Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

1-2  Ayat Pertama Yang Turun

 

            Secara pasti, ayat al-Quran yang pertama sekali turun ialah 5 ayat pertama surah al-‘Alaq  (96:1-5) - Maksudnya:

 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang mencipta,

Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah,

yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.

Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

 

 

            Selepas itu, wahyu telah terputus beberapa ketika. Kemudian turun pula 5 ayat pertama surah al-Muddaththir  (74:1-5) - Maksudnya:

 

Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan!

Dan Tuhanmu agungkanlah, dan pakaianmu bersihkanlah,

dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah.

 

 

Terdapat riwayat daripada ‘Aisyah berkenaan peristiwa permulaan wahyu dimana beliau telah berkata:

 

حتى جاءه الحق، وهو في غار حراء ، فجاءه الملك فقال اقرأ ،

 

فقال النبي صلي الله عليه وسلم ما أنا بقارئ ( يعني لست أعرف القراءة )

 

فذكر الحديث ، وفيه ثم قال:(اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ) إلى قوله (عَلَّمَ الْأِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ)[1]

 

Maksudnya:

 

Sehinggalah kebenaran itu datang kepadanya semasa Baginda berada dalam gua Hira,

di mana malaikat itu telah datang kepadanya dan berkata,

“Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” …

Kemudian beliau membaca (ayat yang maksudnya):

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang mencipta,” sehinggalah ke firmanNya

(yang bermaksud):Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

 

 

Jabir menerangkan:

 

أن النبي صلي الله عليه وسلم قال وهو يحدث عن فترة الوحي :

 

(بينا أنا أمشي إذ سمعت صوتاً من السماء ....)  فذكر الحديث ، وفيه ، فأنزل الله تعالى:

 

(يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّر. قُمْ فَأَنْذِرْ.) إلى (وَالرُّجْزَ فَاهْجُر.)[2]

 

Maksudnya:

 

Bahawa Nabi s.a.w. telah berkata semasa Baginda menceritakan tentang terputusnya wahyu, “Semasa aku berjalan, aku terdengar satu suara dari arah langit …

lalu Allah menurunkan (ayat yang bermaksud):

“Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan!”

sehinggalah ke firmanNya (yang bermaksud):

“Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah.

 

 

            Di dalam ilmu al-Quran, terdapat ayat-ayat lain yang disifatkan sebagai ayat pertama turun. Apa yang dimaksudkan di sana ialah ayat pertama turun berkenaan urusan-urusan tertentu dan bukannya yang pertama sekali turun secara keseluruhannya. Contohnya ialah hadith daripada Jabir:

 

إن أبا سلمة بن عبد الرحمن سأله: أي القرآن  أنزل أول؟

 

قال جابر:(يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ)

 

قال أبو سلمة : أنبئت أنه (اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ)

 

فقال جابر: لا أخبرك إلا بما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:

 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (جاورت في حراء فلما قضيت جواري هبطت ...)

 

فذكر الحديث وفيه: (فأتيت خديجة فقلت: دثروني ، وصبوا علي ماء بارداً،

 

وأنزل علي: (يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ) إلى قوله :(وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ).[3]

 

Maksudnya:

 

Sesungguhnya Abu Salamah telah bertanya, “Ayat manakah mula-mula turun?”

Jawab Jabir, “Ayat (yang bermaksud): “Hai orang yang berselimut”

Abu Salamah berkata, “Aku diberitahu bahawa ayat pertama turun ialah (yang bermaksud): “Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang mencipta”

 

Lalu Jabir berkata, “Aku hanya memberitahu apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w..

Baginda telah bersabda, “Aku telah menetap di gua Hira. Selepas selesai menetap di sana, akupun turun … lalu aku bergegas ke rumah Khadijah dan aku berkata, “Selimutkanlah aku dan jiruskan aku dengan air sejuk.”

 

Tatakala itu turun ayat-ayat ini (yang bermaksud): Hai orang yang berselimut,

sehinggalah ke firmanNya (yang bermaksud): Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah.

 

 

            Apa yang disifatkan oleh Jabir sebagai ayat pertama turun ialah berkenaan selepas terputusnya wahyu atau berkenaan urusan perlantikan menjadi Rasul. Ini kerana ayat-ayat Surah al-‘Alaq menetapkan kenabian dan ayat-ayat  Surah al-Muddaththir menetapkan kerasulan khususnya dalam firman Allah Ta‘ala (al-Muddaththir 74:2) - Maksudnya: Bangunlah, lalu berilah peringatan!

 

            Berdasarkan inilah para ulamak telah mengatakan bahawa Nabi s.a.w. dilantik sebagai Nabi dengan Iqra’ dan dilantik sebagai Rasul dengan al-Muddaththir.

 

 


[1] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Permulaan Wahyu, Bab Bagaimana permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w...,” No. 3, dan Muslim: “Kitab al-Iman, Bab Permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w.,” No. 403.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Permulaan Wahyu, Bab Bagaimana permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w...,” No. 4, dan Muslim: “Kitab al-Iman, Bab Permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w.,” No. 406.

[3] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab al-Tafsir, Bab FirmanNya (Wahai orang yang berselimut),” No. 4924, dan Muslim: “Kitab al-Iman, Bab Permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w.,” No. 409.

 

 

Nuzul (Penurunan) Al-Quran : Ayat Pertama Yang Turun

Penurunan (Nuzul) Al-Quran Tanpa Sebab (Punca) Dan Bersebab (Berpunca)

Keumuman Lafaz Dan Pengkhususan Sebab

Ayat Mekah (Makkiyyah) Dan Ayat Madinah (Madaniyyah)

Tertib (Susunan) Al-Quran : Penulisan Dan Pengumpulan Al-Quran

 

Al-Quran : Kandungan