Article Index



Analisa # 2: Hukum Orang Junub Memasuki Masjid.
masjid_shah_alam.jpgOrang yang junub dilarang dari memasuki masjid kecuali jika sekadar melintas. Dalilnya ialah ayat berikut:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu hampiri solat (mendirikannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub kecuali kamu hendak melintas sahaja, hingga kamu mandi. [al-Nisa’ 4:43]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang umat Islam dari menghampiri atau memasuki masjid dalam keadaan junub melainkan mereka mandi wajib terlebih dahulu. Akan tetapi ada pengecualian dalam larangan tersebut, iaitu boleh menghampiri dan memasuki masjid jika sekadar melintas sahaja.
Ada pun hukum bagi orang bukan Islam, maka ada dua kemungkinan:
1. Orang bukan Islam termasuk dalam perbicaraan ayat 43 surah al-Nisa’ di atas. Apabila orang Islam dilarang memasuki masjid dalam keadaan junub, maka sudah tentu orang bukan Islam lebih dilarang dari memasuki masjid dalam keadaan junub.
2. Orang bukan Islam tidak termasuk dalam perbicaraan ayat 43 surah al-Nisa’ di atas. Ini kerana ayat tersebut ditujukan kepada orang Islam. Ia dimulai dengan seruan: “Wahai orang-orang yang beriman…” dan bukan “Wahai manusia…”. Oleh itu hukum orang bukan Islam yang junub memasuki masjid adalah harus kerana tiada dalil sahih yang melarang mereka.
Pada analisa saya, kemungkinan kedua adalah lebih tinggi. Sebabnya:
1. Dalam hadis-hadis yang sahih, sebagaimana yang dikemukakan dalam Analisa # 1, jelas diterangkan bahawa orang-orang bukan Islam pernah memasuki masjid. Padahal mereka, sebagaimana manusia biasa, lazim mengadakan hubungan seks dengan pasangan mereka dan tidak pernah mandi wajib. Justeru mereka sentiasa berada dalam keadaan junub. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedia mengetahui keadaan mereka itu tetapi tetap mengizinkan mereka memasuki masjidnya.
2. Jika diandaikan ayat 43 surah al-Nisa’ turut mencakupi orang bukan Islam, apakah jika mereka mandi wajib, mereka akan dapat memasuki masjid? Sudah tentu tidak kerana mandi wajib hanya sah bagi orang Islam.
Hasilnya, adalah tidak tepat untuk melarang orang bukan Islam dari memasuki masjid atas alasan mereka dalam keadaan junub.

Analisa # 3: Hukum Wanita Bukan Islam Yang Didatangi Haid Memasuki Masjid.
Terhadap persoalan ini, terlebih dahulu perlu dianalisa secara ringkas hukum wanita Islam yang haid memasuki masjid. Kebanyakan ahli fiqh melarangnya berdasarkan sebuah riwayat:
لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.
Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub. Hadis ini antara lain dikeluarkan oleh Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadis no: 220 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan orang junub yang memasuki masjid).
Walaubagaimana pun, para ahli hadis berbeza pandangan dalam menilai darjat hadis ini. Di antara mereka ada yang menilainya dhaif, ada yang menilainya hasan dan ada yang menilainya sahih. Saya telah memperincikan perbezaan pandangan tentang darjat hadis ini dalam sebuah risalah lain berjudul Meninjau Semula Hukum Wanita Yang Didatangi Haid Memasuki Masjid.
Di sebalik perbezaan ini, sama-sama diketahui bahawa hukum-hukum Islam hendaklah dibina di atas sumber yang kukuh lagi padu. Hadis yang diperselisihkan darjatnya tidak boleh dijadikan sumber hukum. Apatah lagi dalam subjek yang sama terdapat hadis-hadis sahih lain yang menerangkan para isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan wanita lain radhiallahu 'anhum pernah memasuki masjid dan mendiaminya dalam keadaan didatangi haid. Justeru pandangan yang lebih kuat adalah harus hukumnya bagi wanita yang didatangi haid atau nifas untuk memasuki masjid.
Ada pun wanita bukan Islam yang didatangi haid, hukumnya adalah harus juga untuk mereka memasuki masjid. Hanya saja disyaratkan agar mereka menjaga kebersihan masjid dan syarat ini mencakupi kedua-dua wanita Islam dan bukan Islam.