Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

1-6  Tertib (Susunan) Al-Quran

 

Susunan al-Quran ialah bacaannya satu persatu sepertimana yang termaktub dalam mushaf dan dihafal dalam dada. Susunan al-Quran terbahagi kepada 3 jenis:

 

1.  Susunan perkataan di mana setiap perkataan diberi tempatnya dalam satu-satu ayat. Susunan ini sabit dengan nas dan ijmak. Setakat ini, kami masih belum jumpa dengan orang yang menyalahi kewajipan susunan ini dan pengharaman menyalahinya. Tidak dibenarkan membaca:

 

لله الحمد رب العالمين.

    

     

     untuk menggantikan ayat kedua surah al-Fatihah:

 

الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

 

 

2.   Susunan ayat-ayat di mana setiap ayat diberi tempatnya dalam satu-satu surah. Susunan ini ditetapkan melalui nas dan ijmak. Ianya wajib menurut pendapat (lebih kuat) dan haram menyalahinya. Tidak dibenarkan membaca:

 

مالك يوم الدين. الرحمن الرحيم.

     

   

     untuk menggantikan ayat 3 dan 4 surah al-Fatihah:

           

الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

 

 

مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ

 

 

 

Dalam sebuah hadith yang sahih dinyatakan bahawa:

 

أن عبد الله بن الزبير قال لعثمان بن عفان رضي الله عنهم في قوله تعالى:

 

(وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجاً وَصِيَّةً لأَزْوَاجِهِمْ مَتَاعاً إِلَى الْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ) (البقرة:240)

 

قد نسخها الآية  الأخرى يعني قوله تعالى:

 

(وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجاً يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْراً ) (البقرة:234)

 

وهذه قبلها في التلاوة قال: فلم تكتبها؟

 

فقال عثمان رضي الله عنه: يا ابن أخي لا أغير شيئا منه من مكانه.[1]

 

 

Maksudnya:

 

Abdullah bin al-Zubair telah berkata kepada Uthman bin Affan berkenaan ayat

(al-Baqarah 2:240, yang bermaksud):

“Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri,

hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya

dengan tidak disuruh pindah (dari rumahnya).”

 

Bagaimanakah ayat ini dinasakhkan oleh ayat (al-Baqarah 2:234, yang bermaksud):

“Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri

(hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.”

Sedangkan ayat kedua ini susunannya sebelum ayat pertama.

 

Abdullah berkata, “Kenapa kamu menulisnya?”

Jawab Uthman, “Wahai anak saudaraku, aku tidak akan mengubah

satupun ayat-ayat itu daripada tempatnya.”

 

 

 

      Terdapat sebuah riwayat lain:

 

عن عثمان رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم كان ينزل عليه السور ذوات العدد ،

 

فكان إذا نزل عليه الشيء ، دعا بعض من كان يكتب،فيقول ،

 

ضعوا هذه الآيات في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا.[2]

 

Maksudnya:

 

Daripada Uthman r.a. bahawa beberapa surah turun ke atas Nabi s.a.w.

Apabila turun ke atasnya sesuatu daripada al-Quran,

Baginda akan memanggil mereka yang menulis seraya berkata,

“Letakkan ayat-ayat ini dalam surah yang menerangkan tentang sekian dan sekian.”

 

 

3.   Susunan surah di mana setiap surah diberi tempatnya dalam mushaf. Susunan ini ditetapkan melalui ijtihad dan tidak wajib.

 

Terdapat sebuah hadith diterangkan:

 

عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه: أنه صلى الله عليه وسلم ذات ليلة،

 

فقرأ النبي صلى الله عليه وسلم البقرة ، ثم النساء ، ثم آل عمران.[3]

 

 

Maksudnya:

 

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. bahawa beliau pernah solat bersama Nabi s.a.w. suatu malam di mana Nabi s.a.w. telah membaca al-Baqarah, kemudian al-Nisa, kemudian Ali Imran.

     

 

Dalam riwayat lain disebut:

 

عن الأحنف: أنه قرأ في الأولى بالكهف، وفي الثانية بيوسف أو يونس،

 

وذكر أن صلى مع عمر بن الخطاب الصبح بهما.[4]

 

Maksudnya:

 

Daripada al-Ahnaf bahawa beliau membaca surah al-Kahf pada rakaat pertama

dan surah Yusuf atau Yunus pada rakaat kedua.

Beliau mengatakan bahawa beliau solat subuh bersama Umar bin al-Khattab dengan dua surah itu.

 

 

Ibnu Taimiyah berkata,

Dibenarkan membaca dan menulis satu surah sebelum surah lain. Disebabkan inilah, mushaf-mushaf para sahabat berbeza-beza dalam penulisan. Akan tetapi selepas mereka bersepakat atas satu mushaf pada zaman Uthman, perkara ini menjadi salah satu daripada sunnah al-Khulafa’ al-Rashidin. Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa mengikut sunnah mereka adalah wajib.

 


 

[1]  Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tafsir, Bab Firmannya (Dan mereka yang mati di kalangan kamu dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menahan diri mereka selama empat bulan dan sepuluh hari...),” No. 4530.

[2]  Hadith riwayat Ahmad: No. 399, Abu Daud: “Kitab Solat, Bab Orang yang menyaringkan basmalah,” No. 786, dan al-Tirmidhi: “Kitab Tafsir al-Quran, Bab Tentang Surah al-Taubah,”  No. 3086. Hadith ini dihukum dhaif oleh al-Shaikh al-Albani dalam: Dhaif Sunan Abi Daud, No. 786 dan Sahih Sunan al-Tirmidhi, No. 3086.

[3] Hadith riwayat Muslim: “Kitab Solat pengembara, Bab Disunatkan memanjangkan bacaan pada solat malam,” No. 772.

[4]  Hadith riwayat al-Bukhari secara ta’liq: “Kitab Azan, Bab Membaca dua surah dalam satu rak’at...”

 

 

Nuzul (Penurunan) Al-Quran : Ayat Pertama Yang Turun

Penurunan (Nuzul) Al-Quran Tanpa Sebab (Punca) Dan Bersebab (Berpunca)

Keumuman Lafaz Dan Pengkhususan Sebab

Ayat Mekah (Makkiyyah) Dan Ayat Madinah (Madaniyyah)

Tertib (Susunan) Al-Quran : Penulisan Dan Pengumpulan Al-Quran

 

Al-Quran : Kandungan