Article Index

Langkah # 2: Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang Dan Suka Hati.

      Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.

      Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua, ketiga dan seterusnya.

      Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar  akan menjadi individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.

      Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan duniawi. Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

      وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.

      Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]

      Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

      إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ.

      Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.2 

      Firman Allah yang bermaksud “Beramallah kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu perintah. Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan “amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat, puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang memisahkan antara agama dan dunia.

      Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia. Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam kedua-duanya.

      Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.”

      Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang rambang dan suka hati.