Article Index



Kesimpulan.
kuala_lumpur_national_mosque.jpgHasil analisa menunjukkan bahawa al-Qur’an dan al-Sunnah membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid. Pelbagai syarat yang dikenakan kepada mereka adalah tidak benar kecuali satu, iaitu hendaklah mereka menutup aurat ketika memasuki dan berada di dalam masjid. Syarat ini tentu saja wajib dikenakan kerana masjid adalah tempat suci dan pusat ibadah umat Islam. Sudah tentu kita tidak mahu sesiapa memasuki masjid dengan fesyen yang menayangkan aurat di sana-sini.
Pada waktu yang sama, dalam analisa-analisa di atas, saya telah menyatakan beberapa adab memasuki masjid seperti tidak merosakkan masjid, tidak mengotorkan masjid dan tidak berbuat bising di dalam masjid. Adab-adab ini hendaklah diperhatikan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam, tetapi juga oleh orang Islam.
Sebelum berakhir, ingin saya berpesan kepada diri saya dan para pembaca sekalian agar menahan diri daripada menokok-tambah sekian-sekian hukum berkenaan orang bukan Islam yang memasuki masjid. Syarat-syarat ini bukan sahaja menghalang mereka dari memasuki masjid, tetapi menjauhkan mereka dari mengenali Islam. Kita sepatutnya mencari pelbagai ruang untuk menarik mereka ke arah Islam dan bukan pula sebaliknya, kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memerintahkan kita:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَج&;#1614;ادِلْهُمْ &;#1576;ِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ.
Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu, Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Nahl 16:125]