Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Kelima: Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman

Abu Musa al-Ash’ari radhiallahu ‘anh menerangkan bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke dalam sebuah kebun dan memerintahkan aku untuk menjaga pintu kebun tersebut. Kemudian datang seorang lelaki meminta izin untuk masuk maka baginda bersabda:

افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ.

          “Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga.”

Ternyata lelaki tersebut ialah Abu Bakar lalu aku sampaikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Kemudian datang seorang lelaki lain meminta izin untuk masuk, maka baginda bersabda:

افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ.

“Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga.”

Ternyata lelaki tersebut ialah ‘Umar lalu aku sampaikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Kemudian datang seorang lelaki lain meminta izin untuk masuk. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam duduk, kemudian bersabda:

افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ عَلَى بَلْوَى تَكُونُ.

“Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga disertai dengan musibah yang menimpa.”

Ternyata lelaki tersebut ialah ‘Utsman ibn ‘Affan lalu aku sampaikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Lalu ‘Utsman berkata: “Semoga Allah mengurniakan aku kesabaran” (atau dalam riwayat lain) “Semoga Allah membantu aku.”[1]

          Hadis di atas menunjukkan keagungan ketiga-tiga Khalifah al-Rasyidin dimana mereka merupakan penghuni syurga sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda juga menyatakan tentang fitnah yang akan dihadapi oleh ‘Utsman radhiallahu ‘anh pada masa hadapan. Tidak syak lagi bahawa ramalan baginda merupakan wahyu atau perkhabaran daripada Allah Subhanahu wa Taala.

Dalam sebuah riwayat lain, Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ فَقَالَ اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Maka gunung itu bergoyang bersama mereka. Maka Rasulullah bersabda: “Tetaplah wahai Uhud! Sesungguhnya tidak ada sesiapa di atasmu melainkan seorang Nabi, al-Siddiq dan dua orang syahid.”[2]

 

 

Pandangan Syi‘ah al-Rafidhah Terhadap Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman

          Kami telah menyatakan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman radhiallahu ‘anhum yang merupakan tokoh yang dihormati serta pembesar di kalangan para sahabat dan umat Islam. Mereka merupakan pembawa syari‘at Islam serta penolongnya. Betapa besarnya jasa mereka dimana menerusi tangan merekalah agama Islam serta wilayahnya diperluaskan dari Timur hingga ke Barat.

          Oleh kerana itu orang-orang beriman diwajibkan agar menghormati, mengagung, memulia dan meletakkan mereka pada kedudukan yang betul sebagaimana kedudukan mereka di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam .

          Sesungguhnya golongan Syi‘ah, khususnya Syi‘ah al-Rafidhah, mengambil sikap menolak para sahabat yang diberikan keutamaan serta kelebihan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala menerusi al-Qur’an serta menerusi lidah Rasul-Nya yang al-Amin (terpercaya). Bahkan sebahagian mereka mencela, mengutuk, mencaci-maki sehingga ke peringkat mengkafirkan para sahabat tersebut.

          Syi‘ah al-Rafidhah juga bersepakat bahawa ketiga-tiga orang khalifah itu berada jauh dari petunjuk Allah atau sesat. Maka dengan itu mereka mencela dan melaknat mereka di dalam segala hal keadaan.

          Sesungguhnya terdapat banyak sumber serta perkhabaran daripada Syi‘ah al-Rafidhah yang menyatakan kemurtadan, kekafiran serta kefasikan ketiga-tiga orang khalifah tersebut. Bahkan termasuk di kalangan yang menerima hukuman tersebut adalah para sahabat seluruhnya yang turut memberikan bai‘ah mereka kepada ketiga-tiga khalifah tersebut.

          Syi‘ah al-Rafidhah hanya mengecualikan ‘Ali serta Ahl al-Bait beliau serta sebilangan kecil para sahabat iaitu Abu Zar, Miqdad, Salman al-Farisi, Ammar bin Yassir serta beberapa lain yang bilangannya tidak melebihi jari-jari tangan manusia.  Termasuklah yang murtad adalah para Ummahatul Mukminin, yakni isteri-isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

          Pandangan Syi‘ah al-Rafidhah ini termaktub di dalam kitab-kitab karangan alim ulama’ mereka. Jika dikaji secara adil, segala pandangan mereka itu tidak sanggup diucapkan oleh orang-orang Islam yang beriman kecuali daripada golongan Yahudi, Kristian, Orientalis serta golongan yang tidak percaya kepada agama.[3]

          Maka kami menamatkan perbincangan keutamaan ketiga-tiga orang khalifah radhiallahu ‘anhum dengan diikuti perbincangan khalifah yang keempat, ‘Ali bin Abi Thalib.

  

>>  Keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah


 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2403 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan ‘Utsman). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari secara lebih panjang di dalam Shahihnya – hadis no: 3674.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3675 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”).  Juga dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 4032 dan al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no 3630.

[3]               Catitan penyunting:

                Bahkan Syi‘ah al-Rafidhah lebih buruk dari itu. Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:

Yahudi dan Kristian lebih baik dari golongan al-Rafidhah kerana dua sifat mereka iaitu, jika kamu bertanya kepada orang-orang Yahudi: “Siapakah orang-orang yang terbaik di antara pengikut-pengikut agama kamu?” Mereka akan menjawab: “Sahabat-sahabat Nabi Musa.” Sekiranya kamu bertanya orang-orang Kristian: “Siapakah yang terbaik di antara penganut-penganut agama kamu?” Mereka akan menjawab: “Para Hawariyun (sahabat-sahabat Nabi Isa).”

Akan tetapi jika kamu bertanya golongan al-Rafidhah siapakah orang yang paling jahat di antara pengikut-pengikut agama kamu? Mereka akan menjawab: “Sahabat-sahabat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.” Mereka disuruh beristighfar untuk para sahabat tetapi sebaliknya mereka mengutuk sahabat-sahabat tersebut. [Minhaj al-Sunnah (Muassasah Qurthubah, 1406H), jld. 1, ms. 27]

 

 


 
Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7