Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

7     Penjelasan Para Ilmuan Tentang Bahaya dan Hukuman Mencela Sahabat       

 

          Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, jelas kepada kita kedudukan mulia para sahabat yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka sesiapa yang beriman kepada al-Qur’an dan Rasulullah tidak akan sekali-kali berani mencela para sahabat radhiallahu 'anhum. Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat." [al-Hasyr 59:8-10], berkata al-Fakhr al-Razi (الفخر الرازي) rahimahullah (606H) di dalam kitab tafsirnya:[1]

Ketahuilah bahawa ayat di atas ditujukan kepada sekalian orang beriman baik mereka itu di kalangan golongan Muhajirin atau Anshar atau mereka yang datang selepas itu. Sikap kita yang datang selepas golongan Muhajirin serta Ansar adalah kita perlu sentiasa mendoakan mereka serta memohon rahmat ke atas mereka. Sesiapa yang tidak berbuat demikian maka ianya merupakan perbuatan keji serta terkeluar dari golongan orang beriman berdasarkan nas al-Qur’an tersebut.

Di antara golongan yang sudah terkeluar itu ialah golongan Syi‘ah al-Rafidhah.

Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100], berkata Ibn Katsir:[2]

Kecelakaan ke atas sesiapa yang membenci atau mencela para sahabat, sama ada seluruh atau sebahagian daripada mereka. Khasnya terhadap ketua serta pemimpin utama mereka sesudah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam iaitu Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh yang merupakan orang yang terbaik, terutama dan paling benar di kalangan para sahabat.

Sesungguhnya golongan yang gagal adalah Syi‘ah al-Rafidhah, mereka adalah musuh kepada para sahabat – mencela serta mencaci-maki mereka. Kami berlindung kepada Allah dari melakukan perkara yang demikian. Ini menunjukkan bahawa pemikiran serta hati mereka berada dalam keadaan tunggang-terbalik, dimanakah bukti yang mengatakan bahawa mereka beriman dengan al-Qur’an padahal mereka mengutuk serta mencaci-maki golongan yang Allah telah redha ke atas mereka.

Adapun Ahl al-Sunnah, mereka meredhai golongan yang diredhai oleh Allah dan mengutuk golongan yang menerima kutukan Allah serta Rasul-Nya. Mereka (Ahl al-Sunnah) memberikan ketaatan kepada para wali Allah serta menunjukkan kebencian kepada musuh para wali Allah.

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis yang mengiktiraf para sahabat, diikuti dengan bukti-bukti sejarah akan pengorbanan mereka demi Islam, para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah melarang sesiapa daripada mencela para sahabat. Sesiapa mencela para sahabat dianggap telah melakukan kesalahan yang besar dan layak dihukum. Abu Zur‘ah al-Razi rahimahullah (264H) berkata:[3]

      إذا رأيت الرجل ينتقص أحدا من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم فاعلم انه زنديق. وذلك أن الرسول صلى الله عليه وسلم عندنا حق والقرآن حق وما جاء به حق. وانما أدى إلينا هذا القرآن والسنن أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وانما يريدون ان يجرحوا شهودنا ليبطلوا الكتاب والسنة والجرح بهم أولى وهم زنادقة.

Bila engkau melihat seseorang memburuk-burukkan salah seorang daripada sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ketahuilah bahawa orang itu zindik (yang lahirnya kelihatan Islam tetapi hakikatnya kafir). Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di sisi kita adalah benar, al-Qur’an adalah benar dan apa yang datang dengannya adalah benar. Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah telah disampaikan kepada kita hanya menerusi para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka (yang memburuk-burukkan sahabat) mahu mencacatkan saksi-saksi kita dengan tujuan untuk membatalkan (menimbulkan keraguan terhadap) ajaran Al-Qur’an dan Al-Sunnah itu sendiri. Oleh kerana tujuan mereka begitu, maka merekalah yang lebih patut dicacatkan dan mereka adalah golongan zindik.

          Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (544H):[4]

وسب آل بيته وأزواجه وأصحابه صلى الله عليه وسلم وتنقصهم حرام ملعون فاعله.

Mencela dan memburuk-burukkan Ahl al-Bait, para isteri dan para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah haram serta dilaknati ke atas pembuatnya.

          Malik bin Anas rahimahullah (179H) berkata:[5]

من شتم النبي صلى الله عليه وسلم قتل ومن شتم أصحابه أدب.

Sesiapa yang mencaci Nabi shallallahu 'alaihi wasallam maka dia dibunuh manakala sesiapa yang mencaci para sahabatnya maka dihukum.

          al-Nawawi rahimahullah berkata:[6]

واعلم أن سب الصحابة رضي الله عنهم حرام، من فواحش المحرمات سواء من لابس الفتن منهم وغيره لأنهم مجتهدون في تلك الحروب متأولون ... قال القاضي: وسب أحدهم من المعاصي الكبائر، ومذهبنا ومذهب الجمهور أنه يعزر ولا يقتل، وقال بعض المالكية: يقتل.

Ketahuilah bahawa mencela para sahabat radhiallahu 'anhum adalah haram, ia termasuk perkara keji yang diharamkan sama ada kepada mereka yang terlibat di dalam peristiwa fitnah atau selainnya. Ini kerana mereka adalah para mujtahid di dalam peperangan tersebut. al-Qadhi (‘Iyadh) menambah: Mencela salah seorang daripada sahabat merupakan kesalahan yang besar. Pandangan kami serta pandangan jumhur ilmuan adalah mereka itu dihukum tetapi tidaklah dibunuh. Namun menurut sebahagian ulama’ Maliki mereka itu dibunuh.

          Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:[7]

      فأما من سب أحدا من أصحاب رسول الله من أهل بيته وغيرهم فقد أطلق الإمام أحمد أنه يضرب ضربا نكالا وتوقف عن كفره وقتله... وقال عبد الله: سألت أبي من الرافضة؟ فقال: الذين يشتمون أو يسبون أبا بكر وعمر رضي الله عنهما.

Adapun orang yang mencela salah seorang daripada para sahabat Rasulullah, sama ada dari kalangan Ahl al-Bait baginda atau selain mereka[8] maka menurut al-Imam Ahmad dia dipukul dengan sekeras-kerasnya, namun tidak dihukum sebagai kafir mahupun dibunuh. Berkata ‘Abd Allah (bin Ahmad bin Hanbal), aku bertanya kepada ayahku, siapakah al-Rafidhah? Beliau menjawab: Mereka ialah golongan yang mencela atau mencaci-maki Abu Bakar serta Umar radhiallahu ‘anhuma.

Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah juga mengulas hal yang sama:[9]

اختلف في ساب الصحابي فقال: عياض ذهب الجمهور الى أنه يعزر وعن بعض المالكية يقتل. وخص بعض الشافعية ذلك بالشيخين والحسنين فحكى القاضي حسين في ذلك وجهين وقواه السبكي في حق من كفر الشيخين وكذا من كفر من صرح النبي  صلى الله عليه وسلم  بايمانه أو تبشيره بالجنة إذا تواتر الخبر بذلك عنه لما تضمن من تكذيب رسول الله  صلى الله عليه وسلم

Para ilmuan berselisih pendapat tentang hukum orang yang mencela para sahabat. Berkata (al-Qadhi) ‘Iyadh, menurut jumhur ilmuan mereka dihukum manakala menurut sebahagian ilmuan Mazhab Maliki, mereka dibunuh. Sebahagian ilmuan Mazhab al-Syafi’e hukum sedemikian (hukum bunuh) dijatuhkan kepada sesiapa yang mencela Abu Bakar dan ‘Umar serta Hasan dan Husain (dua cucu Rasulullah). Ini dihikayatkan oleh al-Qadhi Husain dan diperkuatkan oleh al-Subki kepada sesiapa yang mengkafirkan Abu Bakar dan ‘Umar.

Demikianlah pandangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas orang-orang yang mencela para sahabat radhiallahu 'anhum.[10]


 

 >> Keutamaan Abu Bakar al-Shiddiq

 


[1]               Al-Tafsir al-Kabir (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 1999), jld. 10, ms. 509.

[2]               Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, jld. 2, ms. 385.

[3]               Diriwayatkan oleh al-Khatib di dalam al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, ms. 49 (Bab Berkenaan pengiktirafan Allah dan Rasul-Nya akan sifat adil para sahabat).

[4]               al-Syifa’, jld. 2, ms. 246.

[5]               Diriwayatkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh di dalam al-Syifa’, jld. 2, ms. 246.

[6]               Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 16, ms. 93.

[7]               Nukilan berpisah daripada al-Sharim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul (Dar Ibn Hazm, Beirut 1417H), jld. 3, ms 1055-1056.

[8]               Catitan penyunting: Ahl al-Bait adalah ahli keluarga Rasulullah, mereka termasuk dalam keumuman kategori sahabat.

[9]               Fath al-Bari, jld. 7, ms. 36.

[10]             Catitan penyunting:

                Pengarang, semoga Allah memberinya ganjaran yang terbaik, telah mengemukakan sejumlah fatwa daripada para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sejak dari zaman awal berkenaan hukum yang layak ke atas orang yang mencela para sahabat radhiallahu 'anhum. Di sini kami hanya mengemukakan sebahagian daripadanya memandangkan kebanyakan daripada fatwa tersebut adalah hampir sama.

                Para pembaca akan mendapati sebahagian daripada fatwa ini menjatuhkan hukum yang saling berbeza. Perbezaan ini bukanlah sesuatu yang saling bertentangan, tetapi saling menguat antara satu sama lain. Tahap hukum yang berbeza dijatuhkan kepada individu yang berbeza bergantung kepada kadar celaan yang mereka berikan kepada para sahabat dan luasnya fitnah yang terhasil daripada perbuatan mencela mereka itu.

                Walaubagaimanapun, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebelum menjatuhkan hukuman ialah memastikan hujah yang benar lagi jelas telah ditegakkan kepada orang yang melakukan perbuatan mencela para sahabat. Tidak boleh menghukum orang yang jahil, keliru atau tidak sengaja. Pada pengamatan saya (Hafiz Firdaus), kebanyakan orang yang kini mencela para sahabat adalah orang-orang Islam yang terpengaruh dengan sumber-sumber bacaan Syi‘ah al-Rafidhah, sama ada dalam bentuk bercetak atau di alam maya (internet). Sumber-sumber ini, dengan solekan ilmiah yang amat menawan, berjaya mempengaruhi para pembaca mereka bahawa kononnya para sahabat adalah golongan yang memang patut dicela. Semoga dengan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikemukakan oleh pengarang dalam bab sebelumnya dapat membetulkan salah faham mereka.


 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7