti tokoh berkenaan, dengan harapan supaya umat Islam tidak lagi merujuk kepada hasil-hasil kajian Al-Albani. Sebabnya, dia tahu banyak hasil kajian Al-Albani berlawanan dengan pegangan dan ideologinya. Oleh kerana kebanyakan daripada masyarakat awam tidak mampu mengesan pengkhianatan As-Saqqaf, maka contoh-contoh di atas sedikit sebanyak diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih berwaspada terhadap pengkhianatan As-Saqqaf.

III.   As-Saqqaf merupakan guru Al-Ghari yang menjadi tempat rujukan utama dan tempat pengambilan segala idea yang beliau lontarkan dalam semua buku dan kertas-kertas kerjanya. Justeru jika telah terbukti bahawa gurunya melakukan pengkhianatan, maka tidak hairanlah kenapa Al-Ghari juga melakukan sedemikian. Bak kata pepatah ‘guru kencing berdiri murid kencing berlari’.

 


 


[1]               Azwira Abdul Aziz, Al-Albani Dan Metodologi Pemahaman Hadith Hukum, Tesis Phd, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, 2005, Hal: 96-111.

[2]               As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Zail Al-Lali’ Al-Masnuah Fi Al-Ahadith Al-Mauduah, Tahqiq: As-Sayyid Muhammad Masyu Qalie, Al-Matba Al-Alawi, India, 1303H, Hal: 27.

[3]               Al-Kinani, Ali Ibn Muhammad Ibn Ali, Tanzih Asy-Syariah Al-Marfuah An Al-Akhbar Asy-Syaniah Al-Mauduah, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, Tahqiq: Abd Al-Wahhab Abd Al-Latif dan Abd Allah Muhammad Siddiq Al-Ghumari, t.th, 1: 301-302.

[4]               Muhammad Tahir Ibn Ali Al-Fatni, Tazkirah Al-Mauduat, CD Al-Alfiah, Markaz At-Turath, Amman, Jordan, Hal: 78.

[5]               Muhammad Ibn Ali, Al-Fawaid Al-Majmuah Fi Al-Ahadith Al-Mauduah, Tahqiq: Abd Ar-Rahman Ibn Yahya Al-Muallimi,  Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1407H, 1: 974.

[6]               Al-Jubri, Abd Al-Mutaal Muhammad, Al-Musytahar Min Al-Hadith Al-Maudu Wa Ad-Daif Wa Al-Badil, Maktabah Wahbah, Kaherah, Mesir, 1407H, Hal: 27.

[7]               Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith Ad-Daifah Wa Al-Mauduah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 5: 26, No: 2013.

[8]               Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith Ad-Daifah Wa Al-Mauduah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 5: 27.

[9]               Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Tamam Al-Minnah Fi At-Taliq Ala Fiqh As-Sunnah, Dar Ar-Rayah, Riyadh, Arab Saudi, 1409H, Hal: 324.

[10]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 6: 312, No: 2751.

[11]             Al-Hakim, Muhammad Ibn Abd Allah, Al-Mustadrak Ala As-Sahihain, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1990, 2: 399, No: 3392. Al-Hakim menilai sanad hadith ini sebagai memenuhi syarat Al-Bukhari dan Muslim.

[12]             Al-Baihaqi, Ahmad Ibn Al-Husain, As-Sunan Al-Kubra, Maktabah Dar Al-Baz, Makkah, Arab Saudi, 1994, 3: 249, No: 5792.

[13]             At-Tabrani, Sulaiman Ibn Ahmad, Al-Mujam Al-Ausat, Tahqiq: Tariq Ibn Audh Allah dan Abd Al-Muhsin Ibrahim, Dar Al-Haramain, Kaherah, Mesir, 1415, 2:123, No: 1455.

[14]             An-Nasai, Ahmad Ibn Syuaib, As-Sunan Al-Kubra, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1991, 6: 236, No: 10788-10790, secara umum tanpa dikaitkan dengan hari atau malam Jumaat.

[15]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Irwa’ Al-Ghalil Fi Takhrij Ahadith Manar As-Sabil, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 3: 93, No: 626.

[16]             Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[17]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1995, 1: 27.

[18]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith Ad-Daifah Wa Al-Mauduah, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 1: 8.

[19]             Hasan Ibn ‘Ali As-Saqqaf, seorang rakyat Jordan yang mendakwa berasal dari keturunan Ali Ibn Abi Talib radhiallahu ‘anhum. Selain daripada bidang kajian hadith, beliau juga banyak mengkritk Al-Albani dalam bidang akidah melalui beberapa karyanya seperti At-Tandid Liman Addada At-Tauhid dan Daf Shubah At-Tasybih. Segala kritikannya terhadap Al-Albani dan pengkhianatannya terhadap agama telah dijawab oleh para ilmuan timur tengah dalam karya-karya jawapan mereka, antaranya:

1.        Al-Kasyf An Dalalat As-Saqqaf oleh Nasir Al-Ulwan.

2.        Ithaf Ahl Al-Fadl Wa Al-Insaf Fi Naqd Daf Shubah At-Tasybih oleh Nasir Al-Ulwan.

3.        Al-Anwar Al-Kasyifah Li Tanaqudat Al-Kasysyaf Az-Zaifah oleh Ali Al-Halabi.

4.        Al-Iqaf Ala Abatil Qamus Syataim As-Saqqaf oleh Ali Al-Halabi.

5.        Al-Ithaf Bi Aqidah Sheikh Al-Islam Wa At-Tahzir Min Jahmiyyah As-Saqqaf oleh Abd Al-Karim Al-Hamid.

6.        Iftiraat As-Saqqaf Al-Athim Ala Al-Albani Sheikh Al-Muhaddithin oleh  Khalid Al-Anbari.

7.        Ar-Radd Ala At-Tandid Liman Addada At-Tauhid oleh Abd Al-Muhsin Al-Abbad.

8.        As-Sawaiq Wa Asy-Syuhub Al-Marmiyyah Ala Dalalat Wa Inhirafat As-Saqqaf Al-Bidiyyah oleh Abu Wadah Al-Athari.   

[20]             At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa Ibn Saurah, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Hadith, Kaherah, Mesir, t.th, No: 12, An-Nasai, Ahmad Ibn Syuaib, Sunan An-Nasai, Matbaah Mustafa Al-Halabi, Kaherah, Mesir, 1964, No: 29, Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-Arabiyyah,  Kaherah, Mesir, t.th, No: 307 dan At-Tayalisi, Sulaiman Ibn Daud, Musnad At-Tayalisi, Matbaah An-Nazzamiyyah, Haidar Abad, India, 1321H, No: 1515.

[21]             At-Tabrizi, Muhammad Ibn Abdillah, Misykat Al-Masabih, Tahqiq: Muhammad Nasir Ad-Din Al-Albani, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1405H, 1: 117.

[22]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 1: 346. Lihat: As-Saqqaf, Hasan Ibn Ali, Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat Fi Ma Waqaa lahu Fi Tashih Al-Ahadith Wa Tadifiha Min Akhta’ Wa Ghalata’, Dar Imam An-Nawawi, Amman, Jordan, 1992, 1: 40. 

[23]             As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Zahr Az-Zuba Ala Al-Mujtaba, Matbaah Mustafa Al-Halabi, Kaherah, Mesir, 1964, 1: 27.

[24]             At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa Ibn Saurah, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1987, No: 2650.

[25]             At-Tabrizi, Muhammad Ibn Abd Allah, Misykat Al-Masabih, Tahqiq: Muhammad Nasir Ad-Din Al-Albani, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1405H, 1: 75.

[26]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 1: 503. Lihat: As-Saqqaf, Hasan Ibn Ali, Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat Fi Ma Waqaa lahu Fi Tashih Al-Ahadith Wa Tadifiha Min Akhta’ Wa Ghalata’, Dar Imam An-Nawawi, Amman, Jordan, 1992, 1: 60. 

[27]             Imarah Ibn Juwain, terkenal dengan kuniyahnya, bermazhab syiah, dari tabaqah tabien yang keempat, meninggal pada tahun 134H. Sebahagian ulama Al-Jarh Wa At-Tadil menilainya sebagai matruk, manakala sebahagian yang lain melihatnya sebagai ‘pemalsu hadith’. Lihat: Az-Zahabi, Muhammad Ibn Muhammad Ibn Uthman, Mizan Al-Itidal Fi Naqd Ar-Rijal, Tahqiq: Ali Muhammad Al-Bajawi dan Fathiyyah Ali Al-Bajawi, Dar Al-Fikr Al-Arabi, Beirut, Lubnan, t.th, 4; 93, No: 6018 dan Ibn Hajar Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajar, Taqrib At-Tahzib, Tahqiq: Muhammad Awwamah, Dar Ar-Rasyid, Halab, Syria, 1986, Hal: 408, No: 4840.

[28]             Al-Mutabaah bermaksud: Riwayat sokongan bagi seseorang perawi melalui sanad lain daripada Sahabat yang sama.

[29]             Asy-Syawahid bermaksud: Riwayat sokongan bagi seseorang perawi melalui sanad lain daripada Sahabat yang berlainan.

[30]             Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 267, No: 783.

[31]             Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Ashath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, Lubnan, 1969, 1: 441, No: 684.

[32]             Antara hukum yang boleh dikaitkan dengan matan Abi Daud itu ialah: Pertama, kewajipan imam menegur perbuatan makmum sebaik sahaja selepas solat. Kedua, hukum berjalan dalam solat menuju ke dalam saf.

[33]             Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Syarh Sahih Al-Bukhari, Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 313. 

[34]             Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1995, 1:

[35]             Abd Al-Basit Ibn Yusuf Al-Gharib, At-Tanbihat Al-Malihah (Edisi terjemahan: Koreksi Ulang Sheikh Albani), Diterjemah oleh Abdul Munawwir, Pustaka Azam, Jakarta, Indonesia, 2003, Hal: 16.          

 

 


al-Firdaus.Com Oleh Dr. Azwira Adul Aziz

Kandungan
  Tohmahan: 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11   Penutup   Rujukan