|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4 || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12
D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama. Contoh no: 8 Seseorang masuk syurga hanya kerana rahmat Allah dan bukan kerana amalannya. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Tidaklah dimasukkan seseorang daripada kamu ke dalam syurga kerana amalannya. Dan tidak dijauhkan daripada neraka (kerana amalannya). Dan tidak juga aku. Kecuali dengan rahmat daripada Allah.[1] Kemusykilan: Adakah dengan hadis ini bererti kita tidak perlu mengerjakan amal soleh termasuk beribadah kerana yang menjanjikan kita syurga atau neraka hanyalah rahmat Allah yang sama-sama kita ketahui dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sahaja ? Penjelasan: Hadis ini perlu kita fahami bersama ayat-ayat al-Qur’an berikut ini yang semuanya menerangkan bahawa seseorang itu akan masuk syurga kerana amalannya: Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. [al-Baqarah 2:25] Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan” [al-A’raaf 7:43] Sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”. [al-Nahl 16:32] Oleh itu apakah maksud sebenar hadis di atas ? Yang dimaksudkan adalah, seseorang itu dengan rahmat Allah ‘Azza wa Jalla akan mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam ertikata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah dan amal soleh untuk masuk syurga. Rahmat Allah bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat ria’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hadis ini bertujuan memberi dua pengajaran kepada kita: Pertama: Janganlah seseorang itu berbesar diri atau angkuh seandainya dia tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan amal soleh. Kedudukan dia dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah. Oleh itu hendaklah kita mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah berhak untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. [Ibrahim 14:07] Kedua: Janganlah orang yang menghadapi banyak ujian dan halangan untuk mengerjakan amal soleh berputus asa daripada rahmat Allah. Demikian juga janganlah orang-orang yang selama ini terjerumus dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar berputus asa daripada kemaafan Allah jika dia bertaubat. Allah Subahana wa Ta‘ala akan mengurniakan rahmat-Nya pada bila-bila masa yang terdekat, yang dengan rahmat tersebut seseorang akan dapat mengerjakan amal soleh yang akhirnya akan membawa ganjaran syurga. Firman Allah: Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [al-Zumar 39:53] [1] Sahih: Hadis daripada Jabir bin ‘Abdullah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2817 (Kitab Sifat Hari Kiamat, Syurga dan Neraka, Bab Tidak dimasukkan seseorang ke syurga......).
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|