Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

2-3  Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

 

Perselisihan yang wujud dalam tafsir dengan al-Ma’thur (riwayat) terbahagi kepada tiga bentuk:

 

1. Perselisihan pertama: perselisihan dalam lafaz tanpa makna. Jenis ini tidak memberi kesan kepada erti ayat. Contohnya: Firman Allah Ta‘ala ( al-Isra’ 17:23) - Maksudnya:

 

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia.

     

Ibnu Abbas berkata, “Qadha’ bererti memerintah.” Mujahid berkata, “Menasihat.” al-Rabi‘ bin Anas berkata, “Mewajibkan.” Tafsiran-rafsiran ini membawa erti yang serupa atau seakan-akan sama dan perselisihan ini tidak memberi kesan kepada erti ayat.

 

2. Perselisihan kedua: perselisihan dalam lafaz dan makna tetapi ayat itu boleh menerima kedua-duanya kerana tidak berlawanan. Di sini, ayat itu boleh ditafsirkan dengan kedua-duanya sekali dengan menyatakan bahawa setiap satu adalah contoh atau huraian bagi ayat itu. Contohnya:

 

a - Firman Allah Ta‘ala (al-A‘raf 7:175-176) - Maksudnya:

 

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya

ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab),

kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu,

lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda),

maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.

Dan kalau Kami kehendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikut hawa nafsunya yang rendah.

 

Ibnu Mas‘ud berkata, “Dia adalah seorang lelaki dari Bani Isra'il.” Ibnu Abbas berkata, “Dia adalah seorang lelaki dari penduduk Yaman.” Ada juga yang mengatakan, “Dia adalah seorang lelaki dari al-Balqa’[1].” Pendapat-pendapat ini boleh dikumpul untuk mentafsirkan ayat ini kerana ianya tidak berlawanan. Setiap satu boleh dijadikan contoh untuk ayat.

 

b - Firman Allah Ta‘ala (al-Naba’ 78:34) - Maksudnya:

 

Dan gelas-gelas yang penuh (berisi minuman).

     

Ibnu Abbas berkata, “Perkataan dihaqan’ ialah penuh.” Mujahid berkata, “Berterusan.” Ikrimah berkata, “Jernih.” Pendapat-pendapat ini tidak berlawanan. Setiap satu boleh dijadikan huraian dari satu sudut.

 

3. Perselisihan ketiga: perselisihan dalam lafaz dan makna di mana ayat itu hanya boleh menerima salah satu daripadanya sahaja kerana wujud percanggahan. Di sini, ayat ditafsirkan dengan makna yang lebih rajih (kuat) antara kedua-duanya. Contoh:

 

a-      Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:173) - Maksudnya:

 

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi,

dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain allah.

Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya)

sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas

maka tidak ada dosa baginya.

Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

Ibnu Abbas berkata, “Maksudnya tidak melampau dalam bangkai dan tidak melebihi semasa memakannya.” Pendapat lain mengatakan maksudnya ialah tidak memberontak terhadap pemerintah dan tidak melakukan maksiat dengan pengembaraannya. Pendapat pertama lebih rajih (kuat) kerana ayat ini tiada kaitan dengan pendapat kedua. Di samping itu, tujuan menghalalkan apa yang termaktub ialah darurat (keperluan asas), dan darurat (keperluan asas) boleh timbul juga dalam keadaan memberontak terhadap pemerintah dan dalam pengembaraan yang haram.

 

b-      Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:237) - Maksudnya:

 

Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka,

padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya,

maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu

kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan

oleh orang yang memegang ikatan nikah.

 

Ali berkata, “Orang yang memegang simpulan perkahwinan ialah suami.” Ibnu Abbas berkata, “Dia ialah wali.” Pendapat yang rajih ialah pendapat pertama kerana ia adalah maksud ayat dan juga terdapat hadith Nabi s.a.w. yang menerangkannya.

 


[1] Satu tempat di Jordan yang merangkumi Amman dan lain-lain.

 

 

Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir

Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir

Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran

Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

Al-Dhamir (Ganti Nama)

 

 

Tafsir : Kandungan