Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Kata Pengantar Pengarang

 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Selawat, kesejahteraan dan keberkatan ke atas Penghulu kami Muhammad, keluarga baginda serta sekalian para sahabat baginda.

          Sejarah paling hitam bagi umat Islam ialah peristiwa pembunuhan Amir al-Mukminin, ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu ‘anh.[1] Ia merupakan satu fitnah besar yang melanda umat Islam dan telah meninggalkan kesan yang negatif sehingga ke hari ini. Fitnah ini telah menyebabkan berlakunya perpecahan serta pemisahan di kalangan umat, meretakkan perpaduan mereka, menimbulkan perbalahan serta menyebabkan lahirnya golongan Syi‘ah dengan beraneka ragam mazhabnya serta golongan-golongan sesat lainnya. Ini merupakan suatu yang meruntuh serta melemahkan Ummah yang diikuti pula oleh tindakan kekerasan yang dilakukan oleh golongan tersebut bagi mencapai cita-cita mereka. Namun kita tidaklah dapat mengelakkannya kerana ia telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sejak dari azali lagi. Kita tidak dapat melarikan diri daripada apa yang berada di bawah ilmu serta ketentuan Ilahi serta apa yang telah diberitakan oleh Nabi kita shallallahu ‘alaihi wasallam[2] dimana baginda bersabda:

تَفَرَّقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ أَوْ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَى مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً.

          Berpecah umat Yahudi kepada 71 golongan atau 72 golongan dan terpecah golongan Nasrani (Kristian) sebagaimana di atas dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan.[3]

          Selain itu menerusi hadis Muawiyah radhiallahu 'anh:

كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلاَّ وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.

Kesemuanya masuk neraka kecuali satu iaitu al-Jamaah.[4] Al-Jamaah adalah golongan kebenaran dimana termasuk ke dalam mereka itu ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat baginda[5] dan golongan al-Salaf al-Salih[6] radhiallahu 'anhum dimana tiadalah pada mereka itu kezaliman mahupun kefasikan.

          Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sesungguhnya telah berpecah umat baginda sejak dari kurun yang awal lagi. Zahirnya sejak dari masa tersebut golongan Khawarij, Nawasib, Syi‘ah, Muktazilah, Jahmiyyah, Musyabbihah, Mujassimah dan banyak lagi golongan yang memerlukan satu senarai yang panjang untuk menyatakannya.  Bagi setiap kumpulan tersebut wujud manhaj tersendiri yang berbeza dengan lainnya, dimana setiap dari mereka menyesatkan golongan yang lain. Dari kurun ke kurun sebahagian umat telah terpengaruh di bawah pemikiran pelbagai aliran tersebut sehinggakan mereka tunduk serta terbelenggu di bawahnya.  Penglibatan mereka itu melibatkan negara serta rakyatnya, dimana harta benda, daya usaha, keuntungan negara serta sebagainya telah habis digunakan.[7] Suasana yang mengerikan ini berada di kemuncaknya pada awal pertengahan kurun ke 14 hijrah sewaktu penjajahan ke atas negara umat Islam berlaku dengan giatnya. Ketika itu kaum Muslimin mengalami ujian yang hebat ke atas jiwa, harta, nyawa bahkan agama mereka di dalam jangka waktu yang panjang.

          Namun setelah berlakunya keadaan yang mencemaskan itu muncul dari kalangan umat Islam golongan yang menyeru ke arah pembaikan (muslihun) dengan penuh kebenaran serta keikhlasan. Golongan tersebut telah menyeru umat ke arah kasih sayang, memberikan pelbagai bantuan dan perlindungan yang diperlukan serta menyatukan barisan umat. Di kalangan mereka yang menyeru ke arah pembaikan adalah Hasan al-Banna, Muhammad Yusuf al-Kandahlawi, Abu Ala al-Maududi, Syakib Arsalan, Abd Rahman al-Kaukabi serta ramai lagi di serata pelusuk negara-negara Islam.

          Termasuk yang menyeru ke arah ini ialah Syi‘ah al-Imamiyyah al-Ja’fariyyah yang telah melakukan pergerakan di serata tempat dan lapangan, dimana ramai di kalangan pengikut-pengikut serta alim ulama’ mereka telah menyeru ke arah penyatuan umat. Mereka telah membuang jauh perselisihan serta perdebatan yang berlegar di sekitar permasalahan lama yang berlaku sejak zaman berzaman misalnya persoalan makan minum. Golongan tersebut telah menyeru ke arah penyatuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah serta meninggalkan perbezaan pendapat yang merenggangkan perhubungan sesama umat Islam. Para ulama’ Ahl al-Sunnah menyambut baik usaha murni tersebut dengan tangan terbuka. Ini terbukti dimana majlis ulama’ Universiti al-Azhar telah mewujudkan matapelajaran al-Fiqh al-Ja’fariyyah serta menjadikan pembelajarannya bersamaan dengan mempelajari fiqh empat madzhab. Dengan adanya usaha tersebut ianya dapat merapat serta menyatukan lagi hubungan kaum Muslimin.[8]

          Namun golongan Syi‘ah al-Rafidhah (الرافضة) tidak bersama-sama dengan seruan penyatuan tersebut.[9] Mereka tidak berusaha ke arahnya bahkan usaha mereka lebih cepat ke arah memecah-belahkan umat.           Pada waktu mutakhir ini muncul risalah-risalah serta kitab-kitab besar mereka yang dengan terang mencaci serta mencela para sahabat. Contohnya ialah apa yang dilakukan oleh Abdul Husain di dalam kitabnya yang berjudul al-Muraja‘at dan Abu Hurairah.[10] Demikian juga Asad Haidar di dalam kitabnya Ja’far al-Sadiq, Abu Riyah di dalam kitabnya Marhadah al-Adwa’ yang dipenuhi kepalsuan, Murthada al-‘Askari di dalam kitabnya Ma’alim al Madrasatain serta apa yang ditulis oleh anak murid mereka iaitu Wafa al-Samawi al-Tunisi. Selain dari itu kami dapati ada yang lebih dahsyat daripada itu di dalam kitab-kitab yang dihasilkan oleh Syi‘ah mutakhir di kalangan al-Rafidhah. Mereka menulis perkara yang sangat keji di dalam kitab-kitab mereka dengan mengutuk, memaki serta mencela para sahabat dan membohongi apa yang terdapat pada al-Sunnah yang sahih. Mereka itu laksana pemukul batu yang tidak meredhai apa yang datangnya dari Tuhan yang Maha Agung serta merasa suka akan terjadinya perpecahan serta perbalahan.

          Sesungguhnya perkara tersebut tidak membawa kepada penyatuan, kasih sayang, permuafakatan mahupun keselamatan. Kami berasa sedih kerana kaum Muslimin yang beriman kepada Allah serta Rasul-Nya tidak berupaya untuk mengatasi golongan tersebut yang membawa tikaman ke atas para sahabat.[11] Padahal para sahabatlah yang telah berjuang dengan ikhlas serta penuh amanah bagi menegakkan Islam, membuka[12] negara serta peradaban. Di atas usaha merekalah tertegaknya Islam di Madinah al-Munawwarah.

          Kami berharap agar golongan tersebut berhenti daripada menimbulkan pertelingkahan, menikam, menyesatkan, memburuk serta mengkafirkan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang sudah tentu termasuk di dalamnya para Khulafa al-Rasyidin yang telah berusaha memenangkan Islam, meninggikan agama serta menyebarluaskan ajaran al-Qur’an serta al-Sunnah ke segala pelusuk dunia.

          Sesungguhnya para sahabat yang menyebarluaskan ajaran Islam serta yang menjadi Huffaz yang meriwayatkan dan memelihara hadis adalah kerana keberkatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.  Di antara mereka itu ialah Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr radhiallahu ‘anh yang meriwayatkan kepada kita daripada Rasul yang mulia 5347 buah hadis. ‘Abd Allah bin ‘Umar (anak ‘Umar bin al-Khattab) radhiallahu ‘anhuma pula merupakan lelaki soleh serta alim yang meriwayatkan kepada kita 2630 buah hadis. Kemudian diikuti pula oleh kekasih Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta isteri baginda di dunia serta di akhirat Ummul Mukminin yang alim lagi mujtahid dimana kelebihannya menerusi perintah dari tujuh petala langit, pemimpin kami Aisyah binti al-Shiddiq radhiallahu anhuma. Beliau telah meriwayatkan 2210 buah hadis.

          Diikuti selepas itu dari kalangan sahabat selain mereka yang penuh dengan ilmu, hikmah serta cahaya yang meriwayatkan kepada kita hadis-hadis yang beribu-ribu bilangannya. Maka golongan al-Rafidhah telah mendustakan apa yang diriwayatkan oleh para sahabat tersebut. Bahkan apa yang dikatakan oleh golongan al-Rafidhah itu tidaklah lain adalah apa yang diucapkan oleh golongan Orientalis, Atheis serta para paderi Kristian. Golongan al-Rafidhah mendustakan apa yang diriwayatkan oleh Aisyah isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta para sahabat atau apa yang termaktub di dalam kitab-kitab pengumpulan hadis muktabar seperti Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim serta kitab al-Sunan empat yang lainnya, Shahih Ibn Khuzaimah, Shahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, Musnad Ahmad, Musnad Abi Ya’la, Musnad al-Bazzar, Musnad al-Toyalisi, Musnad al-Humaidi, Musannaf Abd al-Razaq, Musannaf Ibn Abi Syaibah, Sunan al-Darimi, Sunan al-Daruquthni, Sunan al-Baihaqi, Muntaqa Ibn Abi al-Jarud serta selainnya daripada sunnah Muhammadiyah. Bahkan mereka lebih suka kepada apa yang ada di sisi mereka dari hadis-hadis yang riwayatnya penuh dengan pembohongan serta kepalsuan. Mereka hanya menerima periwayatan dari ‘Ali dan Ahl al-Baitnya atau daripada sebahagian sahabat yang bagi pandangan mereka tidak murtad ataupun munafik, dimana jumlah mereka lebih kurang 16 orang sahabat radhiallahu ‘anhum.

          Maka bagaimana mereka hendak bersama-sama menyatukan umat? Bagaimana kaum Muslimin lainnya dapat menanggung luka di dalam hati di atas apa yang dilakukan oleh golongan al-Rafidhah itu? Adakah mereka (kaum Muslimun seluruhnya) hanya akan membisu serta berpeluk tubuh sahaja di atas penghinaan terhadap para sahabat?

          Oleh itu dengan mengharapkan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, saya telah mengarang kitab ini yang isinya berkenaan kelebihan para sahabat yang mana saya dasarkan kepada al-Qur’an serta al-Sunnah al-Nabawiyah yang sahih. Diikuti dengan keutamaan para Khulafa al-Rasyidin yang empat serta para sahabat yang dijamin masuk syurga. Saya tamatkan tulisan saya dengan menyatakan pandangan alim ulama’ terhadap persoalan yang berlegar di sekitar para sahabat radhiallahu ‘anhum.[13]

‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri

         


 

[1]               Catitan penterjemah: Beliau ialah salah seorang daripada Khalifah al-Rasyidin yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, ‘Utsman serta Ali radhiallahu ‘anhum.

[2]               Catitan Penyunting:

Apabila menyebut nama Rasulullah, pengarang akan berdoa ke atas baginda dengan menulis: “shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam” yang bermaksud “Semoga Allah berselawat dan memberi salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya.” Sementara yang lazim dilakukan oleh kita ialah sekadar berdoa “shallallahu 'alaihi wasallam” yang bermaksud “Semoga Allah berselawat dan memberi salam ke atas Nabi Muhammad.” Memberi selawat dan salam ke atas Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak dikenali melainkan dalam bacaan tasyahud ketika solat. Adapun selain itu, ia tidak dilakukan kerana Rasulullah tidak menganjurkan kita melakukannya.

Digariskan bahawa manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum adalah memuliakan mereka sekadar yang dimuliakan oleh al-Qur’an dan hadis yang sahih tanpa menguranginya atau menokok tambah. Berpijak dari manhaj ini, maka dalam menterjemahkan buku ini kami hanya meletakkan doa “shallallahu 'alaihi wasallam” dan bukannya “shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam” sebagaimana yang dilakukan oleh pengarangnya.

[3]               Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh Muhammad Nashr al-Din al-Albani rahimahullah (1999) dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 2640 (Kitab al-Imam, Bab berkenaan berpecahnya umat ini).

[4]               Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth hafizahullah dalam semakannya ke atas kitab Musnad Ahmad – hadis no: 16937 (Musnad al-Syamiyyin, Hadis Mu‘awiyah bin Abi Sufyan): “Isnadnya hasan, namun hadis berpecahnya umat (kepada 73 golongan) adalah sahih berdasarkan syawahid.” Demikian juga, hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 5497 (Kitab al-Sunnah).

[5]               Catitan penyunting:

Yang dimaksudkan oleh pengarang adalah berdasarkan hadis berikut:

وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً. قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي.

Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran, semua mereka masuk Neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. Hadis ini dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2641 (Kitab al-Iman).

[6]               Catitan penyunting:

al-Salaf al-Salih merujuk kepada generasi awal umat Islam. Al-Salaf bererti yang terdahulu manakala al-Salih bererti yang mengikuti mereka dalam kebaikan. Ini berdasarkan firman Allah:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]

[7]               Catitan penyunting:

Maksud pengarang, umat Islam asyik bertelingkah sesama sendiri sehingga lalai daripada kewajipan yang lebih penting, iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, harta (termasuk negara) dan maruah daripada dijajah oleh orang kafir.

[8]               Catitan penyunting:

Golongan Syi‘ah terbahagi kepada beberapa aliran dalam pandangan mereka terhadap para sahabat. Lebih lanjut rujuk buku saya Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Buku 1) terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004. Selain itu, kata-kata pengarang di atas memerlukan perhatian lanjut. Sila lihat komentar saya di bahagian akhir Bab Tiga insya-Allah.  

[9]               Terdapat di kalangan Syi‘ah para ulama’ yang sederhana dimana mereka tidak mencaci para sahabat serta tidak menolak para Khalifah al-Rasyidin, bahkan mereka memohon rahmat serta meredhai para sahabat dan para Khalifah al-Rasyidin. Mereka (para ulama Syi‘ah yang sederhana) bersama-sama dengan golongan Ahl al-Sunnah wal Jamaah yang tidak meredhai golongan sesat (al-Rafidhah) di kalangan Syi‘ah serta tidak meredhai apa yang mereka (al-Rafidhah) tulis di dalam kitab-kitab mereka yang menentang para sahabat serta Ahl al-Sunnah.

[10]             Catitan penyunting:

Kitab al-Muraja‘at adalah antara kitab yang masyhur mutakhir ini dalam menegakkan Mazhab Syi‘ah di atas Mazhab Ahl al-Sunnah. Namun segala hujahnya telah dijawab dan segala pendustaan telah dibongkar oleh Syaikh Mahmud al-Za’by dalam kitabnya Al-Bayyinat fi al-Radd ‘ala Abatil al-Muraja‘at. Ia telah diterjemah ke bahasa Indonesia dan boleh dirujuk dalam bentuk e-book dalam laman web saya di www.al-firdaus.com

Kitab Abu Hurairah juga telah dijawab oleh Syaikh ‘Abd al-Mun‘im Shalih al-‘Aliy dengan judul Difa’ ‘an Abi Hurairah (Dar al-Qalam, Beirut tp.thn.). Buku ini belum lagi diterjemahkan saat ini. Bagi sumber selain bahasa Arab, rujuk buku Syaikh Muhammad Ajaj al-Khatib yang berjudul Hadits Nabi Sebelum Dibukukan (edisi terjemahan oleh Akrom Fahmi; Gema Insani, Jakarta 1999).

[11]             Catitan penyunting:

Alhamdulillah, di Malaysia usaha tersebut sudah bermula dengan penghasilan beberapa buku yang besar manfaatnya, termasuklah buku yang berada di tangan para pembaca sekarang ini. Dengan terhasilnya buku-buku ini, umat Islam mulai kenal dakyah-dakyah Syi‘ah al-Rafidhah ke atas para sahabat dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Selain daripada buku ini, antara buku-buku lain yang saya maksudkan adalah:

1.        Benteng-Benteng Penahan Kehancuran: Satu Upaya dalam Membela Para Sahabat Nabi s.a.w. (Darul Iman, Sri Gombak 2002) yang diterjemah oleh Abu Mazaya & ‘Ali Mahfuz daripada kitab al-‘Awasim min al-Qawasim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafat al-Nabi oleh Abu Bakar Ibn al-‘Arabi (543H).

2.        Pertelingkahan Para Sahabat Nabi (s.a.w): Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah (Edisi Kedua) (Pustaka Yamien, Gombak 2003) oleh Ustaz Muhammad Asri Zainul Abidin.

3.        Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah yang Perlu Diperbetulkan Semula (Jahabersa, Johor Bahru 2003) yang diterjemah oleh Ustaz Basri bin Ibrahim, karya asal Syaikh Ibrahim ‘Ali Sya’wat, pensyarah ilmu-ilmu sejarah di Mesir.

4.        Keadilan Para Sahabat Di Sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah (Jahabersa, Johor Bahru 2005) oleh Ustaz Mohd. Fikri Che Hussain.

[12]             Catitan penyunting:

Penyebaran Islam ke negara-negara baru tidak dikenali sebagai “jajahan” tetapi “pembukaan (al-Fath)” yakni membuka negara tersebut daripada kegelapan syirik kepada kecerahan tauhid dan daripada kejahilan turun temurun kepada ilmu yang berdasarkan kajian dan pemerhatian. Penyebaran Islam ke negara-negara baru tidak menukar agama, adat dan kebudayaan negara tersebut selagi mana ia tidak mengandungi unsur syirik dan kurafat. Penyebaran Islam ke negara-negara baru juga tidak menyebabkan hasil-hasil peribumi negara tersebut direbut dan dimonopoli oleh umat Islam.

Ini berbeza dengan negara-negara barat yang apabila memasuki sebuah negara lain, mereka berusaha menghapuskan agama, adat dan budaya negara tersebut dan menggantikannya dengan agama, adat dan kebudayaan mereka sendiri. Mereka juga merampas harta-harta kekayaan peribumi dan memonopolinya sepenuhnya. Semua ini dikenali sebagai “jajahan” manakala apa yang dilakukan oleh umat Islam, ia dikenali sebagai “pembukaan.”

[13]             Catitan penyunting:

                Bagi edisi terjemahan ini, kami mencukupkannya sehingga kepada keutamaan para Khalifah al-Rasyidin yang empat sahaja. Ini demi menjaga ketebalan buku agar ia tidak menjadi terlalu tebal dan seterusnya, terlalu mahal untuk dimiliki oleh para pembaca sekalian. Lebih dari itu, kritikan Syi‘ah al-Rafidhah kepada para sahabat lebih tertumpu kepada Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman radhiallahu 'anhum sahaja.

 

 >> Kata Pengatar Pengarang

 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7