Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

3      Pandangan Aneh Berkenaan Sahabat[1]

 

          Berkata al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah di dalam kitabnya al-Kifayah:[2]

وذهبت طائفة من أهل البدع – وهم المعتزلة والشيعة – إلى أن حال الصحابة كانت مرضية إلى وقت الحروب التي ظهرت بينهم وسفك بعضهم دماء بعض فصار أهل تلك الحروب ساقطى العدالة ولما اختلطوا باهل النزاهة وجب البحث عن أمور الرواة منهم.

            Satu golongan dari ahli-ahli bid’ah yang terdiri dari golongan Muktazilah serta Syi‘ah[3] mengatakan bahawa keadaan sahabat adalah diredhai sebelum berlakunya peperangan dan pertumpahan darah di kalangan sebahagian mereka. Dimana golongan yang terlibat dalam peperangan tersebut telah gugur keadilan mereka. Oleh itu apabila mereka bercampur dengan kalangan sahabat yang bersih atau yang tidak terlibat di dalam peristiwa itu maka adalah wajib untuk dikaji tentang periwayatan mereka.

          al-Ghazali rahimahullah (505H) berkata di dalam kitabnya al-Mustashfa (المستصفى)4

وقد زعم قوم أن حالهم كحال غيرهم في لزوم البحث وقال قوم حالهم العدالة في بداية الأمر إلى ظهور الحرب والخصومات ثم تغير الحال وسفكت الدماء فلا بد من البحث وقال جماهير المعتزلة عائشة وطلحة والزبير وجميع أهل العراق والشام فساق بقتال الإمام الحق ... وشك بعضهم في فسق عثمان وقتلته.  وكل هذا جراءة على السلف على خلاف السنة.

            Satu kaum (aliran) telah menyangka bahawa keadaan para sahabat sama seperti keadaan orang-orang lain dalam kemestian untuk mengkaji periwayatan mereka. Menurut suatu kaum (aliran) yang lain pula keadilan mereka hanya diterima pakai pada peringkat awal sehingga berlakunya peperangan dan perbalahan di antara mereka yang membawa kepada pertumpahan darah. Oleh itu tidak dapat tidak perlu untuk dikaji akan periwayatan mereka. Manakala menurut majoriti di kalangan aliran Muktazilah: Aisyah, Talhah serta Zubair (radhiallahu ‘anhum) dan kesemua penduduk Iraq serta Syam adalah golongan fasik disebabkan mereka terlibat di dalam pembunuhan Ali (radhiallahu ‘anh) ... Dan sebahagian mereka pula berasa sangsi terhadap kefasikan ‘Utsman (radhiallahu ‘anh) dan para pembunuhnya. Semua di atas itu adalah tuduhan yang melulu terhadap generasi awal dimana ianya menyalahi al-Sunnah.

al-Syaukani rahimahullah (1252H) menolak pendapat di atas bahawa kononnya sifat adil para sahabat gugur selepas berlakunya peristiwa fitnah seperti pembunuhan ‘Utsman, Perang Jamal dan Perang Siffin. Beliau menulis di dalam al-Irsyad:[5]

وهذ القول في غاية الضعف لاستلزامه إهدار غالب السنة فإن المعتزلين لتلك الحروب هم طائفة يسيرة بالنسبة إلى الداخلين فيها ... القول الرابع أنهم كلهم عدول إلا من قاتل عليا وبه قال جماعة من المعتزلة والشيعة ويجاب عنه بأن تمسكهم بما تمسكوا به من الشبه يدل على أنهم لم يقدموا على ذلك جراءة على الله وتهاونا بدينه ... وقد كان في أهل الشام صحابة صالحون عرضت لهم شبه لولا عروضها لم يدخلوا في تلك الحروب. ولا غمسوا فيها أيديهم. وقد عدلوا تعديلا عاما بالكتاب والسنة.

Ini adalah pendapat yang sangat lemah disebabkan ianya menyimpang dari al-Sunnah.[6] Sesungguhnya golongan Muktazilah di dalam peperangan tersebut terdiri dari bilangan yang kecil berbanding dengan bilangan sahabat mahupun para tabi’in yang terlibat di dalamnya.[7] Menurut pendapat yang keempat,[8] para sahabat semuanya adil kecuali orang-orang yang membunuh Ali radhiallahu ‘anh dimana pendapat ini menjadi pegangan sebahagian golongan Muktazilah serta Syi‘ah. Maka jawapan terhadapnya ialah: Pegangan serta ikutan para sahabat itu pada dasarnya tidak menunjukkan bahawa mereka melampaui perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala ataupun mempermudah-mudahkan agama Allah. Adapun di kalangan penduduk Syam[9] maka ada sahabat yang soleh yang telah terseret ke dalam kancah peperangan. Seandainya tidak terseret maka mereka tidak akan melibatkan diri di dalam peperangan tersebut serta campurtangan di dalamnya. Maka mereka ini adalah tetap adil berdasarkan kenyataan al-Qur’an serta al-Sunnah.

          Golongan Syi‘ah Imamiyyah al-Ja’fariyyah berkata, sepertimana yang disebut oleh Murtadha al-‘Askari (مرتضى العسكري) di dalam Ma‘alim al-Madrasatain:

إن في الصحابة منافقين فنحن نحتاط في أخذ معالم ديننا من صحابي عادى عليا ولم يواليه, حذرا من أن يكون الصحابي من المنافقين الذين لا يعلمهم إلا الله.

            Sesungguhnya di kalangan para sahabat itu adanya golongan munafik. Maka kami berhati-hati dalam mengambil pegangan agama kami daripada para sahabat selain dari Ali radhiallahu ‘anh. Ini kerana kami takut terambil sumbernya dari golongan para sahabat yang munafik dimana mereka itu hakikatnya tidak diketahui jumlah yang sebenar kecuali Allah sahaja.[10]

  

 

Pendapat di atas disebut oleh penulis-penulis mereka (Syi‘ah Imamiyah al-Ja’fariyah) serta ulama’-ulama’ sezaman dengan mereka.[11] Di antara para sahabat yang munafik itu adalah ketiga-tiga Khalifah al-Rasyidin (Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman) serta para sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar yang memberi bai‘ah kepada mereka. Mereka semuanya munafik serta menjadi musuh kepada ‘Ali.

(Demikianlah pendapat Syi‘ah Imamiyyah al-Ja’fariyyah), maka jelaslah bahawa yang sedemikian adalah pendapat yang sesat belaka.   

 

 >> 4. Para Sahabat Tidak Maksum  


[1]               Catitan penyunting:

Pandangan-pandangan yang aneh ini dikemukakan oleh pengarang bukan untuk membenarkannya tetapi sekadar meluaskan skop penganalisaan para pembaca tentang pandangan sebahagian aliran lain tentang para sahabat.

[2]               al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, ms. 49 (Bab Berkenaan pengiktirafan Allah dan Rasul-Nya akan sifat adil para sahabat).  

[3]               Catitan penyunting: Ini adalah tambahan pengarang berdasarkan kenyataan al-Syaukani sepertimana yang akan dinukil seterusnya.

[4]               Nukilan berpisah daripada al-Mustashfa fi ‘Ilm al-Ushul (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Salam; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1412H), ms. 130 (Fasal Keempat berkenaan keadilan para sahabat).

[5]               Nukilan berpisah daripada Irsyad al-Fuhul fi Tahqiq ma al-Haq fi ‘Ilm al-Ushul (Dar al-Fikr, Beirut 1992), jld. 1, ms. 128.

[6]               Catitan penyunting:

Menyimpang dari al-Sunnah – kerana peristiwa-peristiwa fitnah tersebut adalah sesuatu yang sudah diramalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam pelbagai hadis baginda yang sahih. Pada waktu yang sama baginda tetap mengiktiraf sifat adil para sahabatnya sebagaimana yang akan dikemukakan hadis-hadisnya oleh pengarang dalam bab-bab yang akan datang. Pengiktirafan baginda adalah tetap sah dan terpelihara sehingga ke saat wafatnya para sahabat tersebut tanpa mengira sama ada mereka terlibat atau tidak dalam peristiwa fitnah.

                Perlu diingatkan bahawa penetapkan sifat adil ke atas para sahabat bukanlah bererti menetapkan sifat maksum ke atas mereka. Oleh itu para sahabat tetap terbuka kepada ijtihad dimana ada yang benar dan ada yang salah. Namun ijtihad mereka dalam peristiwa-peristiwa fitnah tersebut tidak ada kena-mengena dengan kebenaran mereka – yakni keadilan mereka – dalam menjaga dan menyampaikan agama. Peristiwa-peristiwa fitnah tersebut tidak berlaku kerana sebahagian sahabat mendiamkan agama atau menyelewengkan perintah larangan atau mendustakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Demikian juga, selepas berakhirnya peristiwa fitnah, tidak wujud Mazhab ‘Ali, Mazhab Aisyah, Talhah dan al-Zubair serta Mazhab Mu‘awiyah dalam ajaran-ajaran agama. Justeru sifat adil para sahabat tetap melekat pada diri mereka baik sebelum, semasa atau selepas peristiwa fitnah. Adapun pendapat sebahagian orang bahawa umat Islam terbahagi dua selepas Perang Siffin, iaitu pasukan Mu‘awiyah menjadi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah manakala pasukan ‘Ali menjadi Syi‘ah, maka ia adalah pendapat yang tidak memiliki dasar dalam sejarah yang sahih.

[7]               Catitan penyunting:

Maksudnya, oleh kerana orang-orang daripada aliran Mu’tazilah tidak turut dalam peperangan tersebut kecuali dalam bilangan yang amat sedikit, maka mereka membuat alasan kononnya siapa yang terlibat telah gugur sifat adil mereka. Dengan alasan ini, maka sifat yang adil hanya akan tinggal kepada orang-orang beraliran Mu’tazilah.

[8]               Catitan penyunting:

al-Syaukani dalam bab ini sedang mengupas empat pendapat tentang keadilan para sahabat. Di sini pengarang hanya menukil pendapat yang keempat.

[9]               Catitan penyunting:

Ini kerana pasukan Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anhum yang bertempur dengan pasukan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum datang dari wilayah Syam.

[10]             Catitan penyunting:

Ini adalah salah satu dakwaan yang masyhur di kalangan Syi‘ah untuk menolak sifat adil para sahabat radhiallahu 'anhum. Kami – Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah – menjawab, bahawa sebagaimana Allah sahaja yang mengetahui siapa dan berapa jumlah orang munafik, maka Allah jualah yang akan memelihara agama-Nya ini daripada tipu daya orang munafik yang ingin merosakkannya. Rancangan tipu daya orang munafik telah wujud sejak zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memelihara baginda dan risalah yang disampaikan oleh baginda daripada terkesan oleh tipu daya tersebut. Firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka . [al-Nisaa’ 4:142]

Ayat di atas bukan sahaja sah diperlakukan pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tetapi berpanjangan sekalipun selepas kewafatan baginda. Oleh itu dalam membincang dan menetapkan sifat adil ke atas para sahabat radhiallahu 'anhum, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah akur bahawa di kalangan mereka wujud orang-orang munafik. Akan tetapi kewujudan mereka tidak akan menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas ketulenan agama kerana Allah sentiasa memerhati, merosak dan membalas rancangan tipu daya mereka.

[11]             Catitan penyunting:

Di sini wujud pertentangan dengan apa yang disebut oleh pengarang di bahagian muqaddimah (Kata Pengantar Pengarang). Di sana pengarang menyebut bahawa “Termasuk yang menyeru ke arah ini ialah Syi‘ah al-Imamiyah al-Ja’fariyah telah melakukan pergerakan di serata tempat dan lapangan, dimana ramai di kalangan pengikut-pengikut serta alim ulama’ mereka telah menyeru ke arah penyatuan ummah. Mereka telah membuang jauh perselisihan serta perdebatan yang berlegar di sekitar permasalahan lama yang berlaku sejak zaman berzaman misalnya persoalan makan minum. Golongan tersebut telah menyeru ke arah penyatuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah serta meninggalkan perbezaan pendapat yang merenggangkan perhubungan sesama umat Islam.”

Kemudian beliau menyebut bahawa aliran Syi‘ah yang masih menyelisih Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah Syi‘ah al-Rafidhah dimana di kalangan mereka terdapat beberapa penulis – termasuk Murtadha al-‘Askari – yang mencela para sahabat. Akan tetapi di sini pengarang telah menukil kata-kata Murtadha al-‘Askari dan menyandarkannya kepada aliran Syi‘ah al-Imamiyyah al-Ja’fariyyah. Timbul persoalan – adakah aliran al-Imamiyyah al-Ja’fariyyah telah benar-benar bebas daripada ciri-ciri aliran al-Rafidhah?

Persoalan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sebelum ini memang telah berlaku beberapa pertemuan antara tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah. Pada awalnya kelihatan wujud jalan perdamaian di antara kedua-dua aliran ini. Namun setelah pertemuan berlangsung beberapa kali, jelas bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah tersebut masih memiliki ciri-ciri al-Rafidhah di dalam diri mereka. Perdamaian yang mereka cari tidak lain adalah supaya Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tunduk kepada dasar-dasar mereka, antara lain bahawa ‘Ali bin Abi Thalib adalah khalifah yang hak manakala Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta para sahabat yang telah membai‘ah mereka semuanya adalah orang munafik kerana tidak melantik ‘Ali.

Sama ada al-Imamiyyah al-Ja’fariyyah atau al-Itsna ‘Asyariyyah (12 imam) atau al-Rafidhah atau apa jua aliran Syi‘ah, sikap kita yang benar adalah berwaspada terhadap mereka. Sikap berwaspada ini bukanlah atas dasar berburuk sangka tetapi atas dasar berhati-hati terhadap sikap berpura-pura (taqiyyah) yang lazim diamalkan oleh orang-orang Syi‘ah. Taqiyyah adalah salah satu doktrin penting dalam Mazhab Syi‘ah sehingga dikatakan: “Sembilan persepuluh daripada agama adalah taqiyyah. Dan bukanlah orang-orang yang beragama sesiapa yang tidak beramal dengan taqiyyah.” [al-Kulaini (329H) – Ushul al-Kafi (Dar al-Ta’aruf li al-Mathbu’at, Beirut, 1993), jld. 2, hlm. 220 (Bab al-Taqiyyah).

Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah wajib memiliki sifat yang berwaspada terhadap mana-mana ahli Syi‘ah yang ingin berdamai. Kami tidak berlebih-lebihan dalam menghukum mereka secara terus dan tidak pula membodohkan diri untuk sentiasa membuka tangan menyambut mereka. Setiap individu disemak dan dianalisa iktikadnya yang sebenar dengan manhaj dialog yang berhikmah dan ilmiah.  

 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7