|
||||
|
Al-Tafsir
“Tafsir” dari sudut bahasa diambil dari perkataan al-fasr yang bermaksud menyingkap sesuatu yang tertutup. Tafsir dari sudut istilah ialah penerangan tentang makna-makna al-Quran. Mempelajari tafsir adalah wajib berdasarkan:
1- Firman Allah Ta‘ala (Sad 38:29) - Maksudnya: Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai akal fikiran.
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Ta‘ala telah menerangkan hikmat penurunan al-Quran iaitu supaya manusia meneliti (tadabbur) ayat-ayatnya dan mengambil iktibar daripada isinya.
Tadabbur ialah penelitian lafaz-lafaz supaya dapat sampai ke maksudnya. Sekiranya ini tidak dilakukan, luputlah hikmah penurunan al-Quran. Ianya akan tinggal lafaz-lafaz yang tidak memberi kesan. Mengambil iktibar juga tidak mungkin tanpa memahami maksud al-Quran.
2 - Firman Allah Ta‘ala (Muhammad 47:24) - Maksudnya: Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran ataukah hati mereka terkunci?
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Ta‘ala mencela orang yang tidak meneliti al-Quran. Allah Ta‘ala menerangkan bahawa perbuatan ini merupakan kesan daripada hati yang telah dikunci dan kebaikan tidak dapat sampai kepadanya.
Para salaf (generasi terdahulu) telah merintis jalan yang wajib ini. Mereka mempelajari lafaz-lafaz dan maksud-maksud al-Quran kerana dengan ini mereka dapat beramal dengannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Ta‘ala. Ini semua adalah kerana tidak mungkin untuk beramal dengan sesuatu yang tidak diketahui maksudnya.
Abu Abdul Rahman al-Sulami telah berkata, Mereka yang telah mengajar kami al-Quran seperti Uthman bin Affan, Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain telah memberitahu kami bahawa dahulu apabila mereka mempelajari sepuluh ayat daripada Nabi s.a.w., mereka tidak akan menambah sehinggalah mereka mempelajari kandungannya samada ilmu ataupun amalan. Mereka berkata, “Dengan itu kami telah mempelajari al-Quran, iman dan amalan sekaligus.”
Ibnu Taimiyah telah berkata, Kebiasaannya, adalah tidak mungkin sesuatu kaum itu boleh membaca kitab tentang ilmu-ilmu seperti perubatan dan matematik tanpa mengetahui huraiannya. Justeru, bukankah begitu juga sepatutnya dilakukan terhadap kata-kata Allah yang menjadikan mereka selamat, berjaya, sejahtera dan terurus agama serta dunia mereka?
Para cendekiawan wajib menjelaskan al-Quran kepada manusia samada dengan penulisan atau percakapan berdasarkan firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:187) - Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu) “Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.”
Penerangan al-Quran kepada manusia merangkumi penerangan lafaz dan maksudnya. Dengan ini, tafsir al-Quran adalah salah satu daripada perkara yang Allah Ta‘ala ambil pengakuan para cendekiawan supaya menjelaskannya.
Tujuan pengajian tafsir ialah untuk sampai ke matlamat terpuji dan memetik hasil-hasil suci iaitu membenarkan berita-berita al-Quran, mengambil faedah daripadanya dan melaksanakan hukum-hukumnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Ta‘ala. Semua ini bertujuan membuahkan perlaksanaan ibadah kepada Allah Ta‘ala berdasarkan ilmu yang jelas.
Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-QuranPerselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat) Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai) Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)
|
||||