al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kedua:

Tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam hanyalah sebagai seorang posmen yang membawa surat daripada seorang pengirim untuk diserahkan kepada penerimanya. Demikianlah juga Rasulullah, baginda hanya ditugaskan membawa al-Qur’an daripada Allah untuk diserahkan kepada manusia. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan sahaja. [al-Maidah 5:99]

Tugasmu (Wahai Muhammad) tidak lain hanyalah menyampaikan. [asy-Syura 42:48]

Jawapan:

Ayat-ayat di atas dan beberapa lain yang senada sebenarnya menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak dipertanggung-jawabkan untuk memastikan setiap orang menerima risalah Islam. Baginda hanya dipertanggung-jawabkan untuk menyampaikan risalah tersebut. Terima atau tidak, ia adalah berkaitan dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu waTa’ala. Dalam ertikata lain, sama ada seseorang itu menerima atau menolak Islam, itu bukan urusan Rasulullah tetapi adalah urusan mutlak Allah Subhanahu waTa’ala. Penjelasan ini akan lebih difahami dengan merujuk kepada ayat-ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”. [Yunus 10:108]

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). [al-Qasas 28:56]

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). [asy-Syura 42: 47-48] [1]

Dakwaan bahawa tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam hanya membawa al-Qur’an juga dapat ditolak dengan merujuk kepada ayat-ayat lain di dalam al-Qur’anul Karim yang sedia menerangkan pelbagai tugas dan tanggung-jawab baginda. Berikut disenaraikan antara 10 tugas dan tanggung-jawab Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

 

 

10 Tugas dan Tanggung-Jawab Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[1] Mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah Azza waJalla sahaja.

Antara tugas pertama yang diamanahkan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala. Allah menurunkan ayat berikut kepada Rasulullah untuk beliau katakan dan ajarkan kepada manusia:

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya. [al-Ikhlas 111:1-4]

[2] Membawa al-Qur’an untuk manusia.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. [az-Zumar 39:41]

[3] Membacakan al-Qur’an kepada manusia.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

 Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (al-Qur’an). [‘Ali Imran 3:164]

Membaca di sini bererti menyampaikan secara lisan ayat-ayat al-Qur’an. Sepertimana yang kita tahu, al-Qur’an dibawa oleh malaikat Jibrail alaihi-salam kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam seorang sahaja. Setiap kali Jibrail turun membawa ayat atau ayat-ayat, Rasulullah akan bacakan ayat tersebut kepada umat. Di kalangan mereka ada yang mencatitnya manakala yang lain menghafalnya.

[4] Membersihkan manusia dari dosa dan kemungkaran.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka. [‘Ali Imran 3:164]

Membersihkan bermaksud menyucikan roh dan jiwa manusia yang dipenuhi dosa akibat dari kekotoran syirik, mempertuhankan taghut – yakni segala yang dijadikan tuhan selain dari Allah, keyakinan kurafat, tahayul dan pelbagai lagi yang menjadi akidah dan pegangan umat di zaman jahiliyah dahulu. Termasuk juga dalam pembersihan ini adalah pendidikan rohani, pembentukan akhlak murni, mendisiplinkan nafsu dan syahwat, menghindar maksiat dan kemungkaran dan pelbagai lagi kotoran yang menguasai manusia pada ketika itu.[2]

[5] Mengajar dan menerangkan al-Qur’an.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran). [‘Ali Imran 3:164]

Maksud mengajar al-Qur’an bukanlah cara-cara membaca dan mentilawahkannya kerana orang ramai ketika itu sedia mengetahui bahasa Arab, tetapi adalah mengajarkan maksud ayat-ayat dan cara-cara mengamal serta mempraktikkannya.

[6] Menerang, menghurai dan memperincikan al-Qur’an.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka. [an-Nahl 16:44]

Perkataan supaya engkau menerangkan adalah terjemahan dari perkataan litubayyina yang berasal dari kata al-Bayan. Ia bermaksud menerangkan, menghuraikan dan memperincikan sesuatu dari pokoknya. Maka apabila Allah Tabaraka waTa’ala menugaskan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sebagai mubayin al-Qur’an, ia bererti beliau ditugaskan untuk menerangkan, menghuraikan dan memperincikan al-Qur’an.[3] Contohnya al-Qur’an memfardhukan solat maka tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah menerangkan apakah itu solat, menghuraikan hukum-hukumnya dan memperincikan sifat-sifatnya.

Ayat ini juga jelas menolak dakwaan bahawa tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah hanya sekadar seorang posmen kerana Allah Azza waJalla telah menggunakan istilah Litubayyina dan bukannya Balagh atau Mubaligh yang bererti sampaikan atau penyampai.

[7] Mengajar al-Hikmah, iaitu segala ilmu-ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam al-Qur’an.

Terdapat dua ragam dan pola susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an.[4] Ragam pertama adalah apabila perkataan al-Hikmah berdiri dengan sendirinya. Ia memiliki beberapa erti seperti sifat-sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan syari’at agama, setiapnya bergantung kepada konteks perbincangan ayat. Berikut dikemukakan beberapa contoh:

Dan Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan al-Hikmah (pangkat kenabian-nubuwah) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. [al-Baqarah 2:251]

Allah memberikan al-Hikmah (kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan al-Hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. [al-Baqarah 2:269]

Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa al-Hikmah (syari’at agama), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku. [az-Zukhruf 43:63]

Ragam kedua adalah apabila perkataan al-Hikmah digandingkan dengan al-Kitab, iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Contohnya ialah ayat-ayat berikut:

Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: al-Kitab dan al-Hikmah, dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar. [an-Nisaa’ 4:54]

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta al-Hikmah. [an-Nisaa’ 4:113]

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan al-Hikmah. [‘Ali Imran 3:164]

Dalam ragam kedua ini, perkataan al-Hikmah bererti segala sumber syari’at, ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci (al-Kitab). Ini adalah kerana Allah Azza waJalla tidak akan membicarakan dua perkara yang sama dengan dua istilah yang berbeza melainkan yang dimaksudkan oleh-Nya adalah dua perkara yang berbeza juga. Demikian juga, al-Qur’anul Karim dengan segala kemukjizatan dan kekayaan bahasanya tidak akan merujuk kepada dua objek yang sama dengan dua istilah yang berlainan melainkan yang dirujuki adalah dua subjek yang berlainan juga.

Oleh itu al-Hikmah bukanlah bererti al-Kitab atau kitab suci yang diturunkan oleh Allah dari langit kepada para RasulNya tetapi ia adalah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci. Segala apa yang disampaikan oleh para Rasul Allah tentang ­al-Hikmah, baik ia dalam bentuk lisan, praktikal atau pengiktirafan, itulah yang dikenali sebagai as-Sunnah.

Para Rasul Allah yang diberikan al-Kitab juga diberikan al-Hikmah (an-Nisaa’ 4:54) dan ini termasuklah Rasul Allah yang terakhir Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam (an-Nisaa’ 4:113). Baginda bukan sahaja diberi al-Hikmah tetapi ditugaskan untuk mengajar al-Hikmah tersebut kepada umatnya (‘Ali Imran 3:164).

Selain dua ragam utama di atas tentang susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an, terdapat satu susunan lain yang sedikit berbeza, iaitu dalam ayat:

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; Dan ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan al-Hikmah dan Kitab Taurat dan Kitab Injil. [al-Maidah 5:110, lihat juga ‘Ali Imran 3:48]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu waTa’ala menerangkan bahawa Dia telah mengajar Nabi Isa alaihi-salam empat perkara: [1] al-Kitab, [2] al-Hikmah, [3] Taurat dan [4] Injil. Memandangkan Taurat dan Injil adalah dua kitab suci yang Allah turunkan dari langit, maka perkataan al-Kitab yang pertama tidak bererti kitab suci juga, tetapi ia bererti tulisan. Ini adalah kerana perkataan al-Kitab memiliki beberapa erti dalam bahasa Arab dan dalam konteks susunan dan perbincangan ayat di atas, ia bererti kebolehan menulis dalam usia masih bayi yang diajarkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Nabi Isa alaihi-salam. Ini adalah sebagaimana kebolehan berkata-kata yang dikurniakan Allah kepada baginda dalam usia bayinya.[5] Perkataan al-Hikmah pula bererti sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan ilmu-ilmu agama yang diajarkan Allah kepada Nabi Isa. Termasuk dalam pengertian al-Hikmah ini ialah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci Taurat dan Injil.

[8] Mengajar perkara-perkara baru yang sebelum itu tidak diketahui.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. [al-Baqarah 2:151]

Selain diamanahkan mengajar umat berkenaan urusan-urusan agama dalam al-Kitab dan al-Hikmah, selanjutnya Allah Subhanahu waTa’ala mengamanahkan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengajar umat hal-hal duniawi yang belum mereka ketahui. Maksudnya adalah seperti yang diterangkan oleh Sa’id Hawa (1989M): Dahulu di zaman jahiliyah mereka (masyarakat Arab) adalah orang-orang bodoh, lalu dengan berkat risalah Muhammad – mereka menjadi orang-orang yang pintar dan berpengetahuan. Bahkan menjadi orang yang paling dalam pengetahuan, berhati lembut dan berbahasa paling jitu.[6]

Sayid Quthb (1966M) juga telah mengulas: Islam telah mengangkat mereka (umat Islam) dari lingkungan masyarakat Arab yang tidak mengetahui kecuali hal-hal yang sedikit dan berserakan yang hanya layak untuk kehidupan berkabilah di tengah padang Sahara. Kemudian Islam menjadikan mereka sebagai umat yang memimpin manusia dengan penuh bijaksana, terarah, sangat piawai, tepat dan berpengetahuan. [7] Malah dengan risalah Islam bersama didikan serta pimpinan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam inilah masyarakat Arab dapat membangun, jika tidak tertinggallah mereka sepertimana masyarakat Eskimo di Kutub Utara dan masyarakat Zulu di benua Afrika hari ini ![8]

[9] Merangsang umat untuk sentiasa berjihad menegakkan Islam.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah; engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatan-Nya dan Amatlah berat azab seksa-Nya. [an-Nisaa’ 4:84]

Ayat ini sekaligus menerangkan dua tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Pertama, berjihad menegakkan agama Islam sebagaimana firman Allah: Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah… Berdasarkan ayat ini ketahuilah bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak hanya ditugaskan sekadar mengajar al-Qur’an dan mendakwahkan Islam kepada manusia tetapi beliau juga ditugaskan dengan sesuatu yang lebih berat lagi membahayakan, iaitu mengangkat senjata di medan perang menegakkan Islam. Lebih dari itu tugas ini tetap dibebankan ke atas diri Rasulullah sekalipun baginda seorang diri sahaja, sebagaimana firman Allah: … engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.

Kewajipan berperang yang diperintahkan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam ayat ini sekali-lagi menafikan dakwaan bahawa baginda hanya memiliki peranan sebagai seorang posmen yang menyampaikan al-Qur’an sahaja. Malah ayat ini secara jelas menonjolkan kegagahan diri Rasulullah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Fakh-ur-Razi: Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah seseorang yang memiliki sifat yang gagah lagi yang paling bijaksana dalam urusan peperangan (kerana) tidaklah (Allah) akan memerintahkan demikian melainkan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam memang memiliki sifat-sifat tersebut (gagah dan bijaksana). [9]

Tugas kedua yang diwajibkan ke atas diri Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam ayat di atas adalah mengerah dan mengajak umat Islam agar turut berperang sepertimana firman Allah: Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani).

[10] Menggubal hukum.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dia (Muhammad) menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. [al-A’raaf 7:157]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu waTa’ala menerangkan tugas dan kekuasaan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menggubal hukum-hukum agama seperti menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang memudaratkan.

Demikian antara 10 tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang dijawatkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala dalam al-Qur’anul Karim. Terdapat beberapa lagi tugas Rasulullah yang diterangkan oleh al-Qur’an seperti menunjuki umat ke arah jalan yang lurus, menerangi mereka dengan nur – cahaya Islam, mengkhabarkan berita gembira kepada orang yang beriman akan balasan syurga bagi mereka, memberi amaran kepada orang yang ingkar akan balasan neraka, menjadi saksi kepada umat di akhirat dan pelbagai lagi. Yang pentingnya tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidaklah sekadar membawa al-Qur’an sahaja umpama seorang posmen yang membawa surat dari pengirim kepada penerima.  

 

Hujah 3:  

Mentaati Rasulullah bererti menyekutukan Allah kerana beliau hanyalah seorang manusia biasa.

 



[1]               Abdul Halim el-Muhammady – Islam dan al-Hadis: Dialog Bersama Kasim Ahmad, ms 91.

[2]               Lihat huraian lanjut oleh Sayid Quthb dalam Fii Zhilali Qur’an, jld 1, ms 303-304.

[3]               Mustafa as-Sibai - al-Hadits sebagai Sumber Hukum, ms 228.

[4]               Ibnu Qayyim - Madarij as-Salikin, ms 330-331 (edisi ringkasan dalam satu buku). Lihat juga Muhammad Uwais an-Nadwy – Tafsir Ibnu Qayyim: Tafsir Ayat-ayat Pilihan, ms 263-264.

[5]               Lebih lanjut lihat Fakh-ur-Razi – Tafsir al-Kabir, jld 3, ms 226 dan  jld 4, ms 409; al-Mawarzi – an-Nukatu al-‘Uyun, jld 2, ms 79; al-Qasimi – Mahasin at-Takwil, jld 4, ms 292; HAMKA – Tafsir al-Azhar, jld 3, ms 1917 dan lain-lain lagi.

[6]               Tafsir al-Asas, jld 1, ms 418.

[7]               Fii Zhilali Qur’an, jld 1, ms 304. Yang dimaksudkan dengan penjelasan di atas adalah bagi umat Islam generasi awal.

[8]                 Demikian ulas Maryam Jameelah dalam Islam in Theory and Practice, pg 7. Malang sekali kemajuan dan tamadun yang dibawa oleh Islam sepertimana yang penulis ungkapkan di atas hanya sempat berkekalan untuk beberapa kurun yang pertama. Setelah itu umat menjadi malas dan tidak berdisiplin (complacent) sehingga menyebabkan kejatuhan dan kemunduran semula. Tiada jalan lain untuk bangun kecuali dengan mengkaji dan meneladani semula langkah-langkah pendidikan dan pembinaan umat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[9]               Tafsir al-Kabir, jld 4, ms 157; juga dinukil oleh Hamka dalam Tafsir al-Azhar, jld 2, ms 1329.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian