al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kelimabelas:

          

Dalam riwayat yang masyhur disebut bahawa Imam Bukhari telah menapis sebanyak 600,000 buah hadis dan beliau hanya memilihi 9,000 yang sahih untuk dimuatkan dalam kitabnya Sahih Bukhari. Jumlah 600,000 ini jelas menunjukkan bahawa berlakunya penciptaan hadis-hadis palsu secara besar-besaran di zaman awal Islam.

Jawapan:

Terdapat dua perkara penting yang perlu diterangkan dari hujah atau dakwaan di atas:

Pertama: Apabila dikatakan wujudnya 600,000 hadis, ia bukanlah bermaksud ada 600,000 sebutan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, tetapi adalah 600,000 jalan-jalan periwayatan hadis-hadis Rasulullah. Perlu diterangkan bahawa para tokoh hadis tidak mengira hadis menurut jumlah sebutan yang berasal dari Rasulullah tetapi adalah menurut jumlah jalan-jalan periwayatannnya. Jumlah jalan-jalan periwayatan hadis adalah sangat besar bilangannya kerana jumlah bilangan orang yang meriwayatkannya dari generasi ke generasi adalah banyak dan ia bertambah secara gandaan.[1]

Sebagai contoh, kita umpamakan seorang sahabat Rasulullah yang masyhur bernama Abdullah ibnu Mas’ud radiallahu-anhu. Katakan beliau memiliki 50 orang murid dari generasi tabiin dan 50 orang ini selepas mendapat ijazah dari Ibnu Mas’ud akan menjadi guru pula dengan setiap dari mereka memiliki 50 orang murid dari generasi selepas tabiin. Setiap dari 50 orang ini selepas mendapat ijazah dari guru mereka masing-masing akan mengajar pula dan setiap dari mereka memiliki 50 orang murid juga dari kalangan generasi berikutnya dan demikianlah seterusnya. Dari contoh yang penulis umpamakan di atas, pada ketika generasi ketiga sahaja sudah ada kira-kira 125,000 orang yang meriwayatkan hadis padahal mereka semua mungkin hanya meriwayatkan 100 ucapan yang berasal dari mulut Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Maka bilangan 125,000 inilah yang menjadi kiraan dan perhatian para tokoh hadis kerana mereka akan menapis dan menelusuri orang-orang yang terkandung dalam jumlah 125,000 tersebut untuk mencari yang jujur, amanah dan sebagainya untuk diambil hadis yang mereka riwayatkan.

Kedua: Apabila dipilih 9,000 dari 600,000 jalan periwayatan hadis, tidaklah bererti bahawa baki 591,000 jalan periwayatan hadis yang disisih adalah terdiri daripada orang-orang fasik yang sengaja berdusta dan mencipta hadis sesuka mereka. Syarat pilihan sesuatu hadis yang sahih adalah sangat tinggi lagi ketat. Ia wajib terdiri dari orang-orang yang kuat imannya, tinggi ketaqwaannya, berdisiplin dalam ilmu-ilmu agama, jujur, amanah, adil, berperibadi mulia, kuat ingatan atau tahu apa yang dicatitnya, faham akan maksud hadis yang dihafal atau ditulisnya, benar-benar menerima hadis dari mulut gurunya dan pelbagai lagi. Tidak semua orang yang meriwayatkan hadis dapat menepati syarat-syarat yang ketat ini, justeru itulah mereka diketepikan. Oleh itu bezakanlah, apabila disisihkan 591,000 jalan periwatan hadis, ia bukan kerana para perawinya terdiri dari orang-orang yang berdusta, mencipta hadis sendiri atau sebagainya.

 

Hujah 16:  Sesetengah hadis menyerupai ajaran Kitab taurat dan Injil. Ini  menunjukkan bahawa ajaran Ahli Kitab telah terselit masuk  dalam hadis-hadis.

   



[1]               Mustafa as-Siba’i – al-Hadits sebagai Sumber Hukum, ms 313-317; juga Mustafa Azami – Studies in Hadis Methodology and Literature, pg 26.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian