|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4
E: HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN. Pengenalan dan kaedah memahaminya Hadis-hadis akhir zaman ialah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan suasana dan keadaan umat selepas zaman baginda, khasnya kepada zaman yang menghampiri Hari Kiamat. Hadis-hadis akhir zaman yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam adalah antara himpunan hadis yang paling disalah ertikan oleh umat termasuk para cendekiawannya. Difahami kononnya Rasulullah telah meramalkan suasana keadaan umat yang serba mundur dan hina ditimpa kezaliman dan fitnah. Dengan itu umat hanya perlu duduk dan menerima apa sahaja yang menimpa mereka kerana hal ini telahpun diramalkan – atau ditakdirkan – oleh Rasulullah. Sebenarnya hadis-hadis akhir zaman ini boleh difahami dari dua sudut. Yang pertama adalah dari sudut negatif sebagaimana yang digambarkan di atas. Yang kedua adalah dari sudut positif, iaitu bahawa hadis-hadis akhir zaman tersebut sebenarnya bertujuan memperingatkan umat akan pelbagai cabaran, rintangan dan perubahan yang akan mereka hadapi selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu hendaklah mereka mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan alat untuk menghadapinya. Pemahaman yang kedua inilah yang merupakan pemahaman yang benar kerana adalah sangat tidak mungkin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selaku seorang Rasul pembawa Rahmat akan meramalkan sesuatu yang menjauhi sifat Rahmat tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiyaa’ 21:107] Yusuf Qardhawi menulis: Adalah sungguh menyedihkan apabila kebanyakan hadis yang berkaitan dengan akhir zaman atau yang dinamakan sebagai hadis-hadis “fitnah” dan tanda-tanda Kiamat difahami oleh sebahagian manusia dengan pemahaman yang mengajak kepada putus asa daripada melakukan usaha pembaikan dan perubahan. Tidak dapat digambarkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan mengajak umatnya untuk berputus asa dan kecewa, membiarkan kerosakan menguasai masyarakat, kemungkaran menjalar di tengah-tengah tulang belakang masyarakat tanpa perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan kesilapan atau membaiki kerosakan. Tidak masuk akal bahawa akan timbul daripada pembawa petunjuk umat ini kata-kata yang akan meruntuhkan semangat untuk membaiki dan kehendak untuk merubah keadaan yang tidak baik.[1] Berikut dikemukakan beberapa hadis akhir zaman yang masyhur disalah ertikan. [1] Yusuf al-Qaradhawi – Petanda-petanda Kemenangan Islam (terj: Juanda Jaya; Maktabah al-Qardhawi, Bandar Baru Bangi 1999), ms 38 & 121.
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|