Penutup
Demikianlah penjelasan terhadap sebelas tohmahan yang
dilontarkan oleh Ahli Bid’ah ke atas
pegangan Ahli Sunnah dan para tokohnya. Berdasarkan
keseluruhan penjelasan yang dibuat, dapat difahami bahawa
pegangan atau iktikad Ahli Sunnah yang sebenar adalah
mereka tidak mentakwil sifat-sifat Allah Subhanahu
wa Ta‘ala. Mereka beriman kepada apa jua sifat yang
Allah sifati diri-Nya dalam al-Qur’an dan melalui lisan
Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
Kemudian mereka menetapkan sifat tersebut, memahami
maksudnya dan menyerahkan bentuk serta caranya kepada Allah.
Demikianlah pegangan atau iktikad beberapa tokoh Ahli
Sunnah yang masyhur seperti Ibn Taimiyyah, Ibn
Al-Qayyim, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dan
Al-Albani rahimahumullah. Demikianlah juga merupakan
pegangan para pendukung Sunnah di Malaysia.
Penjelasan dalam buku ini tidak terhad kepada persoalan
Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sahaja, akan tetapi meluas
kepada persoalan ilmu tafsir, ilmu hadith, fiqh, usul fiqh
dan sejarah. Hasil daripada keseluruhan penjelasan
membuktikan bahawa para pendukung Sunnah di Malaysia
benar-benar berpijak di atas landasan ilmu yang benar. Akan
tetapi hal yang sama tidak boleh dikatakan kepada Al-Ghari
dan para pendukung bid’ah, malah perkataan yang
lebih tepat bagi mereka adalah mereka tidak berpijak
langsung di atas landasan ilmu.
Berdasarkan penjelasan dan perbincangan dalam buku ini juga,
dapat dikenal pasti bahawa gelaran Wahabi adalah
sesuatu yang sengaja dicipta dan dipopularkan oleh para
pendukung bid’ah semata-mata untuk
memburuk-burukkan imej para pendukung Sunnah di Malaysia
pada kaca mata orang ramai. Demikian juga segala tohmahan
yang dilontarkan seperti mujassimah, musyabbihah,
jahil terhadap ilmu fiqh dan usul fiqh, pemecah belah
masyarakat, pengganas dan penentang kerajaan Islam. Semuanya
adalah tuduhan palsu yang sekadar mengesahkan kejahilan,
kejahatan dan pengkhianatan pihak yang membuat tohmahan itu
sendiri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا
بُهْتَاناً وَإِثْماً مُّبِيناً
Maksudnya: “Dan orang yang
menyakiti para mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang
mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul suatu
pembohongan dan dosa yang nyata”.
وَمَن يَكْسِبْ خَطِيئَةً أَوْ إِثْماً ثُمَّ
يَرْمِ بِهِ بَرِيئاً فَقَدِ احْتَمَلَ بُهْتَاناً وَإِثْماً
مُّبِيناً
Maksudnya: “Dan sesiapa
yang melakukan suatu kesalahan atau dosa kemudian dia
menuduh orang yang tidak bersalah dengannya, maka
sesungguhnya dia telah memikul suatu pembohongan dan dosa
yang nyata”.
Sebelum berpisah, penulis menyeru kepada
pihak-pihak yang berwajib agar lebih prihatin terhadap
penyelewengan agama dalam bentuk mentahrif (mengubah)
maksud hadith, mengkafir para Sahabat dan mentohmah para
ulama. Ini kerana sesungguhnya cara pengkhianatan seumpama
itu menyamai cara pengkhianatan Yahudi yang memesongkan
ajaran para Anbiya’, sebagaimana firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Iaitu
orang-orang Yahudi, mereka mentahrif (mengubah)
perkataan dari tempat-tempatnya…”.
Justeru benarlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang bermaksud: “…Kemudian sesungguhnya
selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta
menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai,
mereka berjanji tetapi tidak menepati, dan jelas pada mereka
tanda-tanda as-Siman”.