Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Kedua: Keutamaan ‘Umar al-Khaththab al-Faruq

 

Beliau ialah Abu Hafs ‘Umar bin al-Khaththab al-Faruq al-Quraisy al-‘Adawi al-Madani Amir al-Mukminin. Antara yang awal memeluk Islam dan salah seorang dari 10 orang sahabat yang dijanjikan masuk syurga. Beliau juga ialah salah seorang dari khalifah al-Rasyidin yang empat dan menjadi mertua kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. ‘Umar radhiallahu 'anh juga merupakan salah seorang dari ulama’ besar di kalangan para sahabat serta sangat terkenal dengan kezuhudan, ahli ibadat dan keberaniannya. ‘Umar juga merupakan menteri kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di samping Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu ‘anh.  Beliau merupakan orang ketiga yang dikebumikan di Raudhah di samping Rasulullah dan Abu Bakar.

‘Umar dilahirkan 13 tahun sesudah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam . Pada zaman jahiliyah beliau merupakan salah seorang dari pemimpin atau pembesar Quraisy serta menjadi duta mereka. Dikatakan, apabila terjadi permasalahan yang bersangkutan dengan diplomasi maka ianya diserahkan kepada ‘Umar. Jika terjadi peperangan di antara kabilah, maka ‘Umar akan diutus sebagai orang tengah.

Apabila Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam diutus sebagai seorang Rasul, ‘Umar terkenal di kalangan mereka sebagai yang paling kejam penyiksaannya ke atas kaum Muslimin. Namun disebabkan hidayah Allah Subhanahu wa Ta'ala ‘Umar memeluk Islam hasil doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam supaya agama Islam dikuatkan menerusi beliau. Baginda berdoa:

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَم بِعُمَر أَوْ بِعَمْرِو بْن هِشَام.

Ya Allah, muliakanlah agama Islam ini dengan orang yang paling Engkau cintai di antara kedua orang ini, iaitu ‘Umar (bin al-Khaththab) atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal).[1]

Setelah Allah menghendaki kebaikan untuk ‘Umar al-Khaththab, beliau datang bertemu dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di Dar al-Arqam bagi menyatakan keislamannya. Kaum Muslimin sekaliannya berasa amat gembira dengan keislaman ‘Umar dan beliaulah orang yang pertama menyatakan keislamannya secara terang-terangan di khalayak ramai. Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh diriwayatkan berkata:

Islamnya ‘Umar adalah suatu kemenangan besar, hijrahnya adalah keuntungan dan kepimpinannya adalah rahmat. Saya melihat sendiri bagaimana kami tidak mampu melakukan solat di Baitullah sebelum ‘Umar menyatakan keislamannya. Tatkala ‘Umar masuk Islam, dia menyatakan perang kepada mereka (kaum Quraisy) sehingga mereka membiarkan kami melakukan solat dengan bebas.[2]  

‘Umar, sebagaimana Abu Bakar al-Siddiq, tidak pernah memisahkan dirinya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau turut serta mengikuti seluruh peperangan bersama mereka berdua seperti peperangan Badar, Uhud, Khandak, Bai‘ah Ridhwan, Khaibar, pembebasan Kota Mekah dan peperangan Tabuk. ‘Umar terkenal sebagai seorang yang sangat tegas dalam urusan agama Allah dan terhadap orang kafir serta golongan munafik. ‘Umar termasuk di kalangan sahabat yang diredhai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda wafat.

al-Nawawi rahimahullah (676H) di dalam kitabnya Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat  berkata:

Mereka bersepakat tentang banyaknya ilmu ‘Umar, mendalamnya kefahamannya, bersangatan zuhud serta tawadu’nya, sangat mengasihi kaum Muslimin di samping sikap ketegasan dan kebenarannya, mengikuti dengan sepenuhnya jejak-langkah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta amat memberikan perhatian terhadap kemaslahatan kaum Muslimin. Kemuliaannya terkenal di kalangan ahli keutamaan dan kebaikan manakala ciri-ciri kebaikannya sangat banyak untuk diteliti dan diambil iktibar.

          Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh pernah berkata: “Dengan wafatnya ‘Umar maka hilanglah sembilan persepuluh ilmu.”[3] Ini merupakan pandangan yang masyhur di kalangan Salaf al-Soleh.

          ‘Umar juga merupakan antara yang terawal berhijrah ke Madinah mendahului Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anh berkata:

Orang yang pertama kali datang kepada kami dari kalangan Muhajirin adalah Mus‘ab bin ‘Umair, kemudian Ibn Ummi Makhtum, kemudian ‘Umar al-Khaththab dengan rombongan dua puluh orang yang menaiki kenderaan. Kami berkata: “Apa yang sedang dilakukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam saat ini?” ‘Umar berkata: “Dia sedang berada di belakangku.” Kemudian datanglah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakar radhiallahu ‘anh.[4]

          ‘Ali radhiallahu ‘anh berkata:

Saya tidak mengenal seorangpun yang melakukan hijrah melainkan dia akan melakukannya secara sembunyi, kecuali ‘Umar al-Khaththab. Ketika beliau akan berhijrah, dia menyandang pedangnya serta busur panahnya dan memegang beberapa anak panah di tangannya. Dia mendatangi Kaabah ketika orang Quraisy berada di halamannya. Dia melakukan tawaf sebanyak 7 kali serta menunaikan solat di maqam Ibrahim. Kemudian dia mendatangi kelompok Quraisy tersebut satu demi satu sambil berkata: “Wahai wajah-wajah yang tidak bersinar, barangsiapa yang ingin ibunya kehilangan anak, anaknya menjadi yatim, isterinya menjadi janda, maka hendaklah ia menemuiku di belakang lembah ini.” Namun tiada seorangpun dari mereka yang mengikutinya.[5]

          ‘Umar al-Khaththab termasuk di kalangan sahabat yang berjaya mencapai keutamaan yang sempurna di dalam agama sebagaimana Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu ‘anh. Sesungguhnya terdapat banyak kebaikan dan kekhususan yang dikhususkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepadanya dan tidak kepada orang lain. Di antaranya adalah seperti berikut:

 

 

1     Islamnya ‘Umar Membawa Kekuatan Serta Kemuliaan Kepada Islam

            Apabila Allah ingin menguat serta memberikan kemuliaan kepada agama Islam maka Allah memberikan hidayah-Nya kepada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa: Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah satu dari dua orang yang engkau cintai dengan Abu Jahal atau ‘Umar al-Khaththab.[6]

          Maka Allah memperkenankan doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana ‘Umar memeluk Islam. Dengan Islamnya beliau maka agama Allah serta kaum Muslimin sekaliannya menjadi lebih kuat dari sebelumnya.

          ‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata: “Kami menjadi kuat sejak Islamnya ‘Umar.”[7] Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas: “Ianya merujuk kepada bertambahnya kekuatan serta keteguhan melaksanakan segala titah perintah Allah Subhanahu Wa Taala.”[8]

 

 

2     Keluarnya Segala Belenggu Dari Hati ‘Umar

            Ketika ‘Umar memeluk Islam maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan memukul dada beliau sebanyak 3 kali sambil berdoa:

الله اللَّهُمَّ أَخْرِجْ مَا فِي صَدْرِ عُمَرَ مِنْ غِلٍّ وَأَبْدِلْهُ إِيْمَاناً.

Ya Allah, keluarkanlah segala belenggu yang ada pada hati ‘Umar dan gantikanlah ianya dengan iman.[9]

          Tidak diragukan bahawa doa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka keluarlah segala belenggu-belenggu yang ada pada hati ‘Umar sehingga penuhlah dadanya dengan keimanan, kasih sayang serta keikhlasan terhadap sekalian kaum Muslimin. Ini menggentarkan golongan Yahudi, Nasrani, Majusi serta orang-orang kafir yang lainnya disebabkan kehebatan yang ada pada beliau. 

  

 

3      ‘Umar Dikurniakan Ilham

            Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan kebenaran pada diri ‘Umar. Tidak ada sesuatu perkara yang terjadi kepada para sahabat lalu mereka berpendapat dengan sesuatu, sedangkan ‘Umar berpendapat sesuatu yang lain, melainkan turun wahyu Allah yang membenarkan pendapat ‘Umar. Ini tidak lain kerana ilham yang dikurniakan Allah ke dalam hatinya yang penuh dengan kebenaran.

          Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَقَدْ كَانَ فِيمَا قَبْلَكُمْ مِنْ الأُمَمِ مُحَدَّثُونَ فَإِنْ يَكُ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ فَإِنَّهُ عُمَرُ. (وفي رواية): لَقَدْ كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ رِجَالٌ يُكَلَّمُونَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونُوا أَنْبِيَاءَ فَإِنْ يَكُنْ مِنْ أُمَّتِي مِنْهُمْ أَحَدٌ فَعُمَرُ.

Demi sesungguhnya di antara orang-orang sebelum kalian terdapat sejumlah manusia yang mendapat ilham. Apabila salah seorang daripada umatku mendapatkannya maka ‘Umarlah orang itu. (Di dalam riwayat lain): Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian dari Bani Israel ada yang diberikan ilham sekalipun mereka bukan Nabi, jika salah seorang dari umatku mendapatkannya, maka ‘Umarlah orangnya.[10]

          Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ. وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: مَا نَزَلَ بِالنَّاسِ أَمْرٌ قَطُّ فَقَالُوا فِيهِ وَقَالَ فِيهِ عُمَرُ أَوْ قَالَ ابْنُ الْخَطَّابِ فِيهِ شَكَّ خَارِجَةُ إِلاَّ نَزَلَ فِيهِ الْقُرْآنُ عَلَى نَحْوِ.

Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran melalui lidah ‘Umar dan hatinya. Ibn ‘Umar melanjutkan: Tidak ada suatu perkarapun yang terjadi kepada manusia, lalu mereka berpendapat seperti ini, sedangkan ‘Umar (juga dikenali sebagai Ibn al-Khaththab) berpendapat lain, kecuali akan turun ayat al-Qur’an yang membenarkan pendapat ‘Umar.[11]

          ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh berkata: Apabila disebut tentang orang-orang salih, terbayang di fikiran kami tentang ‘Umar. Kami para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah merasa ragu bahawa ketenangan itu terucap dari lisan ‘Umar.[12]

 

 

4    Pendapat ‘Umar Sesuai Dengan Firman Allah

            Di antara keutamaan yang ada pada beliau ialah kerapkali ‘Umar berpendapat tentang sesuatu hal, maka turunlah ayat al-Qur’an yang membenarkan pendapat beliau itu. Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tentang keutamaan ini:

 

Pertama:

          ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan, tatkala ‘Abd Allah bin Ubay mati, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diminta oleh anaknya untuk mensolatkannya dan memohon ampun untuknya. Lalu Rasulullah berdiri untuk mensolatkannya. ‘Umar bangkit dan berkata: “Bukankah Allah melarang kami mensolatkan orang munafiqin?” Rasulullah menjawab: “Saya memilih antara dua kebaikan, sama ada memohon ampun untuk mereka atau tidak memohon ampun untuk mereka. Maka Rasulullah bersolat ke atas ‘Abd Allah bin Ubay. Maka Allah menurunkan ayat:

 

وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ

 

Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka). [al-Taubah 9:84] Maka setelah itu Rasulullah tidak mensolatkan beliau.[13]  

 

Kedua:

          Anas bin Malik radhiallahu 'anh menerangkan bahawa ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh berkata, Pendapatku bersesuaian dengan kehendak Allah dalam tiga perkara:

Pertama, saya pernah berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, andaikata kita menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat solat.[14] Kedua, saya katakan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Ya Rasulullah! Orang yang baik dan buruk perangainya masuk ke dalam rumah isteri-isterimu, alangkah baiknya jika engkau perintahkan mereka untuk berhijab.” Kemudian turunlah ayat hijab.[15] Dan ketiga, para isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkumpul kerana dilanda rasa cemburu. Maka saya katakan semoga Allah menceraikan kamu semua dan Dia menggantikannya dengan isteri-isteri yang lain yang lebih baik dari kamu semua. Lalu turunlah firman Allah tentang hal ini:

عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ      قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا

Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara. [al-Tahrim 66:05][16]

Ketiga:

Setelah selesainya Perang Badar, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada Abu Bakar al-Shiddiq dan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anhuma tentang apakah yang sepatutnya dilakukan kepada para tawanan perang. ‘Umar berpendapat bahawa mereka patut dibunuh. Pendapat ‘Umar adalah benar kerana setelah itu Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan ayat:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأرْضِ

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. [al-Anfal 8:67][17]

 

Keempat:

‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh menerangkan, tatkala turunnya ayat yang mengharamkan arak, dia berdoa: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar.” [al-Baqarah 2:219] ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat yang terdapat dalam surah al-Nisa’:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk. [al-Nisa’ 4:43] …… ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat:

 إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

 

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu tidak mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? [al-Maidah 5:91]

Merujuk kepada firman Allah: “Oleh itu tidak mahukah kamu berhenti?” , ‘Umar berkata: “Kami berhenti!”[18]

          Demikianlah beberapa ayat al-Qur’an yang menunjukkan selarinya pendapat ‘Umar dengan ayat yang diturunkan di dalam al-Qur’an. Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) di dalam Fath al-Bari menyatakan ada 15 pendapat ‘Umar yang bersesuaian dengan ayat al-Quran. al-Suyuthi rahimahullah (911H) di dalam Tarikh al-Khulafa berkata ada 20 pendapat ‘Umar yang bersesuaian dengan ayat al-Quran.[19]

 

 

5     Syaitan Takut Kepada ‘Umar Serta Melarikan Diri Daripadanya

          Di antara keutamaan ‘Umar yang menonjol ialah syaitan takut serta melarikan diri mereka apabila berhadapan dengan beliau. Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِيهًا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ سَالِكًا فَجًّا قَطُّ إِلاَّ سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ.

Wahai Ibn al-Khaththab, demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman tangan-Nya, tidaklah syaitan menemuimu sedang berjalan di suatu jalan kecuali dia akan mencari jalan lain yang tidak engkau lalui.[20]  

          Berkata al-Nawawi rahimahullah ketika mengulas hadis di atas:[21]

Hadis ini difahami secara zahir dimana apabila syaitan melihat ‘Umar melalui satu jalan, ia melarikan diri bertempiaran ke mana sahaja menjauhi ‘Umar kerana ketakutan yang bersangatan daripada keberanian ‘Umar – seandainya dia melakukan sesuatu kepadanya.

          Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menambah:[22]

Di dalamnya terkandung keutamaan ‘Umar yang amat agung sehinggakan syaitan tidak akan berjalan pada jalan yang dilalui olehnya. Ini tidak lain disebabkan pemeliharaan yang tinggi yang ada pada dirinya, ……menunjukkan serta keteguhan, kebenaran serta kejujurannya di dalam memelihara agama.

          Maka hadis di atas jelas menunjukkan kemuliaan yang terdapat pada ‘Umar radhiallahu ‘anh dimana para syaitan takut serta melarikan diri daripadanya. Namun kemuliaan yang terdapat pada dirinya tidak sekali-kali mengatasi kemuliaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana tuduhan yang diperbuat oleh golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang menggunakan hadis di atas bagi menolak keutamaan ‘Umar.

 

 

6     Kuatnya Agama Dan Keimanan ‘Umar

            Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُ النَّاسَ يُعْرَضُونَ عَلَيَّ وَعَلَيْهِمْ قُمُصٌ مِنْهَا مَا يَبْلُغُ الثُّدِيَّ وَمِنْهَا مَا دُونَ ذَلِكَ وَعُرِضَ عَلَيَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَعَلَيْهِ قَمِيصٌ يَجُرُّهُ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الدِّينَ.

“Pada suatu ketika aku sedang tidur bermimpi melihat orang banyak yang ditunjukkan kepadaku. Mereka memakai baju gamis; maka dari baju-baju gamis itu ada yang sampai pada dada, ada yang sampai di bawah itu. Dan diperlihatkan kepadaku ‘Umar bin al-Khaththab dan padanya baju gamis yang diseretnya.” Sahabat bertanya: “Apakah takwilnya itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Agamanya.”[23]

          Hadis di atas menunjukkan kelebihan serta kemuliaan yang nyata pada ‘Umar dimana beliau telah berhasil mencapai keutamaan yang sempurna di dalam agama. Ibn Abi Jamrah radhiallahu ‘anh berkata:[24]

Yang dimaksudkan ‘orang banyak’ di dalam hadis tersebut adalah orang-orang mukmin, sebab pentakwilan Rasulullah ‘baju’ gamis ditakwilkan dengan makna ‘agama’. Beliau berkata lagi: Yang jelas bahawa yang dimaksudkan adalah pengkhususan kepada sebahagian ummat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja. Sedangkan yang dimaksudkan ‘agama’ adalah mengamalkannya sesuai dengan kaedah-kaedahnya, seperti kecenderungan yang sangat tinggi melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan. Sedangkan ‘Umar al-Khaththab di dalam hal ini menduduki kedudukan yang teratas. ……Telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang oleh ‘Uqbah bin Amir radhiallahu ‘anh dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sekiranya ada Nabi selepasku maka ‘Umar al-Khaththablah orangnya.[25]

 

 

7    ‘Umar Mewarisi Ilmu Rasulullah

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ فَشَرِبْتُ مِنْهُ حَتَّى إِنِّي لأَرَى الرِّيَّ يَخْرُجُ مِنْ أَظْفَارِي ثُمَّ أَعْطَيْتُ فَضْلِي يَعْنِي عُمَرَ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الْعِلْمَ.

“Pada suatu ketika aku sedang tidur aku bermimpi diberi segelas susu, maka aku meminumnya sehingga sungguh aku merasakan kesegaran mengalir pada kuku-kukuku, kemudian sisanya aku berikan kepada ‘Umar.” Sahabat bertanya: “Apakah takwilnya itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ilmu pengetahuan.”[26]

Berdasarkan hadis di atas, pemberian susu ke atas ‘Umar menunjukkan apa yang akan perolehi oleh ‘Umar dari ilmu pemberian Allah, manakala penafsiran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa susu dikaitkan dengan ilmu menunjukkan ‘Umar tidak akan mengambil selain dari al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu Nabi yang diperolehinya tanpa perantaraan orang lain. Kaitan antara susu dengan ilmu menunjukkan banyaknya manfaat serta kebaikan yang ada pada kedua-duanya dimana susu merupakan makanan kepada jasmani manakala ilmu merupakan makanan kepada rohani. Yang dimaksudkan dengan ilmu adalah ilmu yang berhubung dengan siasah atau politik pemerintahan. Ianya dikhususkan kepada ‘Umar kerana tempoh pemerintahannya yang panjang dari Abu Bakar al-Siddiq dan manusia pula bersepakat di dalam mentaatinya berbanding dengan ‘Utsman.[27]

          Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata: “Andaikata ilmu ‘Umar diletakkan pada satu piring timbangan dan ilmu seluruh manusia diletakkan pada piring timbangan yang lainnya maka timbangan ‘Umar akan jauh lebih berat.” Beliau menambah: “Sesungguhnya kami mengira sembilan belas jenis ilmu yang hilang pada hari wafatnya ‘Umar.”[28]

 

 

8   ‘Umar Diberi Khabar Gembira Menjadi Penghuni Syurga

          Termasuk keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh adalah beliau diberi khabar gembira oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai penghuni syurga. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي فِي الْجَنَّةِ فَإِذَا امْرَأَةٌ تَتَوَضَّأُ إِلَى جَانِبِ قَصْرٍ. فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِعُمَرَ. فَذَكَرْتُ غَيْرَتَهُ فَوَلَّيْتُ مُدْبِرًا فَبَكَى عُمَرُ وَقَالَ: أَعَلَيْكَ أَغَارُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟

Pada suatu ketika aku tidur, aku melihat diriku ada di dalam syurga. Lalu ada seorang wanita sedang berwuduk di samping sebuah istana, maka aku bertanya: “Istana siapakah ini?” Jawab mereka: “Untuk ‘Umar.” Lalu aku teringat pada kecemburuannya dan aku pun kembali. Mendengar sabda baginda itu ‘Umar menangis seraya berkata: “Apakah kepadamu aku cemburu, wahai Rasulullah?”[29]

 

 

9       ‘Umar Diberi Khabar Gembira Akan Gugur Syahid

          Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyampaikan berita gembira kepada ‘Umar bahawa beliau akan hidup dalam keadaan terpuji serta mati sebagai seorang syuhada’ dan dikurniakan rezeki yang menyejukkan hatinya di dunia serta di akhirat. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat ‘Umar memakai sebuah baju berwarna putih. Baginda bertanya: “Adakah baju engkau ini baju baru atau baju lama yang sudah dibasuh?” ‘Umar berkata: “Aku tidak tahu apa jawapan yang patut aku berikan.” Lalu Nabi bersabda:

الْبَسْ جَدِيدًا وَعِشْ حَمِيدًا وَمُتْ شَهِيدًا وَيَرْزُقُكَ اللَّهُ قُرَّةَ عَيْنٍ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ.

Pakailah baju baru, hiduplah dalam puji-pujian, matilah sebagai seorang syahid dan Allah akan memberikan rezeki kepada engkau apa yang menyejukkan hati engkau di dunia serta akhirat.[30]

          Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas dimana ‘Umar sememangnya telah melalui suatu kehidupan yang terpuji dan Allah mengakhiri kehidupannya dengan gugur syahid. Ia juga merupakan doa yang dipohon oleh ‘Umar pada saat akhir pemerintahannya. Aslam radhiallahu ‘anh berkata bahawa ‘Umar berdoa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ.

Ya Allah, kurniakanlah hamba gugur di jalan-Mu sebagai syahid dan jadikanlah kematian hamba di negara Rasul-Mu.[31]

 

 

10  Kesempurnaan Kecintaan ‘Umar Kepada Rasulullah

            ‘Abd Allah bin Hisyam radhiallahu ‘anh berkata:

Suatu ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda ketika itu sedang memegang tangan ‘Umar al-Khaththab. ‘Umar berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, engkau lebih aku kasihi dari segala-galanya kecuali diriku sendiri.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

لاَ! وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ.

“Tidak! Demi jiwaku berada ditangan-Nya (engkau tidak akan dapat kesempurnaan iman) sehingga aku engkau kasihi lebih daripada dirimu sendiri.” Berkata ‘Umar kepada baginda: “Sekarang, Demi Allah, engkau lebih kukasihi dari diriku sendiri.” Nabi menjawab: “Sekarang, wahai ‘Umar (engkau adalah orang beriman sebenarnya)”[32]

 

 

11 Rasulullah Wafat Dalam Keadaan Meredhai ‘Umar

Termasuk ciri-ciri keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat dalam keadaan meredhai beliau. Berkata ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh kepada ‘Umar sebelum beliau wafat setelah ditikam:

Wahai Amirul Mukminin, bukankah engkau sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang selalu mengiringinya dan engkau telah berbuat baik dalam persahabatan dengannya. Kemudian engkau berpisah dengannya dalam keadaan baginda redha terhadapmu. Setelah itu engkau menjadi sahabat setia Abu Bakar hingga engkau berpisah dengannya dalam keadaan dia redha terhadapmu. Kemudian engkau bergaul dengan sahabat-sahabat mereka dengan baik, maka jika engkau meninggalkan mereka, mereka akan redha terhadapmu.[33]

 

 

12   ‘Umar Penghalang Kepada Fitnah

            Di antara kelebihan ‘Umar adalah beliau seorang penghalang kepada berlakunya fitnah, laksana sebuah pintu. Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anh berkata:

قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْفِتْنَةِ؟ قَالَ قُلْتُ: أَنَا أَحْفَظُهُ ...... فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْمَعْرُوفُ. قَالَ: لَيْسَ هَذِهِ أُرِيدُ وَلَكِنِّي أُرِيدُ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ قُلْتُ: لَيْسَ عَلَيْكَ بِهَا يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ بَأْسٌ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابٌ مُغْلَقٌ. قَالَ: فَيُكْسَرُ الْبَابُ أَوْ يُفْتَحُ؟ قَالَ قُلْتُ: لاَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ: فَإِنَّهُ إِذَا كُسِرَ لَمْ يُغْلَقْ أَبَدًا. قَالَ قُلْتُ: أَجَلْ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنْ الْبَابُ فَقُلْنَا لِمَسْرُوقٍ سَلْهُ قَالَ فَسَأَلَهُ فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.

‘Umar radhiallahu 'anh bertanya: “Siapakah di antara kalian yang menghafal hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang fitnah?” Berkata Huzaifah: “Saya menghafalnya …… fitnah yang menimpa seseorang kerana keluarga, anak dan jiran tetangganya yang dapat dihapuskan dengan solat, sedekah dan perkara ma’ruf (serta mencegah kemungkaran).” ‘Umar berkata: “Bukan itu yang aku maksudkan, akan tetapi fitnah laksana gelombang lautan.”

Huzaifah menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, engkau tidak akan terkena fitnah itu, sebab terdapat pintu yang tertutup antara dirimu dengan fitnah tersebut.” “Apakah pintu itu dirosak ataukah ianya dibuka?” tanya ‘Umar. “Pintu itu dirosakkan.” jawab Huzaifah. “Jika ianya dirosakkan maka ia tidak akan tertutup selama-lamanya.” sambung ‘Umar. “Benar!” sambung Huzaifah pula.

Kami rasa kami tahu siapakah pintu yang dimaksudkan maka kamipun bertanya kepada Masruq: “Tanyakanlah (kepada Huzaifah).” Maka diapun bertanya, Huzaifah menjawab: “Pintu itu ialah ‘Umar.”[34]

          Dalam sebuah riwayat yang lain Abu Dzar radhiallahu ‘anh berkata, Pada suatu hari aku bersama-sama dengan ‘Umar al-Khaththab dan aku memegang tangannya dengan kuat sambil berkata: “Wahai kunci kepada fitnah!” ‘Umar berkata: “Apa itu kunci fitnah?” Aku berkata: “Pada suatu hari telah datang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda duduk di sisi orang ramai dan aku duduk di penghujung mereka. Rasulullah bersabda:

لاَ تُصِيْبُكُمْ فِتْنَةٌ مَا دَامَ هَذَا فِيْكُمْ.

Tidak akan menimpa ke atas diri kamu fitnah selagi mana adanya orang ini di sisi kamu (‘Umar al-Khaththab)[35]

          ‘Umar merupakan pintu tertutup yang menghalang daripada fitnah. Ini tidak lain kerana bersangatan kekuatan dirinya membasmi segala bentuk kemungkaran, kemunafikan serta segala sesuatu yang akan melemahkan iman pada zaman pemerintahannya. Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh mengulas:

Sesungguhnya ‘Umar merupakan kota yang kuat ke atas Islam. Manusia akan masuk dan tidak akan keluar dari kota tersebut. Sejahtera bagi sesiapa yang berada di dalamnya, dan bagi sesiapa yang keluar daripadanya maka dia tidak akan masuk pula ke dalamnya.[36]

 

 

13 Perlantikan ‘Umar Sebagai Khalifah Sesudah Abu Bakar

            ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh dilantik menjadi khalifah pada hari kewafatan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh. Ketika sakitnya Abu Bakar yang membawa kepada kewafatannya, para sahabat di kalangan Muhajirin serta Ansar masuk menemuinya lalu dia berkata kepada mereka: “Katakan kepadaku apa pendapat kamu tentang ‘Umar?” Maka berkata salah seorang dari mereka dari kalangan Ansar iaitu Usaid bin Hudair radhiallahu ‘anh: “Saya tahu bahawa dia adalah orang terbaik setelah engkau. Dia rela untuk satu hal yang baik dan akan marah dengan satu hal yang wajib dibenci.” Kemudian Abu Bakar memanggil ‘Utsman radhiallahu ‘anh dan berkata, tulislah:

Bismillahirrahmanirrahim, inilah apa yang diwasiatkan oleh Abu Bakar bin Abu Quhafah di akhir hidupnya di dunia di saat akan keluar darinya, dan awal hidupnya diambang akhirat…Sesungguhnya saya menetapkan ‘Umar sebagai khalifah atas kamu sekaliannya setelah saya meninggal. Maka dengar dan taatilah dia. Saya telah melakukan yang terbaik kepada Allah, Rasul dan agamanya dan kepada kamu sekalian serta saya sendiri. Maka jika dia berlaku adil, itulah yang saya harapkan dan yang saya ketahui tentang dirinya. Namun jika dia berubah, maka setiap orang akan menanggung apa yang dia lakukan. Sedangkan saya menginginkan hal yang baik, namun saya tidak tahu hal yang ghaib. Dan orang-orang yang melakukan kezaliman akan tahu ke mana mereka akan dikembalikan…wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

          Kemudian Abu Bakar menyuruh ‘Utsman untuk menuliskannya dan mengesahkannya dengan cop mohor lalu menyuruhnya keluar dengan membawa kertas wasiat yang telah diberi cop mohor itu. Abu Bakar kemudiannya memanggil ‘Umar sendirian lalu memberikan nasihat kepadanya. Setelah selesainya segala urusan, Abu Bakar berdoa sambil berkata:

Ya Allah, saya telah menjatuhkan pilihanku untuk kesejahteraan kaum Muslimin dan dengan harapan untuk menghilangkan fitnah yang mungkin muncul di antara mereka. Mengenai apa yang saya lakukan, Engkaulah yang paling mengetahuinya. Setelah melakukan pertimbangan yang sebaik-baiknya saya telah memilih orang yang saya anggap paling mengikuti jalan yang lurus. Perintah-Mu telah dikeluarkan dan saya amanahkan semuanya itu kepada-Mu. Mereka adalah hamba-Mu dan semuanya berada di dalam genggaman Tangan-Mu. Ya Allah, jagalah pemimpin mereka agar berjalan di jalan yang lurus dan saya bermohon kepada-Mu jadikanlah penggantiku sebagai khalifah yang mendapat petunjuk dan memberikan kedamaian.

Sesungguhnya perlantikan ‘Umar al-Khaththab sebagai khalifah menggantikan Abu Bakar merupakan perkara yang disepakati para sahabat sekaliannya. Sejak itu banyaklah jasa ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh dalam menegakkan agama serta memerintah dunia dengannya. Semasa hayat beliau Negara Islam Madinah berjaya membuka[37] beberapa wilayah sehingga ke Iraq, Jazirah serta Iran.  Begitu juga tentera-tentera Islam di zamannya berjaya membuka Parsi, Baitul Maqdis, Palestin, Mesir, Armenia, Azerbaijan, Khuzastan serta banyak wilayah lain di negeri Syam.

          ‘Umar juga melakukan beberapa pembaharuan dalam pemerintahannya, antaranya beliaulah khalifah pertama yang bergelar Amir al-Mukminin, pertama kali membuat kalendar berdasarkan tahun Hijriyah, mengumpulkan manusia untuk solat Tarawih berjemaah, orang yang pertama kali mengelilingi Madinah pada malam hari bagi mengawal rakyatnya, yang pertama kali membuat kota-kota, menempatkan para Qadhi dan sebagainya.

 

 

14     ‘Umar Gugur Syahid

            Abu Lu’luah (أبو لؤلؤة) seorang hamba kepada al-Mughirah bin Syu’bah yang berbangsa Parsi serta beragama Majusi menemui ‘Umar mengadu tentang sesuatu. Lalu ‘Umar membuat keputusan tentang pengaduannya tetapi dia merasa tidak puas hati dan marah di atas keputusan tersebut. Maka beliau menuju ke masjid serta bersembunyi di salah satu sudutnya di dalam kegelapan. Dia terus berada di situ sehingga ‘Umar membangunkan orang ramai untuk menunaikan solat Subuh, maka ketika ‘Umar telah dekat dengannya, Abu Lu’luah menikamnya dengan 3 kali tikaman menggunakan pisau besar yang bermata dua serta beracun. Maka dengan tikaman itu wafatlah ‘Umar setelah tiga hari. Maka benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberikan penyaksian baginda di atas syahidnya ‘Umar al-Khaththab: Kehidupannya terpuji dan matinya sebagai seorang syahid.”

          Amir al-Mukminin ‘Umar radhiallahu ‘anh wafat pada akhir bulan Zulhijjah tahun 23 hijrah ketika umurnya 63 tahun. Beliau dikebumikan di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta Abu Bakar al-Siddiq setelah menjadi khalifah selama 10 tahun 5 bulan serta 21 hari. Setelah meninggalnya beliau maka berkumpullah enam orang sahabat utama ahli Syura untuk melantik penggantinya iaitu: ‘Utsman, ‘Ali, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, al-Zubair, Talhah serta Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu ‘anhum sebagaimana termaktub di dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.[38]

 

 

15     Anak-Anak ‘Umar 

            Anak-anak ‘Umar radhiallahu ‘anh adalah ‘Abd Allah, ‘Ubaid Allah, ‘Asim, Zaid al-Sughra, Umm al-Mukminin Hafsah iaitu isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta Fatimah radhiallahu ‘anhum.

 

>> Keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar


 


[1]               Sanad Sahih: Hadis ini memiliki beberapa lafaz yang berbeza dan diriwayatkan melalui jalan-jalan yang berbeza daripada sahabat yang berbeza. Antaranya ialah “Ya Allah, perteguhkanlah Islam melalui ‘Umar”, dikeluarkan oleh Ibn Abi Khaitsamah daripada Ibn Mas‘ud dan al-Hakim al-Naisaburi daripada A’isyah. Berkata  Ibn Hajar al-Asqalani: sanadnya sahih. Rujuk Fath al-Bari, jld. 7, ms. 48.

                Catitan penterjemah:

Kedua-dua orang tersebut mempunyai keunggulan, kekuatan tabiat dan kemuliaan di hadapan kaum Quraisy. Hal ini dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan harapan agama Islam mendapat kejayaan dengan masuknya salah satu dari kedua orang tersebut.

[2]               Sanad Dha‘if: Dinukil oleh al-Haitsami  di dalam Majma al-Zawa‘id – no: 14410 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani. Penyemak kitab Majma’ al-Zawa‘id: ‘Abd Allah Muhammad al-Darwisy berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir – hadis no: 8820 dan di dalam sanadnya terdapat Abu Nu‘aim Dharar bin Shard, (beliau) dha‘if.

Saya berkata, maksud hadis adalah benar sebagaimana dalam riwayat lain yang lebih ringkas yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3863 (Kitab al-Manaqib, Bab keislaman ‘Umar) daripada Ibn Mas‘ud juga yang bermaksud: “Kami menjadi kuat sejak Islamnya ‘Umar.”

[3]               -----: Dinukil oleh al-Haitsami  di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14436 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar…… tentang ilmunya) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan beberapa sanad, para perawinya adalah sahih kecuali Asad bin Musa dimana beliau adalah terpercaya (thiqah).

[4]               Sanad Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 03 (Musnad sepuluh orang yang diberi khabar gembira syurga, Musnad Abu Bakar al-Shiddiq) dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth.

[5]               -----: Dikemukakan oleh al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-‘Ummal – hadis no: 35796 (Bab keutamaan para sahabat, Sambungan kepada keutamaan al-Faruq).

[6]               Sanad Sahih: Hadis ini memiliki beberapa lafaz yang berbeza dan diriwayatkan melalui jalan-jalan yang berbeza daripada sahabat yang berbeza. Antaranya ialah “Ya Allah, perteguhkanlah Islam melalui ‘Umar”, dikeluarkan oleh Ibn Abi Khaitsamah daripada Ibn Mas‘ud dan al-Hakim al-Naisaburi daripada A’isyah. Berkata  Ibn Hajar al-Asqalani: sanadnya sahih. Rujuk Fath al-Bari, jld. 7, ms. 48.

[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3863 (Kitab al-Manaqib, Bab keislaman ‘Umar).

[8]               Fath al-Bari, jld. 7, ms. 48.

[9]               Sanad Dha‘if: Dikeluarkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – hadis no: 1096 (Bab yang namanya Ahmad) dan berkata penyemaknya, Muhammad Hasan Muhammad: Dalam sanadnya terdapat Khalid bin Abi Bakar yang longgar hafalannya.

[10]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3689 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar). Juga diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2398.

[11]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3682 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib ‘Umar). Selain itu dikeluarkan juga oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 2962 dan Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 108.

[12]             Sanad Hasan: Dinukil oleh al-Haitsami di dalam al-Majma al-Zawa‘id – hadis no: 14427 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani di dalam al-Ausath dan sanadnya adalah hasan.

[13]             Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi ­– hadis no: 3098 (Kitab tafsir al-Qur’an, Bab berkenaan tafsir surah al-Anfal). Yang seumpama juga dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2400.

[14]             Catitan penyunting:

                Dengan itu turunlah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat. [al-Baqarah: 2:125]

[15]             Catitan penyunting:

                Ayat yang dimaksudkan adalah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَى طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانْتَشِرُوا وَلا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنْكُمْ وَاللَّهُ لا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلا أَنْ تَنْكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أَبَدًا إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke  rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.

Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah. [al-Ahzab 33:53]

[16]             Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4483 (Kitab tafsir surah al-Baqarah: Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat).

[17]             Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1763 (Kitab Jihad & ekspedisi perang, Bab bantuan para malaikat dalam peperangan Badar dan keizinan mengambil harta rampasan).

[18]             Sahih: Ringkasan daripada riwayat yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud­ – hadis no: 3670 (Kitab minuman, Bab tentang pengharaman arak).

[19]             Catitan penyunting:

Di antara fitnah Syi‘ah al-Rafidhah kepada ‘Umar al-Khaththab ialah beliau telah membuat pelbagai perubahan dan penambahan hukum pada zaman pemerintahannya. Ini, lanjut mereka, adalah disebabkan keangkuhan ‘Umar bahawa kononnya beliau mendapat ilham dan beberapa pendapatnya sebelum itu bersesuaian dengan firman Allah.

Ahl al-Sunnah menjawab, bahawa apa yang dilakukan oleh ‘Umar bukanlah kerana keangkuhannya tetapi kerana tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah di mukabumi. Seorang khalifah memang perlu bersikap dinamik dalam pemerintahannya agar tujuan-tujuan syari‘at sentiasa tercapai selari dengan perkembangan tempat dan zaman. Syari‘at itu sendiri terbahagi kepada dua kategori, pertama adalah apa yang tetap, kedua adalah apa yang berubah. Membezakan antara apa yang tetap dan berubah lalu melaksanakan perubahan tersebut agar selari dengan tujuan syari‘at adalah salah satu daripada kebijaksanaan ‘Umar yang tidak dapat dijangkau oleh orang biasa.

Peranan seorang khalifah telah disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأمُورِ  

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar (Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar). Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. [al-Hajj 22:41]

Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah umum, mencakupi usaha melakukan apa jua kebaikan yang selari dengan tujuan syari‘at dan menghindari apa jua kemungkaran yang bertentangan dengan tujuan syari‘at.

Oleh itu tindak-tanduk ‘Umar pada zaman pemerintahannya adalah selari dengan tanggungjawab beliau sebagai seorang khalifah. Hanya Ahl al-Sunnah tidak mengkategorikan tindak-tanduk tersebut sebagai “ilham” atau “pendapat yang sesuai dengan firman Allah” tetapi dikategorikan sebagai “ijtihad”. Beberapa tokoh Ahl al-Sunnah telah melakukan kajian ilmiah ke atas tindak-tanduk ‘Umar pada zaman pemerintahannya. Mereka menjelaskan sebab tindak-tanduk tersebut dan dalil serta hujah ‘Umar di sebaliknya. Di antara kajian tersebut ialah kertas tesis Dr. Muhammad Baltaji yang berjudul Metodologi Ijtihad Umar bin al-Khathab (edisi terjemahan oleh Masturi Ilham daripada judul asal Manhaj ‘Umar bin al-Khaththab fi al-Tasyri’; Khalifa, Jakarta, 2005).

[20]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3683 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2396.

[21]             Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms. 165.

[22]             Fath al-Bari, jld. 8, ms. 46.

[23]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 23 (Kitab al-Iman, Bab keutamaan ahli iman dalam amalannya) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2390.

[24]             Dinukil oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 12, ms. 396

[25]             Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3686 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Fadha’il al-Shahabah – hadis no: 519 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4495.

[26]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 7006 (Kitab al-Ta’bir, Bab susu) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2391.

[27]             Catitan penyunting:

                Pengarang pada asalnya menyandarkan penjelasan di atas kepada Ibn Hajar al-‘Asqalani. Walaubagaimanapun saya dapati ia sebenarnya adalah nukilan yang berpisah-pisah dengan beberapa tambahan oleh pengarang sendiri. Oleh itu saya tidak menyandarkan penjelasan di atas sepenuhnya kepada Ibn Hajar.

[28]             -----: Dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14436 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar – tentang ilmunya) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan beberapa sanad, para perawinya adalah sahih kecuali Asad bin Musa dimana beliau adalah terpercaya (thiqah).

[29]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3680 daripada Abu Hurairah, juga no: 3679 daripada Jabir bin ‘Abd Allah (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar). Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2395.

[30]             Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 5620 (Musnad al-Muktsirin) dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth: Para perawinya adalah thiqah, merupakan para perawi al-Bukhari dan Muslim. Juga dikeluarkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 3558.

[31]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 1890 (Kitab al-Hajj). Juga dikeluarkan oleh Malik di dalam al-Muwattha’ – hadis no: 989.

[32]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 6632 (Kitab al-Iman dan al-Nuzur). Selain itu dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 4, ms. 233 dan al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – hadis no: 319.

[33]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3692 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar).

[34]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 1453 (Kitab al-Zakat, Bab sedekah menghapuskan kesalahan) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 144.

[35]             Sanad Dha‘if: Dikemukakan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14452 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath, para perawinya adalah sahih kecuali al-Sari bin Yahya dimana beliau adalah thiqah. Akan tetapi sanadnya terputus kerana al-Hasan al-Bashri tidak pernah mendengar daripada Abu Dzar.

Saya berkata, namun hadis ini memiliki penguat daripada riwayat Huzaifah al-Yaman yang dikeluarkan oleh al-Bukhari sebagaimana di atas.

[36]             -----: Dikemukakan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14466 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan beliau berkata di akhir hadis no: 14468: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan beberapa sanad, para perawinya salah satu daripada sanad tersebut adalah perawi yang sahih.

[37]             Catitan penyunting:

Diulangi bahawa penyebaran Islam ke negara-negara baru tidak dikenali sebagai “jajahan” tetapi “pembukaan (al-Fath)” yakni membuka negara tersebut daripada kegelapan syirik kepada kecerahan tauhid dan daripada kejahilan turun temurun kepada ilmu yang berdasarkan kajian dan pemerhatian. Penyebaran Islam ke negara-negara baru tidak menukar agama, adat dan kebudayaan negara tersebut selagi mana ia tidak mengandungi unsur syirik dan kurafat. Penyebaran Islam ke negara-negara baru juga tidak menyebabkan hasil-hasil peribumi negara tersebut direbut dan dimonopoli oleh umat Islam.

Ini berbeza dengan negara-negara barat yang apabila memasuki sebuah negara lain, mereka berusaha menghapuskan agama, adat dan budaya negara tersebut dan menggantikannya dengan agama, adat dan kebudayaan mereka sendiri. Mereka juga merampas harta-harta kekayaan peribumi dan memonopolinya sepenuhnya. Semua ini dikenali sebagai “jajahan” manakala apa yang dilakukan oleh umat Islam, ia dikenali sebagai “pembukaan.”

[38]             Catitan penyunting:

                Terdapat sebuah hadis sahih yang lazim dijadikan sumber fitnah ke atas ‘Umar radhiallahu 'anh oleh Syi‘ah al-Rafidhah. Hadis tersebut adalah daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh:

لَمَّا حُضِرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي الْبَيْتِ رِجَالٌ فِيهِمْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلُمَّ أَكْتُبْ لَكُمْ كِتَابًا لاَ تَضِلُّونَ بَعْدَهُ. فَقَالَ عُمَرُ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غَلَبَ عَلَيْهِ الْوَجَعُ وَعِنْدَكُمْ الْقُرْآنُ حَسْبُنَا كِتَابُ اللَّهِ. فَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْبَيْتِ فَاخْتَصَمُوا فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ قَرِّبُوا يَكْتُبْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِتَابًا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ مَا قَالَ عُمَرُ. فَلَمَّا أَكْثَرُوا اللَّغْوَ وَالاِخْتِلاَفَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قُومُوا! قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ فَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ: إِنَّ الرَّزِيَّةَ كُلَّ الرَّزِيَّةِ مَا حَالَ بَيْنَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ أَنْ يَكْتُبَ لَهُمْ ذَلِكَ الْكِتَابَ مِنْ اخْتِلاَفِهِمْ وَلَغَطِهِمْ.

Tatkala ajal menghampiri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, di dalam rumah baginda ada beberapa orang, termasuklah ‘Umar bin al-Khaththab. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Marilah aku tuliskan bagi kalian satu tulisan yang dengannya kalian tidak akan menjadi sesat sesudah aku.” ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang mengalami kesakitan yang berat manakala di sisi kalian sudah ada al-Qur’an. Cukuplah al-Qur’an untuk kami semua.

Maka berselisihlah orang-orang yang hadir di dalam rumah di mana sebahagian daripada mereka berkata: “Bawalah bahan tulis agar dengan itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dapat menulis bagi kalian yang dengan itu kalian tidak akan sesat sesudahnya.” Manakala sebahagian yang lain berkata sebagaimana apa yang diperkatakan oleh ‘Umar. Maka tatkala perselisihan menjadi hangat di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda: “Bangunlah (dan pergi dari sini).”

Berkata ‘Ubaid Allah, Ibn ‘Abbas biasa berkata: “Sesungguhnya satu kerugian yang besar di mana disebabkan perselisihan dan kebisingan mereka, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak dapat menulis untuk mereka.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1637-2 (Kitab al-Wasiat, Bab meninggalkan wasiat bagi orang yang padanya tiada apa-apa untuk diwasiatkan)]

Syi‘ah al-Rafidhah mendakwa apa yang ingin ditulis oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah wasiat perlantikan ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai khalifah. Lalu hal ini ditegah oleh ‘Umar radhiallahu 'anh kerana enggan melihat ‘Ali menjadi khalifah.

Ahl al-Sunnah menjawab, wasiat yang ingin ditulis oleh Rasulullah terdiri daripada pelbagai kemungkinan tanpa terbatas kepada perlantikan ‘Ali. Bahkan mungkin apa yang ingin ditulis oleh Rasulullah ialah melantik seorang sahabat selain ‘Ali untuk menjadi khalifah. Justeru apabila ‘Umar menegah Rasulullah daripada menulis wasiat, ‘Umar juga sebenarnya menutup kemungkinan dirinya dilantik menjadi khalifah.

Sebenarnya Syi‘ah al-Rafidhah tidak berhajatkan kepada hadis di atas kerana mereka sendiri sudah memiliki ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang mereka dakwa melantik ‘Ali sebagai khalifah, seperti Ayat al-That-hir, Ayat al-Wilayah, Hadis Ghadir Khum dan Hadis al-Manzilah dan lain-lain. Justeru tujuan Syi‘ah al-Rafidhah menggunakan hadis “larangan penulisan wasiat” di atas hanyalah untuk membuat fitnah ke atas ‘Umar disebabkan kebencian mereka kepada beliau.

Lebih dari itu, dengan merujuk kepada hadis-hadis yang lain kita dapat mengetahui apakah wasiat yang ingin ditulis oleh Rasulullah. Antaranya ialah apa yang diterangkan oleh Sa‘id bin Jubair radhiallahu 'anh:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: يَوْمُ الْخَمِيسِ وَمَا يَوْمُ الْخَمِيسِ؟ ثُمَّ بَكَى حَتَّى بَلَّ دَمْعُهُ الْحَصَى. فَقُلْتُ: يَا ابْنَ عَبَّاسٍ وَمَا يَوْمُ الْخَمِيسِ؟ قَالَ: اشْتَدَّ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعُهُ فَقَالَ: ائْتُونِي أَكْتُبْ لَكُمْ كِتَابًا لاَ تَضِلُّوا بَعْدِي. فَتَنَازَعُوا وَمَا يَنْبَغِي عِنْدَ نَبِيٍّ تَنَازُعٌ. وَقَالُوا: مَا شَأْنُهُ أَهَجَرَ اسْتَفْهِمُوهُ. قَالَ: دَعُونِي فَالَّذِي أَنَا فِيهِ خَيْرٌ أُوصِيكُمْ بِثَلاَثٍ: أَخْرِجُوا الْمُشْرِكِينَ مِنْ جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَأَجِيزُوا الْوَفْدَ بِنَحْوِ مَا كُنْتُ أُجِيزُهُمْ. قَالَ: وَسَكَتَ عَنْ الثَّالِثَةِ أَوْ قَالَهَا فَأُنْسِيتُهَا.

Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata: “Hari Khamis! Aduhai hari Khamis!” Kemudian beliau menangis dengan banyak sehingga aku (Sa‘id bin Jubair) bertanya: “Wahai Ibn ‘Abbas! Kenapa dengan hari Khamis?” Ibn ‘Abbas menjawab: “Sakit Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi berat, lalu baginda bersabda: “Kemarilah supaya dapat aku tuliskan kalian sesuatu yang tidak akan kalian menjadi sesat sesudah aku.”

Mereka (orang yang hadir saat itu) berselisih pendapat (sama ada patut ditulis atau tidak) padahal tidak patut mereka berselisih di sisi Nabi. Mereka bertanya: “Bagaimana keadaan baginda? Adakah baginda masih sedar?”

Rasulullah menjawab: “Tinggalkan aku, aku kini dalam keadaan yang lebih baik. Aku wasiatkan kalian tiga perkara: (1) Keluarkan orang musyrikin daripada Jazirah Arab, (2) Tunjukkan keramahan kepada delegasi (luar yang datang) sebagaimana aku tunjukkan keramahan kepada mereka. (3) (Berkata perawi) Ibn ‘Abbas mendiamkan wasiat yang ketiga atau aku terlupa.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1637 (Kitab al-Wasiat, Bab meninggalkan wasiat bagi orang yang padanya tiada apa-apa untuk diwasiatkan)]

Wasiat ketiga yang didiamkan atau terlupa boleh diketahui melalui hadis berikut:

جُنْدَبٌ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ أَنْ يَمُوتَ بِخَمْسٍ وَهُوَ يَقُولُ: إِنِّي أَبْرَأُ إِلَى اللَّهِ أَنْ يَكُونَ لِي مِنْكُمْ خَلِيلٌ. فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَدْ اتَّخَذَنِي خَلِيلاً كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً. وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا مِنْ أُمَّتِي خَلِيلاً لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ خَلِيلاً. أَلاَ وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ أَلاَ فَلاَ تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ.

Jundab (bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh) berkata, aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda lima hari sebelum kematiannya:

“Sesungguhnya aku berlepas diri daripada Allah seandainya aku mengambil salah seorang daripada kalian sebagai kekasih kerana sesungguhnya Allah Ta‘ala telah mengambil aku sebagai kekasih (Nya) sebagaimana (Dia mengambil) Ibrahim sebagai kekasih (Nya).

Seandainya aku (dibenarkan) mengambil seorang kekasih dari kalangan umatku, nescaya aku mengambil Abu Bakar sebagai kekasih (aku).

Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kalian menjadikan kubur para Nabi mereka dan orang-orang salih mereka sebagai tempat beribadat. Ingatlah! Jangan menjadikan kuburan sebagai tempat beribadat. Sesungguhnya aku melarang kalian daripada tindakan sedemikian.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 532 (Kitab al-Masajid, Bab larangan membina masjid di atas kubur…)]

Oleh itu wasiat yang ingin ditulis oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah:

1.        Hendaklah dihalau orang-orang musyrikin daripada Jazirah Arab.

2.        Hendaklah menjadi tuan rumah yang baik kepada delagasi yang datang dari luar Jazirah Arab.

3.        Jangan menjadikan kubur baginda atau kubur orang-orang salih yang lain sebagai tempat beribadat, seperti bersolat, berdoa, memohon berkat dan sebagainya.

 

 


 
Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7