SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

JARAK PERJALANAN YANG MEMBOLEHKAN
SEMBAHYANG DIQASARKAN

 

 

Ulama’ telah berbeza pendapat tentang jarak perjalanan yang dianggap sebagai safar sehingga dibolehkan sembahyang diqasarkan serta berbuka puasa. al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah berkata:

 

… hal ini (jarak perjalanan yang dianggap sebagai musafir) termasuk masalah yang banyak diperselisihkan oleh para ulama’. Dalam masalah ini, Ibnu Mundzir dan selainnya menyebutkan sekitar dua puluh pendapat.[1]

 

Perbezaan pendapat ini berpunca dari beragamnya hadis-hadis serta atsar-atsar dari para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang jarak perjalanan minima yang mereka lalui lalu mereka mengqasarkan sembahyang.  Namun begitu pendapat yang dipakai di Malaysia adalah dua marhalah (bersamaan dengan 83 kilometer).

 

Selanjutnya Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah mengulas tentang perbezaan jarak ini dengan berkata:

 

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa jarak perjalanan yang dibolehkan mengqasarkan sembahyang ialah lapan puluh tiga kilometer. Ulama’ yang lain berpendapat jaraknya sesuai menurut adat yang berlaku. Iaitu jika dia melakukan perjalanan yang menurut adat sudah disebut sebagai safar maka dia telah melakukan safar meskipun jaraknya belum sampai lapan puluh kilometer. Adapun jika perjalanannya menurut adat belum dikatakan safar meskipun jaraknya 100 kilometer, maka dia belum disebut safar.[2]

 

Pendapat terakhir inilah yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyah rahimahullah. Yang demikian ini adalah kerana Allah dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menentukan jarak tertentu untuk dibolehkan melakukan qasar.[3]

 

Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah menegaskan bahawa ada dua bentuk pandangan ulama’ dalam hal jarak perjalanan yang diperbolehkan sembahyang qasar. Satu kelompok membatasi jarak yang tertentu manakala kelompok yang satu lagi tidak membatasinya melainkan ianya ditentukan menurut adat kebiasaan lingkungan perjalanan seseorang. Beliau telah menguatkan pendapat kelompok kedua sebagaimana Syaikh al-Islam. Dengan ini dapat kita fahami bahawa antara faktor yang menyebabkan terdapat beberapa hadis dan atsar yang menunjukkan batas minima yang berbeza jaraknya dalam isu sembahyang qasar ini adalah disebabkan perbezaan dalam adat kebiasaan perjalanan yang diklasifikasikan sebagai safar di antara para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum.

 

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebenarnya tidak pernah meletakkan had batasan yang memperbolehkan kita mengqasarkan sembahyang. Tetapi baginda akan senantiasa mengqasarkan sembahyang apabila baginda bermusafir keluar dari Madinah. Syaikh al-Albani rahimahullah dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (jld 1, ms. 367) telah menurunkan kata-kata Imam Ibnu Mundzir:

 

Sungguh saya tidak mengetahui bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengqasarkan sembahyang dalam satu perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.[4]

 

Kenyataan Ibnu Mundzir ini adalah selari dengan sebuah riwayat dari Abdullah ibnu Umar radhiallahu 'anhuma , dia berkata:

 

            Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika keluar dari kota Madinah, baginda tidak menambah rakaat sembahyang-sembahyangnya melebihi 2 rakaat (kecuali Maghrib) sehinggalah baginda kembali ke kota Madinah.[5]

 

 

Syaikh Abu Ubaidah Masyhur pula berkata:

 

Namun pendapat yang shahih menurut para ulama’ yang sangat teliti bahawa jika menurut adat kebiasaan seseorang satu jarak tertentu sudah boleh dianggap melakukan safar, maka dia dianggap telah boleh mengerjakan jamak mahupun qasar. Ini lebih sesuai dengan slogan Islam yang selalu memberikan kemudahan kepada umatnya. Ini adalah kerana dengan meletakkan had batasan seperti hanya boleh mengqasarkan sembahyang selama tiga hari atau batasan-batasan lainnya, boleh mengakibatkan musnahnya kemudahan yang diberikan syari’at Islam.[6]

 

Manakala Syaikh al-Syinqithi rahimahullah pula berkata:

 

Pendapat yang paling kuat dan dapat dijadikan sebagai hujjah menurutku adalah pendapat orang yang menyatakan: “Sesungguhnya semua yang dikategorikan sebagai safar sekalipun jaraknya tidak jauh maka diperbolehkan pelakunya untuk mengqasarkan sembahyang, sebab dalam nas[7] hanya disebutkan safar secara mutlak (tanpa dibatasi dengan ukuran jarak mahupun hari).[8]

 

Oleh itu tiada sesiapa yang berhak untuk meletakkan batasan tentang jauh jarak perjalanan yang diperbolehkan seseorang itu bersembahyang qasar kecuali Allah 'Azza wa Jalla dan Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam. Ternyata Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak meletakkan batasan jarak tersebut maka ianya bergantung kepada kebiasaan lingkungan perjalanan harian seseorang individu. Apatah lagi terdapat hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengqasarkan sembahyang dalam perjalanan yang kurang dari dua marhalah. Apabila Anas bin Malik radhiallahu 'anhu ditanya tentang solat qasar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, beliau menjelaskan:

 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila keluar dalam satu perjalanan yang berjarak tiga mil atau tiga farsakh[9] (Syu’bah ragu-ragu) maka baginda sembahyang hanya 2 rakaat.[10]

 

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

 

Ini merupakan hadis yang paling shahih dan tegas dalam menjelaskan hal tersebut (jarak yang diperbolehkan mengqasar sembahyang). Namun para ulama’ yang tidak sependapat memahami bahawa yang dimaksudkan adalah batas dimulainya baginda mengqasarkan sembahyang dan bukan batas jarak akhir perjalanan. Akan tetapi sangat jelas betapa pemahaman ini sangat jauh dari kebenaran. Sementara al-Baihaqi telah menyebutkan dalam riwayatnya melalui jalur ini bahawa Yahya bin Yazid radhiallahu 'anhu berkata:

 

Aku bertanya kepada Anas tentang mengqasarkan sembahyang dan saat itu aku akan keluar menuju Kufah (iaitu dari Bashrah), apakah aku sembahyang dua rakaat dua rakaat hingga kembali.” Anas juga berkata: “Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perjalanan sejauh tiga mil atau tiga farsakh maka baginda sembahyang 2 rakaat.”[11]

           

Nampak dari sini bahawa beliau (Yahya bin Yazid) bertanya kepada Anas tentang bolehnya mengqasarkan sembahyang ketika safar bukan tentang tempat di mana harus dimulakan mengqasarkan sembahyang.[12]           

 

 

Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani rahimahullah pula berkata berkaitan dengan hadis di atas:

 

Adapun yang dimaksudkan dengan kalimat  “Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perjalanan” itu ialah apabila baginda sudah berniat melakukan perjalanan sejauh sedemikian. Jadi bukan dimaksudkan bahawa apabila baginda ingin berjalan jauh, maka beliau tidak mengqasar sembahyang setelah mencapai jarak sedemikian.[13]

 

Seterusnya sebuah riwayat dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu, dia berkata:

 

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zuhur empat rakaat di Madinah dan bersembahyang Asar di Dzil Hulaifah dua rakaat.[14]

 

Sebagaimana yang telah sedia maklum jarak perjalanan dari Madinah ke Dzil Hulaifah adalah 7 mil iaitu bersamaan dengan antara 12 hingga 13 kilometer. Hadis ini juga adalah sebagai bukti bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengqasarkan sembahyang walaupun jarak perjalanan tersebut adalah kurang dari dua marhalah (83 kilometer).

           

Syaikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry pula berkata:

 

Sebuah riwayat dari Ibnu Umar: “Jika aku keluar satu mil, maka aku akan mengqasar sembahyang.” Ini menegaskan bahawa pengertian safar dan hukum musafir yang membolehkan untuk mengqasarkan sembahyang, membuka puasa adalah perjalan sejauh satu mil atau lebih.[15]    

           

Kini sudah semakin jelas bagi kita Insya-Allah, dua marhalah atau lapan puluh tiga kilometer bukanlah batasan yang baku untuk membolehkan kita mengqasarkan sembahyang.[16] Maka bukanlah menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bermusafir kurang dari dua marhalah untuk mengqasarkan sembahyangnya. Malah ini merupakan satu nikmat kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada hamba-Nya maka kecapilah nikmat anugerah-Nya itu tanpa was-was.

 


 

[1] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan oleh Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), jld.  6, ms 128. Seterusnya kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari.

[2] Contohnya sekiranya seseorang itu rumahnya di Rembau, Negeri Sembilan dan setiap hari dia berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana tempat kerjanya di sana, maka dia tidak dianggap sebagai musafir meskipun perjalanannya melebihi dua marhalah kerana ianya termasuk perjalanan yang berada dalam lingkungan kebiasaannya. Namun begitu bagi seseorang yang rumah dan pejabatnya di Kuala Lumpur, tetapi dia melakukan perjalanan ke Nilai kerana menziarah keluarganya maka dia tetap dianggap sebagai musafir walaupun jarak perjalan tersebut kurang dari dua marhalah. Ini adalah kerana perjalanan tersebut di luar perjalanan yang menjadi adat kebiasaannya.

[3] Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 412-413. Selepas ini buku ini akan disebut sebagai “Majmu’’ Fatawa : Bab Ibadah”.

[4] Dinukil dari Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan, (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2000), ms. 182, oleh Hafiz Firdaus Abdullah.

[5] Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, hadis no. 1067.

[6] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 420-421.

[7] Syaikh al-Syinqithi sebenarnya merujuk keumuman lafaz dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang” (al-Nisaa’ (4):101)

[8] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 421.

[9] Satu mil bersamaan dengan 1,748 meter manakala satu farsakh pula bersamaan dengan 5,541 meter. 3 mil bersamaan dengan 1 farsakh.

[10] Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab Shalat Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 691.

[11] Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 12313 dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, rujuk jld. 3, ms. 129.

[12] al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.  6, ms 133.

[13] Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani, Subulus Salam, jld. 2, ms. 160.

[14] Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab Shalat Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 690.

[15] Syaikh Muhammad Abdussalaam Khadr al-Syaqiry, Bid’ah-Bid’ah Yang Dianggap Sunnah (edisi terjemahan oleh Achmad Munir Awood Badjeber & Imam Sulaiman, Qisthi Press, Jakarta, 2004), ms. 108.

[16] Ingin penulis tambah di sini bahawa dalil yang dijadikan sandaran berkaitan dengan jarak 2 marhalah sebagai batasan yang diperbolehkan untuk mengqasarkan sembahyang adalah sebuah hadis yang dha’if (lemah) diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu: “Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu sekalian mengqasarkan sembahyang (bagi jarak perjalanan) yang kurang dari 4 barid (2 marhalah) iaitu dari Mekah ke Asfan.” Berkata Imam al-Syaukani rahimahullah:

Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah kerana dalam sanadnya (jalur perawi yang meriwayatkan hadis ini) terdapat Abdul Wahhab bin Mujahid bin Jubair, dia adalah matruk (tertolak). Imam al-Nawawi juga menyatakan beliau adalah pendusta. Menurut al-Uzdy, riwayat ini tidak sah darinya (iaitu dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu) kerana perawi yang meriwayat darinya adalah Isma’il bin Iyash dan dia adalah dha’if (lemah di kalangan orang-orang Hijaz) dan Abdul Wahhab tersebut adalah orang Hijaz. Yang benar, hadis ini adalah mauquf (terhenti) pada Ibnu ‘Abbas, sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Syafi’i darinya dengan sanad yang shahih. [Imam Muhammad al-Syaukani, Nailul Authar, jld. 3, ms. 481.]

 

Hadis yang mauquf adalah perkataan atau perbuatan atau taqrir (persetujuan) yang disandarkan kepada seorang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Riwayat mauquf tidak dijadikan hujjah dalam menentukan hukum agama kecuali jika terdapat ijma’ (kesepakatan) di kalangan para sahabat. Ternyata dalam permasalahan ini tidak wujud kesepakatan di kalangan para Sahabat radhiallahu 'anhum tentang jarak 4 barid atau 2 marhalah sebagai batas minima yang diperbolehkan mengqasarkan sembahyang. Yang lebih patut diunggulkan adalah hadis shahih yang diriwayatkan dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu yang telah penulis turunkan di atas. Wallahu’alam.