SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

TEMPOH PERJALANAN YANG MEMBENARKAN
SEMBAHYANG DIQASARKAN

 

 

Ulama’ berbeza pendapat tentang status musafir bagi seorang yang dalam perjalanannya singgah di sebuah daerah untuk beberapa hari. Adakah orang tersebut masih diperbolehkan mengqasarkan sembahyangnya atau tidak? Ada yang menyatakan jumlah hari yang tertentu seperti tiga hari, empat hari, sepuluh hari atau lapan belas hari dan ada pula yang beranggapan apabila seseorang itu bermusafir maka dia tetap dibolehkan mengqasarkan sembahyang sehinggalah dia kembali ke tempat asalnya. Di Malaysia rata-ratanya berpendapat apabila seorang musafir singgah di suatu tempat maka dia hanya boleh mengqasarkan sembahyang selama 3 hari sahaja dan untuk hari yang keempat dan seterusnya hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya. Namun begitu pendapat bahawa tidak ada batasan tempoh tertentu adalah lebih menghampiri kebenaran disebabkan keumuman Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam mengsyari’atkan sembahyang qasar ini.

 

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang...[1]

 

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak membatasi jumlah hari yang tertentu yang dibenarkan mengqasar sembahyang. Malah kewujudan hadis-hadis dengan jumlah hari yang berbeza menunjukkan tidak ada batasan jumlah hari yang tertentu dalam hal ini. Perbezaan jumlah hari tersebut hanyalah menunjukkan keragaman corak musafir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mari kita sama-sama melihat hadis-hadis tersebut.

  

Dari Jabir bin Abdillah, dia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda) mengqasarkan sembahyang.”[2]

  

Diriwayatkan dari Imran bin Hushain, dia berkata: “Aku berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada saat penaklukan kota Mekah, maka baginda bermukim di Mekah selama lapan belas malam dan tidak sembahyang kecuali sebanyak dua rakaat (qasar).”[3]

 

Yahya bin Abi Ishak berkata: “Saya mendengar Anas bin Malik berkata: “Kami pernah musafir bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan sembahyang secara dua rakaat (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Saya bertanya: “Berapa lamakah anda berada di kota Makkah?” Anas menjawab: “Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh hari.”[4]

 

 

Jelas dalam hadis-hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membatasi tempoh hari bagi mengqasarkan sembahyang. Malah Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah telah membawa beberapa atsar dari para sahabat yang menunjukkan mereka tetap mengqasarkan sembahyang walaupun mereka singgah di satu daerah dalam jangka masa yang lama.:

 

Miswar bin Makhramah berkata: “Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh hari. Selama itu Sa’ad tetap mengqasarkan tetapi kami mencukupkan.” Berkata Nafi’: “Abdullah bin ‘Umar bermukim di Azerbaijan enam bulan dan tetap bersembahyang dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya.” Hafash bin Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun dan terus bersembahyang sebagai musafir. Dan menurut Anas, para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bermukim di Ramhurmuz selama tujuh bulan dan tetap mengqasarkan sembahyang, sedang menurut Hassan, dia bermukim dengan ‘Abd al-Rahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun dan ‘Abd al-Rahman terus mengqasarkan tapi tidak menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rayy selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan mereka tetap mengqasarkan sembahyang.)[5]

 

 

Demikianlah amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum. Mereka inilah manusia yang paling hampir dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam malah merekalah golongan yang paling tahu tentang ajaran-ajaran baginda. Mereka inilah (iaitu golongan muhajirin dan anshar) juga yang telah dipuji oleh Allah 'Azza wa Jalla sebagaimana Firman-Nya:

 

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.[6]

 

 

Bahkan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah memuji para sahabatnya radhiallahu 'anhum sebagai generasi terbaik umat ini dan baginda telah memberi satu jaminan sekiranya kita berada di atas manhaj para sahabat maka kita akan termasuk dalam golongan yang selamat.

 

Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Umatku yang terbaik adalah umat dikurunku, kemudian umat yang sesudahnya dan umat yang sesudahnya lagi.[7]

 

Dan umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Para sahabat bertanya: “Siapakah golongan itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan para sahabatku.”[8]

 

 

Oleh itu wajarkah untuk kita masih ragu-ragu dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta amalan para sahabatnya radhiallahu 'anhum dalam permasalahan ini sehingga kita lebih utamakan amalan yang hanya diwarisi secara turun temurun dari nenek moyang kita.

 

Seterusnya kita akan melihat ulasan Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkaitan dengan tempoh perjalanan yang dibolehkan mengqasarkan sembahyang:

 

Seorang musafir itu boleh terus mengqasar sembahyangnya selama dia masih dalam musafir. Jika dia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu keperluan yang hendak diselesaikannya maka dia tetap boleh mengqasarkan sembahyangnya sebab dia masih dianggap sebagai musafir walaupun bermukimnya di sana sampai bertahun-tahun lamanya. Adapun kalau dia bermaksud hendak bermukim di sana dalam waktu yang tertentu (yang telah diketahui pada awal musafirnya-pen) maka menurut pendapat yang terkuat yang dipilih oleh Imam Ibnu Qayyim rahimahullah, bermukimnya itu belum lagi menghilangkan hukum musafir, baik lama atau sebentar, selama dia tidak berniat hendak menjadi penduduk tetap di tempat itu.[9]

 

Setelah membawa pelbagai pendapat yang membatasi jumlah hari tertentu yang dibolehkan mengqasarkan sembahyang, Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani rahimahullah telah menulis:

 

Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengqasarkan sembahyang selama masa safar telah melebihi dari waktu-waktu yang disebutkan di atas. Apabila tidak ada dalil yang menunjukkan penentuan batas waktu, maka pendapat yang lebih mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasarkan sembahyang selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh para sahabat – kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang singgah di satu tempat meskipun lama.[10]

 


 

[1] Al-Nisaa’ (4):101

[2] Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1235.

[3] Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai dha‘if oleh al-Albani di dalam Dha‘if Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1229 Walaubagaimana keterangan bahawa baginda mengqasarkan sembahyangnya selama musafir diperkuat oleh hadis sebelum dan sesudahnya.

[4] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no. 1081.

[5] Syaikh Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, jld. 1, ms. 218-219.

[6] Al-Taubah (9) : 100

[7] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no. 3650.

[8] Hadis Riwayat Imam al-Tirmidhi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Iman, hadis no. 2641.

[9] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld. 2, ms. 217.

[10] Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani, Subulus Salam, jld. 2, ms. 169.