Article Index

Langkah # 3: Menyedari Bahawa Masa Tidak Menunggu Sesiapa.

      Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting, iaitu masa tidak menunggu sesiapa.

      Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini. Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:

  1. Menyambung tidur selepas solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45 pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya hingga siang hari.
  2. Meluangkan masa antara 1 hingga 2 jam membaca surat khabar.
  3. Menonton orang lain bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan sebagainya.
  4. Beriktikaf di hadapan kaca TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.
  5. Keluar makan bersama rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.

      Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran, sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini kerana:

      إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ.

      Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27]

      Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:

      اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.

    Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.3

      Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

      قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.

      Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari.4

      Merujuk kepada surat khabar, anda sudah mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80% dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.

      Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

      الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ.

      Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.5

      Ada pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa:

      اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.

      Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku.6

      Walaubagaimana pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.

      Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?

      Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.

      Akhir sekali, makan bersama-sama rakan dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:

      فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ.

      Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillahi Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati.7  Oleh itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama adalah pembaziran masa dan pembaziran adalah sunnah……