Article Index



Langkah # 5: Carilah Keberkatan Dalam Masa.

      Sebelum ini saya ada menerangkan tentang formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di sebalik formula masa dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.

      Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama.

      Bagaimanakah memperoleh atau mencari keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:

  • Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa.

    Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ.

    Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.10

    Luangkanlah masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini, ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya.11

  • Sedekahkan masa.

    Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

    مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.

    Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

    Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.

    Antara kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua, melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi mungkar.12 Jika anda menguasai ilmu perbandingan agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.

      Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan kepada:

  1. Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
  2. Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
  3. Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
  4. Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

      Apabila anda melakukan perkara ketiga dan keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

      وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

      Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]