K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12

 

D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama.

Contoh no: 1

Nabi Musa menampar Malaikat Maut.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Malaikat Maut diutus kepada Musa ‘alaihi salam, ketika ia tiba, Musa menamparnya (sehingga terkeluar matanya)[1]. Maka ia kembali kepada Rabbnya (Allah) ‘Azza wa Jalla seraya berkata: “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak menghendaki kematian.”

Maka Allah mengembalikan matanya seraya berfirman: “Kembalilah dan berkatalah kepada dia agar dia meletakkan tangannya di atas belakang seekor lembu jantan. Dari setiap helai rambut yang dapat dilitupi oleh tangannya, maka baginya (umur) satu tahun.”

(Setelah diterangkan kepada Musa, baginda bertanya): “Wahai Rabb, setelah itu apa ?”

Allah berfirman: “Kemudian kematian.”

Musa berkata: “Jika begitu (aku mahu kematian) sekarang.”

Maka dia meminta kepada Allah agar dibawa mendekati tanah suci, sehampir lemparan batu. Kemudian bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika aku di sana akan aku tunjukkan kuburnya berhampiran Bukit Pasir Merah.[2]

Kemusykilan:

Dari hadis di atas timbul beberapa kemusykilan:

[1]      Bagaimana mungkin makhluk malaikat memiliki wajah dan mata sepertimana manusia, boleh ditampar sehingga terkeluar biji matanya ?

[2]     Kenapakah Nabi Musa ‘alaihi salam berlaku kasar terhadap malaikat tersebut ? Bukankah sikap seperti ini menjauhi budi pekerti yang mulia bagi seseorang Rasul ?

[3]     Bukankah ajal seseorang itu adalah ketetapan Allah Subhanahu waTa’ala, maka bagaimana pula seseorang makhluknya dapat memilih-milih bilakah ajal tersebut ?

Penjelasannya:

Kemusykilan pertama:

Bagaimana mungkin makhluk malaikat memiliki wajah dan mata ?

Penjelasan:

Makhluk malaikat sememangnya tidak memiliki ciri-ciri jasad sepertimana manusia akan tetapi mereka dengan izin Allah Subhanahu wa Ta‘ala  dapat berubah dan menjelma dalam bentuk manusia. Terdapat beberapa bukti dalam al-Qur’an al-Karim tentang hal ini, salah satu darinya ialah dari kisah Maryam ‘alaihi salam apabila dia didatangi malaikat Jibril ‘alaihi salam: 

Dan bacakanlah di dalam Kitab Al-Qur’an ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (malaikat Jibril)[3] lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

Maryam berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Ar-Rahman (Allah) daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.” Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.” [Maryam 19:16-19]

Di atas jelas kepada kita bahawa seseorang malaikat itu dapat menjelma sebagai seorang manusia dengan jelmaan yang sempurna sehingga tidak dapat dibezakan sama ada ia adalah manusia atau tidak.

Demikianlah juga halnya apabila Malaikat Maut mendatangi Nabi Musa ‘alaihi salam, ia telah menjelma dalam bentuk manusia seperti kita semua sehingga dapat disentuh secara fizikal.

Kemusykilan kedua:

Kenapakah Nabi Musa ‘alaihi salam berlaku kasar terhadap malaikat tersebut ?

Penjelasan:

Nabi Musa ‘alaihi salam pada asalnya tidak mengetahui bahawa yang mendatanginya itu adalah seorang malaikat. Yang diketahuinya adalah seorang lelaki yang datang untuk mengakibatkan kemudaratan ke atas dirinya. Cuba kita umpamakan jika seorang lelaki datang kepada kita seraya terus mengancam untuk menzalimi atau menganiaya kita, adakah kita akan menerima dia dengan penuh kemesraan ?

Apatah lagi ketika itu Nabi Musa hidup bersama masyarakat Bani Israil yang terkenal dengan sikap degil, ego, suka menzalimi dan tidak kurang juga yang suka membunuh Nabi-nabi mereka. Maka tidak asinglah jika Nabi Musa bertindak sedemikian, bukan kerana zalim tetapi untuk mengelak dari dizalimi.

Tidak mustahil jika Nabi Musa tidak mengetahui bahawa yang mendatanginya itu adalah seorang malaikat. Hal ini pernah berlaku kepada Nabi-nabi lain sepertimana yang diungkapkan oleh al-Qur’an. Berikut adalah salah satu darinya, iaitu ketika Nabi Lut ‘alaihi salam dilawati oleh beberapa orang lelaki, tidak disangkanya bahawa mereka adalah malaikat sehinggalah diberitahu:

Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan.” Dan kaumnyapun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal ?”

Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.” Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu).”

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata): “Wahai Lut ! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat ?” [Hud 11:77-81]

Kemusykilan ketiga:

Bagaimana pula seseorang makhluknya dapat memilih ajalnya padahal ia adalah urusan Allah sahaja ?

Penjelasan:

Tidak dinafikan bahawa ajal setiap seseorang telahpun ditentukan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Firman Allah:

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya. [‘Ali Imran 3:145]

Ketentuan ajal ini tidak boleh diubah suai tempohnya:

 “Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup hingga ke suatu masa yang tertentu; kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui.” [Nuh 71:04]

Ajal juga tidak boleh ditolak, ia tetap akan datang kepada semua yang hidup:

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. [al-Nisaa’ 4:78]

Kini persoalannya, bagaimana mungkin Nabi Musa ‘alaihi salam menafikan ajalnya? Jawapannya adalah tidak, Nabi Musa tidak menafikan ajalnya kerana Malaikat Maut yang mendatanginya itu bukanlah untuk menarik nyawanya tetapi sekadar bertanya sama ada Nabi Musa mahu menerima kematian di saat itu.

Buktinya boleh dilihat daripada aduan Malaikat Maut kepada Allah ‘Azza wa Jalla apabila ia kembali kepada-Nya: “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak menghendaki kematian.” Aduan Malaikat Maut ini menunjukkan bahawa dia sendiri pada asalnya tidak diutus untuk menarik nyawa tetapi untuk bertanya sama ada Nabi Musa menghendaki kematian.

Lebih dari itu, seandainya benar Malaikat Maut diutuskan untuk menarik nyawa Nabi Musa ‘alaihi salam, ia akan melakukan tugas tersebut dalam keadaan dirinya yang asal tanpa menjelma dalam bentuk manusia. Kedua, ia akan melakukan tugas tersebut dengan cekap lagi sempurna, tanpa bertanya atau teragak-agak terlebih dahulu. Firman Allah:

 

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal, sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). [al-An‘aam 6:61]

Persoalan seterusnya, bagaimana mungkin Allah Ta‘ala memberi pilihan kepada Nabi Musa ‘alaihi salam dalam urusan ajal ? Jawapannya, pilihan tersebut adalah antara kurnia dan keutamaan yang Allah Tabaraka wa Ta‘ala  berikan kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya, sepertimana firman-Nya:

Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya. [‘Ali Imran 3:73]

Keluasan limpah kurnia Allah tidak boleh diminta atau ditolak oleh sesiapa kerana ia adalah antara sifat Allah yang Maha Luas Limpah Kurnia-Nya, dan kepada siapa Allah memberikan kurnia tersebut juga tidak boleh dipersoalkan kerana ilmu kita tidak sedikitpun dapat menjangkaui ilmu Allah yang Maha Tinggi.

Keistimewaan dan kemuliaan Nabi Musa ‘alaihi salam tidak perlu dipersangsikan lagi, kepada beliau Allah kurniakan pelbagai mukjizat, dari yang kecil seperti tangan yang bercahaya sehinggalah yang besar seperti membelah Laut Merah. Lebih dari itu kepada Nabi Musa sahajalah Allah berkata-kata secara terus tanpa perantaraan. Dengan pelbagai kelebihan yang Allah kurniakan kepada Nabi Musa ini, tidaklah asing jika Allah memberi pilihan kepada dia tentang ajalnya. Kerana itulah Imam Muslim rahimahullah, apabila beliau menyusun hadis ini di dalam kitab Sahihnya, beliau meletakkannnya di bawah judul “Keutamaan (fada‘il) Nabi Musa ‘alahi salam.”

 


 

[1]              Dalam kurungan adalah tambahan yang terdapat dalam sesetengah lafaz lain, lihat Sahih Muslim – no: 2372 (Kitab Fada’il, Bab Keutamaan Musa ‘alaihi salam).

[2]              Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Al-Nasa’i dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 1339 (Kitab Jana’iz, Bab Sesiapa yang suka dikebumikan di tanah suci atau seumpamanya).

[3]              Antara lain lihat al-Mawardi – al-Nukatu al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp thn), jld 3, ms 362; al-Baghawi – Ma‘alim al-Tanzil (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 4, ms 212; Fakh al-Razi – Tafsir al-Kabir (Dar Ihia al-Turath al-Arabi, Beirut 1999), jld 7, ms 520-521; al-Khazin – Lubabu al-Ta’wil fi Ma‘ani al-Tanzil (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 4, ms 212; al-Qasimi – Mahasin al-Ta’wil (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1997), jld 7, ms 89 dan Muhammad Asad – The Message of The Qur’an, Translated and Explained (Dar al-Andalus, Giblatar 1980), ms 459, fn 14.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis