al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kelima:

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sendiri pernah mengadu kepada Allah Subhanahu waTa’ala bahawa umat Islam telah membelakangkan al-Qur’an dan hanya merujuk dan mengutamakan hadis sahaja. Aduan diungkap sendiri oleh al-Qur’an:

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. [al-Furqan 25:30]

Jawapan:

Dakwaan ini mudah dijawab apabila kita perhatikan benar-benar kepada siapakah pengaduan Rasulullah tersebut ditujukan. Perhatikan bahawa istilah yang digunakan dalam surah al-Furqan di atas adalah “kaumku” dan bukannya “umatku”. Perkataan kaum lazimnya merujuk kepada satu bangsa, suku atau kabilah manakala perkataan umat lazimnya merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mengikuti satu jalan atau pimpinan. Seruan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terhadap kaumnya dalam ayat di atas adalah mirip kepada seruan beberapa Rasul dan Nabi sebelum baginda terhadap kaum mereka masing-masing sepertimana yang telah diungkap oleh al-Qur’an:

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu.” [al-Baqarah 2:54]

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman).” [Nuh 71:05]

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah !” [Hud 11:50]

Nukilan 3 ayat di atas jelas menunjukkan bahawa para Nabi dan Rasul menggunakan panggilan kaumku apabila merujuk kepada kaum atau masyarakat yang mereka hidup bersama. Akan tetapi istilah kaumku akan berubah kepada umatku atau umat sahaja apabila yang dirujuk adalah sekumpulan manusia yang mengikuti jalan atau pimpinan seseorang Rasul tanpa mengira sama ada sekumpulan manusia tersebut hidup sezaman dengan Rasul tersebut atau sesudahnya. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya). [Yunus 10:47]

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.” [an-Nahl 16:36]

Dan bagi setiap umat yang memiliki Rasul tersendiri, diturunkan juga syari’at tersendiri:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan. [al-Hajj 22:67]

Kita juga dikenali sebagai satu umat, yakni umat yang diutuskan seorang Rasul bernama Muhammad bin Abdullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain. [ar-Ra’d 13:30]

Dan akhirnya setiap umat ini akan dipertanggung-jawabkan di Hari Kiamat nanti:

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan !” [al-Jaathiyah 45:28]

Perbandingan antara ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita perbezaan antara istilah kaum dan umat. Diulangi bahawa perkataan kaum lazimnya merujuk kepada satu bangsa, suku atau kabilah manakala perkataan umat lazimnya merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mengikuti satu jalan atau pimpinan. Perkataan umat boleh mewakili kaum tetapi perkataan kaum tidak boleh mewakili umat. Perbezaan guna antara istilah kaum dan umat akan dapat dilihat dengan lebih jelas dalam ayat berikut:

Telah mendustakan sebelum mereka kaum Nabi Nuh dan golongan-golongan sesudah mereka. Dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu ! [al-Mu’minun 40:05]

Perhatikan bahawa apabila merujuk kepada golongan yang didakwah oleh Nabi Nuh alaihi-salam, al-Qur’an menggunakan istilah kaum manakala apabila merujuk kepada sesuatu golongan secara umum, yang keseluruhannya diutuskan seorang Rasul kepada mereka, al-Qur’an menggunakan istilah umat.

Perbezaan guna antara istilah kaum dan umat juga dapat kita lihat dalam hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Pernah sekali Rasulullah disajikan dengan hidangan daging dhab akan tetapi baginda tidak memakannya, lalu sahabat bertanya – apakah dhab itu haram untuk dimakan ? Baginda menjawab:

“Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku lalu aku merasa jijik.” [1] Perhatikan bahawa baginda Nabi mengaitkan keasingan daging dhab dengan masyarakat atau tempat asalnya, dengan menggunakan istilah kaumku. Demikian juga apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam merujuk kepada kaum kafir Quraish yang telah menghalaunya dari kota asal kelahirannya, yakni Kota Makkah al-Mukarramah, Rasulullah merujuk kepada mereka sebagai kaumku, sebagaimana dalam hadis berikut ini:

Dari Ibnu Abbas (radiallahu-anhu), beliau berkata, telah bersabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang Kota Mekah: “Alangkah baiknya kamu sebagai satu negeri dan alangkah kamu aku cintai, seandainya kaumku tidak mengusirku dari kamu, nescaya aku tidak tinggal di tempat selain kamu.” [2]

Akan tetapi apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam merujuk kepada urusan orang-orang Islam seluruhnya hingga akhir zaman, beliau akan menyebut umatku sebagaimana terukir dalam dua hadis berikut:

Sesungguhnya Allah memberi keampunan dan tidak mengambil kira segala pembicaraan hati umatku selagi mereka tidak memperkatakannya atau melakukannya.[3]

Perumpamaan umatku adalah seperti hujan, tidak diketahui apakah awalnya yang baik atau akhirnya. [4]

Justeru pengaduan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terhadap “kaumku” dalam ayat di atas sebenarnya merujuk kepada bangsa atau sukunya sendiri di saat itu, yakni bangsa Quraish.[5] Ayat ini tidak ditujukan kepada kita umat Islam kerana kita tetap merujuk kepada al-Qur’an di samping rujukan kepada al-Hadis.

Perlu ditambah bahawa sekalipun ayat ini merujuk kepada kaum Quraish di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, pengajarannya tidaklah terlepas dari kita umat Islam sehingga ke akhir zaman. Tentu sahaja kita tidak ingin temasuk dalam kelompok yang dirujuk dan diadukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tersebut. Justeru kita tetap perlu berusaha untuk mengimani, membaca, mendengar, mempelajari, mengkaji, mempraktik dan membumikan al-Qur’anul Karim.[6]

 
Hujah 6:   Dalam al-Qur’an tidak ada istilah Hadis Nabi atau Sunnah Nabi. 

 



[1]               Sahih: Hadis dari Abdullah ibnu Abbas yang hadir ketika Khalid al-Walid - radiallahu-anhuma - menyajikan daging dhab kepada Rasulullah. Hadis ini dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, al-Bayan – no: 1149 (Kitab Binatang buruan, sembelihan dan binatang yang halal dimakan, Bab Harus memakan Dhab).

[2]               Sahih: Hadis dikeluarkan oleh at-Tirmizi, Ibnu Hibban, ath-Thabarani (Mu’jam al-Kabir) dan al-Hakim, dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban – no: 3709 (Kitab al-Hajj, Bab Keutamaan Makkah).

[3]               Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat al-Bayan – no: 077 (Kitab al-Iman, Bab: Allah tidak mengambil kira tentang perbicaraan hati .....).

[4]               Sahih: Hadis dari Anas bin Malik, ‘Ammar dan Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhum, dikeluarkan oleh Ahmad, Tirmizi, Abu Ya’la dan ath-Thabrani, dinukil dan dinilai hasan oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – hadis no: 8161 manakala sahih di sisi Nasiruddin Albani, lihat Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 5854.

[5]               al-Zamakhsyari – Tafsir al-Kasysyaf, jld 3, ms 282; al-Baidawi – Tafsir al-Baidawi, jld 4, ms 215; as-Suyuti - Tafsir Jalalain, jld 3, ms 1520; dan lain-lain. Lihat juga keterangan Muhammad Asad – The Message of The Qur’an: Translated and Explained, pg 553

[6]               Quraish Shihab - Tafsir al-Mishbah: Pesan, Kesan dan Keserasian al-Qur’an, jld 1, ms vi (bhg. muqaddimah).

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian