al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kelapan:

          

al-Qur’anul Karim adalah wahyu Allah manakala hadis dan sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak.

Jawapan:

Penulis akan menjawab dakwaan di atas dalam 4 bahagian: [1] Definasi wahyu, [2] adakah wahyu hanya dalam bentuk kitab ?, [3] jenis-jenis wahyu selain kitab dan [4] jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[1] Definasi wahyu.

Wahyu adalah sesuatu yang dimaklumkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada sesiapa sahaja daripada hamba-Nya yang dipilih-Nya dan ia merupakan hidayah dan ilmu (yang diberi) secara rahsia dan tersembunyi bukan dengan cara biasa yang dilakukan oleh manusia.[1]

Lebih lanjut wahyu adalah maklumat dari Allah Subhanahu waTa’ala yang diperolehi oleh seorang hamba terpilih sama ada melalui perantaraan malaikat atau secara langsung, tersembunyi, rahsia dan tersendiri, bukan melalui cara yang biasa dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Wahyu diberikan dan diturunkan kepada hamba-hamba yang terpilih oleh Allah Subhanahu waTa’ala sebagai satu kelebihan dan keistimewaan. Ia adalah satu anugerah pemberian dan tidak boleh didapati dengan cara mencarinya atau meminta-minta. Wahyu tidak boleh diukur oleh akal fikiran dan ia tidak tunduk kepada lojik manusia. Sebaliknya akal fikiran dan lojik manusia yang tunduk dibawah pimpinan wahyu Ilahi.[2]

Wahyu diturunkan dalam dua bentuk, pertama dalam bentuk kitab seperti Taurat, Zabur, Injil dan al-Qur’an, wahyu seperti ini dikenali sebagai wahyu bertulis (Wahyu al-Matluw). Kedua adalah wahyu yang diturunkan bukan dalam bentuk kitab, seperti yang Allah berikan kepada Nabi-nabi yang tidak diturunkan kitab suci – antaranya Adam, Nuh, Lut dan ramai lagi.  Wahyu seperti ini dikenali sebagai wahyu tidak bertulis (Wahyu Ghairi al-Matlu). Di antara para Rasul ada yang menerima kedua-dua bentuk wahyu, antaranya ialah Nabi Isa alaihi-salam dan Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.

[2] Adakah wahyu hanya dalam bentuk kitab ?

Persoalan ini dapat dijawab dengan mengkaji dua ayat berikut:

 Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur. [an-Nisaa’ 4:163]

Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. [an-Nahl 16:43]

Kita sama-sama ketahui bahawa para Rasul yang diberi kitab suci adalah (1) Nabi Ibrahim alaihi-salam dengan kitab yang digelar suhuf-suhuf. [al-A’laa 87:19], (2) Nabi Daud alaihi-salam dengan kitab Zabur [an-Nisaa’ 4:163], (3) Nabi Musa alaihi-salam dengan kitab Taurat [al-Israa’ 17:02], (4) Nabi Isa alaihi-salam dengan kitab Injil [al-Maidah 5:46] dan (5) Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam dengan kitab al-Qur’an.

Dalam dua ayat di atas Allah Subhanahu waTa’ala telah menerangkan bahawa semua para Nabi dan Rasul-Nya menerima wahyu. Namun kita sama-sama ketahui bahawa di antara para Nabi yang menerima wahyu sebagaimana yang disebut di atas, ada yang tidak diberikan kitab suci, antaranya Nabi Nuh, Ismail, Ishak, Yaakub, Ayub, Yunus dan Harun alaihim-salam. Dalil-dalil al-Qur’an ini menunjukkan bahawa apabila Allah Subhanahu waTa’ala memberikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul-Nya, ia tidak semestinya wujud dalam bentuk kitab suci sahaja.

Antara hujah Golongan Anti Hadis dalam perbincangan ini adalah semua Nabi dan Rasul menerima wahyu dan wahyu tersebut semuanya dalam bentuk kitab suci. Tidak ada Nabi dan Rasul yang tidak menerima wahyu dalam bentuk kitab suci. Dalil mereka adalah ayat 81 surah al-‘Ali Imran berikut:

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firman-Nya): Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya. [‘Ali Imran 3:81]

Ayat ini pada zahirnya menunjukkan bahawa semua Nabi-nabi telah diberikan kitab oleh Allah Subhanahu waTa’ala. Bagi menjawab hujah ini, pertama perlu diterangkan perbezaan antara Rasul dan Nabi. Rasul ialah seorang Nabi yang diangkat oleh Allah Azza waJalla dengan diberikan sebuah kitab suci untuk menyebarkan risalah dan syari’at agama-Nya. Bagi setiap umat Allah Azza waJalla mengutuskan seorang Rasul. Firman-Nya:

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya). [Yunus 10:47]

Rasul-rasul ini semuanya mengajak kepada mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala dan melarang sembahan selain Allah:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. [an-Nahl 16:36]

Akan tetapi bagi setiap Rasul ada syari’at mereka yang tersendiri khusus untuk umat masing-masing:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah 5:48]

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan. [al-Hajj 22:67]

Di samping seseorang Rasul, Allah Azza waJalla juga mengutus beberapa orang Nabi, sama ada sezaman dengan Rasul tersebut atau sesudahnya. Nabi-nabi tersebut meneruskan syari’at yang dibawa oleh Rasul mereka dengan berpandukan kitab yang pada asalnya diturunkan kepada Rasul mereka. Contohnya syari’at Nabi Musa alaihi-salam terus dihidupkan oleh beberapa orang Nabi selepas beliau dengan berpandukan kitab Taurat. Syari’at Nabi Isa alaihi-salam terus dihidupkan oleh beberapa Nabi selepas beliau dengan berpandukan kitab Injil. Akan tetapi bagi syari’at Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam ia terus dihidupkan oleh para ulama’, bukan para Nabi kerana baginda adalah Rasul dan Nabi terakhir. Kerana itulah para ulama’ dikenali sebagai waris para Nabi dan mereka meneruskan dakwah Islam berpandukan kitab al-Qur’an.

Perhatikan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang berikut:

Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, setiap kali seseorang dari Nabi mereka wafat, akan diganti dengan Nabi yang baru. Dan sesungguhnya selepas aku tidak akan ada Nabi lagi, akan tetapi akan ada para khalifah yang banyak.[3]

Bagi menguatkan penjelasan di atas, marilah kita mengkaji sirah Nabi Musa dan Nabi Harun. Kita sama-sama ketahui bahawa apabila Nabi Musa pergi ke bukit Tursina untuk menerima kitab Taurat, beliau telah melantik saudaranya Nabi Harun untuk tinggal belakang menjaga dan memimpin Bani Israil:

Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.” [al-A’raaf 7:142]

Nabi Harun tinggal di belakang sehinggalah Nabi Musa kembali:

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku.” Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami.” (Sekembalinya) Nabi Musa dia berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalang engkau ketika engkau melihat mereka sesat daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku ?” [Taha 20:90-93]

Sementara di bukit Tursina, Nabi Musa telah menerima kitab Taurat seorang diri:

Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk. [al-Baqarah 2:53]

3 ayat ini menunjukkan kitab Taurat diberikan kepada Nabi Musa seorang sahaja manakala Nabi Harun tinggal di belakang menjaga umat Bani Israil. Akan tetapi perhatikan pula ayat berikut ini:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun al-Furqan (Kitab Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa. [al-Anbiyaa’ 21:48]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu waTa’ala menerangkan bahawa kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Keterangan ini nampaknya bercanggah dengan ayat-ayat sebelum ini yang menerangkan bahawa kitab Taurat hanya diberikan kepada Nabi Musa seorang diri manakala Nabi Harun tinggal bersama Bani Israil. Melainkan yang dimaksudkan oleh ayat 48 surah Anbiyaa’ di atas bukanlah Nabi Harun diturunkan kitab Taurat dari langit tetapi dia disuruh sama-sama mendakwahkan syari’at Nabi Musa berpandukan kitab Taurat.

Oleh itu ayat 81 surah ‘Ali Imran di atas bukanlah bererti setiap Nabi diturunkan sebuah kitab suci dari langit tetapi ia bererti setiap Nabi memiliki sebuah kitab suci yang asalnya diturunkan kepada Rasul terdahulu untuk mereka jadikan sumber rujukan dan panduan bagi syari’at masing-masing.[4]

[3] Jenis-jenis wahyu selain kitab.

Berikut adalah beberapa keterangan al-Qur’an tentang jenis-jenis wahyu yang tidak bertulis (Wahyu Ghairi al-Matlu):

[3-A] Wahyu melalui berkata-kata.

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana. [asy-Syura 42:51]

Maka ketika dia (Musa) sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu: “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.” [al-Qasas 28:30]

[3-B] Wahyu melalui ilham.

Wahyu melalui ilham adalah seperti petunjuk, arahan, panduan, pengurniaan ilmu pengetahuan dan sebagainya, semuanya diberi oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Berikut adalah dua contoh:

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan. [Hud 11:36-37]

Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.” [an-Naml 27:15]

[3-C] Wahyu melalui mimpi.

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu ?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” [as-Saaffat 37:102]

[3-D] Wahyu melalui perantaraan malaikat.

Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan.” Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat) ?”

Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.” Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu).”

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata): “Wahai Lut ! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat ?” [Hud 11:77-81]

Demikian 4 jenis wahyu selain dari bentuk kitab yang diberikan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Sekali lagi ditekankan bahawa apabila Allah Subhanahu waTa’ala memberikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul-Nya, ia tidak semestinya wujud dalam bentuk kitab suci sahaja. Berikut marilah kita mengkaji jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[4] Jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah.

Jenis wahyu pertama yang diberikan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ialah kitab al-Qur’anul Karim sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan sesungguhnya ia (Al-Quran) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. [asy-Syu’ara 26:192-195]

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga menerima wahyu dalam bentuk ilham, iaitu dalam perkara-perkara yang tidak disebut sama oleh al-Qur’an. Ia terdiri daripada dua perkara, pertama adalah al-Hikmah iaitu segala ilmu syari’at dan perincian agama (lihat tugas ke-7 Rasulullah dalam jawapan bagi hujah ke-2). Kedua adalah ilmu pengetahuan yang diajar oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sehingga menjadilah baginda seorang manusia yang berilmu lagi bijaksana. Perhatikan ayat berikut:

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu amatlah besar. [an-Nisaa’ 4:113]

Ayat ini juga secara jelas membahagikan wahyu yang diterima oleh Rasulullah kepada dua bentuk, wahyu bertulis (Wahyu al-Matlu) dan wahyu tidak bertulis (Wahyu Ghari al-Matlu). Kitab al-Qur’an yang diturunkan adalah wahyu bertulis manakala al-Hikmah dan ilmu pengetahuan yang diturunkan adalah wahyu yang tidak bertulis.[5]

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga menerima wahyu dalam bentuk mimpi sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat berikut:

Demi sesungguhnya ! Allah tetap membenarkan Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah. [al-Fath 48:27] Yakni Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di satu masa dahulu pernah bermimpi bahawa umat Islam akan dapat menakluk Kota Makkah dari tangan orang-orang kafir Quraish. Maka mimpinya itu menjadi benar di mana umat Islam pada tahun 9 hijrah telah berjaya menakluk Kota Makkah. Lalu Allah mengingatkan beliau akan mimpinya tersebut sebagai salah satu bentuk wahyu yang benar.

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga menerima wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril alaihi-salam:

Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng, dan ia pula tidak sesat. Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Wahyu itu diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit); kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukan-Nya. [an-Najm 53:1-10]

Sesetengah pihak cuba membataskan pengertian ayat di atas kepada ayat-ayat al-Qur’an sahaja, yakni al-Qur’an yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah dari sumber wahyu, bukan perkataannya sendiri. Pendapat ini ditolak kerana ayat tersebut berbicara dalam konteks umum, bererti ia mewakili setiap yang disampaikan oleh Rasulullah berkenaan risalah dan agama Allah, mewakili al-Qur’an dan selain al-Qur’an. Perhatikan dipenghujung ayat tersebut:

 …. lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukan-Nya. Perkataan (ma auha) apa yang telah diwahyukan adalah ism mausul yang bererti apa-apa sahaja atau apa jua atau apa-apa sekalipun bagi menandakan sifat keterbukaan ayat tanpa pembatasan. Oleh itu adalah tidak benar pendapat yang membataskan ayat-ayat tersebut kepada wahyu al-Qur’an sahaja.

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an serta penjelasan yang diberikan di atas, tertolaklah dakwaan bahawa wahyu Allah hanyalah merupakan kitab al-Qur’anul Karim. Yang benar kedua-dua al-Qur’an dan sunnah Rasulullah, kedua-duanya adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu waTa’ala.[6]

 

Hujah 9:         Allah telah memerintahkan kita untuk berhukum dengan  al-Qur’an sahaja, bukan hadis.  

 


[1]                 Muhammad Abdul Azim al-Zarqani – Manahil al-Irfan fi Ulum  al-Qur’an, ms 56 dinukil dari Mahmud Saedon Othman – al-Sunnah: Kedudukan dan Peranannya di dalam Syari’ah Islam, ms 88.

[2]               Mahmud Saedon Othman – al-Sunnah: Kedudukan dan Peranannya, ms 88-89.

[3]               Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 3455 (Kitab al-Anbiya’, Bab Apa yang diperkatakan tentang Bani Israil).

[4]                 Penjelasan ini sengaja penulis huraikan secara panjang lebar kerana ia bukan sahaja merupakan hujah Golongan Anti Hadis tetapi ia adalah juga hujah sarjana orientalis, di mana mereka berkata terdapat percanggahan dan pertembungan antara ayat-ayat yang menerangkan para Nabi yang diberikan kitab dan yang tidak diberikan kitab.

[5]                 Muhammad Taqi Usmani – The Authority of Sunnah, pg 36-37. Dalam buku ini juga Taqi Usmani telah mengemukakan lebih 10 bukti dalam al-Qur’an yang menunjukkan Rasulullah sallallahu-alihi-wasallam telah menerima wahyu selain al-Qur’an, lihat ms 23-40.

[6]               Perlu juga ditambah bahawa sunnah Rasulullah yang dimaksudkan adalah dalam urusan yang berkaitan dengan syari’at Islam. Perkara ini akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam menjawab hujah anti-hadis yang ke 20 nanti, insya-Allah.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian