Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Keempat: Keutamaan ‘Utsman bin ‘Affan Zu al-Nurain

 

          Beliau ialah ‘Utsman bin ‘Affan Abi al-Ash, al-Quraisyi, al-Amawi, al-Makki, Amirul Mukminin, Zu al-Nurain (pemilik dua cahaya), salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga, salah seorang daripada enam anggota Syura yang diredhai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda wafat. Beliau juga salah seorang daripada empat Khalifah al-Rasyidin, salah seorang daripada yang terawal memeluk Islam, salah seorang daripada golongan Muhajirin yang melakukan dua kali hijrah (pertama ke Habsyah, kedua ke Madinah), salah seorang yang banyak menafkahkan hartanya pada jalan Allah, salah seorang daripada menantu Rasulullah serta salah seorang ulama’ di kalangan para sahabat.  

          Dilahirkan pada tahun ke enam dari tahun Gajah, beliau memeluk Islam sebelum Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdakwah di Darul Arqam di tangan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh. Turut memeluk Islam bersama dengannya ialah enam orang sahabat iaitu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Abu Salmah bin Abd al-Asad, al-Arqam bin al-Arqam dan ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu ‘anhum.

          Beliau merupakan Muhajirin yang pertama berhijrah pada jalan Allah ke Habsyah berserta dengan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian mereka berdua berhijrah ke Madinah.

          Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan pengakuan baginda bahawa ‘Utsman merupakan ahli syurga. Baginda juga membai‘ah untuk ‘Utsman melalui tangan baginda yang mulia di bai‘ah al-Ridhwan. Baginda diriwayatkan bersabda: “Sesungguhnya ‘Utsman bin ‘Affan sedang melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.”[1] Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengasihi ‘Utsman serta memperkatakan kemuliaan dirinya, ketinggian akhlaknya serta kedermawannya. 

          Di antara keagungan ‘Utsman ialah ketika tentera Islam dikerahkan dalam keadaan sulit (جيش العسرة) iaitu di dalam peperangan Tabuk. ‘Utsman menafkahkan hartanya sebanyak tiga ratus ekor unta lengkap dengan pelana dan alasnya serta wang sebanyak seribu dinar.     Ibn Ishaq berkata, ‘Utsman menafkahkan hartanya di dalam peperangan tersebut dengan nafkah yang agung yang tidak ada seorangpun yang menafkahkan serupa dengannya ketika itu.

          Termasuk keagungan beliau ialah membeli telaga Rumat dengan harga 35,000 dinar serta menafkahkannya pada jalan Allah bagi menyahut seruan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana baginda bersabda: “Sesiapa yang menggali telaga Rumat maka baginya syurga.”[2]

          Sesungguhnya ‘Utsman radhiallahu ‘anh adalah seorang sahabat yang sangat rajin beribadah siang dan malam sehinggakan pada saat beliau terbunuh, isterinya berkata: “Mereka tergamak membunuhnya, padahal dia telah menghidupkan seluruh malam dengan al-Qur’an.”

          Beliau dilantik menjadi khalifah setelah terbunuhnya ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh dengan disepakati para sahabat radhiallahu ‘anhum di kalangan Muhajirin dan Ansar. Ini berlaku setelah pemilihan yang dilakukan terhadap enam orang ahli syura yang mana beliau adalah salah seorang anggotanya.

          Ketika beliau menjadi khalifah empayar Islam menjadi semakin luas dimana banyak daerah serta kota telah berjaya dibuka. Di antaranya Afrika, Qabras, Tobaristan, Marwu’, Kirman dan Sajistan.

          Berikut diperincikan beberapa keutamaan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh:

 

1      ‘Utsman Di Kalangan Terawal Memeluk Islam

            Ulama’ sejarah bersepakat bahawa ‘Utsman merupakan salah seorang yang awal memeluk Islam di tangan Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu ‘anh.

 

 

2      ‘Utsman Di Kalangan Terawal Berhijrah

          Para ulama’ bersepakat bahawa ‘Utsman radhiallahu ‘anh merupakan Muhajirin pertama yang berhijrah ke Habsyah bersama isterinya Ruqayyah binti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian diikuti oleh golongan Muhajirin lainnya.  Setelah melakukan hijrah ke Habsyah, beliau berhijrah buat kali keduanya ke Madinah. Keutamaan berhijrah serta ganjaran yang diperolehi daripadanya termaklum di dalam al-Qur’an serta al-Sunnah.[3]

 

 

3     Para Malaikat Malu Terhadap ‘Utsman

Pada suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang duduk di rumah baginda dimana ketika itu paha baginda terbuka (tersingkap kainnya). Maka Abu Bakar radhiallahu 'anh meminta izin kepada baginda untuk menutupinya dan diizinkan. Akan tetapi paha baginda (kemudian) terbuka semula. Kemudian ‘Umar radhiallahu 'anh meminta izin kepada baginda untuk menutupinya dan diizinkan. Akan tetapi paha baginda (kemudian) terbuka semula. Kemudian ‘Utsman radhiallahu 'anh beliau meminta izin kepada baginda untuk menutupinya, namun baginda melepaskan pakaiannya (menutupi seluruh pahanya yang terbuka).

Ketika mereka sudah pergi maka A’isyah bertanya: “Wahai Rasulullah, Abu Bakar dan ‘Umar meminta izin kepadamu untuk menutupinya dan engkau mengizinkan keduanya, tetapi engkau tetap berada dalam keadaan semula (membiarkan paha beliau terbuka). Sedangkan ketika ‘Utsman meminta izin kepadamu, maka engkau melepaskan pakaianmu (menutupi paha seluruhnya). Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

أَلاَ أَسْتَحِي مِنْ رَجُلٍ تَسْتَحِي مِنْهُ الْمَلاَئِكَةُ.

Bagaimana aku tidak merasa malu dari seseorang yang malaikatpun merasa malu kepadanya?[4]

          al-Nawawi rahimahullah dalam menerangkan hadis di atas mengulas:[5]

Ianya menunjukkan kelebihan yang nyata pada ‘Utsman dimana beliau dipandang tinggi oleh para malaikat manakala malu merupakan salah satu dari sifat-sifat mulia yang ada pada para malaikat.

  

 

4     ‘Utsman Seorang Derwaman

          Ketika ‘Utsman radhiallahu 'anh dikepung oleh orang-orang yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya, beliau berucap kepada orang ramai:

“Aku mengingatkan kalian, demi Allah, mereka yang mengetahui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari Hira’ bergoncang lalu baginda menghentakkan kakinya ke gunung tersebut seraya berkata: “Tenanglah ya Hira’ tidaklah di atas engkau melainkan seorang Nabi, Siddiq, Syahid.” [6]Mereka menjawab: “Benar!”.

Kemudian ‘Utsman berkata: “Aku mengingatkan kalian, demi Allah, mereka yang mengetahui Rasulullah shallallahu ‘alaihi alihi wa sallam pada hari pasukan ‘Usrah baginda bersabda: “Siapa yang membekali pasukan ini dengan nafkah yang maqbul?” sedangkan orang ramai ketika itu keletihan dan kesempitan disebabkan ekspedisi tersebut (Perang Tabuk).” Mereka menjawab: “Ya Allah! Benar!”

‘Utsman berkata lagi: “Aku mengingatkan kalian, demi Allah, kepada mereka yang mengetahui tentang telaga Rumat yang airnya tidak dapat diminum oleh seseorang kecuali dengan bayaran, lalu aku membelinya dengan hartaku dan aku peruntukkannya kepada orang fakir dan para musafir untuk meminum airnya.” Mereka menjawab: “Ya Allah! Benar!”[7]

          ‘Abd al-Rahman bin Samurah radhiallahu ‘anh berkata:

‘Utsman datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan membawa seribu dinar tatkala dia sedang mempersiapkan pasukan ‘Usrah (untuk ekspedisi Tabuk). Kemudian baginda menyimpannya di dalam biliknya dan membalik-balikkan wang tersebut seraya berkata:

مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ (مَرَّتَيْنِ).

“Setelah ini tidak ada perbuatan ‘Utsman yang membahayakan dirinya.” Baginda mengulanginya dua kali.[8] 

          Dengan adanya penyaksian daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap ‘Utsman dimana apa sahaja yang dilakukannya di masa hadapan tidak akan memberikan kemudaratan pada dirinya, maka apakah patut bagi golongan yang terkemudian untuk mencela serta memaki hamun beliau? Sudah tentu tidak melainkan mereka yang ingkar kepada penyaksian Rasulullah!

 

  

5     ‘Utsman Berada Di Atas Kebenaran Pada Waktu Fitnah

Murrah bin Ka‘ab radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا قُمْتُ وَذَكَرَ الْفِتَنَ فَقَرَّبَهَا فَمَرَّ رَجُلٌ مُقَنَّعٌ فِي ثَوْبٍ فَقَالَ: هَذَا يَوْمَئِذٍ عَلَى الْهُدَى. فَقُمْتُ إِلَيْهِ فَإِذَا هُوَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ. قَالَ فَأَقْبَلْتُ عَلَيْهِ بِوَجْهِهِ فَقُلْتُ: هَذَا؟ قَالَ: نَعَمْ.

Aku mendengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika beliau menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di tengah-tengah umat Islam. Pada ketika menyebut tentang fitnah ini, berlalu seorang lelaki yang tertutup kepalanya dengan kain. Baginda lantas bersabda: “Pada hari tersebut orang ini berada di atas petunjuk” … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu.

(Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata beliau ialah ‘Utsman bin ‘Affan. Kemudian ketika wajah ‘Utsman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: “Orang inikah anda maksudkan?”

Rasulullah menjawab: “Ya.”[9]

            Hadis di atas menyatakan pengakuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap ‘Utsman bahawa beliau berada di atas kebenaran serta jalan yang lurus ketika menghadapi fitnah besar pada masa akan datang. Iaitu fitnah yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah, kezaliman serta kematian ke atas ‘Utsman radhiallahu ‘anh.

  

 

6     ‘Utsman Memenuhi Seruan Allah Dan Rasul-Nya

          Termaktub di dalam Sahih al-Bukhari daripada ‘Ubai Allah bin ‘Ady bin al-Khiar berkenaan dengan kisah al-Walid dimana ‘Utsman berkata:

أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ فَكُنْتُ مِمَّنْ اسْتَجَابَ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَآمَنْتُ بِمَا بُعِثَ بِهِ وَهَاجَرْتُ الْهِجْرَتَيْنِ كَمَا قُلْتَ وَصَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَايَعْتُهُ فَوَاللَّهِ مَا عَصَيْتُهُ وَلاَ غَشَشْتُهُ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ أَبُو بَكْرٍ مِثْلُهُ ثُمَّ عُمَرُ مِثْلُهُ ثُمَّ اسْتُخْلِفْتُ.

Amma Ba’du, sesungguhnya Allah mengutus Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa kebenaran dan aku termasuk salah seorang yang memenuhi panggilan Allah dan Rasul-Nya, aku beriman dengan apa yang baginda diutuskan dengannya (Islam), aku juga melakukan dua kali hijrah, aku juga telah menemani dan membai‘ah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Demi Allah aku tidak pernah menderhakai dan mengkhianati baginda hingga Allah ‘Azza wa Jalla mewafatkannya, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar sehingga aku diangkat menjadi khalifah.[10]

 

 

7     Keutamaan ‘Utsman Di Sebalik Perang Badar, Uhud Dan Bai‘ah al-Ridhwan

            Pada zaman pemerintahan ‘Utsman seorang lelaki datang dari Mesir untuk melaksanakan haji, lantas dia melihat suatu kaum sedang duduk-duduk. Dia bertanya:

“Siapa mereka?”

Dijawab: “Mereka adalah kaum Quraisy.”

“Siapa yang paling alim di antara mereka?”

“‘Abd Allah bin ‘Umar.”

“Wahai Ibn ‘Umar, aku ingin bertanya sesuatu kepada engkau maka tolonglah beri jawapannya. Apakah engkau tahu bahawa ‘Utsman lari meninggalkan pasukan pada Perang Uhud?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Benar.”

“Apakah engkau tahu bahawa dia tidak ikut serta di dalam peperangan Badar?”

“Benar.”

“Apakah engkau tahu bahawa dia tidak ikut serta  Bai‘ah al-Ridhwan?”[11]

“Benar.”

Lelaki itu berkata: “Allahu Akbar.”

Ibn ‘Umar berkata:

Kemarilah aku akan jelaskan kepadamu tentang permasalahan tersebut. Adapun mengenai larinya beliau dari Perang Uhud, sesungguhnya dia telah mendapat ampunan daripada Allah,[12] adapun dia tidak ikut serta di dalam peperangan Badar kerana dia sedang mengurus isterinya yakni puteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang sakit. Rasulullah bersabda kepadanya: “Sesungguhnya engkau mendapat pahala seorang yang ikut serta dalam peperangan Badar dan engkau juga mendapat bahagian pada harta rampasannya.”

Adapun dia tidak ikut serta di dalam Bai‘ah al-Ridhwan, maka kalaulah ada seorang yang lebih terhormat di Kota Mekah selain ‘Utsman tentunya Rasulullah akan menggantikan ‘Utsman dengan orang tersebut. Namun Rasulullah tetap mengirimkan ‘Utsman ke Mekah dan Bai‘ah al-Ridhwan terjadi setelah ‘Utsman berangkat ke Mekah. Rasulullah mengisyaratkan dengan tangan kanannya seraya bersabda: “Ini adalah tangan ‘Utsman” lantas menepukkannya dengan tangan baginda dan bersabda: “Ini adalah bai‘ah ‘Utsman.”

Ibn ‘Umar berkata kepada lelaki tersebut: “Bawalah berita ini kerana sekarang engkau sudah tahu.”[13]

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, tatkala Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk melakukan Bai‘ah al-Ridhwan, ‘Utsman pada saat itu adalah utusan Rasulullah kepada penduduk Mekah. Para sahabat berbai‘ah kepada Rasulullah. Baginda bersabda:

إِنَّ عُثْمَانَ فِي حَاجَةِ اللَّهِ وَحَاجَةِ رَسُولِهِ. فَضَرَبَ بِإِحْدَى يَدَيْهِ عَلَى الأُخْرَى فَكَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعُثْمَانَ خَيْرًا مِنْ أَيْدِيهِمْ لأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya ‘Utsman bin ‘Affan sedang melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.” (Anas berkata): “Kemudian baginda meletakkan satu tangannya kepada yang lain. Dengan demikian tangan Rasulullah disimbolkan sebagai tangan ‘Utsman. Itu adalah lebih baik dari tangan para sahabat yang lain.”[14]

 

           

8     ‘Utsman Dilarang Daripada Melepaskan Jawatan Khalifah

            Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang ‘Utsman daripada melepaskan jawatan khalifah yan bakal disandangnya satu hari nanti. Baginda pernah bersabda:

يَا عُثْمَانُ إِنَّهُ لَعَلَّ اللَّهَ يُقَمِّصُكَ قَمِيصًا فَإِنْ أَرَادُوكَ عَلَى خَلْعِهِ فَلاَ تَخْلَعْهُ لَهُمْ.

Wahai ‘Uthman, sesungguhnya Allah mungkin akan memberikan pakaian kekhalifahan kepada kamu. Oleh itu jika mereka memaksa kamu untuk melepaskan pakaian itu, janganlah kamu melepaskannya.[15]

Pesanan ini dipegang oleh ‘Utsman radhiallahu 'anh sehinggalah hari beliau dikepung. Abi Sahlah radhiallahu 'anh berkata, ‘Utsman berkata kepadanya pada hari pengepungan para pemberontak:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ عَهِدَ إِلَيَّ عَهْدًا فَأَنَا صَابِرٌ عَلَيْهِ.

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memberikan janji kepada aku untuk berpegang teguh kepadanya. Maka aku bersabar untuk berpegang teguh kepadanya.[16]

 

 

9     ‘Utsman Diangkat Menjadi Khalifah

            Amr bin Maimun meriwayatkan sebuah kisah tentang wasiat ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh ketika beliau ditikam yang membawa kematiannya. Orang ramai berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Berikanlah wasiat kepada siapa jawatan khalifah akan diberikan.” ‘Umar menjawab: “Aku tidak dapati orang yang berhak menerimanya selain mereka yang mendapat keredhaan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam hingga baginda wafat.”

Kemudian ‘Umar menyebutkan nama mereka, iaitu ‘Ali, ‘Utsman, al-Zubair, Thalhah, Sa‘ad dan ‘Abd al-Rahman. Setelah selesai pengkebumian ‘Umar, berkumpullah orang-orang yang telah disebutkan namanya. ‘Abd al-Rahman berkata: “Pilihlah di antara kalian tiga orang calon. Zubair berkata: “Aku memilih ‘Ali.” Thalhah berkata: “Aku memilih ‘Utsman.” Sa‘ad berkata: “Aku memilih ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf.”

‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata: “Siapa di antara kamu berdua mahu mengundurkan diri dari pencalonan maka aku akan menjadikan urusan ini untuknya dan Allah yang akan mengawasinya dan Islam, hendaklah lihat siapa yang paling utama di antara kamu berdua?” Ali dan ‘Utsman terdiam. ‘Abd al-Rahman berkata: “Apakah kamu menyerahkan perkara pemilihan ini kepadaku untuk memilih siapa yang terbaik di antara kamu berdua?” Mereka menjawab: “Ya!”

Maka ‘Abd al-Rahman memegang tangan ‘Ali seraya berkata kepadanya: “Engkau adalah kerabat dekat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang pertama masuk Islam dan hal itu sudah engkau ketahui. Demi Allah jika engkau yang diangkat maka berlaku adillah dan jika ‘Utsman yang diangkat maka dengar dan taatilah dia.” Kemudian ‘Abd al-Rahman mendekati ‘Utsman dan mengucapkan hal yang sama. Setelah mereka berdua berjanji, Abdul Rahman berkata: “Angkatlah tanganmu wahai ‘Utsman.” Lantas dia membai‘ahnya diikuti oleh ‘Ali dan semua penduduk.[17]

 

 

10   Khabar Gembira Rasulullah Kepada ‘Utsman

Sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melarang ‘Utsman daripada melepaskan jawatan khalifahnya, Rasulullah juga telah mengkhabarkan kepada ‘Utsman bahawa beliau akan gugur syahid kerananya. Khabar-khabar Rasulullah tentang hal ini mencapai taraf mutawatir sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah.[18]

Ketika rumah ‘Utsman dikepung oleh para pemberontak yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya, Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata:

‘Utsman radhiallahu ‘anh berkata dikhalayak ramai: “Aku melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam mimpi dimana baginda bersabda: Wahai ‘Utsman, berbukalah bersama kami.” (Ibn ‘Umar melanjutkan) Maka pada paginya beliau berpuasa lalu terbunuh pada hari itu.[19]

Musa bin Uqbah radhiallahu ‘anh menerangkan:

‘Utsman tertidur pada hari beliau akan dibunuh, lalu beliau bangun dan berkata: “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam tidurku tadi. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau akan menyaksikan hari Jumaat bersama kami.”[20]

 


>> Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman


[1]               Sanad Dha‘if: Dikemukakan oleh al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-‘Ummal­ – hadis no: 36194 (Bab sambungan berkenaan keutamaan ‘Utsman) dan beliau berkata: Disebut oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan di dalam sanadnya terdapat Musa ibn ‘Ubaidah dan beliau adalah dha‘if.

[2]               Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 2778 (Kitab al-Wasiya) secara mu‘allaq.  Ibn Hajar al-‘Asqalani telah mengemukakan sanadnya yang lengkap sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Isma’ili, Abu Nu‘aim, al-Baihaqi dan al-Daruquthni. Akan tetapi beliau mendiamkan darjatnya. Rujuk al-Taghliq al-Ta’liq (al-Maktabah al-Islami, Beirut 1405H), jld. 3, ms. 428. Riwayat yang seumpama dengan lafaz yang lebih panjang dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 2492 dan berkata penyemaknya, Muhammad Mushthafa al-‘Azhami: sanadnya sahih.

[3]               Catitan penyunting:

                Rujuk semula ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan kedudukan para sahabat sebagaimana yang dikemukakan di bahagian awal buku ini.

[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2401 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan ‘Utsman). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 1, ms. 71 dan Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6907.

[5]               Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms. 169.

[6]               Catitan penyunting:

                Ini merujuk kepada sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ عَلَى حِرَاءٍ هُوَ وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ وَعَلِيٌّ وَطَلْحَةُ وَالزُّبَيْرُ فَتَحَرَّكَتْ الصَّخْرَةُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اهْدَأْ فَمَا عَلَيْكَ إِلاَّ نَبِيٌّ أَوْ صِدِّيقٌ أَوْ شَهِيدٌ.

“Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berada di atas gunung Hira’ dan bersama baginda ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah dan al-Zubair. Lalu gunung Hira’ tersebut bergoncang. Maka Rasulullah bersabda: “Bertenanglah kerana tidaklah di atas engkau kecuali seorang Nabi, Shiddiq dan Syahid.” [Shahih Muslim – hadis no: 2417 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan Thalhah dan al-Zubair)]. Yang dimaksudkan dengan seorang Nabi ialah Rasulullah, Shiddiq ialah Abu Bakar manakala Syahid ialah ‘Umar, ‘Uthman, Thalhah dan al-Zubair dimana mereka semuanya gugur syahid.

[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3699 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Utsman). Selain itu dikeluarkan juga oleh al-Nasa’i di dalam Sunannya – hadis no: 3609 & 3610, Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6916 dan Ahmad di dalam Musnadnya dan Fadha’il al-Shahabah di beberapa tempat.

[8]               Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3701 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Utsman). Selain itu dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 63 dan Fadha’il al-Shahabah di beberapa tempat, al-Thabarani di dalam Musnad al-Syamiyyin – hadis no: 1274 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4553.

[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3704 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Uthman ibn ‘Affan). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 4, ms. 235 & 236 dan Fadha’il al-Shahabah – hadis no: 828.

[10]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3696 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Utsman). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 1, ms 66 & 75.

[11]             Catitan penyunting:

                Tentang Bai‘ah al-Ridhwan, rujuk semula Bahagian A buku ini, bab Para Sahabat Menurut al-Qur’an, ayat ketigabelas.

[12]             Catitan penyunting:

                Pengampunan yang dimaksudkan ialah firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَلَّوْا مِنْكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ إِنَّمَا اسْتَزَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا وَلَقَدْ عَفَا اللَّهُ عَنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Bahawasanya orang-orang yang berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam Perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan; dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. [‘Ali Imran 3:155]

[13]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3698 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Utsman). Juga dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3639 dan Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 2, ms. 101.

[14]             Sanad Dha‘if: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3702 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Utsman). Di dalam sanadnya terdapat al-Hakim bin ‘Abd al-Malik dan dia adalah seorang yang dha‘if. Namun hadis ini adalah benar berdasarkan riwayat yang lain sebagaimana sebelumnya yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3698.

[15]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3705 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Utsman). Selain itu dikeluarkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 112 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4544.

[16]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3711 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Utsman). Selain itu dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 1, ms. 57.

[17]             Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3700 (Kitab al-Manaqib, Bab kisah bai‘ah dan kesepakatan ke atas ‘Utsman).

                Catitan penyunting:

                Perhatikan dalam riwayat di atas, ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh tidak menuntut apa-apa hak khalifah, sebaliknya menyerahkannya kepada pemilihan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf. Pada waktu yang sama tidak ada di kalangan mana-mana sahabat mahupun Ahl al-Bait Rasulullah yang datang meminta agar jawatan khalifah diserahkan kepada ‘Ali. Semua ini membuktikan bahawa tidak pernah wujud wasiat daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa Ahl al-Bait baginda adalah orang yang berhak menjadi khalifah. Seandainya wasiat tersebut wujud, sebagaimana dakwa Syi‘ah al-Rafidhah, pasti ‘Ali dan para Ahl al-Bait akan terus menyuarakan haknya. Akan tetapi ‘Ali tidak menyuarakannya, bukan kerana beliau seorang yang pengecut melainkan beliau sendiri mengetahui bahawa wasiat seumpama sememangnya tidak pernah wujud.

                Dalam kisah di atas juga terserlah kemuliaan sifat ‘Ali yang dengan segala rendah diri telah merelakan jawatan khalifah dipilih oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan disandang oleh ‘Utsman ibn ‘Affan. Beliau mengetahui bahawa kedua-dua sahabat yang senior tersebut lebih berkemampuan dalam hal ini berbanding dirinya sendiri. Sifat mulia yang dimiliki oleh ‘Ali ini jauh berbeza dengan sifat Syi‘ah al-Rafidhah yang tamak kepada jawatan khalifah.

[18]             Rujuk al-Isobah fi Tamyiz al-Shahabah (Dar al-Jiil, Beirut 1412H), jld. 4, ms. 456.

[19]             Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4554 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Utsman) dan beliau berkata: Isnadnya sahih. Dipersetujui oleh al-Zahabi. Juga dikeluarkan oleh al-Thahawi dengan lafaz yang sedikit berbeza di dalam Syarh Ma‘ani al-Atsar, jld. 2, ms. 56.

[20]             Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4542 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Utsman) dan beliau berkata: Isnadnya sahih. Dipersetujui oleh al-Zahabi.

                Catitan penyunting:

                Dalam bab seterusnya, pengarang: Syaikh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri, semoga Allah memeliharanya dan memberi tambahan ilmu kepadanya, menerangkan sejarah pemerintahan ‘Utsman radhiallahu 'anh. Namun beliau hanya memberi tumpuan kepada riwayat-riwayat yang menerangkan kelemahan serta kesilapan kepimpinan ‘Utsman tanpa membezakan sama ada riwayat-riwayat tersebut adalah sahih atau tidak dan tanpa memberi penjelasan tentang kenapa berlaku kesilapan tersebut. Beliau hanya berkata bahawa demikian adalah takdir Allah.

                Saya (Hafiz Firdaus) berkata, adalah mustahil Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan pelbagai kemuliaan dan anugerah melalui kitab-Nya al-Qur’an dan lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kepada ‘Utsman, kemudian pada waktu yang sama mentakdirkan pelbagai kelemahan dan kesilapan dalam kepimpinan ‘Utsman. Melainkan, kelemahan dan kesilapan tersebut yang masyhur tercatit dalam kitab-kitab sejarah adalah tidak benar atau tidak difahami konteksnya yang sebenar.

Ditekankan bahawa terdapat dua manhaj penting di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam mengkaji sejarah para sahabat radhiallahu 'anhum:

1.        Sejarah mereka dikaji di bawah suluhan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih yang mengiktiraf keutamaan dan kebenaran mereka, sama ada yang merujuk kepada mereka secara umum ataupun individu. Dalam erti kata yang lain, sebelum membaca kisah-kisah para sahabat yang tercatit di dalam kitab-kitab sejarah, hendaklah kita terlebih dahulu meletakkan dasar di dalam diri bahawa mereka bukanlah orang sebarangan tetapi manusia istimewa yang telah diiktiraf keutamaan dan kebenarannya oleh Allah dan Rasul-Nya.

2.        Sejarah mereka dikaji dengan dua proses penapisan yang ketat. Pertama, hendaklah riwayat-riwayat tersebut ditapis darjat kekuatannya dan dibezakan antara riwayat yang sahih dan tidak sahih. Kedua, jika riwayat tersebut adalah sahih, hendaklah dicari konteks dan kefahaman yang sebenar di sebaliknya.

Hanya dengan berpijak daripada dua manhaj ini barulah kita dapat memahami sejarah para sahabat dengan sebenar-benarnya. Kesilapan yang berlaku selama ini, khasnya di sisi Syi‘ah al-Rafidhah dan orang-orang yang terpengaruh dengan dakyah mereka, adalah kisah para sahabat diambil bulat-bulat daripada kitab-kitab sejarah. Hasilnya, para sahabat tidak dkenali melainkan sebagai orang biasa yang banyak membuat perkara fasiq dan mungkar.

Atas dasar ini juga, saya tidak menyertakan penerangan sejarah pemerintahan ‘Utsman yang dikemukakan oleh Syaikh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri. Ini kerana apa yang beliau kemukakan tidak jauh berbeza daripada apa yang sedia diketahui oleh orang ramai. Sebaliknya saya akan ringkaskan kelemahan dan kesilapan yang lazim dituduh ke atas ‘Utsman diikuti dengan penjelasannya:

 

Tuduhan pertama:  

‘Utsman seorang yang pelembut sehingga tidak mampu menjadi khalifah yang berwibawa.

Jawapan kepada tuduhan pertama:

Benar bahawa ‘Utsman dikenali dengan satu sifat yang mulia, iaitu pelembut. Akan tetapi lembut atau keras bukanlah faktor yang menentukan kewibawaan seorang khalifah. Yang menentukannya adalah ketaqwaan kepada Allah, kekuatan jatidiri, disiplin dan ilmu. Keempat-empat sifat ini sedia dimiliki oleh ‘Utsman sejak beliau memeluk Islam.

‘Utsman radhiallahu 'anh dikenali sebagai antara orang yang awal memeluk Islam. Beliau juga telah berhijrah dua kali, yang pertama ke Habsyah dan kedua ke Madinah. Pada zaman pemerintahnya, banyak wilayah baru telah dibuka. Beliau juga telah menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama. Semua ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh ‘Utsman seandainya sifat pelembutnya mempengaruhi kewibawaan dirinya. Justeru yang benar, sekalipun ‘Utsman adalah seorang pelembut, namun beliau juga adalah seorang khalifah yang berwibawa.

 

Tuduhan kedua:  

‘Utsman melantik kaum kerabatnya sebagai gabenor.

Jawapan kepada tuduhan kedua:

Benar atau salah perlantikan seorang gabenor tidak terletak pada faktor kekerabatan tetapi pada faktor kejujuran dan kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan. Jika sahih bahawa ‘Utsman melantik kaum kerabatnya ke jawatan gabenor, ia bukanlah satu kesalahan selagi mana mereka adalah jujur dan mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan. Lebih dari itu, Bani Umayyah sememangnya dikenali dalam sejarah Semenanjung Arab sebagai orang-orang yang handal mengendalikan tugas-tugas diplomatik. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diutus menjadi Rasul, baginda juga menugaskan para sahabat dari kalangan Bani Umayyah dengan beberapa tugas tertentu. Oleh itu ‘Utsman hanyalah meneruskan apa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Merupakan satu keanehan apabila Syi‘ah al-Rafidhah menjadikan faktor kekerabatan untuk memfitnah ‘Utsman padahal dalam waktu yang sama Syi‘ah al-Rafidhah juga mewar-warkan Ahl al-Bait sebagai yang berhak menduduki jawatan khalifah. Bukankan Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum adalah daripada kerabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?

 

Tuduhan ketiga:  

Kelemahan kepimpinan ‘Utsman menyebabkan dia tidak mampu memerangi para pemberontak sehingga akhirnya mengakibatkan nyawanya sendiri.

Jawapan kepada tuduhan ketiga:

‘Utsman tidak memerangi para pemberontak bukan kerana dia tidak mampu tetapi kerana dia sengaja enggan memerangi mereka. Malah beliau telah menegah para sahabat daripada turut memerangi para pemberontak tersebut. Terdapat dua sebab kenapa ‘Utsman bertindak sedemikian:

Pertama:

Dalam pelbagai hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengkhabarkan kepada ‘Utsman bahawa beliau pada satu hari nanti akan menerima fitnah disebabkan jawatan khalifah yang dipegangnya. Rasulullah berpesan agar beliau tidak meninggalkan jawatan khalifahnya semata-mata kerana fitnah tersebut. Baginda pernah bersabda: “Wahai ‘Uthman, sesungguhnya Allah mungkin akan memberikan pakaian kekhalifahan kepada kamu. Oleh itu jika mereka memaksa kamu untuk melepaskan pakaian itu, janganlah kamu melepaskannya.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3705 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]

Fitnah ini akhirnya akan menyebabkan beliau dibunuh secara zalim. Kezaliman ini menyebabkan beliau gugur syahid dan diberi kedudukan yang mulia di dalam syurga. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut tentang peristiwa fitnah (yang bakal terjadi), baginda bersabda: “Orang ini akan terbunuh secara zalim” sambil menunjuk ke arah ‘Utsman. [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan berkata al-Albani: Sanadnya Hasan. Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3708 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]

Oleh itu atas pesanan dan janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ke atas beliau, ‘Utsman mengambil sikap bersabar ke atas fitnah yang melanda dirinya. Abi Sahlah radhiallahu 'anh berkata, ‘Utsman berkata kepada beliau pada hari pengepungan para pemberontak: “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memberikan janji kepada aku untuk berpegang teguh kepadanya. Maka aku bersabar untuk berpegang teguh kepadanya.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3711 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]

Berdasarkan pesanan dan janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas, ‘Utsman tahu bahawa sama ada dia memerangi para pemberontak atau tidak memerangi mereka, beliau akhirnya tetap akan korban syahid. Oleh itu ‘Utsman memilih untuk tidak memerangi para pemberontak. Beliau rela dirinya yang terkorban dan bukannya para pemberontak kerana memerangi para pemberontak akan menyebabkan banyak orang awam yang terkorban sama. Hal ini akan diulas secara lanjut seterusnya.

 

Kedua:

Para pemberontak bersembunyi di tengah-tengah umat Islam. Jika ‘Uthman radhiallahu 'anh ingin memburu dan membunuh mereka, pasti ramai umat Islam yang tidak bersalah akan terbunuh. Lebih dari itu para pemberontak itu sendiri terbahagi kepada dua kumpulan, mereka yang benar-benar memusuhi Islam dan mereka yang terpengaruh dengan hasutan musuh Islam. Maka yang sepatutnya diburu adalah mereka yang benar-benar memusuhi ‘Utsman. Namun dalam suasana percampuran masyarakat, adalah amat sukar untuk dibezakan antara pemberontak dan orang awam, antara pemberontak yang benar-benar memusuhi Islam dan yang terpengaruh untuk memusuhi Islam.

Oleh itu agar umat Islam tidak menjadi korban, ‘Utsman merelakan agar dirinya yang terkorban. Beliau juga melarang para sahabat daripada mengangkat senjata membela dirinya kerana hal ini, tidak dapat tidak, pasti akan menyebabkan mereka (para sahabat) terkorban juga. ‘Utsman memilih agar dia dan para sahabat tidak memerangi para pemberontak agar umat Islam akan terselamat manakala para pemberontak yang benar-benar memusuhi Islam dapat dikenal pasti.

Cuba bandingkan, tindakan ‘Utsman di atas pasti tidak akan dilakukan oleh para pemimpin yang lain. Di sisi para pemimpin yang lain, pasti mereka akan mengorbankan rakyat yang ramai semata-mata kerana memburu pemberontak yang sedikit. Mereka tidak sanggup mengorbankan diri sendiri tetapi rakyatlah yang menjadi korban untuk mereka.

Kesilapan kebanyakan penganalisa kepimpinan ‘Utsman radhiallahu 'anh adalah mereka menggunakan ukuran politik masa kini untuk menilai benar atau salah tindak tanduk ‘Utsman. Padahal politik masa kini tidak terlepas daripada pelbagai kotoran dan kezaliman. Sikap yang benar dalam menilai kepimpinan ‘Utsman ialah menggunakan ukuran Allah dan Rasul-Nya. Hanya dengan ukuran ini kita dapat menilai sama ada tindak tanduk ‘Utsman adalah benar atau tidak. Murrah bin Ka‘ab radhiallahu 'anh menerangkan bahawa: “Aku mendengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika beliau menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di tengah-tengah umat Islam. Pada ketika menyebut tentang fitnah ini, berlalu seorang lelaki yang tertutup kepalanya dengan kain. Baginda lantas bersabda: “Pada hari tersebut orang ini berada di atas petunjuk” … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu.

(Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata beliau ialah ‘Uthman bin ‘Affan. Kemudian ketika wajah ‘Uthman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: “Orang inikah anda maksudkan?” Rasulullah menjawab: “Ya.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3704 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]

Justeru jelas bahawa ‘Utsman bukanlah seorang pemimpin yang lemah. Beliau sebenarnya adalah seorang yang berani menghadapi para pemberontaknya. Yang lebih penting, ‘Uthman adalah pemimpin yang menyayangi umatnya sehingga sanggup mengorbankan dirinya asalkan umat pimpinannya tidak terkorban.

 

 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7