Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

1-4-   Keumuman Lafaz Dan PengKhususan Sebab (Punca)

 

            Sekiranya sesuatu ayat itu turun kerana sebab (punca) tertentu dan lafaznya umum, maka hukumnya merangkumi sebab itu dan juga apa sahaja yang termasuk dalam lafaznya. Ini kerana al-Quran turun sebagai syariat umum untuk semua umat. Jadi pengajaran diambil kira berdasarkan keumuman lafaz al-Quran dan bukan kekhususan sebabnya. Contohnya ialah ayat tuduhan zina antara suami isteri, iaitu firman Allah Ta‘ala (al-Nur 24:6-9) - Maksudnya:

 

Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina)

padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri,

maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah,

sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.

Dan (sumpah) yang kelima bahawa laknat Allah atasnya,

jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.

 

Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta.

Dan (sumpah) yang kelima bahawa kemurkaan Allah atasnya

jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.

 

 

Ibnu Abbas menerangkan bahawa:

 

أن هلال بن أمية قذف امرأته عند النبي صلى الله عليه وسلم بشريك بن سحماء.

 

فقال النبي صلى الله عليه وسلم: البينة أو حد في ظهرك،

 

فقال هلال: والذي بعثك بالحق إني لصادق،

 

فلينزلن الله ما يبرئ ظهري من الحد. فنزل جبريل ،

 

وأنزل عليه: (وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ)

 

فقرأ حتى بلغ: (إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ ).[1]

 

 

Maksudnya:

 

Hilal bin Umaiyah, di depan Nabi s.a.w.,

telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Sahma’.

Nabi bersabda, “Nyatakan buktinya atau hukuman had  dikenakan atas badan kamu.”

Hilal berkata, “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan kebenaran, sesungguhnya aku bercakap benar. Pasti Allah akan menurunkan sesuatu yang akan menyelamatkan badanku

daripada hukuman had.”

 

Maka Jibril pun turun dengan ayat (yang bermaksud):

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina)”

…lalu Baginda terus membaca sehinggalah firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud):

“jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.”

 

 

Ayat-ayat ini turun kerana Hilal bin Umaiyah menuduh isterinya berzina. Akan tetapi hukumnya merangkumi beliau dan juga orang-orang lain. Dalilnya ialah sebuah hadith daripada Sahl bin Sa‘d bahawa:

 

أن عويمر العجلاني جاء إلى النبي  صلى الله عليه وسلم

 

فقال: يا رسول الله، رجل وجد مع امرأته رجلا أيقتله فتقتلونه أم كيف يصنع؟

 

فقال النبي صلى الله عليه وسلم: قد أنزل الله القرآن فيك وفي صاحبتك.

 

فأمرهما رسول الله صلى الله عليه وسلم بالملاعنه بما سمي الله في كتابه، فلاعنها.[2]

 

 

Maksudnya:

 

Uwaimir al-Ajlani telah datang kepada Nabi dan berkata,

“Wahai Rasulullah, seorang lelaki yang mendapati isterinya bersama lelaki lain,

adakah dia membunuhnya kemudian orang ramai membunuhnya,

atau apakah yang sepatutnya dia lakukan?”

 

Nabi menjawab, “Sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Quran berkenaan engkau dan isterimu.” Lalu Baginda mengarahkan mereka supaya laknat-malaknati (mula‘anah) seperti yang telah Allah Ta‘ala nyatakan dalam al-Quran dan Uwaimir pun melaksanakannya.

 

 

          Kita dapati Rasulullah s.a.w. telah menjadikan hukum ayat al-Nur 24:6-9 merangkumi Hilal dan lain-lain.

 


 

[1]  Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kesaksian, Bab Sekiranya seseorang didakwa atau dituduh, dia boleh menuntut bukti dan pergi mencari bukti,” No. 2671.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tafsir, Bab FirmanNya (Dan mereka yang menuduh isteri-isteri mereka berzina sedangkan mereka tidak mempunyai saksi...),” No. 423, dan Muslim: “Kitab Li’an,” No. 149.

 

 

Nuzul (Penurunan) Al-Quran : Ayat Pertama Yang Turun

Penurunan (Nuzul) Al-Quran Tanpa Sebab (Punca) Dan Bersebab (Berpunca)

Keumuman Lafaz Dan Pengkhususan Sebab

Ayat Mekah (Makkiyyah) Dan Ayat Madinah (Madaniyyah)

Tertib (Susunan) Al-Quran : Penulisan Dan Pengumpulan Al-Quran

 

Al-Quran : Kandungan