Article Index

Wal ‘Ashr: Pengurusan Masa Dalam Islam.

Hafiz Firdaus Abdullah1 

      Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

      وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

      Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

aDalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
  1. Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.
  2. Melaksanakan amal shalih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
  3. Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.
  4. Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

      Saya yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat: Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan dalam ayat tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?

      Sebenarnya apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.

      Melalui tulisan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang bagaimana mengurus masa secara efisyen. Ia amat mudah, hanya terdiri dari lima langkah. Ia amat ringkas, hanya memerlukan lima belas minit dari masa anda. Akan tetapi ia amat penting, penentu sama ada anda menjadi orang yang beruntung atau rugi.