|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4 || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12
D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama. Contoh no: 10 Umat terbaik ialah yang hidup bersendirian di lereng gunung. Datang seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Siapakah manusia yang terbaik ? Baginda menjawab: Seorang mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa ? Baginda menjawab: Seorang mukmin yang tinggal di lereng-lereng gunung untuk beribadah kepada Allah dan meninggalkan masyarakat kerana kejahatan-kejahatan mereka.[1] Kemusykilan: Hadis di atas nampaknya menganjurkan umat Islam untuk mengasingkan diri jauh dari masyarakat. Adakah cara hidup sebegini merupakan cara yang dituntut oleh Islam ? Penjelasan: Cara hidup yang dituntut oleh Islam ialah bermasyarakat, bersosial, saling membantu dan berinteraksi. Hadis di atas sebenarnya bukanlah menganjurkan umat Islam untuk hidup bersendirian. Ia sebenarnya menganjurkan umat Islam untuk mengasingkan diri daripada terikut atau terpengaruh sama dengan kejahatan masyarakat yang mereka hidup bersama. Ungkapan …… tinggal di lereng-lereng gunung ……adalah satu kiasan yang bererti menyisihkan diri dengan satu renggangan yang jauh. Yang mengalih ungkapan tersebut daripada yang sebenar (hakiki) kepada kiasan (majaz) adalah sejumlah ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan konsep hidup umat Islam, seperti saling membantu: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:71] Saling berkomunikasi dalam rangka berdakwah, berdialog dan bertukar pendapat ke arah kebenaran: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [al-Nahl 16:125] Berusaha untuk melakukan ‘amar ma‘aruf dan nahi mungkar: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah. [‘Ali Imran 3:110] Semua amalan-amalan yang diterangkan dalam ayat-ayat di atas hendaklah dikerja sebanyak mungkin dan sepantas mampu, sebagaimana arahan ayat berikut: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Baqarah 2:148] Oleh itu hadis di atas sebenarnya menganjurkan umat untuk mengasingkan diri daripada segala kejahatan masyarakat, bukan mengasingkan diri daripada kehidupan bermasyarakat. Mengasingkan diri tidaklah bererti lain-lain suruhan agama seperti hidup berjamaah, saling tolong menolong, berdakwah dan melakukan ‘amar ma‘aruf dan nahi mungkar kepada masyarakat tidak perlu dilaksanakan lagi. Ketahuilah bahawa yang turut menjadi salah satu ciri terbaik orang Islam ialah saling membantu sehingga dapat memberi manfaat kepada saudaranya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia (lain).[2] Sebaliknya orang yang meninggalkan umat dan tidak mengambil peduli tentang nasib mereka, dia diberi ancaman berat oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.[3] [1] Sahih: Hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 2786 (Kitab Jihad, Bab Seutama-utama manusia adalah.............). [2] Hasan: Hadis daripada Jabir bin ‘Abdullah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Daruquthni dalam al-Afraad, dinukil oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 4044 (lihat juga no: 9147) dan dinilai hasan oleh beliau. Ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 3289. [3] Hasan: Sebahagian hadis dari Hudzaifah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dan al-Hakim, dinilai hasan oleh Mahmud Hasan Ismail dalam semakannya terhadap al-Mu’jam al-Ausath (Dar al-Fikr, Jordan 1999) – no: 7473.
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|