SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

HUKUM MENGQASARKAN SEMBAHYANG

KETIKA DALAM PERJALANAN

 

 

Hukum mengqasarkan sembahyang dalam musafir masih diperselisihkan oleh para ulama’. Sebahagian ulama’ menganggap ianya adalah sunat mu’akkadah dan ini adalah pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah. Namun pendapat yang lebih hampir kepada kebenaran dan dipegang oleh majoriti generasi salaf adalah mengqasarkan sembahyang ketika perjalanan (safar) adalah wajib.

 

Syaikh Abu Ubaidah Masyhur menulis:

 

Di antara mereka yang memilih pendapat ini (wajibnya mengqasarkan sembahyang dalam musafir) adalah ulama’ bermazhab Hanafi. Pendapat ini juga telah diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib dan Umar radhiallahu 'anhuma sebagaimana yang disebut dalam Nailul Authar Jilid 3 halaman 245[1] (Kitab karangan Imam Muhammad al-Syaukani rahimahullah-pen). Al-Khatthabi berpendapat ini adalah pendapat majoriti ulama’ salaf dan juga dipegang oleh Umar, Ali, Ibnu Umar, Jabir, Ibnu Abbas, Umar bin Abdul Aziz, al-Hassan dan Qatadah.[2]

 

 

Menerusi hadis-hadis yang sabit datangnya dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kita dapati baginda sentiasa mengqasarkan sembahyang sekiranya baginda bermusafir. Imam Ibnu Qayyim rahimahullah berkata:

 

Baginda mengqasarkan sembahyang yang empat rakaat, memendekkannya menjadi dua rakaat semenjak memulakan perjalanan sehingga kembali ke Madinah. Sama sekali tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda mengerjakan empat rakaat secara sempurna dalam perjalanannya.[3]

 

 

            Dalil yang dijadikan sandaran dalam mewajibkan sembahyang qasar ketika bermusafir adalah sebuah hadis yang diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha:

 

 Allah mewajibkan sembahyang pada saat memfardhukannya (pertama kali) sebanyak dua rakaat dua rakaat baik ketika hadir (tidak bermusafir) mahupun ketika musafir. Kemudian ditetapkan pada sembahyang perjalanan (sebanyak dua rakaat) dan ditambah lagi (sebanyak dua rakaat) pada sembahyang hadir.[4]

 

 

Dalam hadis di atas jelas menunjukkan pada peringkat awal ibadah sembahyang difardhukan keatas umat Islam, bagi sembahyang fardhu dan sembahyang ketika musafir (qasar) jumlah rakaatnya adalah sama iaitu  sebanyak dua rakaat. Kemudiannya ditambah dua rakaat lagi pada sembahyang Zuhur, Asar dan Isyak manakala sembahyang qasar kekal diwajibkan sebanyak 2 rakaat.

 

Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani rahimahullah mentafsirkan hadis di atas sebagai berikut:

 

Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa mengqasarkan sembahyang ketika bermusafir hukumnya wajib. Ini adalah kerana kalimah faradha فَرَضَ (dalam hadis di atas) ertinya sama dengan aujaba (artinya: mewajibkan).[5]

           

Terdapat beberapa lagi hadis yang sabit dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberikan petunjuk bahawa mengqasar sembahyang apabila berada dalam perjalanan adalah diwajibkan.

 

Ibnu Umar radhiallahu 'anh berkata:

       

            Aku pernah menemani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda tidak melebihkan sembahyangnya dari dua rakaat dalam perjalanan (safar), begitu juga oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman.[6]

 

 

Berkenaan hadis di atas Imam al-Syaukani berkata:

 

Di dalamnya terkandung pengertian bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pasti sembahyang qasar dan tidak pernah sembahyang tamam (menyempurnakan sembahyang).[7]

 

 

Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:

          

Difardhukan sembahyang melalui lisan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bagi orang bermukim empat rakaat, bagi musafir dua rakaat dan bagi orang yang takut (diserang musuh) satu rakaat.[8]

 

 

Umar al-Khatthab radhiallahu 'anh berkata:

 

Sembahyang dalam perjalanan (safar) dua rakaat, sembahyang Jumaat dua rakaat, sembahyang ‘Id (hari raya) dua rakaat, itu semua adalah tamam (sembahyang yang sempurna), bukan qasar menurut keterangan dari lidah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.[9]

 

 

Menurut Imam al-Syaukani tentang hadis di atas:

 

Hal ini menunjukkan bahawa sembahyang ketika dalam safar (perjalanan) sudah diwajibkan seperti itu (dua rakaat) sejak awal, dan bukan asalnya empat rakaat lalu diqasarkan menjadi dua rakaat. (Dalam) kata-kata “menurut keterangan dari lidah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam”, terdapat penegasan tentang kuatnya hal itu dari perkataan baginda.[10]

 

Ibnu Umar radhiallahu 'anh berkata:

 

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada kami, ketika kami kesesatan (jalan) lalu baginda mengajari kami, dan di antara yang diajarkan kepada kami, bahawa Allah 'Azza wa Jalla memerintahkan kami agar sembahyang dua rakaat dalam perjalanan (safar).[11]

 

 

Sebagaimana yang telah sedia maklum, telah dinukil dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam[12], kemudahan untuk mengqasarkan sembahyang adalah hadiah dari Allah 'Azza wa Jalla sebagai rukhshah, maka sepatutnya kita menghormati pemberian-Nya yang tidak ternilai ini. Apatah lagi Allah 'Azza wa Jalla menyukai sekiranya kita menerima anugerah-Nya itu. Ibnu Umar radhiallahu 'anhu berkata:

 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa Allah menyukai jika dilaksanakan sesuatu yang telah diizinkan-Nya (diberi keringanan) sebagaimana Allah membenci (terhadap seseorang) yang melakukan perlanggaran maksiat (perkara yang dilarang-Nya).”[13]

 

 

Hadis di atas ini telah menyanggah tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan menyempurnakan sembahyang ketika bermusafir adalah lebih afdhal kerana apa yang sebenarnya lebih afdhal adalah menerima rukhshah pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala tersebut.

 

Manakala tentang pendapat yang menyatakan bahawa dengan keselesaan dalam perjalanan serta kecanggihan sistem pengangkutan pada zaman moden ini menyebabkan keperluan untuk mengqasar atau menjamak sembahyang sudah tidak relevan lagi, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur telah menulis:

 

Ada juga yang menyatakan bahawa musafir pada zaman sekarang ini boleh ditempuh dengan kapal terbang, kereta dan kereta api. Oleh sebab itu ramai yang tidak merasakan kesulitan dalam bermusafir. Berbeza dengan musafir pada zaman dahulu, atau orang yang pekerjaannya yang mengharuskan dia selalu bermusafir. Apakah orang-orang seperti ini juga masih diperbolehkan mengqasarkan sembahyang?[14]

 

Untuk mejawab persoalan ini Syaikh Abu Ubaidah telah menukil kata-kata Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

 

Dalam hal ini tidak ada perbezaan musafir itu menggunakan kapal terbang, kereta api dan lain-lain, juga samada perjalanan itu bertujuan menunaikan perintah Allah ataupun untuk tujuan-tujuan lain, dan termasuk juga perjalanan orang-orang yang pekerjaanya mengharuskan selalu berada dalam keadaan musafir seperti kelasi kapal laut, konduktor kereta api dan lain-lain, sebab pada hakikatnya itu juga termasuk dalam musafir. Oleh sebab itu dia boleh mengqasar, berbuka puasa dan lain-lain.[15]

 

 

Ini adalah kerana keumuman Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang...[16]

 

 

Hukum mengqasarkan sembahyang ketika bermusafir adalah valid untuk setiap tempat dan zaman. Yang boleh membatasi keumuman hukum syari’at hanyalah Allah 'Azza wa Jalla dan Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam. Sewajarnya mereka yang memiliki pemikiran yang bingung ini mentadabbur (menghayati) Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berikut:

           

Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.[17]

 

 

Berkenaan ayat di atas Syaikh Abu Ubaidah Masyhur menerangkan:

 

Tuhan telah memberitahu kepada kita semua bahawa Dia telah menciptakan beberapa haiwan tunggangan yang tidak kita ketahui. Dia juga akan terus menciptakan perkara-perkara lain yang tidak ada pada waktu diwahyukan ayat ini seperti kapal terbang, kereta api, kereta mahupun kenderaan-kenderaan yang lain.

 

Orang yang telah disebutkan di atas (mereka yang menganggap qasar sudah tidak relevan di zaman moden ini) benar-benar memiliki pemikiran yang aneh ketika beranggapan kapal terbang, kereta api mahupun kereta bukan dalam kategori perjalanan, sehingga tidak boleh mengqasar sembahyang. Bukankah semua jenis kenderaan termasuk ciptaan Allah? Atau adakah mereka menganggap Allah tidak mengetahui kewujudan kenderaan-kenderaan tersebut pada masa yang akan datang. Hal ini tidak mungkin akan terjadi.[18]

 

Oleh itu hukum mengqasarkan sembahyang ketika bermusafir tetap relevan untuk setiap tempat dan zaman tanpa mengira setinggi mana teknologi yang bakal dicipta di masa hadapan. Justeru jangan persia-siakan sedekah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala ini apatah lagi setelah kita tahu pendapat yang lebih tepat tentang hukum mengqasarkan sembahyang ketika musafir adalah wajib.[19]

 


 

[1] Imam Muhammad al-Syaukani telah menulis:

Mazhab al-Hanafi dan al-Hadiwiyah berpendapat seperti yang pertama (wajib mengqasarkan sembahyang dalam safar). Diriwayatkan pendapat seperti ini dari Ali dan Umar, dan dinisbatkan al-Nawawi kepada jumhur (majoriti) ulama’. Menurut al-Khatthaby dalam al-Ma’alim, pendapat majoriti ulama salaf dan fuqaha’ berbagai kota, bahawa sembahyang qasar dalam safar adalah wajib. Ini merupakan pendapat Ali, Umar, Ibnu Umar dan Ibnu ‘Abbas. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Umar bin Abdul Aziz, Qatadah dan al-Hassan. Menurut Hammad bin Sulaiman, orang yang sembahyang empat rakaat dalam safar harus mengulangi lagi (sembahyangnya). Menurut Malik, sembahyang empat rakaat dalam safar harus diulangi lagi selagi masih dalam waktu sembahyang. [Imam Muhammad al-Syaukani, Nailul Authar, (edisi terjemahan oleh Drs. Hadimulyo dan Drs. Kathur Suhardi, CV Asy Syifa, Semarang 1994), jld. 3, ms. 467]

[2] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi terjemahan oleh  W. Djunaedi, Pustaka Azzam, Jakarta 2000), ms. 419

[3] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma’ad Bekal Menuju Akhirat, yang diringkaskan oleh Muhammad Abdul Wahhab at-Tamimi, (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, Jakarta, 1999) ms. 54.

[4] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shalah, hadis no. 350.

[5] Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani, Subulus Salam, (Edisi terjemahan oleh Drs. Abubakar Muhammad, Al-Ikhlas, Surabaya 1991), jld. 2, ms. 152.

[6] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih Bukhari, Kitab al-Jumu’at, hadis no. 1102.

[7] Imam Muhammad al-Syaukani, Nailul Authar, jld. 3, ms. 467.

[8] Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Shalah, hadis no. 456.

[9] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamah al-Shalah wa sunnah fiha, hadis no. 1063.

[10] Imam Muhammad al-Syaukani, Nailul Authar, jld. 3, ms. 469.

[11] Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Shalah, hadis no. 457.

[12]  صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ “Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah 'Azza wa Jalla kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud dan Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1014. Peristiwa yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalah Shahih Muslim, Kitab al-Shalah al-Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 686 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Kitab Tafseer al-Qur’an, hadis no. 2960).

[13] Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 5866 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.

[14] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 417-418.

[15] Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jld. 2, ms. 216.

[16] al-Nisaa’ (4):101

[17] al-Nahl (16) : 8

[18] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 418.

[19] Penulis sedia maklum pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah yang tidak mewajibkan mengqasar sembahyang ketika bermusafir. Namun begitu Imam al-Syafi’i berpendapat adalah lebih afdhal jika diqasarkan sembahyang ketika bermusafir namun jika tidak diqasar hukumnya adalah makruh. Imam al-Syafi’i telah berkata:

Maka yang menjadi pilihan dan yang saya kerjakan apabila saya bermusafir dan yang lebih saya sukai diperbuat ialah mengqasarkan sembahyang pada ketakutan dari bahaya, pada perjalanan dan dalam perjalanan tanpa ketakutan. Barangsiapa yang menyempurnakan sembahyang (tidak mengqasarkan) pada keduanya itu, nescaya tidaklah merosakkan sembahyangnya…Saya memandang makruh meninggalkan qasar dan saya melarang (meninggalkan qasar) apabila itu dilakukan kerana benci kepada sunnah. [al-Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk) (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jld. 1, ms. 390.]