|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4
E: HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN. Contoh no: 1 Masa depan umat kian bertambah buruk. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Tidak akan datang kepada kamu satu zaman kecuali yang sesudahnya lebih buruk daripada yang sebelumnya, sehinggalah kamu menemui Tuhan kamu.[1] Kemusykilan: Hadis ini nampaknya meramalkan suasana umat Islam yang akan bertambah buruk dari masa ke masa. Kenapakah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan ramalan yang sebegini negatif terhadap umatnya ? Penjelasan: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas bukanlah dengan tujuan untuk meramalkan suasana yang beransur-ansur buruk yang bakal menimpa umat. Ia sebenarnya bertujuan memperingatkan umat akan pelbagai cubaan, cabaran dan perubahan yang akan mereka hadapi dari zaman ke zaman. Jika umat tidak bersiap sedia menghadapinya, mereka akan ditenggelami zaman sehingga menjadilah setiap zaman yang baru lebih buruk daripada zaman yang sebelumnya. Dalam sebuah hadisnya yang lain, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan tentang masa depan umatnya sebagai: Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah yang baik itu pada awalnya atau akhirnya.[2] Hadis ini tidak meramalkan sesuatu yang baik mahupun buruk tetapi memberi dorongan kepada umatnya untuk sentiasa mencari yang terbaik tanpa mengenal titik noktah atau batas maksimum. Pergandingan antara hadis ini dan hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak bermaksud untuk meramalkan suasana yang buruk kepada umat akhir zaman melainkan memperingatkan mereka untuk berusaha lebih keras demi mencapai kebaikan dan kejayaan selari dengan perubahan zaman.[3] [1] Sahih: Hadis daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 7068 (Kitab Fitnah, Bab Tidak akan datang satu zaman kecuali............). [2] Sahih: Hadis daripada Anas bin Malik, ‘Amr, ‘Ali bin Abi Talib dan ‘Abdullah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhum, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Abu Ya’la dan lain-lain; dinukil dan dinilai hasan oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 8161 manakala dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 5854. [3] Lihat Yusuf al-Qaradhawi – Fiqih Tajdid dan Shahwah Islamiyah (terj: Nabhani Idris; Islamuna Press, Jakarta 1997), ms 7-9.
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|