Article Index

Langkah # 1: Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap.

      Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda. Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.

      Formula di atas tidak dapat diubah atau diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?

      Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap inilah yang perlu diubah, dari melakukan banyak perkara kepada melakukan hanya beberapa perkara.

      Sebagai contoh, seorang pelajar pusat pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi keterbatasan masa:

  1. Belajar jurusan yang diambil.
  2. Menyertai sesi latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.
  3. Menyertai kelab bahasa Inggeris.
  4. Menyertai pasukan sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.
  5. Ahli panel rekabentuk grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.
  6. Bermain untuk pasukan badminton asrama.
  7. Menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.
  8. Menganjurkan usrah untuk pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.
  9. Menjadi wakil penjual kad tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.

      Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan dikurangkan, umpama:

  1. Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
  2. Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
  3. Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
  4. Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

      Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan. Bukankah lagi banyak yang dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula. Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.

      Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi. Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.