Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

Keenam: Keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah

 

          Beliau ialah Abu al-Hasan, Abu Turab, ‘Ali bin Abi Thalib al-Hashimi al-Makki al-Madani al-Kufi, Amirul Mukminin. Sepupu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saudara, wali serta menantu baginda menerusi perkahwinannya dengan penghulu wanita syurga iaitu Fathimah binti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau juga adalah bapa kepada “Abu al-Sabthain” iaitu Hasan serta Husain radhiallahu 'anhuma. Sedangkan ibunya merupakan wanita pertama Bani Hasyim yang melahirkan seorang Bani Hasyim. ‘Ali merupakan khalifah pertama di kalangan Bani Hasyim, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga, salah seorang yang menyertai Perang Badar yang telah diampuni dosa-dosa mereka, salah seorang daripada enam ahli Syura yang diredhai Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila baginda wafat. Beliau juga salah seorang yang paling awal memeluk Islam, salah seorang daripada Khalifah al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, salah seorang ulama’ besar di kalangan para sahabat, Imam Rabbaniyyin yang masyhur gagah beraninya serta sangat terkenal dengan kezuhudannya.

‘Ali radhiallahu 'anh merupakan orang yang pertama memeluk Islam di kalangan kanak-kanak. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhijrah ke Madinah, baginda telah memerintahkan ‘Ali yang ketika itu masih kanak-kanak, untuk tinggal di Mekah selama beberapa hari sehingga dia mengembalikan semua barangan yang diamanahkan kepada baginda untuk dijaga oleh para pemiliknya. ‘Ali telah menunaikan tanggungjawab itu dengan baiknya. Para sejarawan Islam bersepakat bahawa ‘Ali menghadiri semua peperangan bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kecuali Perang Tabuk kerana pada ketika itu baginda melantiknya sebagai wakil baginda di Madinah serta menjaga kaum keluarga baginda di sana. Dalam setiap peperangan yang disertainya, ‘Ali memiliki kisah-kisah yang sangat terkenal sehinggakan baginda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyerahkan bendera perang kepadanya dalam banyak peristiwa peperangan.

‘Ali radhiallahu 'anh dilantik menjadi khalifah sehari setelah terbunuhnya ‘Utsman radhiallahu ‘anh menerusi kesepakatan para sahabat Muhajirin dan Ansar. Namun selepas dari perlantikannya itu berlaku pergeseran di antara beliau dengan sebahagian sahabat utama, di antaranya Talhah serta al-Zubair radhiallahu ‘anhuma apabila mereka berdua ingin menyelesaikan segera persoalan pembunuhan ‘Utsman radhiallahu ‘anh. ‘Ali membuat keputusan untuk menangguhkan penangkapan ke atas pembunuh tersebut sehingga selesai urusan menundukkan para pemberontak.

Disebabkan perbezaan pendapat inilah maka Muawiyah bin Abu Sufian radhiallahu ‘anh tidak memberikan bai‘ahnya kepada ‘Ali sehingga ‘Ali menyelesaikan dahulu permasalahan tersebut. Rentetan dari peristiwa tersebut menyebabkan berlakulah peperangan saudara di kalangan umat Islam iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin yang akhirnya membawa kepada peristiwa Tahkim. Namun terdapat di kalangan pengikut ‘Ali radhiallahu ‘anh yang tidak bersetuju diadakan perdamaian serta Tahkim, maka mereka membuat keputusan keluar dari barisannya serta mengambil tindakan mengkafirkannya. Golongan mereka ini kemudiannya diperangi dalam sebuah peperangan Nahrawan. Golongan yang keluar ini dikenali sebagai golongan Khawarij. Akan tetapi sebahagian dari mereka melakukan perancangan teliti yang akhirnya berjaya mengakibatkan pembunuhan ‘Ali menerusi ‘Abd al-Rahman bin Muljam al-Khariji pada tahun 40 hijrah (661 Masihi).

 

Anak-Anak Beliau

Anak-anak lelaki ‘Ali radhiallahu ‘anh adalah Hasan, Husain, Muhammad al-Hanafiyyah, ‘Abbas dan ‘Umar. Manakala anak-anak perempuan beliau adalah Zainab dan Umm Kaltsum, dimana Umm Kaltsum ini telah dinikahkan dengan ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anh.[1]

‘Ali, Sahabat Yang Sangat Banyak Kelebihannya

‘Ali karramallahu wajhah[2] mempunyai banyak keutamaan serta kelebihan sehingga berkata Ahmad, Isma’il al-Qadhi, al-Nasa’i dan Abu ‘Ali al-Naisaburi rahimahumullah: Belum ada riwayat dengan sanad-sanad yang baik berkenaan keutamaan sahabat yang lebih banyak daripada riwayat tentang keutamaan ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anh.[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan sebabnya:[4]

Ini kerana beliau adalah orang yang terakhir (iaitu Khalifah al-Rasyidin yang terakhir) dimana banyak terjadi perselisihan pada zaman beliau sehinggakan sebahagian orang menyatakan bangkangan terhadap beliau. Itulah sebabnya riwayat-riwayat tentang beliau tersebar, bersumber dari penjelasan para sahabat sebagai bantahan terhadap orang-orang yang berselisih faham dengan beliau……

Pada masa pemerintah ‘Ali terdapat golongan yang memerangi beliau, kemudian (selepas itu) diperhebatkan oleh para khatib dari kalangan para penderhaka Bani ‘Umayyah dan penyokong mereka yang melaknat beliau di atas mimbar-mimbar (ketika solat Jumaat). Begitu juga kebencian yang bersangatan oleh golongan Khawarij terhadapnya sehingga ke peringkat mengkafirkan beliau. 

Umat Islam pada ketika itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan:

1.        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dimana mereka merupakan golongan yang memberikan bai‘ah kepada ‘Ali radhiallahu ‘anh serta kekal di dalam bai‘ah tersebut.

2.       Golongan ahli Bid’ah dari kalangan Khawarij.

3.       Golongan yang memeranginya dari kalangan Bani Umayyah serta pengikut-pengikut mereka.

Oleh kerana itu Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah memandang penting untuk menyebarkan riwayat-riwayat tentang keutamaan serta kelebihan ‘Ali radhiallahu ‘anh. Maka ramailah perawi yang menukilkannya. Kerana pada hakikatnya seluruh Khalifah al-Rasyidin yang empat, masing-masing daripada mereka mempunyai keutamaan serta kelebihan. Dan apabila disukat dengan sukatan yang adil, pasti tidak akan terkeluar dari asas Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.[5] 

          Berikut disenaraikan keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh:

 

 

 

1       ‘Ali Mencintai Allah Dan Rasul-Nya Dan Dia Dicintai Allah Dan Rasul-Nya

Di antara keutamaan yang agung bagi ‘Ali radhiallahu ‘anh adalah pengakuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa ‘Ali mencintai Allah dan Rasul-Nya manakala Allah dan Rasul-Nya juga mencintai beliau. Sesungguhnya sangat benarlah ucapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu. Sahal bin Sa‘ad radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pada hari Perang Khaibar:

لأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلاً يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ.

“Nescaya akan kuserahkan bendera ini esok hari kepada seseorang yang Allah berikan kemenangan melalui tangannya. Orang itu mencintai Allah serta Rasul-Nya dan dia dicintai oleh Allah serta Rasul-Nya.”

(Sahal meneruskan): Maka semalaman suntuk orang-orang membicarakan siapakah di antara mereka yang akan diserahi bendera itu. Keesokan paginya mereka mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana masing-masing berharap dialah yang akan diserahkan bendera itu. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dimanakah ‘Ali bin Abi Talib?” Dijawab: “Wahai Rasulullah! Dia diserang sakit mata.” Rasulullah bersabda: “Panggil dan bawa dia kemari.”

Dan dibawalah ‘Ali kehadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda meludah pada kedua belah matanya seraya berdoa untuknya. Seketika sahaja dia sembuh seakan-akan tidak pernah terkena penyakit. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyerahkan bendera itu kepadanya. ‘Ali berkata: “Wahai Rasulullah, aku memerangi mereka hingga mereka menjadi seperti kita.”

Rasulullah bersabda: “Majulah ke depan dengan tenang! Sampai kamu tiba ke tempat mereka, ajaklah mereka kepada Islam dan sampaikanlah kepada mereka hak-hak Allah yang wajib mereka tunaikan. Demi Allah, sekiranya Allah memberikan petunjuk kepada seseorang melalui dirimu, sungguh lebih baik (berharga) bagimu daripada memiliki unta-unta merah.[6]

          Hadis ini menunjukkan kelebihan ‘Ali dimana kedudukan beliau sudah berada pada tahap maqam kasih-sayang (al-Mahbubiyyah) Allah Subhanahu Wa Ta‘ala serta Rasul-Nya. Kedudukan tersebut tidak dikurniakan kecuali kepada lelaki yang sangat tinggi kedudukannya.

 

 

2       Mencintai ‘Ali Sebahagian Daripada Iman Manakala Membenci ‘Ali Sebahagian Daripada Kemunafikan

          Termasuk keutamaan ‘Ali radhiallahu 'anh adalah Allah menjadikan antara petanda keimanan seseorang dengan mencintai beliau manakala petanda kemunafikan seseorang adalah dengan membenci beliau. ‘Ali pernah berkata:

وَالَّذِي فَلَقَ الْحَبَّةَ وَبَرَأَ النَّسَمَةَ إِنَّهُ لَعَهْدُ النَّبِيِّ لأُمِّيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيَّ أَنْ لاَ يُحِبَّنِي إِلاَّ مُؤْمِنٌ وَلاَ يُبْغِضَنِي إِلاَّ مُنَافِقٌ.

Demi Zat yang membelah biji-bijian dan menciptakan makhluk yang bernyawa, sesungguhnya Nabi yang Ummi shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan kepadaku bahawa tidak ada yang mencintaiku kecuali seorang mukmin dan tidak ada yang membenciku kecuali seorang munafik.[7]      

Hadis ini menunjukkan kelebihan ‘Ali radhiallahu ‘anh dimana ia merupakan neraca bagi mengenali golongan beriman serta golongan munafik. Sesiapa yang mengasihi kerabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang termasuk di dalamnya ‘Ali maka dia mengasihi baginda dan baginda mengasihinya. Betapa tingginya kedudukan ‘Ali dilihat dari segi jasa-jasa, penghijrahan serta jihadnya bagi meninggi dan memberikan kemenangan kepada Islam. Bertentangan dengan itu, sesiapa yang mencela serta mengutuknya maka ia menjadi tanda kepada terkeluarnya iman dan Islam seseorang itu serta menunjukkan kepada budi-pekerti yang buruk. Maka dengan sebab itu para sahabat, apabila mereka ingin mengenali golongan munafik di kalangan mereka, mereka akan melihat kepada sesiapa yang menunjukkan kebencian kepada ‘Ali radhiallahu ‘anh.

Adapun peristiwa sebahagian para sahabat yang terlibat di dalam memerangi ‘Ali, misalnya Thalhah, al-Zubair serta ‘Aisyah radhiallahu ‘anhum, mereka melakukan tindakan demikian bukanlah kerana kebencian kepada ‘Ali atau perkara yang berkaitan dengan keperibadian ‘Ali atau kerana urusan keduniaan. Akan tetapi ia adalah di atas urusan keagamaan yang melibatkan permasalahan ijtihad semata-mata. Adapun kesalahan ijtihad tentunya mereka dimaafkan sekiranya tersalah.

 Berbeza dengan Syi‘ah al-Rafidhah yang menjadikan hadis ini sebagai hujah bagi menunjukkan kemunafikan sebahagian besar dari para sahabat kerana bertindak zalim memerangi ‘Ali semasa pemerintahannya. Maka betapa sesat dan mengarutnya pandangan mereka itu.

 

 

3       Kedudukan ‘Ali Di Sisi Rasulullah Seperti Kedudukan Harun Di Sisi Musa

            Satu penghormatan yang tinggi nilainya bagi ‘Ali ialah apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikannya sebagai wakil serta khalifah sementara bagi menggantikan tempat baginda sewaktu baginda masih hidup serta meletakkan kedudukannya sama seperti Nabi Harun di sisi Nabi Musa ‘alaihimussalam.

          ‘Amr bin Sa‘ad bin Abi Waqqas meriwayatkan daripada ayahnya bahawa dia berkata:

أَمَرَ مُعَاوِيَةُ بْنُ أَبِي سُفْيَانَ سَعْدًا فَقَالَ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسُبَّ أَبَا التُّرَابِ؟ فَقَالَ أَمَّا مَا ذَكَرْتُ ثَلاَثًا قَالَهُنَّ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَنْ أَسُبَّهُ لأَنْ تَكُونَ لِي وَاحِدَةٌ مِنْهُنَّ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ.

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَهُ خَلَّفَهُ فِي بَعْضِ مَغَازِيهِ فَقَالَ لَهُ عَلِيٌّ: يَا رَسُولَ اللَّهِ خَلَّفْتَنِي مَعَ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ؟ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلاَّ أَنَّهُ لاَ نُبُوَّةَ بَعْدِي.

وَسَمِعْتُهُ يَقُولُ يَوْمَ خَيْبَرَ: لأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ رَجُلاً يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ. قَالَ فَتَطَاوَلْنَا لَهَا فَقَالَ: ادْعُوا لِي عَلِيًّا فَأُتِيَ بِهِ أَرْمَدَ فَبَصَقَ فِي عَيْنِهِ وَدَفَعَ الرَّايَةَ إِلَيْهِ فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ.

 وَلَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ دَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيًّا وَفَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَقَالَ: اللَّهُمَّ هَؤُلَاءِ أَهْلِي.

Muawiyah bin Abu Sufian radhiallahu ‘anh melantik Sa‘ad sebagai Gabenor lalu berkata: “Apakah yang menghalangimu dari mencela Abu al-Turab (‘Ali)?” Sa‘ad menjawab: “Ianya disebabkan tiga perkara (keutamaan) yang saya ingat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata tentangnya, maka dengan itu saya tidak akan mencelanya. Malah jika saya dapat perolehi satu daripada (keutamaan tersebut) untuk diri saya maka ianya lebih aku kasihi daripada unta-unta merah.”

(Sa‘ad menyambung) “Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata tentang ‘Ali semasa baginda meninggalkannya (di Kota Madinah ketika baginda keluar) dalam satu peperangan (iaitu Perang Tabuk). ‘Ali berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, anda meninggalkan saya bersama-sama dengan wanita dan kanak-kanak?” Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya: “Apakah engkau tidak redha kedudukanmu di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Hanyasanya tidak ada Nabi lagi sesudahku.”

Dan saya juga mendengar baginda bersabda pada hari Perang Khaibar: “Nescaya aku akan serahkan bendera ini kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dia dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.” Berkata Saad: Kami menanti dengan penuh harapan akan perkara tersebut, lalu baginda berkata: “Panggil ‘Ali.” Lalu diapun dipanggil sedangkan dia menghidapi sakit mata. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyemburkan ludahnya kepada kedua matanya dan menyerahkan bendera itu kepadanya. Maka Allah memberikan kemenangan kepadanya.

(Keutamaan ketiga adalah) apabila turunnya ayat: Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu [ Ali Imran 3:61], maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memanggil ‘Ali, Fatimah, Hasan, Husain lalu berkata: “Ya Allah mereka adalah keluargaku.”[8] 

Sesungguhnya Muawiyah dan para pengikutnya serta sebahagian dari para pembesar Bani Umayyah di serata wilayah pemerintahannya mencela serta melaknat ‘Ali radhiallahu ‘anh di atas mimbar-mimbar masjid. Hal ini berlaku pada waktu hari raya serta di perhimpunan lainnya. Mereka mengingkari sesiapa yang tidak melakukan demikian serta menghukum mereka sehingga ke peringkat membunuh bagi sesiapa yang tidak mencela dan melaknat ‘Ali. Ini  sebagaimana yang termaktub di dalam kitab-kitab hadis dan sejarah. Di antara riwayat yang dimaksudkan ialah daripada Sahal bin Sa‘ad radhiallahu 'anh:

اسْتُعْمِلَ عَلَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ مِنْ آلِ مَرْوَانَ قَالَ فَدَعَا سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ فَأَمَرَهُ أَنْ يَشْتِمَ عَلِيًّا. قَالَ فَأَبَى سَهْلٌ. فَقَالَ لَهُ: أَمَّا إِذْ أَبَيْتَ فَقُلْ لَعَنَ اللَّهُ أَبَا التُّرَابِ! فَقَالَ سَهْلٌ: مَا كَانَ لِعَلِيٍّ اسْمٌ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ أَبِي التُّرَابِ.

Seorang lelaki dari ahli keluarga Marwan dilantik sebagai Gabenor Madinah. Maka dia  memanggil Sahal bin Sa‘ad dan menyuruhnya untuk mencela ‘Ali. Sahal menolak untuk melakukannya. Dia (Gabenor) tersebut berkata kepadanya: “Sekiranya kamu tidak setuju melakukannya sekurang-kurangnya katakanlah, Semoga Allah mencela Abu Turab!”

Sahal menjawab: “Tidak ada nama yang lebih dicintai ‘Ali selain daripada Abu Turab.”[9]

          Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa sebahagian besar Bani Umayyah serta para pengikut mereka mencela serta melaknat ‘Ali dan menyeru orang ramai agar melakukan hal yang sama. Perbuatan mereka merupakan sesuatu yang sabit dan tidak mungkin dapat diingkari. al-Suyuthi rahimahullah berkata: “Bani Umayyah telah melaknat ‘Ali bin Abi Thalib di tujuh puluh mimbar Masjid.” Al-Abi rahimahullah di dalam Syarh Shahih Muslim berkata: “Sesungguhnya mencela ‘Ali tu merupakan seburuk-buruk perkataan dan perbuatan Bani Umayyah.”[10]

  

          Kami (pengarang) menekankan bahawa sesiapa yang mencela ‘Ali radhiallahu ‘anh maka dia mencela Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dikatakan oleh Umm Salamah radhiallahu 'anha, bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ سَبَّ عَلِيًّا فَقَدْ سَبَّنِي.

Sesiapa yang mencela ‘Ali maka dia mencela diriku.[11]

          Adapun sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah engkau tidak redha kedudukanmu di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Hanyasanya tidak ada Nabi lagi sesudahku” merupakan hadis yang mutawatir yang diriwayatkan menerusi sepuluh orang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta termaktub di dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.

Maksud hadis di atas adalah seakan-akan Nabi bersabda kepada ‘Ali: “Engkau saudaraku, menteriku serta khalifahku sewaktu aku masih hidup.”[12] Ini sebagaimana yang berlaku di antara Nabi Musa dengan Nabi Harun. Nabi Harun adalah saudara, menteri dan khalifah Nabi Musa kepada Bani Israel sewaktu hayat Nabi Musa. Ini berlaku ketika beliau (Nabi Musa) pergi bermunajat kepada Allah.[13] Akan tetapi Nabi Harun tidak menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi Musa kerana beliau (Nabi Harun) telah wafat terlebih dahulu. Maka begitu juga ‘Ali tidak menjadi khalifah khusus bagi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali sewaktu hayat baginda sahaja.[14] Maka hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah bagi menunjukkan ‘Ali sebagai khalifah Rasulullah selepas kewafatan baginda sebagaimana lazim diperhujahkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah.[15]

 

 

4       ‘Ali Dan Rasulullah Merupakan Sebahagian Dari Sebahagian Yang Lain

Di antara keutamaan yang agung bagi ‘Ali radhiallahu 'anh adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan diri ‘Ali sebahagian dari diri baginda. Al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada ‘Ali:

أَنْتَ مِنِّي وَأَنَا مِنْكَ.

Engkau adalah daripadaku dan aku adalah daripada engkau.[16]

Dalam riwayat yang lain daripada ‘Imran bin al-Hushain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengutus ‘Ali mengetuai satu ekspedisi ke Yaman. Dalam ekspedisi tersebut, sebahagian sahabat ada yang tidak setuju dengan tindak-tanduk ‘Ali, lalu mereka mengadu kepada Rasulullah setelah kembali ke Madinah. Setiap kali mereka mengadu Rasulullah berpaling, sehinggalah kali keempat dimana baginda menjadi marah dan bersabda:

مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! إِنَّ عَلِيًّا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَلِيُّ كُلِّ مُؤْمِنٍ بَعْدِي.

Apa yang kalian kehendaki dari ‘Ali? Apa yang kalian kehendaki dari ‘Ali? Apa yang kalian kehendaki dari ‘Ali? Sesungguhnya ‘Ali adalah daripada aku dan aku adalah daripada ‘Ali dan dia (‘Ali) adalah wali setiap mukmin sesudah aku.[17]

 

 

5       ‘Ali adalah Maula Bagi Sekalian Orang Beriman

            Di antara keutamaan dan kelebihan yang dikhususkan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada ‘Ali ialah beliau adalah Maula pemimpin bagi setiap orang yang beriman sesudah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

مَنْ كُنْتُ مَوْلاَهُ فَعَلِيٌّ مَوْلاَهُ.

Barangsiapa yang aku adalah mawlanya maka ‘Ali adalah mawlanya.[18]

          Dalam riwayat yang lain dengan jalan periwayat yang banyak, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ كُنْتُ مَوْلاَهُ فَهَذَا وَليَّهُ, اللَّهُمَّ وَالِ مَنْ وَالاَهُ وَعَادِ مَنْ عَادَاهُ.

Barangsiapa aku adalah mawlanya maka inilah (‘Ali) walinya. Ya Allah! Cintailah sesiapa yang memperwalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.[19]

Walaubagaimanapun tidak boleh mengangkat perkataan Mawla kepada al-Imamah (atau khalifah) kerana ia bertentangan dengan apa yang berlaku secara realiti. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan mengkhabarkan sesuatu yang bertentangan dengan realiti. Memahami perkataan Mawla sebagai al-Imamah (atau khalifah) membawa kepada celaan dan kesesatan kepada setiap sahabat, khasnya para sahabat yang utama dari kalangan Muhajirin dan Anshar. Oleh itu perkataan Mawla wajib difahami sebagai kecintaan, pertolongan dan kesetiaan dalam Islam.[20]

 

 

6       Mengasihi ‘Ali Bererti Mengasihi Rasulullah Manakala Membenci ‘Ali Bererti Membenci Rasulullah

Umm Salamah radhiallahu 'anha berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَحَبَّ عَلِياًّ فَقَدْ أَحَبَّنِي، وَمَنْ أَحَبَّنِي فَقَدْ أَحَبَّ الله، وَمَنْ أَبْغَضَ عَلِياًّ فَقَدْ أَبْغَضَنِي، وَمَنْ أَبْغَضَنِي فَقَدْ أَبْغَضَ الله.

Sesiapa yang mengasihi ‘Ali maka sungguh dia mengasihi aku dan sesiapa mengasihi aku maka sungguh dia mengasihi Allah. Dan sesiapa membenci ‘Ali maka sungguh dia membenci aku dan sesiapa membenci aku maka sungguh dia membenci Allah.[21]

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَحَبَّ عَلِياًّ فَقَدْ أَحَبَّنِي وَمَنْ أَبْغَضَ عَلِياًّ فَقَدْ أَبْغَضَنِي.

Sesiapa yang mengasihi ‘Ali maka sungguh dia mengasihi aku dan sesiapa membenci ‘Ali maka sungguh dia membenci aku.[22]

Sesungguhnya ini merupakan keutamaan anugerah Allah yang dikhususkan kepada Abu al-Hasan (‘Ali) radhiallahu ‘anh.      

  

 

7       Allah Mengampuni ‘Ali

‘Ali radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Mahukah aku ajarkan kamu kalimat yang apabila diucap terampunlah bagi engkau dan engkau memperoleh kedudukan keampunan? (Ucapkanlah):

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَرَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Penyantun, yang Maha Mulia. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Tinggi, yang Maha Agung. Maha Suci Allah Tuhan langit yang tujuh dan Tuhan al-‘Arasy yang agung. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.[23]

Ini merupakan keutamaan besar dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kepada ‘Ali radhiallahu 'anh dimana beliau akan berada di bawah pengampunan Allah Subhanahu wa Ta'ala serta segala dosa dan kesalahannya akan diampuni. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana ‘Ali merupakan salah seorang ahli keluarga Nubuwwah, seorang yang menyertai Perang Badar dan Bai‘ah al-Ridwan.

8       ‘Ali, Sahabat Nabi Yang Paling Berilmu dan Pintu Kepada Kota Ilmu

          Termasuk keutamaan ‘Ali ialah ketinggian ilmunya dimana jarang sekali di kalangan para sahabat yang lain yang dapat menandinginya. Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata-kata kepada Fathimah radhiallahu 'anha dimana antara lain baginda bersabda:

أَوَ مَا تَرْضَيْنَ أَنِّي زَوَّجْتُكِ أَقْدَمَ أُمَّتِي سِلْمَا وَأَكْثَرَهُمْ عِلْمًا وَأَعْظَمَهُمْ حِلْمًا؟

Apakah engkau akan redha apabila aku memberitahu bahawa suami engkau adalah orang yang paling terdahulu bagi umatku dalam kebaikannya, paling banyak ilmunya di antara mereka dan paling agung kesantunannya di antara mereka?[24]

Hasan bin ‘Ali radhiallahu 'anhuma berkhutbah selepas pembunuhan ‘Ali: “Demi sesungguhnya kalian telah berpisah dengan seseorang yang tidak dapat ditandingi ilmunya baik oleh orang yang sebelumnya mahupun selepasnya.”[25]

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diriwayatkan bersabda:

أَنَا مَدِيْنَةُ العِلْمِ وَعَلِي بَابُهَا فَمَنْ أَرَادَ المَدِيْنَةُ فَلْيَأْتِ البَاب.

Saya adalah kota ilmu sedangkan ‘Ali adalah pintunya, sesiapa yang hendak memasuki kota (ilmu) maka masuklah melalui pintunya.[26]

Hadis di atas menunjukkan bahawa ‘Ali radhiallahu ‘anh adalah seorang yang sangat menguasai ilmu pengetahuan serta petunjuk. Keadaan ini bertambah terserlah menerusi penyaksian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila baginda mengutuskan beliau sebagai Qadhi (Hakim) ke Yaman sekalipun beliau saat itu masih muda. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdo’a untuk ‘Ali: Ya Allah berikanlah petunjuk dalam hatinya dan tetapkan lidahnya.” Sejak itu ‘Ali tidak pernah ragu-ragu untuk memutuskan hukuman di antara dua orang yang dihadapkan kepadanya.[27]

‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh pernah berkata: “Pembaca al-Qur’an terbaik di kalangan kami ialah Ubay manakala sebaik-baik Qadhi (hakim) di kalangan kami ialah ‘Ali.”[28] Ibn Mas‘ud radhiallahu 'anh berkata: “Kita telah berbincang, bahawa di kalangan kami (para sahabat) Qadhi yang terbaik ialah ‘Ali.”[29] ‘Aisyah radhiallahu 'anha pernah ditanya tentang hukum menyapu di atas kasut sebagai ganti membasuh ketika berwudhu’, maka beliau menyuruh orang tersebut untuk merujuk kepada ‘Ali bin Abi Thalib.[30]

          Pernah pada zaman pemerintahan ‘Umar, beliau menghukum rejam ke atas seorang wanita yang tidak siuman. Hal ini sampai ke pengetahuan ‘Ali, lalu beliau pergi berjumpa ‘Umar dan berkata: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau tahu sesungguhnya terangkat kalam (Allah tidak akan menyiksa) manusia ke atas 3 perkara: Orang yang gila hingga dia sedar dari gilanya, orang yang tidur hingga dia bangun dari tidurnya dan kanak-kanak hingga dia mencapai usia baligh?” ‘Umar menjawab: “Benar.” Maka selepas itu wanita tersebut dibebaskan.[31] Demikianlah contoh ketinggian ilmu ‘Ali radhiallahu 'anh. Kalaulah tidak nasihat ‘Ali kepada ‘Umar, nescaya wanita tidak siuman tersebut akan dihukum rejam. Kisah ini juga menunjukkan betapa besarnya kedudukan ‘Ali di sisi ‘Umar.[32]

 

 

9       Kebenaran Berada Di Tangan ‘Ali

Termasuk keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh adalah ramalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa kelak akan ada perselisihan dan di dalam perselisihan tersebut, kebenaran berada di pihak ‘Ali.

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh berkata, Kami berada di sisi rumah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersama-sama para sahabat Muhajirin dan Ansar, lalu baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kalian apa yang baik bagi kalian?” “Sudah tentu!” Rasulullah bersabda: Orang-orang yang memberi kemaafan yang membuat kebaikan. Sesugguhnya Allah mengasihi orang yang menyembunyikan ketaqwaannya (tidak bersifat riya’).”

Kemudian ‘Ali melintas (di hadapan mereka), maka Rasulullah bersabda:

الحَقُّ مَعَ ذَا, الحَقُّ مَعَ ذَا.

“Kebenaran bersama orang ini, kebenaran bersama orang ini.”[33]

          Abu Zar radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘Ali:

يَا عَلِيُّ مَنْ فَارَقَنِي فَارَقَ الله وَمَنْ فَارَقَكَ يَا عَلِيُّ فَارَقَنِي.

Wahai ‘Ali, sesiapa yang memisahkan diri dariku maka dia memisahkan diri dari Allah, dan sesiapa yang memisahkan diri dari engkau wahai ‘Ali, maka dia memisahkan diri dariku.[34]

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya di antara kalian akan ada seorang yang berperang demi sebuah penafsiran al-Qur’an laksana aku berperang demi penurunannya.” Maka berdirilah Abu Bakar dan ‘Umar, namun baginda  menjawab: “Tidak, tetapi dia adalah orang yang aku hadiahkan kasut (ini).” Lalu Rasulullah menghadiahkan kasut tersebut kepada ‘Ali.[35]

  

 

10     Penyaksian Rasulullah Terhadap Kesusahan dan Kesyahidan ‘Ali

            Di antara keutamaan yang berkekalan untuk ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh adalah penyaksian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang kesusahan yang akan menimpanya dan juga penyaksian baginda terhadap orang yang akan membunuhnya. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘Ali bin Abi Thalib:

أَمَّا إِنَّكَ سَتُلْقَى بَعْدِي جُهْدًا. قَالَ: فِي سَلاَمَةٍ مِنْ دِيْنِي؟ قَالَ: فِي سَلاَمَةٍ مِنْ دِيْنِكَ.

“Sesungguhnya engkau akan bersusah payah selepasku.” ‘Ali bertanya: “Sejahterakah saya di dalam agama saya?” Baginda berkata “(Ya), engkau selamat dalam agama.”[36]

‘Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada ‘Ali:

أَلاَ أُحَدِّثُكُمَا بِأَشْقَى النَّاسِ رَجُلَيْنِ؟ قُلْنَا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: أُحَيْمِرُ ثَمُودَ الَّذِي عَقَرَ النَّاقَةَ وَالَّذِي يَضْرِبُكَ يَا عَلِيُّ عَلَى هَذِهِ يَعْنِي قَرْنَهُ حَتَّى تُبَلَّ مِنْهُ هَذِهِ يَعْنِي لِحْيَتَهُ.

“Hendakkah aku khabarkan kepada kalian berdua (‘Ammar dan ‘Ali) tentang dua orang lelaki yang merupakan manusia paling celaka?” Kami menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Rasulullah meneruskan: “(Mereka berdua ialah) Penyembelih unta (Nabi Saleh dari kalangan kaum) Tsamud dan orang yang memukul engkau wahai ‘Ali, yakni di kepala engkau sehingga menyebabkan kematian kamu.”[37]

Sesungguhnya yang menyebabkan kematian ‘Ali adalah perasaan tidak puashati suatu golongan (yang dikenali dengan Khawarij) di atas perdamaian (Peristiwa Tahkim) yang diadakan di antara pihak ‘Ali dengan pihak Muawiyah. Golongan tersebut keluar dari pihak ‘Ali dan mengkafirkan beliau. Mereka juga mengkafirkan para sahabat yang lain seperti Thalhah, al-Zubair, ‘Utsman, Muawiyah dan sesiapa sahaja yang bersama para sahabat tersebut. ‘Ali kemudiannya telah memerangi mereka serta berjaya menundukkan mereka. Akan tetapi setelah itu mereka (golongan Khawarij) melantik tiga orang di kalangan mereka untuk membunuh ‘Ali, Muawiyah dan Amr bin al-Ash. Tindakan ini diambil kerana golongan Khawarij beranggapan ketiga-tiga individu tersebut merupakan punca utama kepada fitnah yang menimpa.

Mereka bersepakat untuk melakukan pembunuhan tersebut secara serentak pada hari Jumaat 17 Ramadhan tahun 40 hijrah. Ketiga-tiga pembunuh yang mereka lantik berangkat menuju ke destinasi masing-masing. ‘Abd al-Rahman bin Muljam al-Muradi ditugaskan membunuh ‘Ali. Apabila dia tiba di Kufah, dia telah membunuh ‘Ali dengan pedangnya ketika ‘Ali baru keluar dari rumahnya, dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.[38]

 

 >>  Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali


 

[1]               Catitan penyunting:

                Dalam kitab-kitab sejarah masyhur tercatit peristiwa pernikahan antara satu sama lain di kalangan anak-anak para Khalifah al-Rasyidin, yakni Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu 'anhum. Di atas adalah salah satu contoh. Selain daripada itu, ‘Ali, Hasan, Husain dan keturunan mereka lazim menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Semua ini menunjukkan pada zaman awal Islam, wujud hubungan yang amat akrab di antara mereka, saling menghormati dan berkasih sayang. Kemudian barulah timbul aliran Syi‘ah al-Rafidhah yang memunculkan fitnah kononnya para sahabat tersebut saling membenci di antara satu sama lain.

[2]               Catitan penyunting:

                Gelaran Karramallahu Wajhah bermaksud “Allah memuliakan wajahnya.” Dikatakan bahawa gelaran ini layak bagi ‘Ali kerana beliau sejak kecil tidak pernah menyembah apa-apa selain Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini berbeza dengan para sahabat yang lain dimana sebelum Islam mereka pernah menyembah tuhan-tuhan yang lain. Atas dasar itu hanya ‘Ali yang layak digelar Karramallahu Wajhah.

[3]               Al-Nasa’i telah menghimpun di dalam kitabnya al-Khasha’ish sebanyak 108 buah hadis tentang keutamaan ‘Ali. Kitab ini adalah sebahagian daripada kitab beliau yang lebih besar: al-Sunan al-Kubra, jld. 5, ms. 105-169.

                Catitan penyunting:

                Hal ini adalah benar dimana memang merupakan perkataan sebahagian para imam hadis Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bahawa: “Belum ada riwayat dengan sanad-sanad yang baik berkenaan keutamaan sahabat yang lebih banyak daripada riwayat tentang keutamaan ‘Ali.” Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari, jld. 7, ms. 71 (Muqaddimah kepada Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali bin Abi Thalib).

                Perkataan ini dimanfaatkan oleh tokoh-tokoh Syi‘ah al-Rafidhah untuk mendakwa bahawa ‘Ali adalah sahabat yang paling utama berbanding para sahabat yang lain. Dengan itu, ‘Ali sahajalah satu-satunya sahabat yang layak menjadi khalifah sesudah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

                Kami menjawab, bahawa yang diambil kira bukanlah kuantiti tetapi kualiti. Justeru sekalipun riwayat tentang keutamaan ‘Ali adalah banyak bilangannya, namun dari sudut kualiti keutamaan, nilainya tidaklah melebihi para sahabat yang lain.

[4]               Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari, jld. 7, ms. 71 (Muqaddimah kepada Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali bin Abi Thalib).

[5]               Catitan penyunting:

                Demikianlah sifat adil dan kasih sayang yang dicurahkan oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang mencatit di dalam kitab-kitab mereka sekian banyak riwayat tentang keutamaan ‘Ali dan Ahl al-Baitnya radhiallahu 'anhum. Sedikit tambahan daripada apa yang dijelaskan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, bahawa terdapat dua sebab para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah melakukan sedemikian:

1.        Menjelaskan kepada orang-orang yang jahil daripada kalangan Khawarij dan Bani Umayyah bahawa orang yang mereka cela, yakni ‘Ali dan Ahl al-Baitnya, memiliki kedudukan yang utama di dalam Islam.

2.        Menjelaskan kepada orang-orang fanatik dari kalangan Syi‘ah al-Rafidhah bahawa riwayat-riwayat tersebut hanya sekadar menerangkan keutamaan ‘Ali dan Ahl al-Baitnya tanpa mengangkat mereka ke darjat khalifah atau wakil Allah kepada manusia.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan ganjaran yang sebaiknya kepada para tokoh ini.

                Akan tetapi hal yang sama tidak boleh dikatakan kepada para tokoh Syi‘ah al-Rafidhah. Mereka mempergunakan riwayat-riwayat dalam kitab-kitab tersebut untuk memperhujahkan – kononnya – akan hak kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib. Pada waktu yang sama mereka mencela para tokoh yang mengarang kitab-kitab tersebut kerana kononnya hanya mencatit riwayat-riwayat keutamaan ‘Ali dan Ahl al-Baitnya tanpa mahu beriman kepadanya, yakni dengan mengakui bahawa ‘Ali adalah khalifah yang hak. Padahal yang benar mereka – para tokoh Syi‘ah al-Rafidhah  - yang sepatutnya dicela kerana hanya mengambil riwayat-riwayat tersebut dengan mendiamkan tujuan mulia para tokoh yang mencatitnya dan penjelasan mereka yang mengikutinya. Demikianlah salah satu daripada sekian banyak penipuan Syi‘ah al-Rafidhah kepada umat Islam.

[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4210 (Kitab al-Maghazi, Bab ghuzwah Khaibar) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2405 dan 2406. Selain Sahal bin Sa‘ad, hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Salmah bin al-Akwa’ dan Sa‘ad bin Abi Waqas.

[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 78 (Kitab al-Iman, Bab dalil ke atas mencintai al-Anshar dan ‘Ali). Selain itu dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3900 dan al-Nasa’i di dalam Sunannya – hadis no: 5018.

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2404 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan ‘Ali). Juga dikeluarkan oleh al-Nasa’i di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 8399.

[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2409 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan ‘Ali). Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 4137.

                Catitan penyunting:

                “Abu Turab” adalah gelaran yang diberikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada ‘Ali bin Abi Thalib. Pada satu ketika Rasulullah mencari ‘Ali dan baginda mendapati beliau sedang baring di atas tanah dalam masjid. Tanah tersebut berbekas pada badan ‘Ali sehingga Rasulullah memanggil beliau Abu Turab (Turab bermaksud tanah). Maka ia sebenarnya adalah gelaran yang mulia bagi ‘Ali dan ini diakui oleh para sahabat yang lain. Akan tetapi ia dijadikan sindiran oleh ahli keluarga Marwan sebagaimana hadis di atas.

                Dalam riwayat yang lain, ahli keluarga tersebut telah memanggil Sahal dan menyuruhnya mencela ‘Ali di atas mimbar masjid. Sahal bertanya: “Dengan apa aku hendak mencela ‘Ali?” Dia berkata: “Kutuklah ‘Ali sebagai “Abu Turab” (Bapa tanah).” Lalu Sahal ketawa kepada ahli keluarga tersebut dan menjelaskan: “Demi Allah! Tidak ada yang memberi nama gelaran tersebut melainkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tidak ada nama yang lebih dicintai ‘Ali selain daripada Abu Turab.” [Rujuk Shahih Ibn Hibban – hadis no: 6925 dan ia disahihkan oleh Syu‘aib al-Arna’uth]

[10]             Catitan penyunting:

                Tindakan sebahagian para pembesar Bani Umayyah yang mencela ‘Ali serta Ahl al-Baitnya radhiallahu 'anhum bukanlah hujah ke atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Malah ia sebenarnya membuktikan kasih sayang para sahabat yang membela ‘Ali serta Ahl al-Baitnya dan keadilan para tokoh dalam memenuhi kitab-kitab mereka dengan keutamaan ‘Ali serta Ahl al-Baitnya dalam rangka membantah tindakan mencela tersebut. Bezakan, bahawa para pembesar Bani Umayyah yang melakukan celaan tersebut tidak terdiri daripada para sahabat dan bukan juga para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

                Adapun terhadap Muawiyah bin Abi Sufyan, zahir kata-kata beliau “Apakah yang menghalangimu dari mencela Abu al-Turab (‘Ali)?” menunjukkan seolah-oleh beliau mencela ‘Ali. Akan tetapi jika diteliti dengan baik, beliau sebenarnya hanya bertanya secara kritis dan bukan mencela. Sikap kritis ini timbul disebabkan perselisihan yang pernah berlaku di antara Muawiyah dan ‘Ali yang berakhir dengan Perang Siffin dan Peristiwa Tahkim. Yang penting, pertanyaan kritis tersebut telah dijawab oleh Sa‘ad dengan baik dan Muawiyah tidak menolak penjelasan Sa‘ad mahupun mencela ‘Ali selepas itu. Malah sikap diam Muawiyah menunjukkan beliau mengiktiraf akan keutamaan ‘Ali dan mengakui akan kesilapan diri beliau sendiri dalam bersikap kritis terhadap ‘Ali.

                Bersikap kritis di antara para sahabat adalah sesuatu yang lazim berlaku kerana mereka juga adalah manusia yang tidak maksum. Sebelum ini dalam bab Keutamaan Abu Bakar telah diterangkan bagaimana ‘Ali telah bersikap kritis terhadap Abu Bakar kerana salah faham tentang siapakah yang berhak mengurusi harta Rasulullah selepas kewafatan baginda. Salah faham ini berakhir dengan pengakuan ‘Ali tentang kesalahan dirinya sendiri.

                Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap apa-apa perselisihan para sahabat ialah mencari sebab di sebalik perselisihan tersebut dan menjelaskannya dengan sifat baik sangka kepada mereka. Ini jauh berbeza dengan manhaj Syi‘ah al-Rafidhah yang melompat mengambil kesempatan ke atas perselisihan tersebut untuk membuat fitnah ke atas para sahabat.

                Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujerat 49:12]

‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh berkata: “Janganlah kamu berprasangka terhadap kalimat yang keluar dari saudara kamu yang beriman kecuali dengan prasangka yang baik selama kamu dapati kemungkinan untuk memahaminya dengan pemahaman yang baik.” [Dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur‘an al-‘Adzim, jld. 4, ms. 193 (tafsir bagi ayat 12 surah al-Hujerat)]

Abu Qilabah rahimahullah (104H) menasihatkan: “Apabila sampai kepada kamu berita tentang saudara kamu yang tidak menyenangkan, maka carilah untuk dia sesuatu alasan dengan kesungguhan usaha kamu. Dan jika tidak menemuinya, maka katakanlah kepada diri kamu: “Barangkali dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya.” [Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ - no: 2411 (Tabaqat Ahl al-Madinah: ‘Abd Allah bin Zaid al-Jarami).]

[11]             Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 26748  (Baki musnad al-Anshar, Hadis Umm Salamah isteri Nabi s.a.w.) dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Juga dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4615 dan al-Nasa’i di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 8476.

[12]             Catitan penyunting:

                Nampaknya pengarang mengisyaratkan kepada sebuah hadis yang lazim disalahgunakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah untuk menobatkan jawatan khalifah kepada ‘Ali. Hadis ini dikenali sebagai Hadis al-Dar atau Hadis al-Indhar. Sila rujuk perbahasannya dalam buku saya yang berjudul Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Buku 3) (Jahabersa, Johor Bahru).

[13]             Catitan penyunting: Yakni ke Gunung Tursina untuk menerima Kitab Taurat. Hal ini dicatit di dalam al-Qur’an:

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لأخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

 

Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.” [al-A’raaf 7:142]

[14]             Catitan penyunting:

                Tidak sekadar itu, ‘Ali juga bukan satu-satunya khalifah yang pernah dilantik oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam semasa hayat baginda. Setiap kali baginda keluar meninggalkan Kota Madinah, sama ada atas urusan jihad, dakwah atau lain-lain, baginda akan melantik seorang sahabat menjadi khalifah yang menjaga Kota Madinah dalam tempoh pemergian baginda.

[15]             Ini sebagaimana yang diperkatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas, nombor 3706 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali):

Dan hadis dalam bab ini dijadikan dalil (oleh Syi‘ah al-Rafidhah) bahawa hak kekhalifahan adalah pada ‘Ali dan bukan pada para sahabat yang lain kerana Nabi Harun adalah khalifah Nabi Musa. Ini dijawab, bahawa Nabi Harun tidak menjadi khalifah Nabi Musa melainkan pada hayat Nabi Musa, bukan sesudah kewafatan Nabi Musa. Ini kerana telah disepakati bahawa Nabi Harun telah wafat sebelum Nabi Musa. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari, jld. 7, ms. 74]

[16]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4251 (Kitab al-Maghazi Bab ‘Umrah al-Qadha’).

[17]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3712 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali). Selain itu dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6929 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4579.

                Catitan penyunting:

                Maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Apa yang kalian kehendaki dari ‘Ali? menunjukkan sikap tidak setuju baginda terhadap aduan para sahabat tersebut. Dalam erti kata lain para sahabat yang mengadu itu hendaklah mengikuti apa sahaja tindak tanduk ‘Ali kerana beliau adalah ketua mereka yang dilantik oleh Rasulullah dalam ekspedisi tersebut. Ini selari dengan manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap para pemimpin dimana rakyat hendaklah taat kepada pemimpin sekalipun mereka tidak bersetuju dengan sebahagian tindak tanduk pemimpin tersebut. Sekalipun pemimpin melakukan tindakan yang nyata menyalahi syari‘at Islam, hendaklah kesalahan tersebut diperbetulkan dengan nasihat yang hikmah dan tertutup, bukan dengan cara memberontak atau mengkritik secara terbuka.

                Sabda Rasulullah “Sesungguhnya ‘Ali adalah daripada aku dan aku adalah daripada ‘Ali……” dijadikan hujah oleh Syi‘ah al-Rafidhah bagi menetapkan hak khalifah kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Alasan mereka, konon Rasulullah hanya berkata sedemikian kepada ‘Ali dan tidak kepada sahabat yang lain. Lebih dari itu, apabila Rasulullah dan ‘Ali adalah adalah “daripada satu sama lain”, tentu ‘Ali sahaja yang berhak menjadi khalifah.

                Alasan ini ditolak kerana maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabdanya tersebut hanya bagi menunjukkan pujian dan keutamaan sahabat tersebut, bukan menunjukkan kesamaan diri. Lebih dari itu baginda juga pernah bersabda yang seumpama kepada sahabat yang lain. Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2472 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan Julaibib), di akhir sebuah peperangan, Rasulullah mencari seorang sahabat yang bernama Julaibib. Setelah dicari-cari, para sahabat menemui beliau yang telah gugur syahid di sisi tujuh orang musuh yang dibunuhnya sebelum itu. Melihat yang sedemikian, Rasulullah bersabda:

قَتَلَ سَبْعَةً ثُمَّ قَتَلُوهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ.

                “Dia membunuh tujuh orang kemudian terbunuh! Ini daripada aku dan aku daripadanya. Ini daripada aku dan aku daripadanya.”

                Di dalam Shahih al-Bukhari – hadis no: 2486 (Kitab pekongsian, Bab perkongsian dalam pemakanan…), Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ.

                Sesungguhnya apabila golongan al-Asy'ariyyin, apabila mereka kekurangan bekalan dalam ekspedisi perang atau kekurangan makanan untuk anak-anak mereka di Madinah, mereka menghimpun (dan berkongsi) apa sahaja pakaian yang ada pada sisi mereka dan minum (secara berkogsi) daripada daripada satu bekas air. Maka mereka daripada aku dan aku daripada mereka.

                Adapun tambahan terakhir pada sabda Rasulullah: “Dia (‘Ali) adalah wali setiap mukmin sesudah aku”, maka hukumnya diperselisihkan darjatnya. Sila kaji antara keterangan al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld. 10, ms. 45 dan keterangan al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2223.

                Terlepas daripada perselisihan ini, sifat “Wali” tidak bermaksud khalifah sebagaimana yang difahami oleh semua orang, termasuk ‘Ali bin Abi Thalib. Oleh kerana itulah ‘Ali tidak pernah menuntut hak khalifah bagi dirinya sekalipun hadis di atas ditujukan kepada dirinya. “Wali” bermaksud penolong dan pelindung. Semua umat Islam asalnya adalah penolong dan pelindung bagi sesama mereka. Firman Allah:

 

 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. [al-Taubah 9:100] Maka ‘Ali adalah penolong dan pelindung yang paling utama bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan.

[18]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3797 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali bin Abi Thalib). Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat, antaranya Zaid bin Arqam, Sa‘id bin Abi Waqqas, Buraidah bin al-Hashib, ‘Ali bin Abi Thalib, Abi Ayub al-Anshari, al-Barra’ bin ‘Azib, ‘Abd Allah bin ‘Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah radhiallahu 'anhum. Dalam beberapa rujukan Syi‘ah, disebut bahawa hadis ini diriwayatkan oleh lebih 110 orang sahabat radhiallahu 'anhum. al-Albani mensahihkannya dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 1750.

[19]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam kitabnya al-Mustadrak – hadis no: 4576 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali bin Abi Thalib). Ia disahihkan oleh al-Zahabi sebagaimana disebut oleh Ibn Katsir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 5, ms. 209.

[20]             Catitan penyunting:

                Maksud pengarang, tidak boleh berlaku pertentangan antara hadis yang sahih dengan realiti yang tercatit secara sahih di dalam sejarah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan berkata sesuatu yang bertentangan dengan realiti dan realiti tidak akan bertentangan dengan sesuatu yang dikatakan oleh beliau. Jika berlaku pertentangan, maka ia adalah kesalahan orang terkemudian dalam memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh baginda.

                Maka kerana itulah, kefahaman para sahabat, termasuk ‘Ali, menjadi hujah bahawa perkataan Mawla tidak bermaksud al-Imamah atau khalifah. Seandainya Mawla bermaksud al-Imamah atau khalifah, nescaya ia bererti para sahabat, termasuk ‘Ali, telah tersesat kerana tidak memahami dan mempraktikkan sabda Rasulullah secara benar. Hal ini mustahil berlaku, maka mustahil jugalah bagi mengertikan perkataan Mawla sebagai ­al-Imamah atau khalifah.

[21]             Sanad Hasan: Dikemukakan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14757 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Ali: Nescaya akan aku serah bendera ini……) dan beliau berkata: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan sanadnya adalah hasan.”

[22]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4648 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali) dan disahihkan oleh beliau di atas syarat al-Bukhari dan Muslim. Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

[23]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6928 (Kitab khabar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang manaqib para sahabat, Bab berkenaan pengampunan Allah kepada ‘Ali) dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Selain itu dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 1, ms. 92 dan al-Nasa’i di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 8411.

[24]             Sanad Dha‘if: Dikeluarkan Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 26 dan al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 20, ms. 229, hadis no: 538, kedua-duanya dengan sanad yang berpangkal kepada Khaldun bin Thahman dan belia adalah perawi yang dha‘if. Rujukan keterangan Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad – hadis no: 20306 & 20307 dan Hamidi ‘Abd al-Majid dalam semakannya ke atas al-Mu’jam al-Kabir, jld. 20, ms. 229, hadis no: 538.

[25]             Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 1719 (Musnad Ahl al-Bait, Hadis al-Hasan bin ‘Ali) dan ia dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.

[26]             -----: Ini adalah sebuah hadis yang masyhur, namun diperselisihkan darjatnya di kalangan ahli hadis. Ada yang berkata ianya sahih, ada yang berkata ianya hasan, ada yang berkata ianya dha‘if dan ada yang berkata ianya maudhu’. Berkata al-Hafiz Abu Sa‘id al-‘Alaiy (العلائي): “Yang benar ianya hasan berdasarkan jalan-jalan periwayatannya, tidak sahih dan tidak dha‘if, lebih utama daripada darjat maudhu’.”

                Lebih lanjut sila kaji:

1.        al-Mustadrak  oleh al-Hakim - hadis no: 4637, 4638, 4639 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali) diikuti dengan penilaian semula oleh al-Zahabi di dalam al-Talkish.

2.        al-Maudhu‘at oleh Ibn al-Jauzi (597H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 1, ms. 261 dan seterusnya (Bab berkenaan keutamaan ‘Ali, hadis kesepuluh).

3.        al-Laliy al-Mantsurah fi al-Ahadits al-Masyhurah oleh al-Zarkasyi (794H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996) – hadis no: 151.

4.        Ajwabah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ‘an Ahadits al-Mashabih oleh Ibn Hajar al’Asqalani (852H), dicetak bersama kitab Misykat al-Mashabih li al-Tabrizi yang ditahqiq oleh al-Albani (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), jld. 3, ms. 1773 dan seterusnya.

5.        al-Maqashid al-Hasanah oleh al-Sakhawi (902H) (Maktabah al-Khanaji, Kaherah, 1991) – hadis no: 189.

6.        al-Durr al-Muntatsirah fi al-Ahadits al-Musytahirah oleh al-Suyuthi (911H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995) – hadis no: 132.

7.        al-Laliy al-Mashnu‘ah fi al-Ahadits al-Maudhu‘ah oleh al-Suyuthi (911H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 1, ms 301 dan seterusnya.

8.        al-Fawa’id al-Maudhu‘ah fi al-Ahadits al-Maudhu‘ah oleh al-Karmiyyi (1032H) (Dar al-Warraq, Riyadh, 1998) – hadis no: 57.

9.        Kasyf al-Khafa’ oleh al-Ajluni (1162H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997) – hadis no: 618 (Bab huruf Hamzah bersama Nun).

10.     Fath al-Mulk al-‘Aliy bi Shahah Hadits Babu Madinah al-‘Ilm ‘Ali oleh Ahmad Shiddiq al-Ghumari.

11.     Silsilah al-Ahadits al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) – hadis no: 2955.

12.     Mausu‘ah al-Ahadits wa al-Atsar al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh ‘Ali Hamid bin ‘Ali al-Halabi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1999) – hadis no: 6240-6252.

[27]             Sahih: Ringkasan daripada hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2337 (Kitab al-Ahkam). Selain itu dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 1, ms. 88 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 7003.

[28]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4481 (Kitab al-Tafsir)

[29]             -----: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4656 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali) dan darjat kekuatannya didiamkan oleh al-Zahabi.

[30]             Sahih: Ringkasan daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 276 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan menyapu di atas dua khuf).

[31]             Sahih: Ringkasan daripada hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4399 (Kitab al-Hudud, Bab berkenaan orang gila……).

[32]             Catitan penyunting:

                Ketinggian dan keluasan ilmu ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh menjadi hujah di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dimana dengan segala ketinggian dan keluasan tersebut, ‘Ali tidak pernah memahami mana-mana ayat al-Qur’an atau sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai dalil yang meletakkan dirinya sebagai khalifah yang hak selepas kewafatan Rasulullah. Hakikat ini perlu disedari oleh para pembaca sekalian agar mereka tidak terpengaruh dengan tindakan Syi‘ah al-Rafidhah yang menyeleweng, memutar dan mentakwil secara batil ayat-ayat dan hadis-hadis tertentu untuk menobatkan jawatan khalifah kepada ‘Ali. Sudah tentu keilmuan ‘Ali dan kejujurannya dalam berinteraksi dengan ilmu menjadi pilihan kita berbanding kejahilan dan pendustaan Syi‘ah al-Rafidhah.

[33]             -----: Dikemukakan oleh al-Haitsami di dalam al-Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 12027 (Kitab al-Fitan, Bab berkenaan Perang Jamal, Siffin dan selainnya) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan para perawinya adalah thiqah (terpercaya).

[34]             -----: Dikemukakan oleh al-Haitsami di dalam al-Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14771 (Kitab al-Manaqib, Bab kebenaran bersama ‘Ali) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan para perawinya adalah thiqah (terpercaya).

                Catitan penyunting:

                Timbul persoalan, jika ‘Ali berada di pihak yang benar dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melarang para sahabat daripada berpisah dengan ‘Ali, mengapa timbul peperangan antara sebahagian sahabat dengan Amirul Mukminin ‘Ali?

                Dijawab bahawa pada asalnya para sahabat tidak bertujuan untuk memerangi ‘Ali mahupun memisahkan diri daripadanya. Dalam Perang Jamal yang melibatkan antara pihak ‘Aisyah, Thalhah dan al-Zubair dengan pihak Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Thalib, tujuan asal mereka bertiga ialah untuk keluar mencari sendiri siapakah pembunuh ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh. Pendapat lain menyatakan mereka keluar untuk mendapat sokongan penuh umat Islam yang lain kepada kepimpinan ‘Ali. Dengan sokongan penuh tersebut, lebih mudah bagi ‘Ali untuk mencari dan menghukum pembunuh ‘Utsman. Akan tetapi para pembuat fitnah, iaitu kelompok orang yang sama yang terlibat dalam pembunuhan ‘Utsman, telah membuat fitnah kononnya masing-masing pihak ingin menyerang satu sama lain sehingga berlakulah Perang Jamal tanpa diduga oleh masing-masing pihak.

                Dalam Perang Siffin yang melibatkan antara pihak Muawiyah dengan pihak Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Thalib, tujuan asal Muawiyah enggan membai‘ah ‘Ali adalah supaya beliau dapat menekan ‘Ali untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh ‘Utsman yang berselindung dalam pihak ‘Ali. ‘Ali pula enggan mengambil tindakan kerana sukar baginya untuk memisahkan siapakah para pembunuh tersebut. Lebih dari itu pada saat tersebut, tidak semua umat Islam bersatu di bawah kepimpinan ‘Ali. Tanpa sokongan majoriti, adalah sukar untuk ‘Ali mengambil tindakan. Akan tetapi apabila ‘Ali dan tenteranya bergerak ke arah Syam, ia dipandang oleh pihak Muawiyah seolah-olah ‘Ali ingin menyerangnya. Salah faham ini dipanaskan lagi oleh para pembuat fitnah sehingga akhirnya masing-masing pihak mengangkat senjata di antara satu sama lain di sebuah tempat bernama Siffin.

                Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, yang penting adalah mengambil iktibar daripada kedua-dua peristiwa di atas. Antara iktibar tersebut adalah:

1.        Umat Islam hendaklah bersatu di bawah pemimpin mereka. Jika wujud perbezaan pendapat dalam menentukan tindakan mana yang terbaik, hendaklah perbezaan tersebut dibincang bersama pemimpin. Jangan mengambil tindakan secara berasingan.

2.        Sentiasa sedar tentang wujudnya orang-orang yang ingin membuat fitnah untuk melaga-lagakan umat Islam. Justeru tindakan segera hendaklah diambil ke atas apa-apa isyarat fitnah tanpa menunggu kepada kemunculan fitnah itu sendiri.

3.        Perlu diadakan sistem komunikasi yang baik dan terjamin antara pemimpin dan umat Islam. Dengan itu apa-apa keputusan pemimpin dapat difahami oleh umat Islam tanpa wujud salah faham atau ruang legar bagi para pembuat fitnah.

4.        Jika umat Islam bersatu di bawah seorang pemimpin, adalah lebih mudah bagi pemimpin tersebut membuat apa-apa tindakan demi kebaikan umat Islam itu sendiri. Ini kerana kesatuan umat Islam dengan sendirinya adalah satu kekuasaan yang sukar ditumpaskan.

[35]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 11289 (Baki Musnad al-Maksirin, Musnad Abu Sa‘id al-Khudri) dan ia disahihkan oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Hadis ini juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6937 dan Abu Ya’la di dalam Musnadnya – hadis no: 1086.

                Catitan penyunting:

                Golongan yang diperangi oleh Amirul Mukminin ‘Ali ialah golongan Khawarij. Golongan ini tersalah tafsir beberapa ayat al-Qur’an, lantas dengan itu menolak ‘Ali bin Abi Thalib dan umat Islam selainnya.

[36]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4677 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali) dan beliau mensahihkannya di atas syarat al-Bukhari dan Muslim. Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

[37]             Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 18321 (Awal Musnad al-Kuffayan, Baki hadis ‘Ammar bin Yasir) dan ia dinilai hasan lighairihi oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Juga dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4679 dan Ibn Abi ‘Ashim di dalam al-Ahad wa al-Matsani – hadis no: 175.

                Catitan penyunting:

                Yang dimaksudkan dengan penyembelihan unta Nabi Saleh adalah peristiwa yang tercatit di dalam al-Qur’an:

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ هَذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٧٣)

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا بِالَّذِي آمَنْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ (٧٦)فَعَقَرُوا النَّاقَةَ.....

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu: ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Orang-orang yang sombong takabur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya.” Maka mereka pun menyembelih unta itu. [al-A’raaf 7:73 & 76-77]

 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7