Article Index



Analisa # 5: Hukum Bersembang-Sembang Urusan Dunia Di Dalam Masjid.
7-june-05-flower.jpgHukum bersembang-sembang urusan dunia di dalam masjid adalah harus. Dalilnya adalah hadis berikut di mana pernah ditanya kepada Jabir bin Samurah radhiallahu 'anh:
أَكُنْتَ تُجَالِسُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ كَثِيرًا كَانَ لاَ يَقُومُ مِنْ مُصَلاَّهُ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الصُّبْحَ أَوْ الْغَدَاةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ قَامَ. وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِي أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ.
“Apakah kamu biasa duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?” (Jabir) menjawab: “Ya! Sering kali. Baginda lazimnya tidak bangun dari tempat melaksanakan solat subuh sehingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, baginda pun bangun. Pada ketika itu mereka (para sahabat) bersembang-sembang hal-ehwal jahiliyah sehingga mereka ketawa sementara baginda tersenyum.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 670 (Kitab al-Masajid…, Bab keutamaan duduk di tempat sesudah solat subuh…)]
Terhadap hadis ini, Ahmad bin ‘Amr bin Ibrahim al-Qurtubi rahimahullah (656H) mengulas:
Sesungguhnya mereka (para sahabat) pada ketika itu bersembang-sembang, dan sesungguhnya bersembang di dalam masjid adalah sesuatu yang dibolehkan, bukan sesuatu yang dilarang. Tidak ada satu larangan jua dalam masalah ini. Akan tetapi, selari dengan tujuan utama (masjid), berzikir kepada Allah Ta‘ala adalah lebih utama pada ketika itu. Namun ini tidaklah bererti bersembang-sembang dalam hal-ehwal yang diperlukan wajib ditinggalkan pada waktu tersebut. [al-Mufhim lima Asykala min Talkhish Kitab Muslim (tahqiq: Muhyi al-Din Dibb Matsu dan rakan-rakan; Dar Ibn Katsir, Damsyik, 1999), jld. 2, ms. 296]
Rumusannya, hukum bersembang-sembang di dalam masjid adalah harus. Dengan syarat ia tidak dilakukan dengan suara yang kuat kerana mengganggu orang lain yang sedang beribadah di dalamnya. Juga topik persembangan bukan sesuatu yang kotor atau dilarang oleh Islam. Kedua-dua syarat ini dikenakan kepada sesiapa yang memasuki masjid, sama ada orang Islam atau orang bukan Islam.