K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

 

KATA PENGANTAR

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, tempat kami memohon petunjuk, pertolongan dan keampunan. Kami berlindung kepada-Nya daripada segala kejahatan jiwa kami dan perbuatan kami. Selawat dan salam ke atas Rasul-Nya: Muhammad bin Abdullah, juga ke atas ahli keluarga, para sahabat dan setiap yang mengikuti risalah yang disampaikannya.

Adakalanya apabila seseorang itu membaca hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, ditemuinya beberapa buah yang menggusarkan fikirannya. Hadis-hadis tersebut kelihatan aneh lagi pelik apabila diukur dengan sains, ilmu perubatan moden, tamadun mutakhir dan logika biasa. Hadis-hadis inilah yang dimaksudkan sebagai Hadis-hadis musykil.

Hadis-hadis musykil ini adakalanya memberi kesan yang negatif kepada umat. Ada sebahagian umat menjadi ragu akan kebenaran hadis-hadis tersebut manakala sebahagian lain pula menjadikannya salah satu faktor untuk menolak hadis secara keseluruhan dari syari‘at Islam.

Sebenarnya kemusykilan yang timbul dari hadis-hadis seperti ini hanyalah merupakan perspektif awal seseorang. Ia bukanlah merupakan sesuatu yang hakiki. Musykil atau tidak sesuatu hadis itu sangat bergantung kepada arah perspektif seseorang dan kadar ilmu yang digunakannya sebagai bahan ukuran. Bukankah kemusykilan itu sendiri sesuatu yang relatif, di mana ada perkara yang dianggap musykil oleh seseorang dianggap benar oleh orang lain dan yang dianggap musykil pada satu ketika dianggap benar pada ketika yang lain ?

Demikianlah juga dengan hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Adakalanya sesebuah hadis dianggap musykil dari sudut sains padahal hadis tersebut tidak ada kena mengena dengan ilmu sains atau ilmu sains itu sendiri sesuatu yang belum mantap. Adakalanya sesebuah hadis dianggap musykil dari sudut ilmu perubatan moden padahal ilmu perubatan itu sendiri adalah sesuatu yang sentiasa dinamik selari dengan peradaban manusia. Ada kaedah perubatan yang tepat di zaman dahulu tetapi dianggap salah di masa kini dan ada kaedah perubatan yang dianggap tepat pada masa kini tetapi mungkin akan dianggap aneh di masa akan datang. Ada hadis yang dianggap musykil dari sudut tamadun mutakhir padahal yang sebenarnya memusykilkan adalah tamadun itu sendiri – siapakah yang memiliki kuasa untuk menentukan kebenaran atau kebatilannya – manusia atau syari‘at Allah ? Ada hadis yang dianggap musykil jika difikirkan dengan logik padahal logik itu sendiri seluas mana sekalipun, tidak akan sekali-kali dapat mengatasi kebenaran wahyu dan kehendak Illahi.

Insya-Allah dalam buku ini akan dikemukakan sejumlah hadis yang pada zahirnya kelihatan musykil. Sesetengahnya biasa kita temui dipersoalkan oleh individu mahupun kumpulan tertentu dalam media cetak, elektronik dan dunia siber. Hadis-hadis musykil ini penulis himpun dalam beberapa kategori tertentu dengan setiap kategori penulis gariskan kaedah bagi mengatasi kemusykilan yang timbul.

Yang terpenting dalam hal ini bukanlah menjelaskan semua hadis yang kelihatan musykil tetapi adalah menggariskan kaedah bagi mengatasi kemusykilan tersebut kerana jumlah hadis yang musykil adalah relatif manakala kaedah adalah tetap. Dengan adanya kaedah yang benar, tidak akan wujud lagi hadis yang dianggap musykil. Umpama kata pepatah: Jika kamu memberi saya ikan saya akan memakannya untuk satu hari tetapi jika kamu mengajar saya cara menangkap ikan saya akan memakannya seumur hidup.

Susunan Buku:

Buku ini disusun dalam beberapa bahagian. Sejurus selepas Kata Pengantar ini, akan bermula bahagian utama buku ini, iaitu yang membicarakan Kaedah memahami hadis-hadis musykil. Ia dibahagikan kepada 5 bahagian mengikut kategori subjek hadis yang musykil. Kemudian disusuli dengan Kata Penutup dan diakhiri dengan Indeks hadis di mana semua hadis yang terdapat dalam buku ini dihimpun dan disenaraikan mengikut susunan abjad rumi bagi memudahkan para pembaca mencari sesuatu hadis sebagai rujukan pada masa akan datang.

 

Kaedah Penyampaian:

Hadis-hadis yang dianggap musykil dihimpun dalam beberapa kategori tertentu di mana bagi setiap kategori penulis akan:

[1] Menerangkan kenapa hadis-hadis dalam kategori ini dianggap musykil dan kaedah mengatasi kemuyskilan tersebut.

[2] Mengutarakan beberapa contoh hadis yang dianggap musykil bagi kategori tersebut.

[3] Diterangkan di mana letaknya kemusykilan bagi setiap contoh hadis dalam bentuk soalan seolah-olah ada yang bertanya dan

[4] Dijelaskan maksud sebenar hadis sehingga tidak lagi dianggap sebagai satu hadis yang musykil.

Sumber Rujukan:

Terjemahan ayat-ayat al-Qur‘an al-Karim dirujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur‘an oleh Abdullah Basmeih yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam diterjemahkan sendiri oleh penulis.

Kebanyakan hadis yang dijadikan contoh dalam buku ini adalah dari kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Hadis-hadis yang berasal daripada selain dua kitab sahih di atas akan penulis terangkan status kekuatannya dengan merujuk kepada semakan mereka yang pakar dalam bidang ini. Jika sesuatu hadis itu belum disemak oleh seseorang ahli hadis maka penulis sendiri yang akan menyemaknya sekadar mampu. Adakalanya penulis berbeza pendapat dengan rumusan yang diberi oleh seseorang penyemak, maka dalam kes ini akan penulis terangkan secara terperinci kenapa wujudnya perbezaan pendapat. Setiap yang benar lagi sempurna adalah dari Allah ‘Azza wa Jalla manakala setiap yang salah adalah dari diri penulis sendiri.

Sumber rujukan yang lain akan penulis kemukakan di bahagian notakaki buku. Di mana mungkin penulis akan menggunakan sumber rujukan yang telah diterjemahkan bagi memudahkan para pembaca mengenal sumber-sumber tersebut.

Harapan:

Semoga buku ini mencapai tujuannya dalam memberi kaedah dan ilmu kepada para pembaca apabila berhadapan dengan hadis-hadis yang kelihatan musykil. Didoakan juga agar buku ini dapat mengembalikan keyakinan seseorang terhadap hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam terutamanya kepada mereka yang meragui hadis-hadis secara keseluruhannya.

Sebenarnya buku ini adalah merupakan siri ke 3 dalam beberapa buku yang penulis susun khas bagi menangani salah faham yang wujud di kalangan umat dalam bidang hadis. Dua buah buku yang telah diterbitkan dalam siri ini adalah:

[1] 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya (Jahabersa 2002).

[2] Kaedah Memahami Hadis-hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa 2002).

Setiap satu siri buku di atas adalah cabang daripada ilmu hadis yang sangat luas. Buku yang pertama mewakili ilmu yang paling dasar yang menetapkan hadis sebagai salah satu sumber syari‘at Islam yang baku. Buku kedua mewakili Ilmu mukhtalaf al-hadis, iaitu satu ilmu khas yang membicarakan cara-cara berinteraksi dengan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Buku yang ketiga, yakni yang berada di tangan para pembaca sekarang ini, khas mewakili Ilmu musykil al-hadis, iaitu satu ilmu khas yang membicarakan cara-cara berinteraksi dengan hadis-hadis yang kelihatan aneh dan pelik.

Sebelum mengundur diri dari Kata Pengantar ini, ingin penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menyemak dan memberi kata dua demi kebaikan buku ini khasnya Azimah binti Othman, Ghafarullahhuddin bin Hj. Din, Heizal Hezry bin Omar, Maryati binti Mat Nasir, Najah Nadiah binti Amran, Siti Hasnor binti Khamis dan lain-lain. Diucapkan juga ribuan terima kasih kepada guru-guru, kedua ibubapa dan keluarga penulis yang telah memberi ilmu, dorongan dan pertolongan dari pelbagai sudut sehingga menjayakan penerbitan buku ini. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala  melimpahi mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya. Penulis mengalu-alukan sebarang bentuk pembetulan dan maklumbalas dari para pembaca, sama ada melalui e-mel atau surat menyurat yang dialamatkan kepada penerbit. Diakui bahawa buku ini masih memiliki kekurangan dari beberapa segi dan tiada cara yang lebih baik untuk memperbaikinya melainkan dengan bantuan ikhlas para pembaca.

Pembetulan:

Dalam buku Kaedah Memahami Hadis-hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa 2002) di mukasurat xxvi penulis telah menyebut tentang kedudukan perawi Yazid bin Khusaifah: Thiqah dari (darjat) yang kelima. Maksud “(darjat) yang kelima” telah penulis jelaskan di bahagian notakaki no: 09 sebagai mewakili kedudukan darjat Jarh wa Ta’dil di sisi Ibn Hajar al-Asqalani. Di sini berlaku kesilapan. Yang benar ia mewakili kedudukan generasi (tabaqat) seseorang perawi. Akan tetapi kesilapan ini tidaklah menjejaskan intipati perbincangan. Segala puji bagi Allah yang telah memberi peluang kepada penulis untuk membetulkan kesilapan ini dan ribuan terima kasih diucapkan kepada salah seorang pembaca yang telah menerangkan hal ini kepada penulis. Semoga Allah membalas beliau dengan sebaik-baik ganjaran.

Wassalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hafiz Firdaus Abdullah
hafizfirdaus@yahoo.com
       27 Rejab 1423
      4 Oktober 2002

 
 

 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis