TOHMAHAN
KELIMA:
Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab Mendakwa Nabi Adam
Melakukan Syirik.
Al-Ghari
menuduh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab mendakwa Nabi
Adam ‘alahi salam melakukan kesyirikan
kerana mentaati Iblis (Memahami Ancaman Terhadap Ahli
Sunnah Wal Jamaah, Hal: 6). Beliau membuat tohmahan ini
berdasarkan fakta yang tercatat dalam kitab At-Tauhid,
dan mendakwa bahawa tindakan Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab itu bercanggah dengan pemahaman Ahli Sunnah Wal
Jamaah yang menetapkan kemaksuman para Anbiya’ secara
ijma’.
PENJELASAN:
Pertama: Perkataan
Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Kedua:
Tafsiran Lain Terhadap Ayat 190 Surah Al-A’raf.
Ketiga:
Apakah Maksud Ijma’ Ulama?
Keempat:
Kenapa Digunakan Perkataan “Syirik” Kepada Nabi Adam?

Pertama: Perkataan
Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Ketika
menghuraikan pengertian tauhid, Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab rahimahullah memetik sepotong ayat Al-Quran
yang berbunyi:
فَلَمَّا آتَاهُمَا صَالِحاً جَعَلاَ لَهُ
شُرَكَاء فِيمَا آتَاهُمَا فَتَعَالَى اللّهُ عَمَّا
يُشْرِكُونَ
Maksudnya: “Tatkala Allah memberi kepada keduanya
seorang anak yang sempurna, maka keduanya menjadikan
sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah
dianugerahkan-Nya kepada keduanya itu. Maka, Maha Tinggi
Allah dari apa yang mereka persekutukan”.
Kemudian beliau memetik pula sebuah
athar
daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh yang
diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Mustadraknya,
dengan matan yang berbunyi:
لما تغشاها آدم حملت، فأتاهما إبليس
فقال: إني صاحبكما الذي أخرجتكما من الجنة لتطيعُنني أو لأجعلن
له قرني أيلٍ فيخرج من بطنك فيشقّه ولأفعلنّ ولأفعلن،
يخوّفهما، سمياه عبد الوارث، فأبـيا أن يطيعاه فخرج ميتا، ثم
حملت فأتاهما فذكر لهما فأدركهما حب الولد فسمياه عبد الحارث،
فذلك قوله: جعلا له شركاء فيما آتاهما.
Maksudnya: Tatkala Adam ‘alahi salam
mencampurinya, dia (Hawwa’) mengandung. Maka datanglah Iblis
seraya berkata: “Sesungguhnya akulah sahabat kamu yang telah
mengeluarkan kamu dari Syurga, (sekarang) sama ada kamu taat
kepadaku atau aku akan jadikannya (anak dalam kandungan)
mempunyai dua tanduk ail dan bila dia keluar dia akan
membelah perut kamu (dengannya), aku akan buat, aku akan
buat, dia terus menakut-nakutkan keduanya, namakan dia
‘Abd Al-Harith”. Tetapi keduanya enggan mematuhinya,
lalu keluarlah (anak yang dikandung) dalam keadaan telah
mati.
Kemudian
dia (Hawwa’) mengandung (semula), dan Iblis datang lagi
seraya mengingatkan keduanya (apa yang telah dia beritahu),
maka timbullah rasa sayang terhadap anak itu, lalu mereka
menamakannya ‘Abd Al-Harith. Itulah maksud
firman-Nya (surah Al-A’raf, 7: 190).
Athar
Ibn ‘Abbas ini menjadi
tafsiran bagi ayat di atas, bahawa yang dimaksudkan dengan
ungkapan: “…keduanya menjadikan sekutu bagi Allah…”
itu ialah Nabi Adam dan Hawwa’. Dengan perkataan
lain, athar Ibn ‘Abbas itu menunjukkan
bahawa Nabi Adam dan Hawwa’ telah mempersekutukan
Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam pemberian nama anak
mereka: ‘Abd Al-Harith. Ini kerana Al-Harith
bukanlah salah satu daripada nama Allah,
sedangkan penisbahan perkataan ‘Abd
(hamba) tidak harus dilakukan kepada selain daripada Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
Athar
ini juga terdapat dalam Tafsir At-Tabari dengan matan
yang agak berbeza tetapi maksudnya sama.
Matan yang semaksud dengan athar ini juga
diriwayatkan daripada Samurah Ibn Jundub radhiallahu ‘anh
secara marfu’,
tetapi ia adalah riwayat yang lemah sebagaimana dinyatakan
oleh Ibn ‘Adi dalam Al-Kamil, Ibn Al-Qaisarani
dalam Zakhirah Al-Huffaz, Ibn Kathir dalam Al-Bidayah
Wa An-Nihayah serta Tafsirnya dan juga Al-Albani
dalam Al-Iman Li Abi ‘Ubaid, Silsilah Ad-Da‘ifah,
Da’if Sunan At-Tarmizi dan Da’if Al-Jami’
As-Saghir.
Setelah memetik athar Ibn ‘Abbas
tersebut, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
rahimahullah memetik pula kata-kata para ulama tafsir
dari kalangan para Tabi’ien, seperti Qatadah,
Mujahid dan Sa’id Ibn Jubair rahimahumullah
yang menyokong maksud yang ditunjukkan oleh athar
tersebut.
Dalam konteks ini, Qatadah rahimahullah (117H)
berkata:
شركاء في طاعته ولم يكن في
عبادته.
Maksudnya: “Sekutu dalam mentaatinya (Iblis) dan bukan dalam
beribadat kepadanya”.
Kata-kata Qatadah ini bermaksud bahawa Nabi Adam dan Hawwa’
dilihat melakukan suatu bentuk kesyirikan kerana mentaati
Iblis dalam pemberian nama anak mereka sebagai ‘Abd
Al-Harith. Setelah memetik kata-kata para Tabi’ien
ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab membuat lima
kesimpulan, antaranya ialah:
...الثالثة: أن هذا الشرك في مجرد التسمية لم تقصد حقيقتها.
Maksudnya: “(Kesimpulan) yang ketiga: Bahawa sesungguhnya
syirik ini hanya semata-mata dalam (konteks) pemberian nama
dan bukan bermaksud hakikatnya”.
Dalam
kata-kata ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab cuba
menjelaskan bahawa jenis kesyirikan yang dinisbahkan kepada
Nabi Adam dan Hawwa’ bukanlah jenis kesyirikan sebenar yang
melibatkan soal-soal ibadat, tetapi ia hanyalah kesyirikan
dalam bentuk ketaatan kepada Iblis dalam pemberian nama
sahaja. Ini bermakna, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
sebenarnya cuba mengelakkan kekeliruan yang mungkin berlaku
bagi sesiapa yang mentafsirkan maksud ayat tersebut
berdasarkan athar Ibn ‘Abbas dan kata-kata
para Tabi’ien itu.
Maka
dalam konteks ini, apa yang dilakukan oleh beliau
sebenarnya adalah suatu pembelaan terhadap Nabi Adam
‘alahi salam dan bukannya suatu kecaman. Jika
penjelasan yang dibuat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
itu dilihat sebagai salah, maka kesalahan itu seharusnya
diletakkan pada athar Ibn ‘Abbas dan
tafsiran para Tabi’ien. Justeru tindakan
meletakkan kesalahan kepada Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
semata-mata, sedangkan beliau (Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab) hanya menjelaskan apa yang telah disebut dalam
athar para Sahabat dan Tabi’ien, dilihat
sebagai suatu penganiayaan ke atas tokoh berkenaan.

Kedua: Tafsiran
Lain Terhadap Ayat 190 Surah Al-A’raf.
Ulama tafsir berbeza pendapat dalam menentukan
apakah maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“…maka keduanya menjadikan sekutu bagi Allah…”,
sama ada ditujukan kepada Nabi Adam ‘alahi
salam dan Hawwa’ atau kepada pasangan yang lain. Ramai
dari kalangan ulama salaf termasuklah Ibn ‘Abbas,
Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id Ibn Jubair,
Qatadah, Sa’id Ibn Al-Musayyab dan As-Suddiyy
rahimahumullah berpendapat bahawa ia bermaksud Nabi Adam
dan Hawwa’. Pendapat ini didasarkan kepada athar Ibn
‘Abbas radhiallahu ‘anh dan hadith Samurah
Ibn Jundub radhiallahu ‘anh seperti yang dinyatakan
di atas.
Manakala
sebahagian daripada ulama salaf yang lain seperti Al-Hasan
Al-Basri rahimahullah memahaminya dengan maksud
golongan musyrikin dari kalangan zuriat Nabi Adam.
Dengan perkataan lain, yang melakukan kesyirikan dalam
pemberian nama itu ialah pasangan golongan musyrikin dari
kalangan zuriat Nabi Adam. Sebahagian ulama tafsir cenderung
ke arah mentarjihkan pendapat yang kedua ini. Dalam hal ini
Al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah (774H) berkata:
...وأما نحن فعلى مذهب الحسن البصري رحمه الله في هذا وأنه ليس
المراد من هذا السياق آدم وحواء وإنما المراد من ذلك المشركون
من ذريته...
Maksudnya: “Dan adapun kami, maka dalam hal ini (kami)
mengikut mazhab Hasan Basri rahimahullah, bahawa
sesungguhnya struktur ayat ini bukan bermaksud Nabi Adam dan
Hawwa’, tetapi ia bermaksud golongan musyrikin dari kalangan
zuriatnya (Adam)”.
Dalam
hujahnya, Al-Hafiz Ibn Kathir mengemukakan tiga alasan yang
menunjukkan kelemahan hadith riwayat Samurah Ibn Jundub
radhiallahu ‘anhum, iaitu:
-
Pertama: Kelemahan perawi bernama ‘Umar Ibn
Ibrahim Al-Basri.
-
Kedua: Percanggahan riwayat daripada Samurah Ibn Jundub
radhiallahu ‘anhum itu sendiri, sama ada marfu’
atau mauquf,
sedangkan yang mauquf itu lebih sahih.
-
Ketiga: Mengikut riwayat Ibn Mardawaih, hadith tersebut
diriwayatkan melalui Hasan Basri daripada Samurah
radhiallahu ‘anh, sedangkan telah terbukti melalui
riwayat sahih bahawa tafsiran Hasan Basri berbeza dengan
maksud hadith riwayat Samurah itu, dan jika benar hadith
riwayat Samurah itu sahih, nescaya Hasan Basri akan
mentafsirkan ayat itu mengikut maksud hadith tersebut.
Manakala
athar Ibn ‘Abbas pula, Al-Hafiz Ibn Kathir
menolaknya dengan alasan ia daripada jenis Israiliyyat,
kerana athar itu diperolehi oleh Ibn ‘Abbas
daripada Ubai Ibn Ka’b yang terkenal dengan
periwayatan perkara seumpama daripada Ahli Kitab.
Dalam konteks ini, Ibn Kathir berkata:
وهذه الآثار يظهر عليها والله أعلم
أنها من آثار أهل الكتاب...فمنها ما علمنا صحته بما دل عليه
الدليل من كتاب الله أو سنة رسوله ومنها ما علمنا كذبه بما دل
على خلافه من الكتاب والسنة أيضا ومنها ما هو مسكوت عنه فهو
المأذون في روايته...وهذا الأثر هو القسم الثاني أو الثالث فيه
نظر، فأما من حدث به من صحابي أو تابعي فإنه يراه من القسم
الثالث .
Maksudnya: “Dan ternyata ke atas athar-athar ini –
wallahua’lam – bahawa ia daripada
athar-athar Ahli Kitab…Maka sebahagian daripadanya kita
tahu kesahihannya melalui petunjuk daripada Kitab Allah
(Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya, dan sebahagian yang lain
pula kita tahu kepalsuannya kerana percanggahannya dengan
petunjuk daripada Al-Kitab (Al-Quran) dan As-Sunnah,
manakala sebahagian yang lain didiamkan mengenainya dan ia (dari
jenis) yang diizinkan periwayatannya.
…Dan
athar ini (athar Ibn ‘Abbas) ialah (dari
jenis) pembahagian yang kedua atau ketiga, ada pandangan
mengenainya. Adapun orang yang meriwayatkannya dari kalangan
Sahabat (seperti Ibn ‘Abbas) dan Tabi’ien
(seperti Qatadah), maka ia adalah kerana dia melihatnya dari
jenis yang ketiga”.

Ketiga:
Apakah Maksud Ijma’ Ulama?
Ijma’ ulama terhadap kemaksuman para
Anbiya’ bukan berlaku dalam konteks kemaksuman mutlak tanpa
mengira kesalahan kecil atau besar, sengaja atau tidak,
tetapi ia hanya berlaku dalam konteks melakukan dosa besar
dengan sengaja sahaja. Para ulama salaf, jumhur ulama
fekah, ulama hadith dan ulama tafsir menetapkan bahawa para
anbiya’ tidak maksum daripada melakukan dosa kecil secara
tidak sengaja, tetapi puak Syiah, Mu’tazilah dan
segelintir ulama hadith melihat kemaksuman itu secara mutlak.
Kewujudan athar Ibn ‘Abbas dan tafsiran
para Tabi’ien seperti Qatadah, Mujahid dan Ibn
Jubair terhadap maksud ayat 190 surah Al-A’raf
itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa ijma’
ulama tidak berlaku dalam konteks kemaksuman mutlak.
Berdasarkan hakikat ini, jika ada ulama yang terkeliru
dengan kesahihan athar
Ibn ‘Abbas itu,
lalu dia menisbahkan kesilapan pemberian nama anak itu
kepada Nabi Adam ‘alaihi salam berdasarkan
athar tersebut, maka penisbahan seumpama itu bukan bermakna
menolak ijma’ para ulama terhadap kemaksuman para
Anbiya’, kerana ijma’ ulama tidak pernah berlaku
dalam konteks kesilapan yang sedemikian rupa. Justeru
dakwaan Al-Ghari kononnya
Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab menolak ijma’ ulama Ahli Sunnah Wal
Jamaah sekali lagi membuktikan kegelojohan beliau dalam
persoalan ilmiah.
Seterusnya Al-Ghari berkata (Memahami Ancaman Terhadap
Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 6): “Ulama bersepakat
mana-mana individu yang menyalahi ijmak dianggap kafir”.
Kata-kata ini diungkapkan sebaik sahaja selepas beliau
menuduh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab menolak ijma’
dengan tujuan untuk mengaitkan hukum kafir
itu dengan sheikh berkenaan. Akan tetapi perbincangan di
atas membuktikan bahawa isu penolakan ijma’ yang
dikaitkan dengan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
rahimahullah sebenarnya tidak berlaku dan hukum kafir
itu sebenarnya tidak timbul.
Di
sini sayugia diingatkan bahawa Al-Ghari sendiri pernah
menolak ijma’ ulama dalam persoalan ‘Adalah
As-Sahabah (keadilan para Sahabat), ketika beliau
mengaitkan sebahagian Sahabat radhiallahu ‘anhum
dengan gejala murtad (rujuk semula bahagian
Pendahuluan buku ini).
Justeru jika benar bahawa hukum menolak ijma’
boleh dianggap kafir, maka para pembaca yang bijaksana boleh
membuat penilaian siapakah sebenarnya yang benar-benar
menolak ijma’ dan berhak untuk dikenakan hukum
tersebut.
