|
||||
|
2 - 8 Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran
Percangghan dalam al-Quran ialah satu keadaan di mana dua ayatnya berlaga dan setiap satu daripadanya menunjukkan perkara yang berlawanan, seperti adanya ayat yang menetapkan sesuatu dan ayat lain yang menolaknya. Percanggahan tidak boleh berlaku antara dua ayat yang berlandaskan berita atau pengkhabaran kerana ini bermaksud salah satu daripadanya adalah bohong dan ini adalah mustahil dalam berita-berita yang datang daripada Allah Ta‘ala berdasarkan:
Percanggahan juga tidak boleh berlaku antara dua ayat yang berlandaskan hukum atau undang-undang kerana ayat yang turun terkemudian menjadi nasikh (pemansuh) kepada ayat yang turun terdahulu berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:106) - Maksudnya: Ayat mana sahaja yang Kami nasakhkan atau Kami jadikan manusia lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang setanding dengannya.
Jika sah ianya nasikh (pemansuh), hukum ayat pertama termansuh dan ianya tidak dapat melawan hukum ayat kedua.
Sekiranya anda melihat sesuatu yang disangka bercanggahan, cubalah kumpulkan kedua-duanya. Jika tidak dapat, hendaklah anda tawaqquf (tangguh) dan serahkan masalah ini kepada orang yang mengetahuinya.
Para ulamak telah membawa banyak contoh bagi ayat-ayat yang disangka bercanggahan dan mereka telah menjelaskan cara mengumpulnya. Di antara kitab yang terbaik dalam tajuk ini ialah Daf‘u Iiham al-Ittirab ‘an Aayi al-Kitab karangan al-Shaikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti.
Di antara contoh ayat-ayat yang disangka bercanggahan ialah:
a. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:2) - Maksudnya: Petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
Dengan firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:185) - Maksudnya: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.
Ayat pertama menunjukkan bahawa petunjuk al-Quran khas bagi orang yang bertaqwa manakala ayat kedua menunjukkan bahawa petunjuk al-Quran merangkumi semua manusia. Cara mengumpulkannya ialah: petunjuk dalam ayat pertama merupakan pertunjuk dalam erti kata taufik (membuka hati) dan mendapat manfaat. Petunjuk dalam ayat kedua merupakan petunjuk dalam erti kata penjelasan dan pimpinan.
b. Firman Allah Ta‘ala ( al-Qasas 28:56) - Maksudnya: Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya.
Dengan firman Firman Allah Ta‘ala ( al-Syura 42:52) - Maksudnya: Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.
Ayat pertama berkenaan hidayah taufik (membuka hati), manakala ayat kedua berkenaan hidayah penjelasan.
c. Firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:18) - Maksudnya: Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan yang demikian itu).
Dan firman Allah Ta‘ala ( Ali Imran 3:62) - Maksudnya: Dan tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah.
Dan firman Allah Ta‘ala ( al-Syu‘ara’ 26:213) - Maksudnya: Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) Tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab.
Dan firman Allah Ta‘ala (Hud 11:101) - Maksudnya: Kerana itu tiadalah bermanfaat sedikitpun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.
Dua ayat pertama menolak uluhiyah (penghambaan) selain Allah Ta‘ala, manakala dua ayat terakhir menetapkan uluhiyah (penghambaan) selain Allah Ta‘ala. Cara mengumpulnya ialah: uluhiyah yang khas bagi Allah Ta‘ala ialah uluhiyah yang benar, manakala uluhiyah yang ada pada selain Allah Ta‘ala ialah uluhiyah yang batil berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Haj 22:62) - Maksudnya: (Kuasa Allah) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Tuhan) yang haq dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.
d. Firman Allah Ta‘ala ( al-A‘raf 7:28) - Maksudnya: Katakanlah “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan keji.”
Dan firman Allah Ta‘ala ( al-Isra' 17:16) - Maksudnya: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.
Ayat pertama menolak bahawa Allah Ta‘ala memerintah kepada kemungkaran besar, manakala ayat kedua zahirnya menetapkan bahawa Allah Ta‘ala memerintah kepada kefasikan.
Cara mengumpulnya ialah: perintah dalam ayat pertama adalah perintah dari sudut Syarak di mana Allah Ta‘ala tidak memerintah kepada kemungkaran besar dari sudut Syarak berdasarkan firman Allah Ta‘ala ( al-Nahl 16:90) - Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
Perintah dalam ayat kedua pula adalah perintah dari sudut kejadian atau penciptaan di mana Allah Ta‘ala memerintah kepada apa yang Dia suka dari sudut kejadian atau penciptaan menurut hikmatNya berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala (Yasin 36:82) - Maksudnya: Sesungguhnya perintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya “jadilah” maka terjadilah ia.
Sesiapa yang inginkan lebih banyak contoh, bolehlah merujuk kepada buku al-Shaikh al-Shinqiti tersebut.
Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-QuranPerselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat) Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai) Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)
|
||||