Article Index



22618351.jpgAnalisa # 4: Hukum Menutup Aurat Ketika Memasuki Masjid.
Sesiapa saja yang ingin memasuki masjid wajib menutup aurat, berdalilkan ayat berikut:
يَابَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ.
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada tiap-tiap kali kamu ke masjid. [al-A’raaf 7:31]
Penjelasan ayat adalah seperti berikut:
1. “Wahai anak-anak Adam!” Permulaan ayat ditujukan kepada seluruh manusia dan bukan kepada orang Islam sahaja. Ia berbeza dengan ayat 43 surah al-Nisaa’ sebelum ini (Analisa # 2) yang ditujukan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Bagi ayat 31 surah al-A’raaf ini, ia ditujukan kepada orang Islam dan orang bukan Islam.
Secara lebih terperinci, ayat ini turun (Asbab al-Nuzul) dalam konteks menegur tindakan orang-orang arab jahiliyah yang tawaf di Ka’bah dalam keadaan bogel. Akan tetapi perbincangan ayat ditujukan kepada semua orang tanpa terhad kepada mereka yang tawaf di al-Masjid al-Haram sahaja. al-Qurtubi rahimahullah (671H) menjelaskan hal ini:
Firman Allah Ta‘ala: “Wahai anak-anak Adam!”, ia adalah perbicaraan untuk keseluruhan (manusia di) alam (ini). Sekali pun maksud (asalnya) ialah berkenaan orang Arab yang tawaf di Baitullah dalam keadaan bogel, ia sebenarnya adalah umum untuk setiap masjid yang didirikan solat (di dalamnya). Ini kerana yang diambil adalah pengajaran yang umum dan bukan sebab yang khusus. [al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (Dar al-Fikr, Beirut, 1999), jld. 7, ms. 136]
2. “Pakailah pakaian kamu yang indah…”. Tercakup dalam pengertian pakaian yang indah ialah pakaian yang menutup aurat. Mustahil Islam mengiktiraf sesuatu fesyen pakaian sebagai indah jika ia tidak menutup aurat. Muhammad Quraish Shihab hafizhahullah menerangkan:
“Pakailah pakaian kamu yang indah…”, minimum dalam bentuk menutup aurat kerana membukanya pasti buruk. Lakukan itu di setiap kali memasuki dan berada di dalam masjid. [Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Jakarta, 2002), jld. 5, ms. 72]
3. Ayat ini berbentuk perintah (fi‘il amr), maka dengan itu hukum yang dikandung olehnya ialah wajib. Maka wajib hukum bagi seluruh manusia, sama Islam atau bukan Islam, untuk menutupi aurat ketika memasuki masjid. Wahbah al-Zuhaili hafizhahullah menegaskan: “Ayat “Pakailah pakaian kamu yang indah…”menjadi dalil atas wajibnya (hukum) menutup aurat.” [Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syar‘iyyah wa al-Manhaj (Dar al-Fikr, Damsyik, 1998), jld. 7, ms. 186]
Oleh itu adalah wajib hukumnya bagi orang bukan Islam untuk menutup aurat ketika memasuki masjid. Batas aurat yang perlu ditutupi adalah sama seperti yang telah ditetapkan bagi lelaki dan wanita Islam. Ia telah saya kupas sebelum ini dalam bab Pakaian Muslimah Bertaqwa dalam buku Membongkar Aliran Islam Liberal (Jahabersa, Johor Bahru, 2007).
Dalam konteks ini, hendaklah agensi pelancongan memberi notis awal kepada para pelancong mereka untuk memakai pakaian yang menutup aurat pada hari mereka merancang untuk melawat masjid. Bagi pelancong wanita, kain selendang (scarf) adalah memadai insya-Allah memandangkan agak sukar untuk mereka memakai kain tudung yang sempurna.
Selain itu, masjid-masjid yang lazim menjadi tumpuan pelancong hendaklah juga menyediakan jubah dan selendang untuk para pelancong, seandainya mereka tidak bersiap sedia dengan pakaian yang menutupi aurat. Ini adalah satu bentuk kemudahan yang termasuk dalam pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا.
Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 69 (Kitab al-‘Ilm, Bab Nabi memilih waktu yang tepat untuk menyampaikan nasihat…].