TOHMAHAN KEENAM:
Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab Mentafsirkan Kalimah Syahadah Dengan Tafsiran Yang
Menyalahi Ijma’.
Al-Ghari
menuduh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab mentafsirkan
kalimah Syahadah dengan tafsiran yang menyalahi Ijma’
(Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah,
Hal: 7-9). Beliau cuba membuktikan tuduhan ini dengan
memetik kata-kata sheikh berkenaan yang diterjemahkannya
dengan maksud:
Antaranya (dalil-dalil berkenaan syahadah) adalah sabda Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang
mengucapkan Tiada Tuhan melainkan Allah dan kufur ia
(tidak mengiktiraf) terhadap apa yang disembah selain Allah
maka haramlah hartanya dan darahnya dan perkiraannya
tertakluk kepada Allah. Ini adalah sebesar-besar perkara
yang menerangkan maksud Tiada Tuhan selain Allah. Ia tidak
menjadikan berlafaz (sahaja dengan la ilah illalah)
itu menyelamatkan darah dan hartanya. Bahkan tidak juga (menyelamatkannya)
dengan mengetahui makna beserta lafaznya. Bahkan tidak juga
(menyelamatkannya) dengan berikrar. Bahkan tidak juga (menyelamatkannya)
dengan ia tidak menyeru melainkan kepada Allah yang maha Esa
yang tidak ada sekutu bagiNya. Bahkan tidaklah haram harta
dan darahnya sehingga ia menambah kepada hal itu (empat
perkara disebutkan di atas) kufur ia terhadap apa yang
disembah selain Allah: jika dia syak atau tawaqquf maka
tidak haram hartanya dan darahnya. Maka alangkah hebat dan
betapa agungnya permasalahan ini. Alangkah ia menerangkan
dan menjelaskan (kepada kita) dengan sebaik-baiknya. Dan
alangkah ia memutuskan pertikaian (dengan penjelasan yang
begitu nyata)”.
PENJELASAN:
Pertama:
Kata-Kata Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Kedua:
Dalil-Dalil Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab.
Ketiga:
Kekeliruan Al-Ghari Terhadap Hadith Usamah.
Keempat:
Dalil Lain Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab.

Pertama: Kata-Kata
Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Terjemahan Al-Ghari secara umumnya betul, tetapi
secara terperincinya masih ada yang tidak tepat, dan antara
yang tidak tepat ialah ungkapan beliau: “Ini adalah
sebesar-besar perkara yang menerangkan maksud Tiada Tuhan
selain Allah”. Terjemahan ini dilihat sebagai tidak
tepat kerana teks asalnya berbunyi:
وهذا من أعظم ما يبين معنى لا إله إلا الله.
Teks ini
seharusnya diterjemahkan dengan maksud: “Ini antara
sebesar-besar perkara yang menerangkan makna tiada tuhan
selain Allah”. Perbezaan maksud terjemahan ini dengan
maksud terjemahan Al-Ghari amat jelas, kerana terjemahan
yang sebenar ini menunjukkan bahawa apa yang disebut oleh
Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab rahimahullah
hanyalah sebahagian daripada pengertian sebenar kalimah
La Ilaha Illallah, manakala sebahagian yang lain
beliau sebut di tempat yang lain.
Sebenarnya penjelasan mengenai makna La Ilaha Illallah
ini telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Muhammad Ibn
‘Abd Al-Wahhab dari awal kitabnya hinggalah ke
halaman 115.
Oleh kerana setiap huraian itu berkait rapat antara satu
sama lain, maka untuk mengelakkan kekeliruan, kesemua
huraian tersebut mestilah difahami secara komprehensif dan
kolektif. Akan tetapi malangnya Al-Ghari tidak melakukan
sedemikian, lalu menyebabkan dia terjebak dalam
kekeliruannya. Sesungguhnya petikan yang diterjemahkan oleh
Al-Ghari hanyalah perenggan terakhir daripada sekian banyak
huraian yang telah dibuat oleh Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab dalam bab berkenaan. Bayangkanlah, betapa licik
pengkhianatan yang dilakukan.

Kedua: Dalil-Dalil
Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Keseluruhan huraian yang dibuat oleh Muhammad
Ibn ‘Abd Al-Wahhab rahimahullah berkenaan
makna La Ilaha Illallah adalah berdasarkan
nas-nas sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Petikan
kata-kata yang didakwa oleh Al-Ghari sebagai menyeleweng itu
juga adalah sebahagian daripada huraian Muhammad Ibn ‘Abd
Al-Wahhab yang dibuat berdasarkan hadith riwayat Abu Malik
Sa’d Ibn Tariq Al-Asyja’ie
radhiallahu 'anh, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
من قال: لا إله إلا الله وكفر بما يعبد من دون الله حرم ماله
ودمه وحسابه على الله.
Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah
serta dia kufur (tidak beriman) dengan segala apa yang
disembah selain Allah, maka haramlah hartanya dan darahnya,
manakala perkiraannya pula tertakluk kepada Allah”.
Muslim
rahimahullah meletakkan hadith ini di bawah bab yang
berjudul:
باب: الأمر بقتال الناس حتى يقولوا لا
إله إلا الله محمد رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة
ويؤمنوا بجميع ما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم وأن من
فعل ذلك عصم نفسه وماله إلا بحقها ووكلت سريرته إلى
الله تعالى وقتال من منع الزكاة أو غيرها من حقوق الإسلام
واهتمام الإمام بشعائر الإسلام.
Maksudnya: Bab: Perintah supaya memerangi manusia sehingga
mereka mengucap La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah,
mendirikan solat, menunaikan zakat dan beriman dengan
semua perkara yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam, dan bahawa sesiapa melakukan yang demikian itu
terselamatlah nyawa dan hartanya melainkan dengan haknya,
dan terserahlah rahsia (isi hati)nya kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Dan (perintah supaya) memerangi
golongan yang ingkar kewajipan zakat atau hak-hak Islam yang
lain, dan (perintah supaya) Imam (Ketua Pemerintah)
mengambil berat terhadap syiar-syiar Islam.
Di bawah
judul bab ini, Muslim meriwayatkan beberapa buah hadith,
antaranya hadith di atas (riwayat Abu Malik Al-Asyja’ie)
dan hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anh
dengan matan berbunyi:
لما توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم واستخلف أبو بكر رضي
الله عنه وكفر من كفر من العرب، قال عمر رضي الله عنه: يا أبا
بكر كيف تقاتل الناس وقد قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا إله إلا الله فمن قالها فقد
عصم مني ماله ونفسه إلا بحقه وحسابه على الله، فقال: لأقاتلن
من فرق بين الصلاة والزكاة فإن الزكاة حق المال والله لو
منعوني عناقا كانوا يؤدونها على عهد رسول الله صلى الله عليه
وسلم لقاتلتهم على منعها، فوالله ما هو إلا قد شرح الله صدر
أبي بكر رضي الله عنه للقتال فعرفت أنه الحق.
Maksudnya: Tatkala Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, manakala Abu Bakar
radhiallahu ‘anh pula dilantik menjadi Khalifah,
sebahagian daripada orang Arab telah (kembali) kufur
(lalu mereka diperangi oleh Abu Bakr).
‘Umar radhiallahu ‘anh
berkata: “Wahai Abu Bakr! Kenapa kamu memerangi orang
sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
‘Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka
mengucap La Ilaha Illallah, maka sesiapa yang
mengucapkannya terselamatlah nyawa dan hartanya melainkan
dengan haknya, manakala perkiraannya pula tertakluk kepada
Allah.’
(Mendengar
teguran ‘Umar itu) Dia (Abu Bakr) berkata:
“Sesungguhnya aku akan (tetap) memerangi orang yang
membezakan antara (kewajipan) Solat dan Zakat, kerana
sesungguhnya Zakat itu adalah hak harta. Demi Allah!
Sekiranya mereka menegah aku (mengambil zakat) sekadar
‘inaq
(seekor anak kambing betina) yang pernah mereka tunaikannya
pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
nescaya aku akan memerangi mereka disebabkan tegahan itu.”
(‘Umar
berkata) “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melapangkan
dada Abu Bakr untuk tindakan itu, sehingga aku tahu bahawa
sesungguhnya ia (tindakan itu) adalah benar”.
Hadith
ini mengisahkan peristiwa yang berlaku pada zaman
pemerintahan Abu Bakr radhiallahu ‘anh, ketika beliau
memerangi sekumpulan orang Arab yang enggan membayar zakat
sedangkan mereka telah membayarnya pada zaman Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam. Pada mulanya ‘Umar
kurang bersetuju dengan tindakan Abu Bakr kerana berpegang
dengan zahir hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
yang menunjukkan bahawa dengan ucapan syahadah semata-mata
telah memadai untuk menyelamatkan nyawa dan harta. Akan
tetapi setelah Allah Subhanahu wa Ta’ala membuka
pintu hatinya, barulah beliau akur dengan kebenaran tindakan
Abu Bakr.
Dalam
menjelaskan maksud hadith ini, An-Nawawi rahimahullah
memetik kata-kata Al-Khattabi rahimahullah:
وكان هذا من عمر رضي الله عنه تعلقا
بظاهر الكلام قبل أن ينظر في آخره ويتأمل شرائطه...
Maksudnya: “(Teguran) daripada ‘Umar
radhiallahu ‘anh ini kerana (dia) bergantung kepada
zahir sabda (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam)
sebelum dia melihat penghujungnya dan (sebelum dia)
memerhatikan syarat-syaratnya.”.
Kemudian
An-Nawawi berkata:
ولا بد مع هذا من الإيمان بجميع ما
جاء به الرسول صلى الله عليه وسلم كما جاء في الرواية الأخرى
لأبي هريرة.
Maksudnya: “Tidak dapat tidak, bersama (ucapan syahadah)
ini mesti beriman dengan semua perkara yang dibawa
oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
sebagaimana ia datang dalam riwayat yang lain oleh Abu
Hurairah”.
Apa yang
dapat difahami daripada hadith riwayat Abu Malik Al-Asyja’ie,
Abu Hurairah, kata-kata Abu Bakr dan para ulama di atas
ialah, bahawa ucapan syahadah itu hanya boleh menjamin
keselamatan nyawa dan harta sekiranya tidak dilakukan
perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Sebaliknya, jika
dilakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah
itu, maka tiada lagi jaminan keselamatan nyawa dan harta.
Tafsiran ini dapat difahami dengan jelas melalui sabda Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam:
فقد عصم مني ماله ونفسه إلا بحقه.
Maksudnya: “Maka terselamatlah nyawa dan hartanya
melainkan dengan haknya”.
Tafsiran
para ulama ini dilihat sama dengan pegangan Muhammad Ibn
‘Abd Al-Wahhab. Maka jika pegangan beliau itu
dilihat sebagai menyeleweng oleh Al-Ghari, maka kenapa ia
tidak dinisbahkan kepada generasi ulama terdahulu seperti
Abu Bakr radhiallahu ‘anh, Muslim, Al-Khattabi dan
An-Nawawi rahimahumullah? Jika Al-Ghari berpendapat
bahawa tafsiran Abu Bakr yang telah diperakukan oleh ‘Umar
dan para ulama sebagai menyeleweng daripada pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah, maka siapakah sebenarnya Ahli
Sunnah Wal Jamaah yang beliau maksudkan?
Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab tidak
pernah mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah
selagi dia tidak melakukan perkara yang membatalkannya
dan selagi tidak ditegakkan hujah syara’’ ke
atasnya. Dalam konteks ini beliau berkata:
…ولا
أكفّر أحدا من المسلمين بذنب ولا أخرجه من دائرة الإسلام.
Maksudnya: “Dan aku tidak mengkafirkan seorangpun dari
kalangan orang Islam dengan sebab dosa dan aku juga tidak
mengeluarkannya dari daerah (agama) Islam”.
Di
tempat yang lain, beliau juga berkata:
ولا نكفر من عبد الصنم الذي على قبر
عبد االقادر والصنم الذي على قبر أحمد البدوي لأجل جهلهم وعدم
من ينبههم.
Maksudnya: “Dan kita tidak mengkafirkan sesiapa yang
menyembah batu yang terdapat di atas kubur ‘Abd
Al-Qadir Al-Jilani (di Iraq) atau yang terdapat di atas
kubur Ahmad Al-Badawi (di Mesir), kerana kejahilan mereka
dan kerana tiada orang yang mengingatkan mereka”.
Berdasarkan petikan kata-kata di atas, maka dapat
disimpulkan bahawa tafsiran Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab
rahimahullah terhadap kalimah La Ilaha Illallah
menepati tafsiran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
yang sebenar.

Ketiga:
Kekeliruan Al-Ghari Terhadap Hadith Usamah.
Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur Usamah Ibn Zaid
radhiallahu 'anh kerana membunuh tentera musuh (bukan
Islam) yang mengucap dua kalimah syahadah.
Al-Ghari berhujah dengan hadith ini bagi membuktikan bahawa
dengan semata-mata ucapan syahadah itu sudah cukup untuk
menjamin keselamatan harta dan nyawa. Kekeliruan Al-Ghari
dalam berhujah dengan hadith ini disebabkan kefahaman 'tototnya'
terhadap zahir hadith tersebut, sedangkan hadith yang beliau
jadikan hujah itu sebenarnya menjadi hujah ke atas dirinya
sendiri.
Kekeliruan pasti dapat dielakkan sekiranya beliau memahami
maksud hadith ini secara kolektif dan komprehensif, dengan
mengambil kira maksud hadith-hadith lain seperti maksud
hadith riwayat Abu Malik Al-Asyja’ie dan juga
hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma
seperti yang tersebut di atas. Akan tetapi malangnya beliau
tidak melaksanakan tanggungjawab ilmiah ini, lalu terjebak
dalam kancah kekeliruan sebagaimana yang berlaku ke atas
beliau berulangkali sebelum ini.
Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
menegur tindakan Usamah kerana sewaktu beliau melakukan
tindakan pembunuhan itu, belum terbukti lagi sama ada lelaki
tersebut telah melakukan perkara yang membatalkan syahadah
atau tidak. Dengan perkataan lain, belum terbukti lagi sama
ada lelaki tersebut telah melakukan perkara yang membawa
kepada kemurtadan atau tidak. Seandainya tindakan Usamah
dilakukan selepas terbukti bahawa lelaki itu telah melakukan
perkara yang membatalkan syahadah, seperti mengingkari
kewajipan solat, menyembah selain dari Allah dan sebagainya,
nescaya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak
akan menegurnya.

Keempat: Dalil Lain Di
Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Undang-undang Jenayah Hudud Islam telah
menetapkan hukuman bunuh ke atas orang yang melakukan
jenayah seperti zina (bagi yang berkahwin), membunuh dan
murtad. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا يحل دم امرئ مسلم إلا بإحدى ثلاث: الثيب الزاني والنفس
بالنفس والتارك لدينه المفارق للجماعة
.
Maksudnya: “Tidak halal darah seseorang muslim kecuali
disebabkan satu daripada tiga perkara: Janda yang berzina,
nyawa dibalas nyawa (qisas) dan yang meninggalkan
agamanya (murtad) yang keluar dari jamaah (kaum muslimin)”.
Kemurtadan (keluar dari Islam) boleh berlaku
sama ada dengan sebab iktiqad yang mengkafirkan seperti
mengingkari kewajipan mana-mana rukun Islam, menghalalkan
yang haram, memaki Allah dan Rasul-Nya dan menghina Al-Quran.
Seorang muslim yang muhsan (berkahwin) tetapi
melakukan jenayah zina, maka nyawanya tidak lagi terselamat
kerana dia telah melakukan perkara yang boleh menghalalkan
darahnya. Jika diandaikan bahawa ucapan syahadah sudah
memadai untuk memelihara darah dan harta seperti yang
difahami oleh Al-Ghari, maka bagaimanakah hendak
diselaraskan fahaman ini dengan hukum-hukum hudud berkenaan?
Demikian
juga seseorang yang menyembah selain Allah secara
terang-terangan, maka nyawanya juga tidak lagi terselamat
kerana dia telah melakukan perkara yang membawa kepada
kemurtadan. Sekiranya penyembahan itu dilakukan oleh
kelompok yang ramai dan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan
tersendiri, maka wajib ke atas pemerintah Islam memerangi
atau memusnahkan penempatan mereka, sebagaimana yang
dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu Darul Iman ke atas
perkampungan ‘Kerajaan Langit’ di Daerah Besut tidak lama
dulu. Persoalannya, apakah tindakan yang diambil oleh
kerajaan Barisan Nasional Negeri Terengganu itu dilihat oleh
Al-Ghari dan mereka yang sejahatnya sebagai pendekatan
Wahabi, dan apakah semua pegawai majlis agama yang
terlibat dalam membuat keputusan dan tindakan itu pula
dianggap sebagai pengikut ajaran Wahabi? Sudah tentu
tidak.