Para Pendukung Sunnah Malaysia
Menolak Ijma’ Dan Merupakan Pembuat Bid’ah Yang Sebenar.
Apabila membicara tentang kesyariatan
azan Jumaat dua kali, Al-Ghari berkata (Menjawab Kritikan
Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 17-18):
“Kesimpulannya, azan tadi disyariatkan
melalui dua cara. Pertama melalui ijmak para Sahabat. Para
ulamak Feqah dan Ushul telah menaskan bahawa pendapat
sahabat yang tersebar dan didapati tiada yang menentang,
maka jadilah ia ijma dan dikira sebagai hujjah. Sesiapa yang
menolak ijmak maka dia jatuh kafir. Na’uzubillah. Kedua,
walaupun azan pertama ini disyariatkan pada zaman Sayyidina
‘Uthman r.a namun ia tetap diakui sebagai syariat
yang diakui oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
dengan sabdanya bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan
sunnahku dan Sunnah para Khalifah al-Rasyidin selepasku.
Gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu (berpegang teguh)”.
Oleh itu, barangsiapa yang mengatakan bahawa sayyidina
Uthman dan pengikut kepada ijtihad beliau telah melakukan
bid’ah maka sesungguhnya dia telah melakukan satu kesilapan
yang besar tanpa apa-apa hujjah. Bahkan mereka yang mendakwa
sedemikian sebenarnya pembuat bid’ah yang terkutuk kerana
jelas menentang ketentuan Sunnah. Hanya kepada Allah sahaja
kita memohon petunjuk”.
PENJELASAN:
Kata-kata Al-Ghari di atas dapat kita
jelaskan seperti berikut:
Pertama:
Telah jelas kepada kita
sebelum ini (berdasarkan hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid
dalam perbincangan sebelum ini) bahawa pada zaman Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakr dan ‘Umar
radhiallahu ‘anhuma hanya ada satu azan, iaitu
setelah imam duduk di atas mimbar. Al-Qurtubi
rahimahullah juga ada menyatakan bahawa ketika ‘Ali
Ibn Abi Talib radhiallahu ‘anh berada di Kufah,
beliau tidak ikut cara ‘Uthman, sebaliknya
beliau mengikut cara Nabi, Abu Bakr dan ‘Umar
dengan hanya satu azan sahaja[1].
Justeru dengan adanya amalan pada zaman
Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Ali Ibn Abi Talib
radhiallahu 'anhum yang menyalahi amalan pada zaman
‘Uthman, maka ia sudah cukup untuk membuktikan
tiada ijma’ di kalangan para Sahabat dalam
permasalahan ini. Satu persoalan untuk Al-Ghari, jika
orang yang menolak ijma hukumnya kafir, maka apa hukumnya
orang yang memalsukan dakwaan ijma’ itu,
lebih-lebih lagi orang yang membuat dakwaan palsu itu
sendiri pernah menolak ijma’ para ulama berkenaan
keadilan para sahabat?
Kedua:
Sebagaimana yang disebut
dalam hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid, bahawa azan pertama
pada zaman ‘Uthman dilakukan di atas Az-Zaura’
(rumah kedai) kerana pertambahan bilangan penduduk Madinah
pada ketika itu menyebabkan jarak penempatan rumah semakin
jauh[2].
Melihat keadaan itu, beliau merasa perlu untuk mengadakan
azan pertama sebagai pemberitahuan kepada orang ramai bahawa
waktu solat telah hampir dan mereka boleh bersiap sedia
untuk ke masjid. Berdasarkan alasan ini, maka azan Jumaat
dua kali pada zaman Uthman dilihat menepati kaedah: Ma La
Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib yang bermaksud:
“Perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan
dengannya, maka ia juga adalah wajib”[3].
Oleh kerana azan pada zaman ‘Uthman
menepati kaedah syara’, maka ia tidak lagi termasuk dalam
istilah bid’ah. Justeru tidak ada seorangpun dari
kalangan para pendukung Sunnah yang membid’ahkan
azan pada zaman ‘Uthman itu.
Apa yang para pendukung
Sunnah Malaysia pertikaikan ialah
azan Jumaat dua kali pada zaman ini yang dilihat
tidak lagi menepati kaedah Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi
Fahuwa Wajib. Ini kerana semua kesulitan yang berlaku
pada zaman ‘Uthman sudah terhapus, iaitu dengan
terciptanya pelbagai teknologi dan kemudahan baru seperti
alat pembesar suara, jam, talipon bimbit, siaran radio dan
media massa lain yang boleh memberitahu hampirnya waktu
solat dengan cepat dan mudah.
Dalam konteks sebuah negara Islam yang
makmur seperti negara kita, bilangan masjid semakin
bertambah dengan pesat seiring dengan pertambahan projek
pembangunan hartanah dan penempatan. Hampir setiap taman
perumahan yang didiami ramai penganut Islam ada sebuah
masjid dan kadangkala jaraknya amat dekat antara satu masjid
dengan satu masjid yang lain. Justeru kebimbangan tentang
kemungkinan tidak diketahui masuknya waktu solat Jumaat
tidak timbul dan apabila tiada sebab maka tiadalah
musabbabnya.
Jika diandaikan
masih ada kewajaran untuk dilaungkan azan dua kali pada hari
ini, maka biarlah cara pelaksanaannya itu benar-benar
menepati cara yang dilakukan pada zaman ‘Uthman
radhiallahu ‘anh, iaitu:
I.Hendaklah azan pertama
dilaungkan di luar masjid, iaitu di kawasan pasar,
penempatan atau perindustrian yang jauh daripada masjid.
II.Hendaklah azan pertama
dilaungkan lebih awal, iaitu lebih kurang satu atau
setengah jam sebelum masuknya waktu solat Jumaat yang
sebenar.
Akan tetapi apa yang diamalkan sekarang
jelas tidak menepati kedua-dua cara di atas, dimana azan
pertama dilaungkan di dalam masjid[4],
setelah masuknya waktu solat Jumaat. Manakala azan kedua
pula dilaungkan setelah imam duduk di atas mimbar. Ini
bermakna apa yang diamalkan sekarang bukan sahaja tidak
mengikut Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
bahkan juga tidak mengikut cara ‘Uthman
yang sebenar.
Ketiga:
Ketika Ash-Shafi’ei
rahimahullah mengulas hadith riwayat As-Sa’ib Ibn
Yazid radhiallahu ‘anh, beliau berkata:
وقد كان عطاء ينكر أن يكون عثمان أحدثه، ويقول: أحدثه معاوية
والله أعلم.
Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Ata’
(Ibn Abi Rabah) mengingkari hakikat ‘Uthman yang
mula-mula mengadakannya (azan dua kali), bahkan dia
berpendapat Mu’awiyah Ibn Abi Sufyan yang
memulakannya, wallahua’lam”[5].
Kemudian Ash-Shafi’ei
berkata:
وأيهما كان فالأمر الذي على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
أحب إلي.
Maksudnya: “Walau siapa pun antara
keduanya (yang memulakan), tetapi aku lebih suka amalan
pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”[6].
Berdasarkan kata-kata ini, jelas kepada
kita bahawa Ash-Shafi’ei lebih cenderung kepada
mengikut cara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
iaitu dengan hanya satu azan sedangkan pada zaman beliau
belum ada kemudahan seperti yang ada pada zaman kita
sekarang. Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa amalan
melaungkan azan Jumaat dua kali pada masa kini tidak
menepati apa-apa hujah ilmiah, sama ada Sunnah Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam, amalan Sahabat, pendapat
Imam mazhab dan juga pengkaedahan ilmiah.
[1] Al-Qurtubi,
Muhammad Ibn Ahmad Al-Ansari, Al-Jami Li Ahkam
Al-Quran, Dar Asy- Syam Li At-Turath, Beirut,
Lubnan, t.th, 18: 100 (tafsir ayat 9, surah Al-Jumu’ah).
[2] Al-Bukhari,
Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari
(Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim:
Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad ‘Abd
Al-Baqi, Dar Al-Matba’ah As-Salafiyyah,
Kaherah, Mesir, 1407H, 2:457, No: 912.
[3] Wahbah
Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr,
Damsyik, Syria, 1986, 2: 67-71.
[4]
Ash-Shatibi
menyatakan bahawa orang yang mula-mula sekali
memindahkan azan pertama ke dalam masjid ialah
Khalifah Bani Umayyah Hisyam Ibn
‘Abd
Al-Malik, kemudian diikuti oleh para khalifah
selepasnya sehinggalah ke zaman ini. Lihat: Ash-Shatibi,
Al-I’tisam,
2: 146-147, dipetik daripada: Al-Albani, Muhammad
Nasir Ad-Din, Al-Ajwibah An-Nafi’ah
‘An As’ilah Lujnah Masjid Al-Jami’ah,
Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, Arab Saudi,
2000, Hal: 29.
[5] Ash-Shafi’ei,
Muhammad Ibn Idris, Al-Umm, Dar Al-Ma’rifah,
Beirut, Lubnan, 1393H, 1: 195.
[6] Ash-Shafi’ei,
Muhammad Ibn Idris, Al-Umm, Dar Al-Ma’rifah,
Beirut, Lubnan, 1393H, 1: 195.