al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kesebelas:

          

Dalam kitab-kitab hadis tercatit riwayat bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah melarang hadis-hadisnya ditulis oleh para sahabat. Demikian juga dalam kitab-kitab sejarah diterangkan bahawa para Khalifah ar-Rashidun seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma – mereka juga melarang penulisan dan penyebaran hadis-hadis Rasulullah. Larangan-larangan ini menunjukkan bahawa hadis-hadis Rasulullah sememangnya tidak dimaksudkan sebagai sebahagian dari syari’at Islam.

Jawapan:

Dalam Islam, sebelum diterima dan diperhujahkan sesuatu kisah atau riwayat, wajib disemak dan dikaji isnadnya terlebih dahulu. Apabila didapati sahih maka hendaklah riwayat tersebut difahami bersama-sama riwayat-riwayat yang lainnya, kemudian barulah dirumuskan satu kesimpulan. Kita tidak boleh menerima dengan sewenangnya sesuatu kisah sebagaimana ada sahaja dan tidak boleh membuat rumusan semata-mata berdasarkan satu riwayat sahaja.

Dakwaan di atas akan penulis jawab dalam dua bahagian, pertama larangan menulis hadis oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan kedua larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma.

Pertama: Larangan menulis hadis oleh Rasulullah.

Riwayat hadis yang dimaksudkan sebagai larangan penulisan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah seperti berikut: Berkata Abu Sa’id al-Khudri radiallahu-anhu, telah bersabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.[1]

Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia sebenarnya hanyalah melarangan penulisan hadis di atas kertas atau lembaran yang sama dengan al-Qur’an. Penjelasan ini adalah berdasarkan hadis berikut dari Abu Hurairah radiallahu-anhu:

Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka di satu hari beliau datang kepada kami dan berkata: Apakah tulisan-tulisan ini ? Maka kami menjawab: Apa yang kami dengar dari engkau. Lalu beliau berkata: Tulisan bersama Kitab Allah (al-Qur’an) ? Kami menjawab: (Ya !) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau). Lalu bersabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:

Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia.[2]

Di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, bahan-bahan tulis seperti kertas papri sudahpun wujud[3] dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi, perlembagaan negara dan al-Qur’an. Akan tetapi jumlahnya agak terhad dan tidak memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatit al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah. Lebih-lebih lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti dengan penerangan, penjelasan dan pengamalannya, yakni teori dan praktikalnya. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah pengamalannya.[4]

Sesetengah sahabat mencatit ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan Rasulullah dan pada waktu yang sama mencatit juga keterangan dan kaedah pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah. Apabila hal ini diketahui oleh Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga. Inilah yang dimaksudkan beliau: Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain Kitab Allah ? Jagalah ketulenan Kitab Allah dan janganlah mencemari ia ......... iaitu kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi ayat-ayat al-Qur’an sahaja dan tidak apa-apa lain selainnya.

Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari al-Qur’an, maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr radiallahu-anhu:

Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraish menegahku dengan berkata: Apakah kamu menulis segala sesuatu ? Bukankah Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga ?  Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:

Tulislah ! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar). [5]

Selain itu perlu juga dibetulkan rumusan Golongan Anti Hadis bahawa memandangkan Rasulullah melarang penulisan hadis-hadisnya, ia bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya dijadikan sebahagian dari sumber syari’at Islam. Rumusan ini tidak benar kerana jika dikaji semula hadis di atas akan di dapati bahawa di sebalik larangan menulis hadis, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetap menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Berikut penulis kemukakan semula hadis tersebut dan perhatikan bahagian yang digariskan:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.

Pada ketika yang lain Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda:

Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain. [6]

Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu akan didengarkan dari kalian, selanjutnya akan didengar pula dari orang yang mendengar dari kalian.[7]

Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas lembaran yang sama dengan tulisan al-Qur’an.[8]

 

Kedua: Larangan menulis dan menyebarkan hadis oleh Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

Hampir semua riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di zaman pemerintahan mereka adalah daif. Antara yang masyhur dikatakan tentang Abu Bakar adalah kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau membakarnya.[9] Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah antara kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan maka halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia.[10] Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana isnadnya memiliki beberapa kecacatan.

Umar al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda dan Abu Mas’ud al-Anshari radiallahu-anhum kerana banyak menyampaikan hadis.[11] Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau bermesyuarat dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan tersebut. Akan tetapi sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya.[12] Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah menjadi persaingan (menjadi banyak)[13] di masa Umar bin al-Khattab. Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka membawanya (hadis-hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka apabila telah dibawa kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu kemudiannya ditahan ia (tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak dikembalikan). Berkata Umar: Dua (kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua (kitab) pada waktu yang sama (seperti perbuatan) Ahli Kitab ? [14]

Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah dan dakwaan. Hanya sahaja dalam bab ini terdapat dua riwayat lain yang sahih yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya. Riwayat-riwayat yang dimaksudkan adalah:

Riwayat Pertama:

Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang Ansar radiallahu-anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an mereka. Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini.[15] Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi priority kepada kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya. Perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya penyampaian hadis Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.

Sekali lagi ditekankan bahawa tidak boleh membuat kesimpulan yang mutlak bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan, periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas. Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah yang baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas mengajar agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ini jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era pemerintahannya, di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah ! Saksikanlah Engkau atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah mengutus mereka untuk mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi mereka.[16]

Riwayat Kedua:

Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radiallahu-anhu: Engkau (perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau aku akan mengusir kamu ke daerah Daus.[17] Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada tempatnya sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi kekeliruan di dalamnya.[18] Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu Hurairah supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya secara formal dan tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara mutlak.

Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.[19]  Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi oleh suasana angin ribut yang kencang. Lalu Umar bertanya kepada rombongannya: Adakah sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin kepada kami ? Maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis Rasulullah tentang angin kecuali Abu Hurairah, beliau menunggang kepada Umar lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa engkau bertanya tentang angin dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:

Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia datang dengan membawa rahmat dan ia datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika engkau melihatnya maka janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya.[20] Umar tidak menolaknya hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.

Harap penjelasan ringkas di atas dapat membersihkan pelbagai dakwaan bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan penyampaian hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di zaman pemerintahan mereka. Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah ayat al-Qur’an:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat [al-Ma’un 107:04] lalu terus dibuat rumusan bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang dicela lagi tidak dituntut oleh Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat di atas sahaja dan dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang menerangkan kewajipan dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas sebenarnya hendaklah difahami dengan sambungan ayat seterusnya:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; laitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). [al-Ma’un 107:4-6]

Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidun ke atas sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Kita tidak boleh membuat rumusan bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti penulisan, periwayatan, pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang sama terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan mereka. Lebih dari itu terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka riwayatkan sendiri sebagaimana yang nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis.[21] Oleh itu adalah sangat tidak benar rumusan dan dakwaan Golongan Anti Hadis yang mengatakan para Khalifah ar-Rashidun telah menghalang dan melarang aktiviti-aktiviti ilmiah yang berkaitan dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

 

Hujah 12:   Rujukan kepada hadis hanya dipelopori oleh Imam Shafi’i  pada tahun 200 hijrah.

 



[1]               Sahih: Hadis dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, ad-Darimi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab az-Zuhud dan Raqa’iq, Bab Kedudukan hadis dan penulisannya).

[2]               Hasan: Sebahagian dari hadis yang panjang dengan 3 jalan periwayatan:

[1] Dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dalam al-Musnad – no: 11034. (Musnad Abu Said al-Khudri, hadathana Ishaq bin ‘Isa) dari jalan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dan beliau adalah perawi yang dilemahkan oleh majoriti. Hamzah Ahmad Zain menguatkan hadis ini ke taraf hasan kerana maksudnya selari dengan riwayat Abu Said al-Khudri yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab sahihnya no: 3004 sebagaimana yang telah disalin di atas (Hadis A). Lihat juga Musnad Ahmad – no: 11027.

[2] Dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no: 7514 dengan lafaz yang sedikit berbeza dari jalan Zaid bin Aslam tanpa anaknya Abdurrahman, namun dalam isnad ini terdapat Isa bin Maimun al-Madani dan adalah beliau seorang yang daif. Lihat al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal – perawi no: 1388.

[3] Dari Abdullah bin Amru radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 62, ms 44-45 dengan lafaz yang juga sedikit berbeza dari jalan selain Zaid bin Aslam, tetapi tetap melalui Isa bin Maimun dan adalah beliau seorang yang daif.

                Ketiga-tiga jalan di atas adalah daif dan lafaznya juga sedikit berbeza antara satu sama lain. Tetapi tetap mengandungi satu persamaan, iaitu pertanyaan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam kepada para sahabat yang sedang menulis hadis: “Tulisan bersama Kitab Allah ?” diikuti peringatan untuk menjaga ketulenan Kitab Allah, iaitu al-Qur’anul Karim. Justeru penulis menilai hadis ini hasan li-ghairihi atas dasar 3 jalan isnad di atas yang saling menguat antara satu sama lain.

[3]                 Montgomery Watt & Richard Bell – Introduction to The Qur’an, pg 31-33

[4]               Tafsir Ibnu Katsir, jld 1, ms 6 (bhg muqaddimah).

[5]               Sahih: Hadis dikeluarkan oleh  Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no: 1532.

[6]               Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagier – no: 9264 dan dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 6763.

[7]               Sahih: Hadis dari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban dan ath-Thabarani, dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban – no: 062. (Kitab al-Ilmu, Bab Memperingatkan Sunnah-sunnah dari (melalui) pendengaran......).

[8]               Mustafa Azami – Studies in Hadith Methodology and Literature, pg 28; Muhammad Hamidullah – Sahifah Hamman ibn Munabbih, pg 104-106.

[9]               Daif: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 10-11 dari jalan Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan, dari Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah at-Taymi, diceritakan kepada aku oleh al-Qasim bin Muhammad, bahawa berkata A’isyah radiallahu-anha ....... sepertimana mana di atas. Isnadnya daif kerana memiliki beberapa kecacatan, iaitu:

[1] Ali bin Saleh – berkata Ibnu Katsir: Tidaklah dia dikenali. [al-Hindi – Kanz al-Ummal – no: 29460]

[2] Musa bin Abdullah - beliau diperselisihkan, lihat Lisan al-Mizan, jld 6, ms 123, perawi no: 465; al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal, jld 6, ms 346, perawi no: 1826 dan Daif al-Uqaili, jld 4, ms 159, perawi no: 1730.

[3] Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah – beliau tidak dikenali. Biografinya tidak disebut atau dibicarakan oleh mana-mana ahli hadis.

                Oleh itu berkata adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 11 setelah mengemukakan riwayat ini: Maka riwayat ini – tidaklah ia sah, Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui. Dan berkata Ibnu Katsir sebagaimana nukil al-Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 29460: Hadis dengan wajah seperti ini adalah aneh.

[10]             Daif: Dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 9 dan berkata adz-Dzahabi: Maka adalah ia mursal (iaitu isnadnya terputus). Oleh itu riwayat ini adalah daif juga.

[11]             Daif: Dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no: 3449 dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 12 dan dalam Siyar A’lam Nubala, jld 7, ms 206. Juga dikeluarkan oleh an-Nasai dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 11, ms 555. Kedua-duanya dari jalan Abdullah bin Idris, dari Syu’bah, dari Sa’ad ibnu Ibrahim, dari ayahnya, bahawasanya Umar al-Khattab.....sepertimana di atas. Isnadnya daif juga kerana beberapa sebab:

[1] Syu’bah – adalah beliau diragukan. Lihat Ibnu Hazm – al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 2, ms 256-258.

[2] Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf, beliau tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab. Ibrahim lahir pada 20H manakala Umar meninggal dunia pada 23H. Tidak mungkin Ibrahim meriwayatkan hadis pada umur 3 tahun melainkan beliau mendengarnya dari seseorang lain yang tidak diketahui. Justeru isnad riwayat ini terputus. Lihat Majma az-Zawaaid, jld 1, ms 149.

[12]             Daif: Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20484. Juga secara ringkas oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 3, ms 287. Semuanya dari jalan Ibnu Shihab az-Zuhri, dari Urwah al-Zubair, bahawa Umar al-Khattab ........ Isnad ini terputus kerana Urwah bin al-Zubair (93H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H).

[13]                 Demikian lafaz yang dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 5, ms 59.

[14]             Daif: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 5, ms 188 dengan isnad yang terputus juga kerana al-Qasim bin Muhammad (106H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H).

[15]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Abdil Barr dan ad-Darimi, dinilai sahih oleh Muhammad an-Nasr dalam Sunan Ibnu Majah – no: 028 (Bab Kehati-hatian Sahabat dalam meriwayatkan hadis dari Rasulullah).

[16]             Sahih: Sebahagian dari teks khutbah Umar al-Khattab radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 341. (Musnad Umar al-Khattab, hadathana Muhammad bin Ja’far......).

[17]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 50, ms 172 dan dinukil oleh Ibnu Katsir dan adz-Dzahabi. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Syu’aib al-Arnuth dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 600-601. Dalam bab ini terdapat dua riwayat lain bahawa Abu Hurairah kemudiannya tidak lagi meriwayatkan hadis di zaman Umar kerana takut dirinya dipukul oleh Umar. Kedua-dua riwayat tersebut adalah daif, keterangannya seperti berikut:

[1] Dari Muhammad bin Ajalan, dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 601. Muhammad bin Ajalan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah, justeru isnad riwayat ini terputus sebagaimana terang Syu’aib al-Arnuth.

[2] Dari Ibnu Shihab az-Zuhri, dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20496. Saya berkata, isnad riwayat ini juga terputus kerana Ibnu Syihab az-Zuhri yang lahir pada tahun 50H tidak sempat meriwayatkan dari Abu Hurairah yang meninggal dunia pada tahun 59H. Perhubungan yang sahih antara Ibnu Syihab dan Abu Hurairah adalah melalui perantaraan seorang perawi yang lain, tidak secara terus.

[18]                 Sebagaimana terang Ajaj al-Khatib dalam Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 495. Lebih lanjut lihat Bidayah wa Nihayah, jld 8, ms 107-108.

[19]             Dalam satu riwayat lain, Umar sendiri telah membenarkan Abu Hurairah meyampaikan hadis dengan kata beliau: Jika demikian, maka pergilah dan riwayatkanlah hadis. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 603 dari jalan Yahya bin Ubaidullah, beliau dinilai terpercaya oleh Ibnu Hibban tetapi dilemahkan oleh lain-lain ahli hadis.

[20]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 7619. Musuh-musuh Abu Hurairah mungkin berkata hadis di atas sengaja dicipta oleh Abu Hurairah untuk mendapatkan tempat di sisi Umar al-Khattab. Tuduhan ini adalah tidak benar kerana hadis yang sama di atas juga telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah kepada beberapa orang lain tanpa diminta atau ditanya oleh Umar, lihat Sahih Sunan Abu Daud – no: 5097 dan Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, jld 14, ms 1.Malah hadis di atas juga diriwayatkan oleh tiga orang sahabat yang lain radiallahu-anhum, iaitu A’isyah dalam Sahih Muslim – no: 899-1; Ubay bin Ka’ab dalam Sahih Sunan Tirmizi – no: 2252 dan Abu Darda dalam Musnad ‘Abad bin Hamid bin Nasr – no: 199.

[21]             Terdapat 81 buah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar yang tercatit di dalam Musnad Ahmad manakala dalam Musnad Abu Bakar as-Siddiq oleh al-Mawarzi terdapat 143 buah. Dari Umar al-Khattab pula terdapat lebih 300 buah hadis dalam Musnad Ahmad. Dalam Jamii’ al-Musnaidi wa as-Sunan oleh Ibnu Katsir pula terdapat banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua sahabat ini sama ada terus dari Rasulullah atau riwayat bersama melalui para sahabat lainnya.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian